Friday, 10 July 2015

BANTAHAN PENGAMBILAN 1.5 PEKERJA WARGA BANGLADESH



Bantahan Pengambilan 1.5 Pekerja Warga Bangladesh

Diterbitkan: 29 Jun 2015          
Ditulis oleh DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

       1. Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) membantah keputusan Kerajaan untuk membawa masuk sejumlah 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke negara ini seperti yang diumumkan oleh DS Zahid Hamidi pada hari Khamis lepas.

2.  Keberadaan 6.7 juta orang warga asing dengan hanya 2.1 juta daripadanya memegang Pas Lawatan Kerja Sementara di negara ini (merujuk kenyataan Menteri Sumber Manusia pada November 2014) jika ditambah pula dengan kemasukan baru berjumlah 1.5 juta warga Bangladesh sudah pasti akan memberi implikasi kurang baik terhadap struktur sosial dan pemilikan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan.

3.    Dalam keadaan kadar pengangguran rakyat Malaysia meningkat kepada 3.2% pada awal tahun ini, amat tidak wajar untuk keputusan ini dilaksanakan. Sepatutnya Kerajaan memantapkan polisi untuk menambah bilangan pekerja tempatan sesuai dengan penyediaan peluang-peluang pekerjaan seperti yang telah diumum oleh YAB Perdana Menteri dalam Bajet 2015 dan RMK11.

4.   Pengambilan masuk warga asing ini juga memperlihatkan seolah-olah Kerajaan juga tidak yakin dengan agenda-agenda yang telah digariskan dalam “The National Graduate Employability Blueprint (GEB) 2012-2017” boleh berjaya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk memenuhi permintaan ekonomi sedangkan sejumlah dana telahpun diperuntukkan untuknya.

5.     Kejadian jenayah melibatkan warga asing juga banyak berlaku sehingga mengundang rasa terancam warga tempatan walaupun ia dikatakan kurang 10% daripada keseluruhan kes jenayah yang berlaku. Penularan penyakit berjangkit seperti malaria dan tibi juga sangat membimbangkan.

6.    Oleh itu, DUPP mendesak supaya perjanjian yang akan ditandatangani antara Kuala Lumpur dan Dhaka yang dijadualkan berlangsung pada Julai akan datang dibatalkan sehinggalah perkara ini dibawa dan dibahas dengan teliti di Parlimen seperti yang didesak oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam sidang yang akan datang.

7.    Kenyataan DS Zahid Hamidi semalam yang mengatakan bahawa Kerajaan akan membawa keluar dahulu 2 juta pendatang asing yang bekerja secara haram di negara ini sebelum membawa masuk 1.5 warga Bagladesh untuk bekerja secara sah di negara ini dilihat tidak lebih daripada kenyataan untuk menyelamatkan diri. Sedangkan umum mengetahui bahawa isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak pernah selesai pun sebelum ini apatah lagi untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

8.  DUPP juga ingin berkongsi kebimbangan kemungkinan bahawa pengumuman pengambilan masuk 1.5 juta warga Bangladesh ke Malaysia yang disusuli dengan pengumuman keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan daripada tarikh yang dijadualkan pada tahun hadapan adalah sebagai sebahagian daripada persiapan UMNO/BN untuk menghadapi dan memenangi PRU14 akan datang.


Sekian.


DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)
Tarikh : 29 Jun 2015 / 12 Ramadan 1436H









No comments:

Post a Comment