Thursday, 14 May 2015

PENGIMBANG KIRI HELIKOPTER ROSAK



Pengimbang kiri helikopter rosak

THOMAS CHONG  |  15 Mei 2015 1:27 AM

PUTRAJAYA 14 Mei - Laporan awal nahas helikopter di Semenyih mendapati pesawat itu mengalami kerosakan pada sirip pengimbang kiri selepas mendarat di sebuah sekolah di Muadzam Shah, Pahang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan di kawasan pendaratan terakhir sebelum kemalangan berlaku pada 4 April lalu, mendedahkan roda pendaratan kiri terbenam ke dalam tanah lembap ketika mendarat di padang bola sepak, Sekolah Kebangsaan Ladang Kota Bahagia, Rompin.

“Ketika mendarat di padang bola iaitu lokasi pendaratan yang tidak dirancang, roda pendaratan kiri helikopter telah terbenam kira-kira 50.8 sentimeter ke dalam tanah dan keadaan tersebut menyebabkan alat pengangkutan udara itu condong kira-kira 13 darjah ke kiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
  
Menurutnya, helikopter itu mem­punyai dua sirip pengimbang iaitu kanan dan kiri yang terletak di ekor pesawat.

Ekoran kejadian tersebut katanya, gear pendaratan utama dan bahagian bawah ekor helikopter juga disyaki terhentak ke tanah dan mungkin menyebabkan bahagian ekor bawah fenestron, penstabil mendatar sebelah kiri dan sirip menegak mengalami kerosakan.
  
Tiong Lai juga memberitahu, laporan awal siasatan nahas udara Eurocopter Dauphine AS365 N3 itu juga menunjukkan juruterbang tidak melakukan semakan walaupun berlaku masalah ketika helikopter itu mendarat di padang bola sepak sekolah berkenaan.

Menurut laporan itu, juruterbang, Clifford William Fournier telah turun daripada helikopter untuk mengiring penumpang yang mahu turun di padang bola tetapi tidak melakukan sebarang pemeriksaan ke atas pesawat.

“Jika ada masalah dengan helikopter, juruterbang sepatutnya mematikan enjin dan memeriksa helikopter, laporan bagaimanapun menunjukkan juruterbang tidak memeriksa roda dan bahagian ekor,” ujarnya,

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, pihaknya setakat ini gagal menemui penstabil sebelah kiri yang kerosakannya disyaki sebagai punca nahas walaupun penstabil sebelah kanan telah dikesan.

“Saya menyeru kepada semua penduduk di sekitar lokasi kejadian supaya memaklumkan pihak berkuasa jika menemui penstabil ini. Kita perlu mengesahkan sama ada kerosakan penstabil adalah disebabkan oleh kegagalan mekanikal atau kerana hentakan di darat,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai mengesahkan juruterbang tidak membuat sebarang komunikasi dengan menara kawalan udara semasa melakukan pendaratan di padang bola sepak Sekolah Rendah Ladang Kota Bahagia.

“Perkara ini tidak diwajibkan walaupun juruterbang digalakkan untuk berkomunikasi dengan menara kawalan udara secara kerap,” katanya.

Menurutnya, selain kesan benam, kesan kebocoran cecair turut dikesan di padang bola yang menjadi lokasi pendaratan terakhir helikopter AS365.

“Terdapat kesan kebocoran cecair berlebihan dalam lubang roda pendaratan kiri helikopter di atas rumput kira-kira 10 meter ke hadapan tempat pendaratan apabila juruterbang menaikkan semula helikopter.

“Pasukan siasatan bagaimanapun tidak mendapati kebocoran ini memberi kesan kepada penerbangan ke Subang dan punca kemalangan boleh dikaitkan dengan masalah penstabil,” katanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, simulasi nahas helikopter AS365 akan dilakukan di Perancis untuk mengenal pasti bagaimana helikopter itu menjunam selain membantu mencari penstabil yang masih hilang.

Menurut ketua penyiasat nahas itu, Datuk Yahaya Abdul Rahman, walaupun berusaha mencari penstabil itu, semua usaha buntu dan beliau tidak menolak kemungkinan alat tersebut terjatuh ke dalam kolam atau tempat berair.

Siasatan nahas udara helikopter AS365 dijalankan dengan bantuan Biro Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA) sementara kotak hitam helikopter telah dianalisis dengan bantuan daripada Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB).

Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias merupakan antara enam orang yang terbunuh apabila helikopter AS365 itu terhempas di Semenyih pada 4 April lalu.







No comments:

Post a Comment