Friday, 15 May 2015

KENAPA 'BUANG' SAMPAI 6,000 PEKERJA MAS? - ABDUL AZIZ



Kenapa 'buang' sampai 6,000 pekerja MAS? - Abdul Aziz

Wan Syamsul Amly, Astro Awani | Kemas kini: Ogos 31, 2014
(Diterbitkan pada: Ogos 31, 2014 18:03 MYT)
  

ABDUL AZIZ: Berpendapat MAS tidak patut kurangkan tenaga pekerjanya, malah ia patut menambah pekerjanya.
KUALA LUMPUR: Apa asas pemberhentian 6,000 daripada 20,000 keseluruhan pekerja Malaysian Airline System Bhd (MAS) dalam pelan penstrukturan semula syarikat penerbangan itu yang diumum Jumaat lepas?

Mengapa pihak berkenaan tidak pernah terfikir tentang Dasar Langit Terbuka (Open Skies Policy) yang akan dilaksanakan tahun depan dan pasti memerlukan lebih banyak kakitangan?

Apakah mereka tidak memberi perhatian atau sengaja tidak mahu faham MAS berhadapan kemungkinan menjadi syarikat penerbangan domestik sahaja jika pengurangan pekerja dilakukan?

Itu antara soalan yang dilempar bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman kepada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) ketika ditanya reaksinya terhadap penstrukturan berkenaan.

"Semua cadangan dibuat dalam pelan itu adalah baik pada umumnya tapi saya rasa ada perkara yang amat penting dan perlu diambil kira pihak yang menyusun semula penstrukturan itu.

"Satu perkara tertinggal di dalam rancangan itu, ia menetapkan pengurangan pekerja, bagaimana dia buat keputusan itu dan apa asasnya nak kecilkan syarikat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kandungan pelan 12 perkara yang ditetapkan oleh Khazanah bagi memulihkan MAS yang diumum baru-baru ini.

Ketika mengulas mengenai Dasar Langit Terbuka, Abdul Aziz memberitahu, pengumuman angka pengurangan tenaga pekerja itu dilihat satu perkara ganjil yang tidak harus dilakukan pada peringkat awal penstrukturan.

"Bagaimana dia buat keputusan itu? Berapa banyak laluan dan juruterbang, anak kapal dan kakitangan yang terlibat?

"Saya rasa dia tidak boleh hendak buang pekerja bahkan perlu tambah pekerja.

"Dasar Langit Terbuka akan dimulakan enam bulan lagi, seharusnya mereka ada perancangan namun rasanya ia tidak disentuh dalam pelan itu," jelasnya.

Dasar Langit Terbuka ASEAN yang bakal dilaksanakan pada 2015 bertujuan meluaskan rangkaian perkhidmatan udara di antara Malaysia dan negara-negara asing.

Ini akan diadakan melalui perjanjian perkhidmatan udara dua hala (bilateral) yang akan membenarkan syarikat penerbangan Malaysia dan negara-negara asing mengadakan penerbangan tanpa sekatan dari segi kekerapan perkhidmatan, kapasiti penerbangan, jenis pesawat, laluan serta bilangan syarikat penerbangan yang dibenarkan di antara Malaysia dan negara tersebut.

Situasi ini mampu meningkatkan pertumbuhan sektor pengangkutan udara dan industri pelancongan negara, dan sekaligus meningkatkan akses rakyat Malaysia ke negara-negara lain dan sebaliknya.

Sementara itu, sebuah akhbar sebelum ini melaporkan kenyataan Ketua Ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng yang menyifatkan langkah mengurangkan pekerja yang dilakukan MAS merupakan satu tindakan yang matang dan perlu dilakukan; sejajar dengan langkah pemulihan syarikat penerbangan nasional tersebut.

Ia turut dilihat satu perkara yang menyumbangkan kepada kos operasi dan melalui pengurangan tersebut, MAS juga dapat memikirkan untuk mengurangkan penerbangan ke laluan yang tidak menguntungkan.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) yang sebelum ini menduga langkah pembuangan kakitangan, tidak menjangkakan Khazanah akan melaksanakan pembuangan sehingga 6,000 orang sebagai satu daripada langkah pemulihan syarikat penerbangan itu.




No comments:

Post a Comment