Monday, 4 May 2015

ISU ETNIK YANG MENCABAR MARTABAT UMAT



Negara akan kerugian Jika PETRONAS Disekat Operasi Di Sarawak

Posted on Monday, May 04 @ 15:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah
  
Ekonomi PETRONAS, singkatan untuk Petroliam Nasional Berhad, adalah sebuah syarikat minyak dan gas Malaysia yang ditubuhkan pada 17 Ogos 1974. Ianya dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, perbadanan ini mendapat hak keseluruhan dari sumber minyak dan gas di Malaysia dan diamanahkan dengan tanggungjawab membangunkan dan menambah nilai kepada sumber-sumber ini.

PETRONAS menyediakan sumber besar pendapatan untuk negara Malaysia, dengan 45% daripada bajet kerajaan bergantung kepada dividen PETRONAS, Pada 26 Februari 2015, Petronas memotong perbelanjaan modal bajet 2015 selepas melaporkan kerugian suku keempat $ 2 bilion, kerugian pertama syarikat itu sejak ia mula melaporkan keputusan suku tahunan lima tahun yang lalu.
  
Baru-baru ini seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan Sarawak, pengerusi Dap Sarawak mencadangkan kerajaan Sarawak agar perlu membatalkan permit kerja bagi semua kakitangan PETRONAS dari Semenanjung yang memegang jawatan eksekutif dan pengurusan dalam usaha untuk memaksa kerajaan persekutuan untuk tunduk kepada permintaan kerajaan negeri untuk mendapatkan 20 per peratus royalti minyak dan gas.
  
Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa), yang membuat cadangan ini, berkata langkah ini akan menghentikan operasi PETRONAS, Malaysia Gas Cecair Asli (MLNG) dan semua anak-anak syarikat di negeri ini.
  
Kenyataan Chong memang tidak masuk akal dan tidak realisitik kerana sekiranya operasi PETRONAS dihentikan ianya akan mengakibat kerugian besar kepada syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan juga kepada pendapatan negara. Setiap minit pengeluaran minyak dan gas operasi ditutup ianya boleh mengakibatkan kerugian yang besar kepada syarikat dan juga negara, ianya bukan macam menutup stesen pam minyak.
  
Adakah dengan menyekat kemasukan para ekskutif dan pengurusan PETRONAS dari Semenanjung memasuki Sarawak dapat menyelesaikan masalah tuntutan royalti? Bagaimana dengan nasib pekerja tempatan yang bekerja dengan PETRONAS adakah mereka dapat jaminan dapat pekerjaan selepas PETRONAS diberhentikan operasi di Sarawak? Dia perlu berfikiran luar kotak dan jangan terlalu emosi dalam menuntut sesuatu perkara.
  
PETRONAS bukanlah sebuah syarikat persendirian yang boleh membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan dari kerajaan pusat dan setiap keputusan yang melibat polisi PETRONAS perlu mendapat kelulusan dan kebenaran dari kerajaan Malaysia.
  
Sepatutnya rundingan yang melibatkan royalti ini perlu dibincangkan diantara kerajaan pusat dengan kerajaan Sarawak bukannya dengan pihak pengurusan PETRONAS. Pihak pengurusan PETRONAS tidak akan mampu menunaikan hasrat kerajaan Sarawak sepenuhnya dalam tuntutan royalti sebab ianya adalah milik penuh kerajaan Malaysia dimana Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam memberi keputusan yang melibatkan hak negara bukannya pihak pengurusan PETRONAS.
  
Mungkin pihak PETRONAS boleh memberi kontrak kepada syarikat tempatan tapi kalau melibatkan pemberian royalti sudah tentu ianya boleh menjejaskan pendapatan serta pembelanjaan operasi PETRONAS. Hampir separuh dari hasil PETRONAS ada ditangan kerajaan persekutuan maka kerajaan Sarawak boleh menuntut lebih dari bajet setiap tahun yang setara dengan peratus royalty tanpa menjejaskan bajet operasi PETRONAS.
  
45% daripada bajet kerajaan pusat bergantung kepada dividen PETRONAS maka mungkin dari situ kerajaan pusat boleh menggunakan bajet yang sudah diberi oleh PETRONAS kepada kerajaan pusat untuk pembangunan Sarawak tanpa menjejaskan pembelanjaan operasi PETRONAS.
  
Dalam pendekatan yang lebih drastik, Chong juga mencadangkan BN negeri menyertai Pakatan Rakyat (PR) kebangsaan untuk membentuk kerajaan persekutuan. Beliau berkata, Pakatan, dengan 86 Ahli Parlimen, tambah dengan satu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah 112 Ahli Parlimen jika 25 Ahli Parlimen BN di negeri ini melompat kapal.
  
Kalau di Sarawak, Dap sudah pun memutuskan hubungan dengan PR Sarawak bagaimana pula dia boleh mengajak PR peringkat kebangsaan bergabung dengan BN Sarawak untuk kerajaan perpaduan. Adakah dia mempunyai agenda sendiri disebabkan dia gagal mempengaruhi PR Sarawak untuk mencapai agenda dia?
  
Adakah dia ingin bersama BN Sarawak kerana sudah tidak mampu melawan musuh politiknya maka dia perlu sertai pihak lawan demi mencapai cita-citanya yang mungkin sukar dicapai sekiranya dia terus bersama PR. Itu urusan Chong dan partinya, kita tidak mahu mencampuri urusan dalaman mereka, terserah dengan ahli dan penyokong mereka menilai keinginan beliau untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN.
  
PAS tetap istiqamah dalam memperjuangkan kebajikan dan hak rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ada masanya kita bersetuju untuk tidak bersetuju dalam sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
  
Kerajaan Sarawak perlu telus dan memberi keutamaan kepada penduduk Sarawak yang tidak mempunyai tempat tinggal dengan memberi hakmilik tanah serta lot tanah untuk mereka yang tidak memiliki tempat tinggal bukannya hanya memberi keutamaan kepada pemaju dan pelabur asing yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
  
Setiap rakyat Sarawak sepatutnya diberi tempat tinggal yang lebih baik bukannya tinggal di pelupusan sampah seperti pendatang asing. Sarawak yang mempunyai keluasan tanah sebesar semenanjung Malaysia mampu menampung keperluan tempat tinggal untuk seluruh rakyat Sarawak.
  
Kita mengesa agar kerajaan Sarawak dibawah pemimpinan Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem terus komited untuk memberi tumpuan kepada kebajikan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Jangan hanya buat gimik apabila dekat waktu dengan pilihanraya tetapi selepas mencapai kemenangan masih lagi ada rakyat Sarawak yang hidup dalam kesempitan dan tiada tempat tinggal yang tetap hanya menumpang di tanah kerajaan. Harap perkara ini mendapat perhatian dari kerajaan Sarawak kalau mereka masih lagi mahu diberi peluang sekali lagi untuk memerintah.


Jofri Jaraiee

PAS, Sarawak



No comments:

Post a Comment