Tuesday, 23 June 2015

PESANAN KETUA KEPADA HULUBALANG-HULUBALANGNYA SENENTIASA BERTAKWA



Surat Terbuka Kepada Ahli PAS : Dilema 'Aqidah Dan Pendekatan

Diterbitkan: 23 Jun 2015           Ditulis oleh ABDUL HADI AWANG

Menemui semua ahli PAS semoga berada dalam limpahan rahmat Allah SWT,

Setiap pengikut perjuangan Islam wajib menyedari dan faham, bahawa ada dua aspek penting dalam perjalanan perjuangan Islam yang sangat mencabar. Gagalnya kita memahaminya, boleh menyebabkan ada kalangan yang kecundang atau tercicir di tengah jalan dalam perjalanan perjuangan ini, kerana tidak menghayatinya dengan betul. Kedua-dua aspek tersebut mewajibkan hidayah, melalui ilmu, kebijaksanaan dan terpentingnya memohon petunjuk Allah dengan khusyu’ setiap rakaat salat dan bila-bila masa sahaja.


Pertama: ‘Aqidah perjuangan; dan

Kedua: Pendekatan yang dilakukan, beramal, dakwah dan melaksanakan Islam bagi membawa rahmatnya kepada seluruh manusia.

Kedua-dua aspek ini dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bersama para sahabatnya R.A. yang setia bersamanya dengan petunjuk Allah daripada al-Quran, dalam semua keadaan. Ianya ditunjukkan dalam Marhalah Makiyyah dan Madaniyyah, iaitu di masa lemah dan kuat, di masa belum wujudnya negara dan setelah tegaknya negara.


Pertama

Beristiqamah bersama aqidah perjuangan Islam adalah sangat berbeza dengan perjuangan yang hanya bergantung kepada ideologi ciptaan manusia.

Ianya menuntut kita tetap bersama Islam dengan keimanan kepada Allah dengan segala nama dan sifatnya yang mulia. Islam adalah benar, rahmat dan adil, dalam segala hukumnya yang wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Percaya kepada janji Allah daripada dunia sehingga akhirat, walau pun perkaranya ghaib dan tidak dapat dicapai oleh akal dan pancaindera.

Perkara aqidah adalah tetap dan tidak berubah dan tidak boleh diubah; walau apapun dugaannya.


Kedua

Aspek ini menuntut kita beristiqamah melaksanakan pendekatan yang dizinkan Allah, halal dan haramnya adalah dengan cara yang diizinkan oleh Allah, berhubungan dengan bukan Islam dan musuh dengan cara yang diizinkan Allah juga. Walaupun hukumnya dari segi aqidah tegas dan tetap.

Sirah Nabawiyyah melaporkan pendekatan Rasulullah S.A.W. menerima perlindungan keluarganya yang dipimpin oleh Abu Tolib di atas semangat kekeluargaan tanpa menerima Islamnya, menerima pembelaan salah seorang pemimpin kaumnya Mut’im bin ‘Adi yang menentang kezaliman walaupun dia bukan Islam, meminta khidmat petunjuk jalan berhijrah ke Madinah daripada seorang bukan Islam bernama Abdullah bin ‘Uraiqit dengan keimanan menegakkan negara di Madinah dan menjanjikan hadiah gelang emas kerajaan Parsi kepada Suraqah bin Malik, musuh yang datang untuk membunuhnya di tengah jalan.

Hakikatnya ialah, apabila Abu Tolib dan lain-lain menawarkan keamanan dengan meninggalkan aqidah, maka ianya ditolak dengan keras. Apabila pemimpin Makkah menawarkan pertabalan menjadi raja yang berkuasa dan tawaran harta kekayaan dengan syarat meninggalkan aqidah perjuangan maka ditolak dan bersedia untuk mati kerana mempertahan aqidah dan perjuangannya.

Sikap yang sama ditunjukkan oleh semua para sahabat R.A. ketika berada di-Makkah, sehingga bersama melakukan Hijrah yang menghasilkan kejayaan. Maka bersabdalah Rasulullah S.A.W.:


“Sesungguhnya semua amalan itu mestilah mengikut niatnya, dan setiap orang akan menerima ganjaran dan akibat mengikut niat masing-masing. Sesiapa yang melakukan hijrah kerana Allah dan Rasul, nescaya dia mendapat fadilat hijrah kerana Allah dan Rasul. Sesiapa yang niat hijrahnya kerana dunia, atau seperti kerana mengikut wanita yang hendak dinikahinya maka terimalah dia mengikut naitnya itu.”

Hadis ini adalah bersempena dengan peristiwa Hijrah dan menjadi dalil kepada semua amalan seseorang. Hijrah adalah pendekatan, wujudnya aspek “niat” adalah menunjukkan bahawa urusan hijrah ini mempunyai “aqidahnya”. Allah melakukan penapisan dunia sebelum penapisan akhirat.

Apabila tegaknya negara di Madinah, Allah secara tegas menunjukkan jalan istiqamah di antara Aqidah dan pendekatan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, dalam keadaan yang lebih mencabar dalam masyarakat majmuk berbagai agama, kaum dan sikap. Islam, bukan Islam dan munafik. Allah berfirman:


 A007
A008
A009


“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. 

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. 

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” ( Al-Quran, surah Al-Mumtahanah ayat 7-9 )


Ayat-ayat al-Quran tersebut bermaksud bahawa Allah menunjukkan kepada kita supaya berlaku baik kasih sayang terhadap seluruh manusia mengikut sempadannya. Maka Rasulullah S.A.W, menjalinkan segala pendekatan hubungan dengan kalangan bukan Islam, secara bertahaluf, berta’awun, berdamai, memaaf kesalahan dan lain-lain.

Apabila berlakunya sikap bermusuh yang mahu merosakkan Aqidah maka dibatalkan segala bentuk hubungan walupun terhadap kaumnya di Makkah. Menunjukkan banyaknya keterbukaan dalam perkara pendekatan dan sangat tegas dalam perkara Aqidah perjuangan.

Maka setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jama’ah yang ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat beraqidah yang teguh bersama konsep pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.

Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.

Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakkal kepada Allah.

ABDUL HADI AWANG
23 Jun 2015







No comments:

Post a Comment