Wednesday, 26 August 2015

PASARAN SAHAM DUNIA MERUDUM




Pasaran saham dunia merudum

FADZIL ZAINOL  |  26 Ogos 2015 1:17 AM


KUALA LUMPUR 25 Ogos - Kemerosotan pasaran sa­ham China yang digelar China’s Black Monday semalam, kesan tindakan drastik pelabur-pelabur menjual pegangan saham mereka di negara itu, telah membawa kesan domino yang membuatkan penanda aras pasaran-pasaran saham dunia mengalami kejatuhan teruk.

Saham utama Amerika Syarikat (AS), Dow Jones turut ter­kena tempias dan ditutup rendah semalam ke paras 15,871.35 mata iaitu susut 588.40 mata atau 3.57 peratus. Bursa-bursa AS yang lain seperti Indeks Komposit NASDAQ turut mengalami penyusutan 179.79 mata kepada 4,526.25 mata dan Bursa Saham New York pula jatuh 405.75 mata atau 3.98 peratus.

FTSE 100 di United Kingdom (UK) pula susut 4.7 peratus kepada 5,898.87 mata iaitu terendah sejak akhir 2012.

Beberapa indeks lain seperti di Frankfurt, Jerman dan Paris, Perancis turut mengalami penyusutan lebih lima peratus sementara bursa saham Athens, Greece mengalami penurunan sekitar 10 peratus. Bursa saham Pan-Eropah, FTSEurofirst 300 susut 6.4 mata sekali gus mengakibatkan pengeluaran dana sehingga 500 bilion euro (RM2.4 trilion) daripada bursa tersebut.

Menurut Reuters, keadaan itu juga memberi kesan kepada saham-saham utama Asia dengan Indeks Nikkei di Jepun menyusut 895.15 mata atau lebih empat peratus iaitu kejatuhan terbesar dalam tempoh dua tahun, Indeks Kospi Korea Selatan susut 2.5 peratus, Hang Seng Hong Kong lebih lima peratus, sementara indeks utama Bursa Saham Singapura merosot 127.62 mata.

Ketua Strategi Bank SEB yang berpangkalan di Singapura, Sean Yokota berkata, tindakan drastik jualan saham oleh pelabur-pelabur dijangka berterusan sebagai reaksi terhadap perkembangan ekonomi semasa khususnya langkah-langkah yang diambil oleh kuasa ekonomi dunia seperti China dan AS.

Kegawatan di China semalam, turut mengakibatkan mata wang negara-negara Asia menyusut ke paras paling rendah dalam tempoh beberapa tahun termasuk ringgit, rupiah Indonesia, dolar Taiwan, bath Thailand, dolar Singapura dan peso Filipina berbanding dolar AS.

Indeks Shanghai terus merosot lagi hari ini sebanyak tujuh peratus sekali gus membuatkan paras indeks itu kini berada di bawah paras 3,000 mata. Indeks itu sebelum ini telah merosot 15 peratus dalam tempoh tiga hari dengan semalam mencatatkan kemerosotan terbesar iaitu 8.5 peratus.

Sementara itu, Penyelidik Kanan Daiwa Securities, Yukino Yamada berkata, hampir kesemua saham dunia terjejas termasuk saham-saham syarikat walaupun interaksi perdagangan dengan China adalah kecil.

Kerajaan China bagaimanapun hari ini mengumumkan pengurangan kadar faedah di negara tersebut sebanyak 0.25 mata kepada 4.6 peratus selepas dua hari berturut-turut saham negara itu bergolak. Pengurangan itu adalah kali kelima yang dibuat oleh negara itu sejak November 2014.

Langkah tersebut berjaya menaikkan semula pasaran-pasaran Eropah setakat sesi dagangan pagi di rantau itu. FTSE 100 di London melonjak kembali 3.3 peratus, Index Dax Jerman meningkat 4.4 peratus sementara Cac Perancis naik 4.6 peratus.

Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI kembali pulih apabila meningkat 31.8 mata sepanjang sesi dagangan hari ini dan ditutup pada 1,563.94 setelah mengalami kemerosotan semasa sesi dagangan semalam yang turut dialami semua bursa-bursa serantau.








No comments:

Post a Comment