Wednesday, 27 May 2015

KIT SIANG NAK JADI PAK NUJUM?



Kit Siang Nak Jadi Pak Nujum?

Print  Email Details Published on Monday, 25 May 2015 13:40

KUALA LUMPUR: Ramalan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersabit perpecahan Pakatan Rakyat (PR) berkait rapat dengan keputusan Pemilihan PAS Jun ini.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed, dakwaan Lim itu sudah tentu bertitik tolak kepada kedudukan Abdul Hadi Awang yang bakal terjawab semasa Muktamar parti itu nanti.

Walaubagaimanapun beliau bertegas untuk enggan mempercayai Lim yang disifatkannya sebagai 'Pak Nujum' yang terkini dilihat semakin jelas berusaha keras untuk menggulingkan Hadi.

"Maknanya DAP ada calonnya.. Kemudian sekarang ini pandai pula nak buat ramalan. Jadi 'Pak Nujum' pula Lim Kit Siang ini

"Itu ramalannya.... Tidak boleh dipegang pasal kita (PAS) Islam berdosa kalau ikut kata 'Pak Nujum'.

"Pasal dia tunggu Muktamar siapa yang naik sebagai Presiden masih Hadi atau sebaliknya

"Bagi dia kalau Presiden sekarang masih lagi ada maka PR akan terkubur," katanya kepada Berita Daily.

Namun kata Mahfodz lagi, walaupun PAS seringkali diserang sekutunya sendiri, keputusan sama ada keluar daripada PR atau sebaliknya tidak akan ditentukan oleh hanya satu individu sahaja walaupun pemimpin tertinggi parti itu iaitu Hadi tidak sebulu dengan pemimpin DAP itu.

Sebaliknya parti Islam tetap menggunakan cara perbincangan dan proses memperhalusi keputusan parti secara berhemah bukan seperti yang diamalkan oleh DAP yang tegasnya menggunakan hanya satu suara sahaja untuk mengeluarkan arahan atau lebih dikenali sebagai cara 'kuku besi'.

"Bagi kita walaupun teruk macam mana kita dihentam, dicerca oleh DAP kita ada caranya mahu buat keputusan bukan dengan keputusan seorang-seorang oleh Presiden atau Mursyidul Am."

"Kita ada Majlis Syura, AJK PAS Pusat dan kalau disetujui dua institusi ini kita tengok lagi Muktamar PAS nanti bukan senang macam DAP. DAP itu guna cara diktator, Setiausaha Agung yang buat keputusan sudah cukup tetapi kita (PAS) tidak," jelasnya.

Untuk rekod, setelah DAP mengumumkan untuk memutuskan hubungan kerjasama hanya dengan Presiden PAS, baru-baru ini parti itu enggan melaksanakan kabinet bayangan PR bersama-sama gabungan pembangkang atas alasan Hadi sebagai halangan utama.

Respon kepada keengganan DAP itu, Hadi kemudiannya mengumumkan PAS sedia memutuskan hubungan dengan rakannya.

Malah, Hadi berkata kepemimpinan tertinggi parti itu mungkin tidak sedar Malaysia mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula selepas itu menyerang balas dengan mengatakan Presiden PAS itu seolah-olah sudah 'hilang akal' apabila menuduh parti yang didominasi kaum Cina itu mahu memerintah negara secara bersendirian.

Sejuru selepas itu, Lim Kit Siang hadir membuat andaian bahawa PR akan terkubur dalam tempoh dua minggu sahaja lagi.

Amalan itu dipercayai wujud setelah timbulnya dakwaan bahawa 'kerajaan perpaduan' antara PAS dan Umno boleh berjaya tidak lama lagi, setelah ketiadaan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah menghalangnya pada 2008.

Mahfodz seterusnya memberi bayangan bahawa PAS tidak akan dapat bertahan dengan rakan komponennya itu kerana had kesabaran yang sudah sampai ke kemuncaknya.

Menyokong kata-kata Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa khabar yang bertebaran mengenai parti itu besar kemungkinan bakal bergabung dengan Umno adalah fitnah, parti Islam itu ujarnya lagi bersedia untuk bersendiri.

Namun apa pun keputusan yang dibuat berdasarkan serangan bertali arus daripada DAP itu, ianya perlu disepakati terlebih dahulu, katanya lagi.

"Kalau ada ahli juga yang berkehendak macam itu memang tidak mustahil pasal kita sabar ada hadnya. Memang tidak mustahil, kemudian kalau bersendiri kita sudah biasa bersendiri jadi itu maka itu tidak mustahil juga kalau bersendiri... Tengok keadaanlah

"Jadi kita akan nilai satu-satu kenyataan itu yang telah dibuat Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng," beliau berkata lagi.

Hari ini menerusi kenyataan medianya Tuan Ibrahim berkata isu serangan DAP terhadap PAS amat menjelakkan akar umbinya.

Justeru maruah PAS sebagai parti berwibawa perlu dibela dan perkara ini dijangka bakal membawa kesan pada muktamar PAS ke 61 tidak lama lagi.

- Berita Daily









No comments:

Post a Comment