Wednesday, 27 May 2015

KEHIDUPAN PENDEK SEDANGKAN ILMU ITU BANYAK


PostPosted: Fri May 15, 2015 10:48 pm    Post subject: Hikam Al-Ghazali Reply with quote

1.
Akhirat itu di depan.
Dunia itu di belakang.
Ajal itu dekat.
Perjalanan itu jauh.
Perbekalan itu sedikit.
Bahaya itu besar.
Dan jalan itu tertutup.

2.
Berjalan ke akhirat dengan banyaknya tipu daya, jika tanpa penunjuk dan teman, adalah payah dan sukar.
Penunjuk-penunjuk jalan itu ialah kaum ulama. Merekalah pewaris para nabi.

3.
Pengetahuan menuju ke akhirat itu terbahagi kepada ilmu mu'amalah dan ilmu mukasyafah.
Dan ilmu mu'amalah itu adalah jalan kepada ilmu mukasyafah.
Adapun ilmu mukasyafah, mereka (para nabi) tidak memperkatakannya selain dengan jalan rumus dan isyarat, yang berupa contoh dan kesimpulan. Kerana para nabi itu tahu akan singkatnya pemahaman orang ramai untuk memikulnya.

4.
Ilmu mu'amalah itu terbahagi kepada ilmu zahir dan ilmu batin.
Ilmu zahir ialah ilmu tentang amal perbuatan anggota badan.
Ilmu batin ialah ilmu tentang amal perbuatan hati.

5.
Berlemah-lembut menarik hati orang kepada ilmu yang berguna dalam kehidupan abadi, adalah lebih penting daripada kelemah-lembutan menariknya kepada ilmu kesihatan, yang faedahnya hanya untuk kesihatan jasmaniah belaka.
Faedah ilmu (agama) ini ialah membawa kesihatan kepada hati dan jiwa, yang bersambung terus kepada kehidupan abadi.
Apalah ertinya ilmu kesihatan itu yang hanya dapat mengubati tubuh kasar sahaja, yang akan hancur binasa dalam waktu yang tidak lama lagi.

6.
Sesungguhnya makanan hati ialah ilmu dan hikmah. Dengan dua itulah hidupnya hati, sebagaimana tubuh hidup dengan makanan.
Orang yang tidak berilmu, hatinya jadi sakit dan kematian hatinya itu suatu kemestian. Tetapi dia tidak menyedari hal itu kerana kecintaan dan kesibukannya dengan dunia menghilangkan perasaan itu, sebagaimana kesangatan takut kadang-kadang menghilangkan kepedihan luka buat seketika, meskipun luka itu masih ada.

7.
Kita berlindung dengan Allah dari hari pembukaan apa yang tertutup. Sesungguhnya manusia itu tertidur. Apabila mati, barulah dia terbangun.

8.
Ilmu itu jalan ke negeri akhirat, kebahagiaan akhirat dan jalan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Tidak akan sampai kepadaNya melainkan dengan ilmu.

9.
Kedudukan yang tertinggi bagi seseorang manusia ialah kebahagiaan abadi. Dan yang paling utama ialah jalan kepadanya. Tidak akan sampai kepadanya selain dengan ilmu dan amal. Dan tidak akan sampai kepada amal melainkan dengan mengetahui cara beramal.

10.
Dunia adalah tempat bercucuk-tanam bagi akhirat.
Dunia adalah alat yang menyampaikan kepada Allah Ta’ala,
bagi orang yang mahu mengambilnya sebagai alat dan tempat tinggal,
tidak bagi orang yang mengambilnya menjadi tempat tetap dan tanah air abadi.

11.
Yang paling mulia di atas bumi ialah bangsa manusia.
Yang paling mulia daripada bahagian tubuh manusia ialah hatinya.
Guru bekerja menyempurnakan, membersihkan, mensucikan dan membawa hati itu mendekati Allah.

Maka manakah pangkat yang lebih mulia daripada menjadi perantara antara Tuhan dan makhlukNya, untuk mendekatkan kepadaNya dan membawa mereka ke syurga tempat kediaman?

12.
Penguasa dan agama adalah dua anak kembar.
Agama itu pokok dan penguasa itu pengawal.
Sesuatu yang tidak berpokok, roboh.
Sesuatu yang tidak berpengawal, hilang.

13.
Tentang solat, ahli fiqh berfatwa dengan sah apabila solat itu dikerjakan dengan bentuk segala perbuatan solat serta jelas syarat-syaratnya, sekalipun ia lengah (lalai) dalam seluruh solatnya dari awal hingga akhir, asyik berfikir menghitung penjualan di pasar, kecuali ketika bertakbir.
Solat seperti itu tidaklah bermanfaat di akhirat.

14.
Wara’ itu mempunyai 4 tingkat :
1.  Wara’ tingkat pertama (wara’ orang awam).
2. Wara’ para solihin.
3. Wara’ para muttaqin.
4. Wara’ para siddiqin (peringkat tertinggi).

15.
Ilmu mukasyafah itu ialah ilmu batin. Dan itulah kesudahan segala ilmu. Telah berkata sebahagian ‘ariffin : “Orang yang tidak mempunyai bahagian daripada ilmu mukasyafah ini, aku khuatir akan buruk kesudahannya. Sekurang-kurangnya ialah membenarkan ilmu itu dan tunduk kepada ahlinya.”

16.
Kami maksudkan dengan ilmu mukasyafah itu ialah terangkat hijab yang menutupi sehingga jelaslah kenyataan kebenaran Allah pada semuanya itu dengan sejelas-jelasnya, laksana mata memandang, yang tidak diragukan lagi.

17.
Ulama zahir itu hiasan bumi dan kerajaan.
Ulama batin itu hiasan langit dan alam malakut.

18.
Adapun mengenal Allah Ta’ala, sifat dan af’alNya serta sekalian yang telah kami isyaratkan dalam ilmu mukasyafah, maka tidaklah diperoleh dari ilmu kalam. Malahan hampir sahaja ilmu kalam itu menjadi hijab dan penghalang.

19.
Tauhid mempunyai dua kulit.
Kulit pertama - mengucapkan Laa Ilaahaillallaah.
Kulit kedua – hati tidak berlawanan dengan ucapan tadi.

Manakala isi tauhid – melihat seluruh keadaan daripada Allah Ta’ala dengan tidak menoleh kepada perantaraan. Dan beribadah kepadaNya dengan ibadah yang tunggal kepadaNya. Tidak ia beribadah kepada yang lain.

20.
Tiap-tiap orang yang mengikut hawa nafsunya, dia telah mengambil hawa nafsunya sebagai Tuhannya.

21.
Seorang yang bertauhid, dia tidak melihat melainkan Yang Esa dan tidak menghadapkan wajahnya melainkan kepada Yang Esa itu.

22.
Adapun ilmu yang terpuji setinggi-tingginya ialah ilmu tentang Allah Ta’ala, sifatNya, af’alNya, sunnahNya dalam menjadikan makhlukNya dan hikmahNya pada tertibnya akhirat di atas dunia.

23.
Ilmu (tasawuf peringkat tinggi) itu adalah laut yang tak diketahui dalamnya. Para perenang hanya dapat merenangi pantai dan tepinya sahaja, sekadar yang mungkin ditempuhnya. Tidak dapat menempuh segala tepinya selain para nabi, wali dan para ahli menurut tingkat masing-masing, yang berbeza kesanggupan dan berlebih kurang takdir yang dianugerahi Allah Ta’ala.

Itulah ilmu yang tersembunyi, yang tidak ditulis pada halaman kitab. Yang menolong untuk mengetahuinya ialah dengan jalan belajar dan menyaksikan perihal keadaan ulama akhirat.

24.
Ilmu terpenting yang disia-siakan semua orang ialah ilmu sifat hati, yang terpuji dna yang tercela daripadanya. Kerana tidak ada manusia yang terlepas daripada sifat yang tercela seperti haloba, dengki, riya’, takbur, sombong dan sebagainya. Semua itu membinasakan.

Menyia-nyiakan kewajiban tadi serta mementingkan amal zahiriyyah, samalah halnya dengan melakukan perbuatan menggosok badan zahir ketika menderita penyakit kudis dna bisul, tetapi melupakan usaha untuk mengeluarkan benda (punca) penyakit dari tubuh dengan berbekam dan mencuci perut.

25.
Ulama kosong – menunjukkan jalan kepada amal zahiriyyah, sepertilah tabib-tabib di jalanan yang menunjukkan jalan dengan menggosok badan zahiriyyah.
Ulama akhirat – tidak menunjukkan jalan selain dengan mensucikan batin, mencabut benda-benda jahat yang merosakkan tanaman dan akar-akarnya dari hati.

26.
Orang kebanyakan menempuh amal zahiriyyah, bukannya amalan batin iaitu mensucikan hati nurani. Kerana amal zahiriyyah itu mudah, sedangkan amalan hati itu sukar. Samalah seperti orang yang berasa payah meminum ubat yang pahit lalu menggosok badan yang zahir sahaja. Maka terus-meneruslah dia bersusah-payah menggosok dan bertambah pula benda-benda yang digosokkan, sedangkan penyakitnya terus bertambah juga.

27.
Jika engkau mahu akan akhirat, mencari kelepasan dan melarikan diri daripada kebinasaan abadi, maka berusahalah mempelajari ilmu penyakit batin dan cara mengubatinya.

28.
Sesungguhnya apabila hati kosong daripada sifat yang tercela, maka penuhlah ia dengan sifat yang terpuji. Apabila bumi telah bersih daripada rumput, maka tumbuhlah padanya pelbagai tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan. Jika tidak kosong daripada rumput, maka tidaklah tumbuh yang tersebut tadi.

29.
Janganlah engkau menghabiskan waktu dengan fardhu kifayah, apatah lagi apabila sudah berdiri segolongan anggota masyarakat yang mengerjakannya. Orang yang mengorbankan dirinya sendiri untuk kebaikan orang lain itu bodoh. Alangkah dungunya orang yang telah masuk ular dan kala ke bawah kain bajunya dan akan membunuhnya, lalu ia mencari alat pembunuh lalat untuk membunuh lalat itu pada orang lain, yang tidak akan menolong dan melepaskannya daripada ular dan kala itu.

30.
Janganlah engkau menghabiskan umur pada suatu ilmu sahaja daripada ilmu-ilmu itu kerana benar-benar hendak mendalaminya. Hal ini kerana ilmu itu banyak sedangkan umur itu pendek.









No comments:

Post a Comment