Monday, 4 January 2016

PERANG DUNIA AKAN SAMPAI



Perang dunia akan sampai
Hishamuddin Rais      Hari ini, 10:34 pagi      Hari ini, 1:01 petang

 
Dunia hari ini semakin kacau bilau. Di Malaysia, kita semua sedang menjadi saksi. Kita sedang melihat gambar mangsa ledakan, gambar mangsa keganasan, mangsa pelarian perang, mangsa pembunuhan, gambar kemusnahan. Imej dan gambar muncul dari TV, dari YouTube, dari Facebook. Gambar dan imej ini sedang memaksa kita menjadi saksi.

Kita tidak ada pilihan. Kita, warga dunia yang memiliki kesedaran dan sifat kemanusiaan, sedang menjadi saksi terhadap apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita.

Perang sedang berjalan di Afghanistan, Pakistan, Iraq, Syria, Lubnan, Yaman, Somalia, Libya, Palestin, Kashmir dan Mali. Sila baca sekali lagi nama negara-negara yang saya tulis. Semuanya negara yang diduduki oleh penganut agama Islam. Sebahagian besarnya negara Arab.


Apa sebenarnya sedang berlaku?

Saya membesar di zaman peralihan – ketika kuasa British sedang melancarkan Perang Kolonial ke atas warga Tanah Melayu. Ini berlaku ketika Pasukan Pembebasan Rakyat Malaya sedang bermati-matian melawan kuasa penjajah British untuk membebaskan dan memerdekakan Tanah Melayu. Ini berlaku lebih dari lima puluh tahun dahulu.

Dari ingatan saya di zaman kanak-kanak ini – Perang Kolonial tahun 50-an dahulu tidak seperti apa yang sedang saya saksikan sekarang. Hari ini dengan bantuan teknologi, dengan alatan perhubungan yang canggih – kamu, kita dan saya – tidak dapat melarikan diri.

Kita semua wajib menjadi saksi melihat kemusnahan dan kehancuran. Saya bandingkan Perang Kolonial menghalau British dahulu sama seperti menghalau babi dengan lembing. Manakala perang hari ini sama saperti menyerang semut dengan M16.

Maka kita akan bertanya. Apa sebenarnya sedang berlaku? Apa sebenarnya semua ini?

Secara jujur saya nyatakan di sini bahawa apa yang saya tulis ini adalah hasil dari pembacaan, hasil dari pengamatan saya. Berita dan maklumat yang bersepah-sepah dalam Internet saya kumpulkan untuk dijadikan satu peta besar.

Peta ini akhirnya menjadi satu penceritaan atau naratif induk. Cerita induk inilah yang kadang kala terlepas dari pandangan mata. Kita terlalai oleh kisah sampingan yang sengaja dipaparkan untuk mengaburi pandangan.

Sebenarnya semua berita ini kait mengait. Semuanya ada hubungan antara satu sama lain. Kita melihat berita ini terpencar-pencar, bersepah-sepah di sana sini, tetapi hakikatnya semua berita ini terpusat dalam satu naratif induk.

Perang ialah lanjutan dari perbincangan yang telah gagal. Perang bertujuan untuk menundukkan satu kumpulan, satu wilayah, satu negeri atau satu bangsa.

Perang bertujuan untuk menawan wilayah, untuk menawan hamba abdi, untuk mencari dan membuka pasaran, untuk merampas harta kekayaan, untuk memiliki bahan-bahan mentah. Hukum perang ini dari zaman berzaman tidak pernah berubah-ubah.

Belanda dan Portugis datang ke Alam Melayu untuk menawan ladang dan pasaran rempah rampai. British datang untuk menawan damar, emas dan bijih.

Justeru, jika Iraq dan Libya hanya mengekspot petai dan budu, sampai hari ini Saddam dan Gaddafi masih hidup.

Hakikatnya perang adalah perebutan punca ekonomi. Selagi dunia memakai sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maka selagi itulah dunia akan berhadapan dengan bencana perang.

Pada 24 November 2015 yang lalu jet pejuang F-16 Turki menembak jatuh sebuah kapal terbang pengebom Sukhoi Su-24 milik Rusia.

Turki adalah anggota perjanjian persenjataan NATO yang dikepalai oleh Amerika. Negara ini menuduh Rusia mencabuli ruang udaranya.

Pesawat Su-24 pada ketika itu sedang mengebom ISIS. Presiden Vladimir Putin menafikan Rusia mencabuli ruang udara Turki. Putin telah menuduh Presiden Turki Recep Tayyip Edorgan berbohong kerana Su-24 ini tidak melintasi sempadan Turki.

Sebelum ini pada 7 November pesawat udara Airbus A321 milik syarikat penerbangan Rusia telah meledak di udara. Seramai 224 warga Rusia termasuk anak kapal yang pulang dari bercuti di Mesir telah tewas. Bahan bukti menunjukkan pesawat ini dikhianati dengan bom jangka.

Kumpulan ISIS mengakui bahawa bom jangka telah dipasang dalam pesawat sebagai jawapan balas kepada Rusia yang telah memulakan kempen mengebom pangkalan ISIS di Syria.

Untuk saya, semua ini adalah awan mendung yang akan membawa perang yang lebih besar. Berita-berita ini pada hemat saya adalah rintik-rintik perang yang akan meledak.

Semenjak meledaknya WTC 9/11 dunia kita amat jauh berubah. Atas nama Perang Melawan Keganasan (PMK), banyak negara dalam dunia ini telah memperkenalkan hukum dan undang-udang baru. Undang-undang ini semuanya dikatakan untuk PMK – untuk menjaga keselamatan rakyat.

Nama dan bunyi undang-udang ini cukup molek. Di Amerika ada Akta Patriot, Undang-Undang Keselamatan Tanah Air, di Malaysia kita ada Sosma, kita ada POCA, POTA dan paling terbaru MKN – Majlis Keselamatan Negara. Semenjak peristiwa 9/11, UK, Perancis, Australia dan Itali semakin galak memperkenalkan akta dan undang-undang baru atas nama keselamatan dan untuk menumpas keganasan.

Pada hemat saya semua undang-undang yang diwujudkan atas nama keselamatan orang ramai, atas nama PMK di pelbagai negara sebagai satu persediaan untuk menghadapi perang yang lebih besar.

Perang yang sedang berlaku di Timur Tengah pada ketika ini saya panggil perang tempatan. Ini kerana ianya berlaku di satu tempat atau wilayah. perang tempatan ini akan merebak dan memaksa kita semua berhadapan dengan kedatangan Perang Dunia Ketiga. Awan mendung dan rintik-rintik ini adalah petanda perang dunia akan sampai bila-bila masa sahaja.

Warga dunia, terutama di Amerika Utara, Eropah dan negara Nordic di Utara Eropah memiliki gaya hidup bebas dan demokratik. Kebebasan ini sedikit demi sedikit sedang dilupuskan. Undang-undang, akta dan hukum-hakam yang disedikan untuk PMK sebenarnya sedang mengawal warga dan orang ramai.

Hukum-hakam ini dikatakan akan memperkukuh demokrasi tetapi hakikatnya hukum-hukum ini bertentang dengan roh dan gaya hidup demokratik. Hukum-hakam ini sedang melanggar hak asasi umat manusia yang paling asas: Bebas dari ancaman perang dan bebas dari ketakutan.


Kenapa warga perlu dikawal sekarang?

Jangan silap faham, elit politik dunia, elit ekonomi dunia, kaum pemodal antarabangsa dan tuan pemilik media dunia telah lama sedar bahawa sistem ekonomi kapitalis yang sedia wujud hari ini telah sampai ke tahap amat bahaya.

Krisis ekonomi yang melanda dunia pada bulan September 2008 dahulu masih lagi belum dapat ditangani. Kini krisis baru akan muncul.


Dunia kapitalis sedang berhadapan dengan pelbagai krisis yang maha besar.

Pertama: Ekonomi China yang selama dua dekad ini menjadi penjana ekonomi dunia sedang menguncup. Permintaan bahan mentah dari China mengendur maka harga bahan bakar petroleum merudum.

Kedua: Ekonomi Amerika Syarikat – ekonomi kapitalis terulung – sedang berhadapan dengan hutang yang bertimbun-timbun.

Ketiga: Nilai dolar semakin susut. Dolar semakin tidak diyakini sebagai mata wang tukaran untuk jual beli.

Keempat: Muncul pesaing baru dalam ekonomi dunia. Negara BRIC – Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan Iran – sedang menandingi kuasa imperial Amerika.


Mengikut fakta sejarah. Mengikut apa yang telah berlaku dahulu. Mengikut hukum ekonomi kapitalis, apabila sistem kapitalis dalam gawat maka jalan keluar ialah perang.

Jelas kelihatan bahawa perang tempatan di Timur Tengah pada ketika ini tidak akan menyelesaikan kekalutan sistem ekonomi kapitalis yang sedia ada.

Perang tempatan ini diwujudkan untuk mengolah persetujuan warga dunia bahawa bahaya hari ini bukan datang dari sistem ekonomi kapitalis tetapi dari Islam.

Ketika Perang Dingin berlarutan antara USSR dengan USA dahulu, yang menjadi musuh dunia ialah sistem ekonomi sosialis dan komunis dari blok China, Vietnam, Korea Utara, Rusia, Cuba dan Eropah Timur.

Sosialis dan Komunis telah digantikan dengan Islam. Agama Islam sedang dijadikan musuh utama rakyat dunia. Secara terancang Islam diperlihatkan sebagai pembawa keganasan. Islam digambarkan sebagai pembawa huru-hara dalam dunia kita hari ini.

Apa yang berlaku sekarang ini bukan datang dengan sendiri. Semua ini dirancang. Ada ahli fikir, ada kertas kerja, ada idealog, ada lembaga kumpulan pemikir yang kerja mereka hanya berfikir, merancang dan melakar strategi untuk memastikan kuasa hegemoni Amerika Syarikat dan sistem ekonomi kapitalis akan terus berkuasa.

Di Amerika ada lembaga seperti Rand Coporation, Brooking Institution, American Enterprise Institute atau Council on Foreign Relation. Di UK pula ada Chatham House, ada Center for Policy Study. Semua ini adalah lembaga yang dianggotai oleh para pemikir prokapitalis. Akidah dan cita-cita lembaga ini ialah untuk memastikan sistem kapitalis ini selamat.

Perang tempatan yang sedang berlangsung sekarang kesemuanya berlaku dalam negara yang penduduknya penganut agama Islam. Islam dipilih untuk menggantikan sosialisme dan komunis bukan secara tidak sengaja.

Untuk membolehkan sesebuah daulah terus berkuasa, wajib ada musuh luaran agar rakyat dan pengundi akan terus dapat ditakut-takutkan. Islam sedang dijadikan musuh dan hantu untuk terus menakut-nakut rakyat dunia.

Orang ramai yang takut pasti akan mencari perlindungan. Perlindungan hanya datang dari kerajaan yang memiliki undang-undang dan hukum-hakam saperti ISA, SOSMA atau Patriot Act.

Wajib saya nyatakan di sini, pada tahun 1992 Samuel P Huntington seorang ahli sains politik telah menulis The Clash of Civilisation dalam majalah Foreign Affiars.

Tulisan ini mengajukan bahawa sesudah Perang Dingin tamat maka agama dan identiti akan menjadi induk perbalahan. Artikel ini akhirnya menjadi sebuah buku dengan nama yang sama terbit pada tahun 1996.

Hari ini garis politik kanan – agama dan identiti sedang menggantikan Perang Dingin. Islam sebagai musuh telah difikirkan seawal 1992 lagi. Saya cukup yakin pemikir ini juga sedang merancang cara terbaik untuk menyelamatkan sistem ekonomi kapitalis yang sedang nazak ini.


Perang Dunia Ketiga pasti dalam agenda.

HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.












No comments:

Post a Comment