Posted on Monday, May 25 @
14:16:24 MYT by paktam
Penulis Tamu
Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
Serangan bertali arus DAP
terhadap PAS telah menimbulkan satu keadaan yang sangat tidak selesa dalam hubungan
Pakatan Rakyat. Bukan itu sahaja, tindakan DAP ini telah memberikan nafas baru
kepada Umno BN yang semakin lemas dengan isu penipuan 1MDB dan kos sara hidup
yang meningkat kerana GST.
Saya telah membuat teguran dan
ingatan beberapa kali terhadap sikap pimpinan DAP sebelum ini. Semua pihak
melihat Pakatan Rakyat salah satu wadah terbaik bagi menumbangkan BN.
Namun, wadah ini perlu
memperkasakan ketiga-tiga rakan tahaluf dan bukannya melemahkan mana-mana parti
yang menjadi rakan tahaluf. Sepakat pada perkara yang dipersetujui bersama dan
jangan mencabuli dasar parti rakan tahaluf dalam perkara berbeza. Semua parti
perlu kuat bagi mencapai kemenangan dalam PRU akan datang. Serangan sesama
sendiri hanya menguntungkan Umno BN.
DAP berkali-kali berkata mereka
mementingkan Pakatan Rakyat. Tapi tindakan mereka menyerang PAS dan Presiden
PAS bertubi-tubi pula membuktikan sebaliknya. Tindakan DAP ini sedang menolak
Pakatan Rakyat ke ambang perpecahan.
Isu serangan bertali arus DAP
terhadap PAS amat meluatkan akar umbi PAS. Perkara ini dijangka membawa kesan
pada muktamar PAS ke 61 yang bakal menjelang. Maruah PAS sebagai parti
berwibawa perlu dibela.
Jika benar DAP sayangkan Pakatan
Rakyat, hentilah menyerang PAS. Lupakanlah dan jauhilah sifat bermusuh, hormatilah
perbezaan dan berusahalah untuk mendiamkan diri jika tiada apa yang baik untuk
disebut mengenai rakan tahaluf.
Jika tidak, jangan salahkan PAS
seandainya tahaluf dengan DAP ini terungkai kerana ahli PAS akan tetap
pertahankan prinsip perjuangan parti lebih-lebih lagi selepas ketiadaan Tuan
Guru Nik Abdul Aziz.
Betul kata Lim Kit Siang,
Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz sangat sayangkan Pakatan Rakyat. Namun
begitu, percayalah beliau tidak akan sesekali menggadaikan prinsip parti demi
memenuhi tuntutan rakan tahaluf yang mengharapkan PAS melupakan cita-cita
Islamnya.
Di sini, sekali lagi saya ingin
menegaskan bahawa tuduhan PAS akan bergabung dengan Umno hanyalah fitnah.
Majlis Shura PAS telah menegaskan perkara ini baru-baru ini. Soalan saya masih
sama, berapakah kerusikah yang Umno sanggup beri ke PAS sekiranya betul
gabungan politik ini berlaku? 40? Hujah ini sahaja sudah cukup untuk mematahkan
fitnah ini daripada berterusan.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
25 Mei 2015
No comments:
Post a Comment