Pengimbang kiri helikopter
rosak
THOMAS CHONG | 15 Mei 2015 1:27 AM
PUTRAJAYA 14 Mei - Laporan awal nahas helikopter di Semenyih mendapati
pesawat itu mengalami kerosakan pada sirip pengimbang kiri selepas mendarat di
sebuah sekolah di Muadzam Shah, Pahang.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hasil siasatan
dan pemeriksaan di kawasan pendaratan terakhir sebelum kemalangan berlaku pada
4 April lalu, mendedahkan roda pendaratan kiri terbenam ke dalam tanah lembap
ketika mendarat di padang bola sepak, Sekolah Kebangsaan Ladang Kota Bahagia,
Rompin.
“Ketika mendarat di padang bola
iaitu lokasi pendaratan yang tidak dirancang, roda pendaratan kiri helikopter
telah terbenam kira-kira 50.8 sentimeter ke dalam tanah dan keadaan tersebut
menyebabkan alat pengangkutan udara itu condong kira-kira 13 darjah ke kiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari
ini.
Menurutnya, helikopter itu mempunyai dua sirip pengimbang iaitu kanan
dan kiri yang terletak di ekor pesawat.
Ekoran kejadian tersebut katanya, gear pendaratan utama dan bahagian
bawah ekor helikopter juga disyaki terhentak ke tanah dan mungkin menyebabkan
bahagian ekor bawah fenestron, penstabil mendatar sebelah kiri dan sirip
menegak mengalami kerosakan.
Tiong Lai juga memberitahu, laporan awal siasatan nahas udara
Eurocopter Dauphine AS365 N3 itu juga menunjukkan juruterbang tidak melakukan
semakan walaupun berlaku masalah ketika helikopter itu mendarat di padang bola sepak sekolah
berkenaan.
Menurut laporan itu, juruterbang, Clifford William Fournier telah turun
daripada helikopter untuk mengiring penumpang yang mahu turun di padang bola tetapi tidak
melakukan sebarang pemeriksaan ke atas pesawat.
“Jika ada masalah dengan
helikopter, juruterbang sepatutnya mematikan enjin dan memeriksa helikopter,
laporan bagaimanapun menunjukkan juruterbang tidak memeriksa roda dan bahagian
ekor,” ujarnya,
Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, pihaknya setakat ini gagal menemui
penstabil sebelah kiri yang kerosakannya disyaki sebagai punca nahas walaupun
penstabil sebelah kanan telah dikesan.
“Saya menyeru kepada semua
penduduk di sekitar lokasi kejadian supaya memaklumkan pihak berkuasa jika
menemui penstabil ini. Kita perlu mengesahkan sama ada kerosakan penstabil
adalah disebabkan oleh kegagalan mekanikal atau kerana hentakan di darat,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Lai mengesahkan juruterbang tidak membuat
sebarang komunikasi dengan menara kawalan udara semasa melakukan pendaratan di padang bola sepak Sekolah
Rendah Ladang Kota Bahagia.
“Perkara ini tidak diwajibkan
walaupun juruterbang digalakkan untuk berkomunikasi dengan menara kawalan udara
secara kerap,” katanya.
Menurutnya, selain kesan benam, kesan kebocoran cecair turut dikesan di
padang bola
yang menjadi lokasi pendaratan terakhir helikopter AS365.
“Terdapat kesan kebocoran
cecair berlebihan dalam lubang roda pendaratan kiri helikopter di atas rumput
kira-kira 10 meter ke hadapan tempat pendaratan apabila juruterbang menaikkan
semula helikopter.
“Pasukan siasatan bagaimanapun
tidak mendapati kebocoran ini memberi kesan kepada penerbangan ke Subang dan
punca kemalangan boleh dikaitkan dengan masalah penstabil,” katanya.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, simulasi nahas helikopter AS365 akan
dilakukan di Perancis untuk mengenal pasti bagaimana helikopter itu menjunam
selain membantu mencari penstabil yang masih hilang.
Menurut ketua penyiasat nahas itu, Datuk Yahaya Abdul Rahman, walaupun
berusaha mencari penstabil itu, semua usaha buntu dan beliau tidak menolak
kemungkinan alat tersebut terjatuh ke dalam kolam atau tempat berair.
Siasatan nahas udara helikopter AS365 dijalankan dengan bantuan Biro
Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA) sementara kotak hitam helikopter telah
dianalisis dengan bantuan daripada Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain
(AAIB).
Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ketua
Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias merupakan antara enam orang
yang terbunuh apabila helikopter AS365 itu terhempas di Semenyih pada 4 April
lalu.
No comments:
Post a Comment