Wednesday, May 20, 2015
ALTANTUYA - KENAPA TIMBUL SEMULA
KEBANGKITAN SEMULA YANG SUDAH PERGI
Kita ditanya oleh Perdana Menteri
Dato' Seri Najib Tun Abd. Razak, 'Kenapa kes Altantuya timbul semula' sedangkan
kes itu telah melalui proses penghakiman mahkamah begitu lama dan yang membunuh
sudah pun didapati bersalah.
Soalan Dato' Seri Najib kelihatan
'logical' atau munasabah jika dipandang dari sudut Altantuya Shaaribuu itu
seorang warganegara asing, yang bekerja di luar negaranya, dan pembunuhannya
juga sudah berlaku 9 tahun yang lalu. Bidang kerjanya pun tidak jelas.
Yang jelas ialah Dato' Seri Najib
ingin supaya kes Altantuya dilupakan.
Apatahlagi dengan adanya
gelombang politik yang sangat mencabar yang sedang dilaluinya di masa ini.
Memang manusia umumnya akan
melupakan pembunuhan yang sudah lama berlaku sebagaimana ratusan ribu umat
Islam yang terbunuh di negara-negara Islam yang kini sudah dilupakan walaupun
jangkamasa pembunuhan belaku kemudian dari dibunuhnya Altantuya.
Jika kita berpendidikan Barat
kita tentu sudah lama melupakan, atau memaafkan, pembunuhan ratusan ribu orang
asli di Amerika Syarikat, 'The Red Indians', oleh penjajah Anglo-Saxon, dan
lain-lain pendatang Eropah, yang lari dari Eropah untuk mencari rezeki dan
peluang baru bagi memenuhi 'The American Dream.'
Tetapi bukan semua manusia boleh
melupakan sesuatu jika ianya terkena ke atas dirinya sendiri, walaupun yang
merasa bersalah ingin supaya yang terkena itu boleh melupakan. Biasa juga
satu-satu kekejaman yang lama dulu berlaku boleh dimaafkan walau pun tidak
semestinya dilupakan.
PERJUANGAN BUMIPUTERA DI AMERIKA SYARIKAT
Dalam satu lawatan saya ke Cornell University
pada awal tahun tujuh puluhan saya telah bertemu dengan dua orang Professor
yang pernah membantu Malaysia
di waktu baru Merdeka untuk menasihati kita dalam bidang pentadbiran negara dan
pembangunan luar bandar. Professor Essman di bidang pentadbiran dan Professor
Barnard dalam bidang pembangunan luar bandar.
Waktu saya di dalam bilik
Professor Barnard saya lihat di dinding belakang kerusinya lukisan gambar Tun
Abdul Razak yang setinggi Tun Razak yang sebenarnya. Saya tanya Professor
Barnard, 'You like our Prime Minister?' Dia menjawab, 'He is my hero, the
symbol of what we are fighting for - for the liberation of this land which
belongs to us Bumiputeras whom they called 'The Read Indians'. Dia sambung '.. I am the President of the
American Bumiputeras and this Cornell campus is part of our people's
territory.' Berertilah Professor Barnard bukan seorang pelupa walaupun
perjuangannya tidak mungkin tercapai.
BUKAN NASIB ALTANTUYA YANG DIFIKIRKAN TETAPI NASIB SIRUL DAN AZILAH
Mengingati Altantuya juga tidak
dapat mengembalikan beliau ke dunia ini.
Yang menimbulkan pertanyaan ialah
kerana Koperal Sirul Azhar Umar dan Ketua Inspektor Azilah Hadri telah ditolak
permohonan pengampunan mereka dan sudah diputuskan untuk digantung tetapi masih
hidup kerana pergantungan belum dilakukan.
Soalannya ialah, 'apakah tidak
ada hak bersuara, mengeluh dan merayu bagi yang masih hidup dan sedang menunggu
untuk digantung kerana kesalahan membunuh Altantuya 9 tahun yang lalu'.
Dalam hal ini Tun Dr. Mahathir
dan Dato' Seri Najib tidak ada pengalaman. Iaitu pengalaman secara menghadapi
orang yang menunggu saatnya untuk digantung yang sudah terlalu dekat.
Tun Ghazali Shafie dan saya ada
pengalaman. Di waktu saya berpindah dari Kementerian Dalam Negeri, sebagai
Timbalan Menteri, ke Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, sebagai
Menteri penuh kesemua 36 orang banduan yang telah dihukum mati dan sedang
menunggu untuk digantung telah pun selesai digantung. Yang masih tinggal dalam
semua penjara di Malaysia
pada waktu itu adalah mereka yang bukan hukuman gantung sampai mati baginya.
PROSES PENGGANTUNGAN
Proses menggantung seseorang itu
bukanlah mudah. Selain dari tempat menggantung, tali gantung, tukang gantung,
yang semuanya disiapkan sebelum penolakan rayuan oleh raja untuk mendapat
pengampunan maka pihak kementerian perlu mengeluarkan arahan kepada pihak
penjara menjalankan tugas menggantung banduan yang berkenaan.
Selain dari hakim yang
menjatuhkan hukuman gantung pihak yang menandatangani surat arahan kepada penjara untuk digantung
juga menghadapi keadaan trauma dan perlu memperkuatkan hati kerana
tanda-tangannya akan menyebabkan kematian seseorang.
Oleh kerana masa yang ditunggu
untuk seseorang itu digantung terlalu lama maka yang telah dijatuhkan hukuman
gantung, setelah ditolak permohonan pengampunannya, lama kelamaan merasa selesa
seolah-olah pihak penjara sudah terlupa untuk menjalankan tugas.
Saya mengetahui adanya keadaan di
Pakistan di waktu itu di
mana ratusan banduan sedang menunggu untuk dipancung kerana didapati bersalah
oleh mahkamah tetapi mereka selesa kerana tidak ada yang sanggup mengerjakan
tugas memancung di sana .
HARAPAN BANDUAN YANG TIDAK PERNAH PUDAR
Waktu saya melawat penjara di Bath , United
Kingdom , saya telah bertemu dengan beberapa
orang banduan yang dihukum pejara seumur hidup. Jika hukuman itu hanya seumur
hidup ianya biasa mendapat diskaun setelah dipenjarakan beberapa tahun; tetapi
jika hukuman penjara seumur hidup itu dikatakan 'real life imprisonment' maka
berertilah banduan itu akan berada di dalam penjara sampai mati. Ada di antara mereka yang
telah memecahkan rekod Olympic dalam beberapa bidang olahraga seperti baling
lembing, angkat berat dan lompat jauh.
Setelah lama di dalam penjara
saya dapati, melalui perbualan dengan mereka, ada yang pasrah menerima apa yang
ada saja, tetapi ramai juga yang berkhayal atas kemungkinan berlakunya perang
dunia ketiga atau apa juga bala atau bencana alam seperti gempa bumi yang
mungkin memberi harapan untuk mereka keluar bebas dari penjara. Samaada kerana
penjaranya roboh atau khidmat mereka diperlukan dalam perang atau pun ada
perubahan dalam undang-undang negara.
TENAGA BANDUAN UNTUK EKONOMI NEGARA
Di satu masa dulu, di waktu Korea
Selatan masih membangun dan kuasa Syngman Rhee baru dirampas oleh Presiden Park
Chung Hee saya mengetahui ribuan banduan dari Korea Selatan telah digunakan
oleh chaebol Korea Selatan untuk diterbangkan ke Timur Tengah kerana syarikat
chaebol telah menang tender membina lebuhraya di tengah-tengah padang pasir
dengan harga yang cukup murah kerana khidmat banduan yang upahnya cukup rendah
dan menguntungkan chaebol. Saya diberitahu cara begini telah dihentikan apabila
ada protes dari pihak Bangsa-Bangsa Bersatu.
BANTUAN BANDUAN DALAM PEPERANGAN
Di zaman Aceh berperang dengan
Belanda antara masalah yang dihadapi ialah untuk pasukan Mujahiddin Darul Islam
mendapat kelengkapan senjata. Sedangkan bekalan senjata Belanda cukup banyak
terhimpun dengan secukupnya. Pemimpin Aceh, Teungku Muhammad Dawud Beureueh
telah mengadakan mesyuarat dengan komiti ulama untuk membincangkan masalah ini.
Salah seorang dari ulama telah
mencadangkan supaya Aceh mencuri senjata Belanda di garisonnya. Oleh kerana
tidak ada cadangan siapa yang akan menjalankan tugas itu maka ulama yang
mencadangkan ide itu ditugaskan untuk mendirikan pasukan untuk mencuri senjata
Belanda. Setelah ulama itu diberi tugas beberapa lama kemudian satu lagi
mesyuarat komiti perang diadakan untuk berbincang mengenai nasib ulama yang
ditugaskan mencuri senjata tetapi tidak pulang sebegitu lama.
Dalam perjumpaan ketiga komiti perang para Ulama teringat kepada
ajaraan Islam bahawa sesuatu tugas itu perlu diberi kepada yang ahli dalam
bidang berkenaan. Oleh kerana kerja Ulama tidak sama dengan kerja mencuri maka
usaha Ulama untuk mencuri senjata Belanda telah gagal.
Oleh itu komiti perang telah
memutuskan untuk pergi ke penjara di Langsa (dari ingatan saya) dan melepaskan
beberapa orang pencuri yang terganas dan diberi tugas untuk mencuri senjata
dengan tawaran mereka dibebaskan setelah selesai tugas.
Dalam masa 5 jam beberapa truk
senjata Belanda telah diperolehi.
Berertilah harapan para banduan
di penjara Bath
bukanlah sesuatu yang mustahil sama sekali, walaupun jarang, malah tidak dapat
dibayangkan akan berlaku.
HARAPAN BANDUAN YANG TELAH DIHUKUM GANTUNG
Waktu saya 10 tahun dan sedang
belajar di Sekolah Menengah Ibrahim sebelum ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, saya
tinggal di rumah Mak The di Sungai Layar yang tidak jauh dari padang golf Kelab Ingris Sungai Petani. Oleh
kerana pada golf 9 lubang di Sungai Petani terlalu lembut tanahnya maka bola
golf sering tenggelam di dalam Tanah di hujung 'fairway'. Oleh itu bagi budak
budak yang terlalu kecil untuk mengangkat beg kayu golf mereka diberi peluang
menjadi penolong kedi yang menunggu di hujung 'fairway' untuk mengesan di mana
boleh golf itu jatuh.
Lubang ke 9 padang golf Sungai Petani terletak di
belakang Mahkamah Sungai Petani. Pintu penjara tempat banduan menunggu sebelum
di bawa ke pengadilan berdepan dengan lapangan lubang golf ke 9. Selesai
menjadi kedi saya akan terus ke penjara kecil atau 'lock-up' menunggu untuk
bertemu bual dengan banduan. Saya sering membawa sisa rokok yang selebihnya
yang saya sambut bila dilempar kotaknya oleh pemain golf yang girang dengan
kemenangan.
Sekali lagi saya lihat betapa
optimis banduan yang saya temui walaupun kes pembunuhan yang dilakukannya agak
jelas. Dalam satu kes seorang dari mereka mengaku kepada saya bahawa dia telah
membunuh tetapi dia tetap mengharapkan pihak peguam dapat memenangkannya kerana
katanya dia 'terpaksa membunuh' kerana perempuan yang dia rogol itu, pada
mulanya menggalakkan dia bersetubuh tetapi kemudianya mengancam untuk melapor
dirogol.
PENDERITAAN IBU BAPA SEORANG YANG HENDAK DIGANTUNG
Sebuah kes hukuman gantung yang
terdekat di hati saya berlaku kepada anggota keluarga saya 'Af Teungku Mohd
Dahan kerana dituduh mmiliki dadah yang cukup banyak. Sebenarnya 'Af ialah
seorang pemuda yang baik dan pendiam yang diminta oleh kawannya untuk menjaga
rumahnya di Kuala Lumpur sementara kawannya itu
berniaga hingga ke Thailand .
Pada satu hari rumah yang diduduki
'Af telah diserang oleh polis dan di dalam satu bilik didapati ada dadah yang
cukup lumayan banyaknya yang boleh membawa kepada pemiliknya dikenakan hukuman
gantung. 'Af terkejut bila dia tahu isi bilik itu ialah dadah.
Pada mulanya 'Af menyatakan
dia hanya penjaga rumah dan dia tidak tahu bahawa isi bilik yang sentiasa
tertutup itu berisi dadah. Tetapi, setelah diberitahu bahawa hukuman yang pasti
akan dikenakan ke atas kawannya ialah hukuman gantung maka 'Af, setelah
termenung seketika, terus menyatakan bahawa beliaulah pemilik dadah tersebut.
'Af juga tidak memberitahu di
mana boleh didapati kawannya kerana pihak polis juga yakin, setelah bersoal
jawab bahawa 'Af sebenernya tidak mengetahui bisnez yang diusahakan oleh
kawannya.
Di dalam penjara anak saudara 'Af
bernama Zulfadzli telah bertanya pada 'Af kenapa dia mengaku dadah itu miliknya
sedangkan dia tidak tahu apa yang ada dalam dalam bilik itu. 'Af memberitahu
bahawa kawannya itu membayar gaji bulanan padanya dan sebahagian dari gajinya
itu dikirimnya ke kampong untuk ibunya yang sudah tua. 'Af yang agak
'simple-minded' menyatakan jika kawannya ditangkap dan dihukum maka dia akan
hilang pekerjaan dan ibunya tidak boleh dibantu lagi oleh 'Af. Tetapi,jika 'Af
yang digantung maka kawannya boleh berniaga terus dan membantu ibunya setiap
bulan secara terus menerus.
Begitulah kasih 'Af kepada
ibunya.
Banyak wang keluarga kehabisan
untuk membantu 'Af tetapi peguamnya memberitahu agak sukar bagi 'Af untuk
terlepas kerana dia tidak mahu memberitahu di mana kawannya dan dia memang
ingin dijatuhkan hukuman gantung bagi pihak kawannya. Kerana kasih pada ibunya.
Setelah permohonan pengampunan
ditolak dan tarikh penggantungan ditetapkan tiba-tiba ada kes pembunuhan di
Yan, Kedah yang melibatkan kawan 'Af yang berniaga dadah itu. Ternyata apabila
disoal-siasat oleh polis kawan 'Af menempelak pihak polis menyatakan beliau
tidak bersalah dan jika beliau dihukum berertilah pihak polis telah menjalankan
kezaliman sebagaimana yang telah dilakukan oleh polis kepada 'Af kawannya yang
telah dihukum gantung sampai mati. Berertilah kawan 'Af itu tidak mengetahui
bahawa 'Af masih belum digantung kerana menunggu masa kira-kira seminggu lagi.
Dengan cepat pihak keluarga 'Af
dan peguam telah Berjaya membuka balik kes 'Af dan dengan pengakuan kawannya
tadi maka 'Af terlepas dari hukuman dan dibebaskan.
Walau bagaimana pun 'Af tetap
merasa sedih kerana kawannya telah tertangkap dan saya diberitahu, setelah
kembali dari luar negeri 'Af telah meninggal dunia dalam masa sebulan selepas
dibebaskan.
Oleh kerana 'Af adalah anggota
keluarga saya dan bapanya adalah salah seorang dari saksi pernikahan saya,
seorang lagi ialah Sasterawan Negara Dato' Abdullah Hussein, saya dapat merasai
perasaan ibu bapa dan keluarga seseorang yang telah yang telah dihukum gantung.
PENGALAMAN DALAM KENANGAN
Dalam tiga karangn saya dalam
blog ini atas tajuk-tajuk (1) Terima
Kasih Tun Ghazali Shafie pada 3 Februari, 2010 perenggan 16, (2) Tawaran Rasuah
Botak Chin pada 27 Mei, 2014 dan (3) Battle of Waterloo to Langkawi Book
Village pada 18 Oktober, 2014 perengan ke 3, saya telah menceritakan serba
sedikit mengenai pengalaman saya waktu di Kementerian Dalam Negeri sebagai
Timbalan Menteri kepada Menteri Tun Ghazali Shafie.
PROSES PENGGANTUNGAN
Apa yang saya belum cerita ialah
apabila ketikanya datang masanya untuk seseorang itu digantung.
Apabila semua impian, khayalan,
jangkaan, ramalan dan harapan bagi banduan berkenaan sudah tiada lagi.
Apabila tarikh untuk digantung
sudah ditentukan maka pihak berkuasa akan memberitahu kepada keluarga mengenai
tarikh ini. Saya telah mengambil kesempatan untuk bertemu dengan ibu dan bapa
banduan yang hendak digantung. Saya dapati dalam semua kes pihak bapa hanya
berdiam diri mendengar maklumat yang disampaikan, kecuali seorang sahaja yang
menangis.
Di pihak ibu pula semuanya
membantah anaknya hendak digantung walau apa jua bukti yang diketengahkan.
Itulah kasih seorang ibu pada anaknya. Walaupun anaknya terbukti membunuh atau
merogol dulu sebelum membunuh pihak ibu tetap mempertahankan anaknya dan terus
merayu untuk dibebaskan.
Apabila saya bertanya kepada
seorang bapa yang saya dapati menangis itu atas sebab dia menangis sedangkan
dalam pertemuan kami dengan bapa-bapa banduan yang lain tiada seorang pun yang
menangis, dia menjawab ,' saya menangis kerana kasihan pada ibunya.' Berertilah
dia dapat menerima anaknya itu bersalah.
Setelah itu pihak keluarga
dibenarkan bertemu dengan banduan yang hendak digantung.
Sebelum digantung banduan
berkenaan, kalau di Penjara Pudu dahulu, akan dipindah ke bilik akhir di mana
terdapat beberapa buah bilik sahaja (4 atau enam - saya dah lupa). Banduan juga
akan diberi peluang untuk makan makanan kegemarannya untuk dimakan sebagai
makanan terakhir. Lepas itu seorang Ulama akan dibawa untuk bertemu banduan
dengan nasihat dan bacaan-bacaan doa terakhir. Selepas subuh besok paginya si
banduan terus digantung dan mayatnya diturunkan ke bawah lantai bilik gantung
untuk diserahkan kepada keluarga.
NASIB SIRUL DAN AZILAAH
Inilah proses yang akan dilalui
oleh Sirul apabila dia sampai ke Malaysia . Nasib Azilah pula
bergantung kepada apa jadi kepada Sirul.
Saya sebenarnya tidak mengikuti
kes Sirul ini waktu di pengadilan. Mula-mula ianya dihukum, lepas itu
dilepaskan dan lepas itu dihukum gantung.
Apabila selesai Mahkamah Terakhir
di Malaysia memutuskan Sirul dan Azilah dihukum gantung sampai mati saya
terbaca penulisan Abdul Razak Baginda secara kebetulan. Di dalamnya dia
menyebut bahawa ada pihak yang patut dipanggil sebagai saksi telah tidak
dipanggil. Yang dimaksudkan mungkin bosnya Sirul.
Nampaklah pada saya yang bukan
ahli undang-undang bahawa pendakwa hanya berminat membuktikan siapa pembunuh
dan tidak berminat mencari motif pembunuhan dan siapa yang mengarah untuk Sirul
membunuh. Tidak mungkin Sirul dan Azilah membunuh seorang perempuan yang tidak
pun dikenalinya.
Nampaknya Dato' Seri Najib juga
tidak berminat mencari motif pembunuhan, walaupun yang membunuh itu pegawainya.
Beliau berpuas hati kerana yang membunuh akan digantung dan mungkin keluarga
Altantuya juga puas hati kerana 'Wang itu Raja' dan pihak keluarganya boleh
berpuas hati jika mendapat 'sedikit' saguhati untuk belanja persaraan anaknya
dan sebagainya.
Tetapi manusia seperti saya tak
dapat menerima alasan sedemikian.
Saya percaya semua manusia yang
siuman, berakal dan berperikemanusiaan ingin tahu motif dan cerita penuh yang
sebenarnya.
Kita bangga apabila polis atau
tentera membunuh pengganas komunis yang ingin menawan negara kita dengan cara
berdarah dan tidak demokratik. Kita juga bangga dengan pasukan polis kita yang
tidak akan bertindak untuk membunuh kecuali setelah pihak musuh sudah memulakan
rusuhan ke atas mereka yang memerlukan mereka membunuh senjata. Kita bernasib
baik kerana ada pekerja penjara yang berani menjalankan tugas menggantung
penjenayah yang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh pengadilan.
Tidak mungkin seseorang tukang
gantung yang profesyenal akan bertindak untuk menggantung seseorang dengan sesuka
hatinya sahaja, semata-mata keraja kerjanya sebagai tukang gantung.
Kita juga tahu bahawa penjaga
keselamatan, yang membawa senjata, berhak membunuh jika yang dibunuh itu
menjadi ancaman kepada keselamatan negara dengan nyata dan berbahaya. Penjaga
pintu bank tidak mungkin menembak sesuka hatinya.
Keselamatan apa dan siapa atau
negara manakah, atau keluarga siapa, yang diancam oleh Altantuya sehingga Sirul
dan Azilah diarah membunuhnya. Adakah mungkin mereka membunuh sesuka hati
mereka sahaja? Apakah mereka gila atau tidak siuman? Ataupun, adakah sesiapa
yang mengarah mereka untuk berbuat demikian sehingga mereka tidak boleh
membantahnya. Apakah setelah dibunuh perlu dibom dengan kejam sehingga hilang
rupa? Apakah dosa Altantuya yang menyebabkan ada orang yang sanggup menyebabkan
Sirul dan Azilah menjadi pembunuh tanpa izin dan tanpa arahan? Benarkah begitu?
Ibu, bapa, keluarga dan rakyat Malaysia ingin
mengetahui jawapannya.
APAKAH SOALAN INI PUN TAK BOLEH
TANYA?
Posted by Sanusi Junid at 11:18
PM
No comments:
Post a Comment