Thursday, 11 June 2015

ALTANTUYA - KENAPA TIMBUL SEMULA?



Wednesday, May 20, 2015

ALTANTUYA - KENAPA TIMBUL SEMULA
KEBANGKITAN SEMULA YANG SUDAH PERGI

Kita ditanya oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Abd. Razak, 'Kenapa kes Altantuya timbul semula' sedangkan kes itu telah melalui proses penghakiman mahkamah begitu lama dan yang membunuh sudah pun didapati bersalah.

Soalan Dato' Seri Najib kelihatan 'logical' atau munasabah jika dipandang dari sudut Altantuya Shaaribuu itu seorang warganegara asing, yang bekerja di luar negaranya, dan pembunuhannya juga sudah berlaku 9 tahun yang lalu. Bidang kerjanya pun tidak jelas.

Yang jelas ialah Dato' Seri Najib ingin supaya kes Altantuya dilupakan.

Apatahlagi dengan adanya gelombang politik yang sangat mencabar yang sedang dilaluinya di masa ini.

Memang manusia umumnya akan melupakan pembunuhan yang sudah lama berlaku sebagaimana ratusan ribu umat Islam yang terbunuh di negara-negara Islam yang kini sudah dilupakan walaupun jangkamasa pembunuhan belaku kemudian dari dibunuhnya Altantuya.

Jika kita berpendidikan Barat kita tentu sudah lama melupakan, atau memaafkan, pembunuhan ratusan ribu orang asli di Amerika Syarikat, 'The Red Indians', oleh penjajah Anglo-Saxon, dan lain-lain pendatang Eropah, yang lari dari Eropah untuk mencari rezeki dan peluang baru bagi memenuhi 'The American Dream.'

Tetapi bukan semua manusia boleh melupakan sesuatu jika ianya terkena ke atas dirinya sendiri, walaupun yang merasa bersalah ingin supaya yang terkena itu boleh melupakan. Biasa juga satu-satu kekejaman yang lama dulu berlaku boleh dimaafkan walau pun tidak semestinya dilupakan.


PERJUANGAN BUMIPUTERA DI AMERIKA SYARIKAT


Dalam satu lawatan saya ke Cornell University pada awal tahun tujuh puluhan saya telah bertemu dengan dua orang Professor yang pernah membantu Malaysia di waktu baru Merdeka untuk menasihati kita dalam bidang pentadbiran negara dan pembangunan luar bandar. Professor Essman di bidang pentadbiran dan Professor Barnard dalam bidang pembangunan luar bandar.

Waktu saya di dalam bilik Professor Barnard saya lihat di dinding belakang kerusinya lukisan gambar Tun Abdul Razak yang setinggi Tun Razak yang sebenarnya. Saya tanya Professor Barnard, 'You like our Prime Minister?' Dia menjawab, 'He is my hero, the symbol of what we are fighting for - for the liberation of this land which belongs to us Bumiputeras whom they called 'The Read Indians'.  Dia sambung '.. I am the President of the American Bumiputeras and this Cornell campus is part of our people's territory.' Berertilah Professor Barnard bukan seorang pelupa walaupun perjuangannya tidak mungkin tercapai.


BUKAN NASIB ALTANTUYA YANG DIFIKIRKAN TETAPI NASIB SIRUL DAN AZILAH

Mengingati Altantuya juga tidak dapat mengembalikan beliau ke dunia ini.

Yang menimbulkan pertanyaan ialah kerana Koperal Sirul Azhar Umar dan Ketua Inspektor Azilah Hadri telah ditolak permohonan pengampunan mereka dan sudah diputuskan untuk digantung tetapi masih hidup kerana pergantungan belum dilakukan.

Soalannya ialah, 'apakah tidak ada hak bersuara, mengeluh dan merayu bagi yang masih hidup dan sedang menunggu untuk digantung kerana kesalahan membunuh Altantuya 9 tahun yang lalu'.

Dalam hal ini Tun Dr. Mahathir dan Dato' Seri Najib tidak ada pengalaman. Iaitu pengalaman secara menghadapi orang yang menunggu saatnya untuk digantung yang sudah terlalu dekat.

Tun Ghazali Shafie dan saya ada pengalaman. Di waktu saya berpindah dari Kementerian Dalam Negeri, sebagai Timbalan Menteri, ke Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, sebagai Menteri penuh kesemua 36 orang banduan yang telah dihukum mati dan sedang menunggu untuk digantung telah pun selesai digantung. Yang masih tinggal dalam semua penjara di Malaysia pada waktu itu adalah mereka yang bukan hukuman gantung sampai mati baginya.


PROSES PENGGANTUNGAN

Proses menggantung seseorang itu bukanlah mudah. Selain dari tempat menggantung, tali gantung, tukang gantung, yang semuanya disiapkan sebelum penolakan rayuan oleh raja untuk mendapat pengampunan maka pihak kementerian perlu mengeluarkan arahan kepada pihak penjara menjalankan tugas menggantung banduan yang berkenaan.

Selain dari hakim yang menjatuhkan hukuman gantung pihak yang menandatangani surat arahan kepada penjara untuk digantung juga menghadapi keadaan trauma dan perlu memperkuatkan hati kerana tanda-tangannya akan menyebabkan kematian seseorang.

Oleh kerana masa yang ditunggu untuk seseorang itu digantung terlalu lama maka yang telah dijatuhkan hukuman gantung, setelah ditolak permohonan pengampunannya, lama kelamaan merasa selesa seolah-olah pihak penjara sudah terlupa untuk menjalankan tugas.

Saya mengetahui adanya keadaan di Pakistan di waktu itu di mana ratusan banduan sedang menunggu untuk dipancung kerana didapati bersalah oleh mahkamah tetapi mereka selesa kerana tidak ada yang sanggup mengerjakan tugas memancung di sana.


HARAPAN BANDUAN YANG TIDAK PERNAH PUDAR

Waktu saya melawat penjara di Bath, United Kingdom, saya telah bertemu dengan beberapa orang banduan yang dihukum pejara seumur hidup. Jika hukuman itu hanya seumur hidup ianya biasa mendapat diskaun setelah dipenjarakan beberapa tahun; tetapi jika hukuman penjara seumur hidup itu dikatakan 'real life imprisonment' maka berertilah banduan itu akan berada di dalam penjara sampai mati. Ada di antara mereka yang telah memecahkan rekod Olympic dalam beberapa bidang olahraga seperti baling lembing, angkat berat dan lompat jauh.

Setelah lama di dalam penjara saya dapati, melalui perbualan dengan mereka, ada yang pasrah menerima apa yang ada saja, tetapi ramai juga yang berkhayal atas kemungkinan berlakunya perang dunia ketiga atau apa juga bala atau bencana alam seperti gempa bumi yang mungkin memberi harapan untuk mereka keluar bebas dari penjara. Samaada kerana penjaranya roboh atau khidmat mereka diperlukan dalam perang atau pun ada perubahan dalam undang-undang negara.


TENAGA BANDUAN UNTUK EKONOMI NEGARA

Di satu masa dulu, di waktu Korea Selatan masih membangun dan kuasa Syngman Rhee baru dirampas oleh Presiden Park Chung Hee saya mengetahui ribuan banduan dari Korea Selatan telah digunakan oleh chaebol Korea Selatan untuk diterbangkan ke Timur Tengah kerana syarikat chaebol telah menang tender membina lebuhraya di tengah-tengah padang pasir dengan harga yang cukup murah kerana khidmat banduan yang upahnya cukup rendah dan menguntungkan chaebol. Saya diberitahu cara begini telah dihentikan apabila ada protes dari pihak Bangsa-Bangsa Bersatu.

BANTUAN BANDUAN DALAM PEPERANGAN

Di zaman Aceh berperang dengan Belanda antara masalah yang dihadapi ialah untuk pasukan Mujahiddin Darul Islam mendapat kelengkapan senjata. Sedangkan bekalan senjata Belanda cukup banyak terhimpun dengan secukupnya. Pemimpin Aceh, Teungku Muhammad Dawud Beureueh telah mengadakan mesyuarat dengan komiti ulama untuk membincangkan masalah ini.

Salah seorang dari ulama telah mencadangkan supaya Aceh mencuri senjata Belanda di garisonnya. Oleh kerana tidak ada cadangan siapa yang akan menjalankan tugas itu maka ulama yang mencadangkan ide itu ditugaskan untuk mendirikan pasukan untuk mencuri senjata Belanda. Setelah ulama itu diberi tugas beberapa lama kemudian satu lagi mesyuarat komiti perang diadakan untuk berbincang mengenai nasib ulama yang ditugaskan mencuri senjata tetapi tidak pulang sebegitu lama.

Ada cadangan dari seorang Ulama lain supaya usaha mencari ulama yang hilang dilakukan sekaligus mencuri senjata Belanda yang belum diperolehi. Ulama yang mencadangkan ide inilah yang ditugaskan. Beliau juga tidak diketahui hilang di mana sehingga sekarang.

Dalam perjumpaan ketiga  komiti perang para Ulama teringat kepada ajaraan Islam bahawa sesuatu tugas itu perlu diberi kepada yang ahli dalam bidang berkenaan. Oleh kerana kerja Ulama tidak sama dengan kerja mencuri maka usaha Ulama untuk mencuri senjata Belanda telah gagal.

Oleh itu komiti perang telah memutuskan untuk pergi ke penjara di Langsa (dari ingatan saya) dan melepaskan beberapa orang pencuri yang terganas dan diberi tugas untuk mencuri senjata dengan tawaran mereka dibebaskan setelah selesai tugas.

Dalam masa 5 jam beberapa truk senjata Belanda telah diperolehi.

Berertilah harapan para banduan di penjara Bath bukanlah sesuatu yang mustahil sama sekali, walaupun jarang, malah tidak dapat dibayangkan akan berlaku.

HARAPAN BANDUAN YANG TELAH DIHUKUM GANTUNG

Waktu saya 10 tahun dan sedang belajar di Sekolah Menengah Ibrahim sebelum ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, saya tinggal di rumah Mak The di Sungai Layar yang tidak jauh dari padang golf Kelab Ingris Sungai Petani. Oleh kerana pada golf 9 lubang di Sungai Petani terlalu lembut tanahnya maka bola golf sering tenggelam di dalam Tanah di hujung 'fairway'. Oleh itu bagi budak budak yang terlalu kecil untuk mengangkat beg kayu golf mereka diberi peluang menjadi penolong kedi yang menunggu di hujung 'fairway' untuk mengesan di mana boleh golf itu jatuh.

Lubang ke 9 padang golf Sungai Petani terletak di belakang Mahkamah Sungai Petani. Pintu penjara tempat banduan menunggu sebelum di bawa ke pengadilan berdepan dengan lapangan lubang golf ke 9. Selesai menjadi kedi saya akan terus ke penjara kecil atau 'lock-up' menunggu untuk bertemu bual dengan banduan. Saya sering membawa sisa rokok yang selebihnya yang saya sambut bila dilempar kotaknya oleh pemain golf yang girang dengan kemenangan.

Sekali lagi saya lihat betapa optimis banduan yang saya temui walaupun kes pembunuhan yang dilakukannya agak jelas. Dalam satu kes seorang dari mereka mengaku kepada saya bahawa dia telah membunuh tetapi dia tetap mengharapkan pihak peguam dapat memenangkannya kerana katanya dia 'terpaksa membunuh' kerana perempuan yang dia rogol itu, pada mulanya menggalakkan dia bersetubuh tetapi kemudianya mengancam untuk melapor dirogol.


PENDERITAAN IBU BAPA SEORANG YANG HENDAK DIGANTUNG

Sebuah kes hukuman gantung yang terdekat di hati saya berlaku kepada anggota keluarga saya 'Af Teungku Mohd Dahan kerana dituduh mmiliki dadah yang cukup banyak. Sebenarnya 'Af ialah seorang pemuda yang baik dan pendiam yang diminta oleh kawannya untuk menjaga rumahnya di Kuala Lumpur sementara kawannya itu berniaga hingga ke Thailand.

Pada satu hari rumah yang diduduki 'Af telah diserang oleh polis dan di dalam satu bilik didapati ada dadah yang cukup lumayan banyaknya yang boleh membawa kepada pemiliknya dikenakan hukuman gantung. 'Af terkejut bila dia tahu isi bilik itu ialah dadah.

Pada mulanya 'Af menyatakan dia hanya penjaga rumah dan dia tidak tahu bahawa isi bilik yang sentiasa tertutup itu berisi dadah. Tetapi, setelah diberitahu bahawa hukuman yang pasti akan dikenakan ke atas kawannya ialah hukuman gantung maka 'Af, setelah termenung seketika, terus menyatakan bahawa beliaulah pemilik dadah tersebut.

'Af juga tidak memberitahu di mana boleh didapati kawannya kerana pihak polis juga yakin, setelah bersoal jawab bahawa 'Af sebenernya tidak mengetahui bisnez yang diusahakan oleh kawannya.

Di dalam penjara anak saudara 'Af bernama Zulfadzli telah bertanya pada 'Af kenapa dia mengaku dadah itu miliknya sedangkan dia tidak tahu apa yang ada dalam dalam bilik itu. 'Af memberitahu bahawa kawannya itu membayar gaji bulanan padanya dan sebahagian dari gajinya itu dikirimnya ke kampong untuk ibunya yang sudah tua. 'Af yang agak 'simple-minded' menyatakan jika kawannya ditangkap dan dihukum maka dia akan hilang pekerjaan dan ibunya tidak boleh dibantu lagi oleh 'Af. Tetapi,jika 'Af yang digantung maka kawannya boleh berniaga terus dan membantu ibunya setiap bulan secara terus menerus.

Begitulah kasih 'Af kepada ibunya.

Banyak wang keluarga kehabisan untuk membantu 'Af tetapi peguamnya memberitahu agak sukar bagi 'Af untuk terlepas kerana dia tidak mahu memberitahu di mana kawannya dan dia memang ingin dijatuhkan hukuman gantung bagi pihak kawannya. Kerana kasih pada ibunya.

Setelah permohonan pengampunan ditolak dan tarikh penggantungan ditetapkan tiba-tiba ada kes pembunuhan di Yan, Kedah yang melibatkan kawan 'Af yang berniaga dadah itu. Ternyata apabila disoal-siasat oleh polis kawan 'Af menempelak pihak polis menyatakan beliau tidak bersalah dan jika beliau dihukum berertilah pihak polis telah menjalankan kezaliman sebagaimana yang telah dilakukan oleh polis kepada 'Af kawannya yang telah dihukum gantung sampai mati. Berertilah kawan 'Af itu tidak mengetahui bahawa 'Af masih belum digantung kerana menunggu masa kira-kira seminggu lagi.

Dengan cepat pihak keluarga 'Af dan peguam telah Berjaya membuka balik kes 'Af dan dengan pengakuan kawannya tadi maka 'Af terlepas dari hukuman dan dibebaskan.

Walau bagaimana pun 'Af tetap merasa sedih kerana kawannya telah tertangkap dan saya diberitahu, setelah kembali dari luar negeri 'Af telah meninggal dunia dalam masa sebulan selepas dibebaskan.

Oleh kerana 'Af adalah anggota keluarga saya dan bapanya adalah salah seorang dari saksi pernikahan saya, seorang lagi ialah Sasterawan Negara Dato' Abdullah Hussein, saya dapat merasai perasaan ibu bapa dan keluarga seseorang yang telah yang telah dihukum gantung.


PENGALAMAN DALAM KENANGAN

Dalam tiga karangn saya dalam blog ini atas tajuk-tajuk (1)  Terima Kasih Tun Ghazali Shafie pada 3 Februari, 2010 perenggan 16, (2) Tawaran Rasuah Botak Chin pada 27 Mei, 2014 dan (3) Battle of Waterloo to Langkawi Book Village pada 18 Oktober, 2014 perengan ke 3, saya telah menceritakan serba sedikit mengenai pengalaman saya waktu di Kementerian Dalam Negeri sebagai Timbalan Menteri kepada Menteri Tun Ghazali Shafie.


PROSES PENGGANTUNGAN

Apa yang saya belum cerita ialah apabila ketikanya datang masanya untuk seseorang itu digantung.

Apabila semua impian, khayalan, jangkaan, ramalan dan harapan bagi banduan berkenaan sudah tiada lagi.

Apabila tarikh untuk digantung sudah ditentukan maka pihak berkuasa akan memberitahu kepada keluarga mengenai tarikh ini. Saya telah mengambil kesempatan untuk bertemu dengan ibu dan bapa banduan yang hendak digantung. Saya dapati dalam semua kes pihak bapa hanya berdiam diri mendengar maklumat yang disampaikan, kecuali seorang sahaja yang menangis.

Di pihak ibu pula semuanya membantah anaknya hendak digantung walau apa jua bukti yang diketengahkan. Itulah kasih seorang ibu pada anaknya. Walaupun anaknya terbukti membunuh atau merogol dulu sebelum membunuh pihak ibu tetap mempertahankan anaknya dan terus merayu untuk dibebaskan.

Apabila saya bertanya kepada seorang bapa yang saya dapati menangis itu atas sebab dia menangis sedangkan dalam pertemuan kami dengan bapa-bapa banduan yang lain tiada seorang pun yang menangis, dia menjawab ,' saya menangis kerana kasihan pada ibunya.' Berertilah dia dapat menerima anaknya itu bersalah.

Setelah itu pihak keluarga dibenarkan bertemu dengan banduan yang hendak digantung.

Sebelum digantung banduan berkenaan, kalau di Penjara Pudu dahulu, akan dipindah ke bilik akhir di mana terdapat beberapa buah bilik sahaja (4 atau enam - saya dah lupa). Banduan juga akan diberi peluang untuk makan makanan kegemarannya untuk dimakan sebagai makanan terakhir. Lepas itu seorang Ulama akan dibawa untuk bertemu banduan dengan nasihat dan bacaan-bacaan doa terakhir. Selepas subuh besok paginya si banduan terus digantung dan mayatnya diturunkan ke bawah lantai bilik gantung untuk diserahkan kepada keluarga.


NASIB SIRUL DAN AZILAAH

Inilah proses yang akan dilalui oleh Sirul apabila dia sampai ke Malaysia. Nasib Azilah pula bergantung kepada apa jadi kepada Sirul.

Saya sebenarnya tidak mengikuti kes Sirul ini waktu di pengadilan. Mula-mula ianya dihukum, lepas itu dilepaskan dan lepas itu dihukum gantung.

Apabila selesai Mahkamah Terakhir di Malaysia memutuskan Sirul dan Azilah dihukum gantung sampai mati saya terbaca penulisan Abdul Razak Baginda secara kebetulan. Di dalamnya dia menyebut bahawa ada pihak yang patut dipanggil sebagai saksi telah tidak dipanggil. Yang dimaksudkan mungkin bosnya Sirul.

Nampaklah pada saya yang bukan ahli undang-undang bahawa pendakwa hanya berminat membuktikan siapa pembunuh dan tidak berminat mencari motif pembunuhan dan siapa yang mengarah untuk Sirul membunuh. Tidak mungkin Sirul dan Azilah membunuh seorang perempuan yang tidak pun dikenalinya.

Nampaknya Dato' Seri Najib juga tidak berminat mencari motif pembunuhan, walaupun yang membunuh itu pegawainya. Beliau berpuas hati kerana yang membunuh akan digantung dan mungkin keluarga Altantuya juga puas hati kerana 'Wang itu Raja' dan pihak keluarganya boleh berpuas hati jika mendapat 'sedikit' saguhati untuk belanja persaraan anaknya dan sebagainya.

Tetapi manusia seperti saya tak dapat menerima alasan sedemikian.

Apatah lagi Tun Dr. Mahathir.

Saya percaya semua manusia yang siuman, berakal dan berperikemanusiaan ingin tahu motif dan cerita penuh yang sebenarnya.

Kita bangga apabila polis atau tentera membunuh pengganas komunis yang ingin menawan negara kita dengan cara berdarah dan tidak demokratik. Kita juga bangga dengan pasukan polis kita yang tidak akan bertindak untuk membunuh kecuali setelah pihak musuh sudah memulakan rusuhan ke atas mereka yang memerlukan mereka membunuh senjata. Kita bernasib baik kerana ada pekerja penjara yang berani menjalankan tugas menggantung penjenayah yang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh pengadilan.

Tidak mungkin seseorang tukang gantung yang profesyenal akan bertindak untuk menggantung seseorang dengan sesuka hatinya sahaja, semata-mata keraja kerjanya sebagai tukang gantung.

Kita juga tahu bahawa penjaga keselamatan, yang membawa senjata, berhak membunuh jika yang dibunuh itu menjadi ancaman kepada keselamatan negara dengan nyata dan berbahaya. Penjaga pintu bank tidak mungkin menembak sesuka hatinya.

Keselamatan apa dan siapa atau negara manakah, atau keluarga siapa, yang diancam oleh Altantuya sehingga Sirul dan Azilah diarah membunuhnya. Adakah mungkin mereka membunuh sesuka hati mereka sahaja? Apakah mereka gila atau tidak siuman? Ataupun, adakah sesiapa yang mengarah mereka untuk berbuat demikian sehingga mereka tidak boleh membantahnya. Apakah setelah dibunuh perlu dibom dengan kejam sehingga hilang rupa? Apakah dosa Altantuya yang menyebabkan ada orang yang sanggup menyebabkan Sirul dan Azilah menjadi pembunuh tanpa izin dan tanpa arahan? Benarkah begitu?

Ibu, bapa, keluarga dan rakyat Malaysia ingin mengetahui jawapannya.

APAKAH SOALAN INI PUN TAK BOLEH TANYA?
  

Posted by Sanusi Junid at 11:18 PM
  





 


No comments:

Post a Comment