Dua bersaudara dijel
Didapati bersalah membunuh tanpa
niat dua tahun lalu
MARZITA ABDULLAH | 31
Disember 2014 1:37 AM
Mohd. Majzani Abd. Mansor (depan)
dan Azmi Abdul Aziz (belakang) masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 18 dan
10 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian seorang pengedar risalah dua tahun
lalu ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam,semalam. –
Utusan/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 30 Dis. - Seorang bekas
pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bapa saudaranya terlepas
daripada hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda
pertuduhan asal daripada membunuh kepada membunuh tanpa niat terhadap seorang
pengedar risalah, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman
membuat keputusan itu terhadap Mohd. Majzani Abd. Mansor, 35 dan Azmi Abdul
Aziz, 53, setelah berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan
munasabah terhadap kes pendakwaan.
Namun katanya, setelah meneliti
semula undang-undang berkaitan kes itu, didapati pihak pendakwaan berjaya
membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan membunuh tanpa
niat.
Sehubungan itu, Hakim Abdul Halim
memerintahkan Mohd. Majzani dihukum penjara 18 tahun manakala Azmi atau
dikenali sebagai ‘Pak Long’ dipenjara 10 tahun berkuatkuasa dari tarikh mereka
ditangkap, 20 Ogos 2012.
“Tertuduh pertama (Majzani)
selalu bertindak di luar batasan, bengis dan pemarah dan nasihat saya, kamu
perlu bertolak ansur, dengar pandangan orang lain manakala tertuduh kedua atau
Pak Long (Azmi), kamu bukan agresif,’’ katanya.
Mohd. Majzani yang masih bujang
dan Azmi yang mempunyai seorang anak didapati bersalah membunuh tanpa niat
Mohamad Khairul Anuar Osman, 28, iaitu rakan serumah Azmi dengan bersenjatakan
kayu.
Mereka yang berasal dari Perak
didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Puchong Utama 2/1,
Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong dekat sini kira-kira pukul 4.30
pagi, 20 Ogos 2012.
Pertuduhan terhadap kedua-dua
tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit
kesalahan.
Terdahulu kedua-duanya yang
diwakili peguam Datuk Hanif Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum
dengan mengambil kira keterangan Mohd. Majzani yang mengakui perbuatannya
memukul mangsa tanpa niat membunuh.
Manakala Azmi katanya, yang
bersama-sama bertugas sebagai pengedar risalah seperti mangsa, tidak merancang
perbuatan itu sebaliknya insiden berkenaan tidak dapat dielakkan dan telah
insaf selain berjanji tidak mahu terlibat pergaduhan lagi.
Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah
Abu Bakar mengemukakan 27 saksi pendakwaan manakala hanya tertuduh tampil
sebagai saksi pembelaan.
Berdasarkan laporan akhbar, dalam
kejadian itu, mangsa yang cedera parah di kepala dan tangan kiri disahkan
meninggal dunia di Hospital Kuala
Lumpur (HKL).
Menurut polis, mangsa dikatakan
bergaduh melibatkan hutang berjumlah RM30.
No comments:
Post a Comment