Diterbitkan: 29 Jun 2015
Ditulis oleh DATO' DR. MOHD
KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
1. Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) membantah keputusan
Kerajaan untuk membawa masuk sejumlah 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke
negara ini seperti yang diumumkan oleh DS Zahid Hamidi pada hari Khamis lepas.
2. Keberadaan 6.7 juta orang warga asing dengan hanya 2.1
juta daripadanya memegang Pas Lawatan Kerja Sementara di negara ini (merujuk
kenyataan Menteri Sumber Manusia pada November 2014) jika ditambah pula dengan
kemasukan baru berjumlah 1.5 juta warga Bangladesh sudah pasti akan memberi
implikasi kurang baik terhadap struktur sosial dan pemilikan pekerjaan dalam
kalangan rakyat tempatan.
3. Dalam keadaan kadar pengangguran rakyat Malaysia
meningkat kepada 3.2% pada awal tahun ini, amat tidak wajar untuk keputusan ini
dilaksanakan. Sepatutnya Kerajaan memantapkan polisi untuk menambah bilangan
pekerja tempatan sesuai dengan penyediaan peluang-peluang pekerjaan seperti
yang telah diumum oleh YAB Perdana Menteri dalam Bajet 2015 dan RMK11.
4. Pengambilan masuk warga asing ini juga memperlihatkan
seolah-olah Kerajaan juga tidak yakin dengan agenda-agenda yang telah
digariskan dalam “The National Graduate Employability Blueprint (GEB)
2012-2017” boleh berjaya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk
memenuhi permintaan ekonomi sedangkan sejumlah dana telahpun diperuntukkan
untuknya.
5. Kejadian jenayah melibatkan warga asing juga banyak
berlaku sehingga mengundang rasa terancam warga tempatan walaupun ia dikatakan
kurang 10% daripada keseluruhan kes jenayah yang berlaku. Penularan penyakit
berjangkit seperti malaria dan tibi juga sangat membimbangkan.
6. Oleh itu, DUPP mendesak supaya perjanjian yang akan
ditandatangani antara Kuala Lumpur dan Dhaka yang dijadualkan berlangsung pada
Julai akan datang dibatalkan sehinggalah perkara ini dibawa dan dibahas dengan
teliti di Parlimen seperti yang didesak oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
(MTUC) dalam sidang yang akan datang.
7. Kenyataan DS Zahid Hamidi semalam yang mengatakan
bahawa Kerajaan akan membawa keluar dahulu 2 juta pendatang asing yang bekerja
secara haram di negara ini sebelum membawa masuk 1.5 warga Bagladesh untuk
bekerja secara sah di negara ini dilihat tidak lebih daripada kenyataan untuk
menyelamatkan diri. Sedangkan umum mengetahui bahawa isu kebanjiran pendatang
asing di negara ini tidak pernah selesai pun sebelum ini apatah lagi untuk
diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
8. DUPP juga ingin berkongsi kebimbangan kemungkinan
bahawa pengumuman pengambilan masuk 1.5 juta warga Bangladesh ke Malaysia yang
disusuli dengan pengumuman keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti selama
18 bulan daripada tarikh yang dijadualkan pada tahun hadapan adalah sebagai
sebahagian daripada persiapan UMNO/BN untuk menghadapi dan memenangi PRU14 akan
datang.
Sekian.
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS
Pusat (DUPP)
Tarikh : 29 Jun 2015 / 12 Ramadan
1436H
No comments:
Post a Comment