NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Sunday, 5 December 2010

Hijrah Mengajak Kepada Perubahan



KEMAHIRAN dalam merangka, merancang dan melaksanakan sesuatu misi adalah yang amat diperlukan dalam suatu organisasi terutamanya yang melibatkan kepentingan umat. Tanpa melalui perancangan biasanya misi yang hendak dicapai akan terbantut dan terabai atau mati di perjalanan. Tidak mungkin sesuatu visi yang besar dapat dicapai melalui perlakuan secara spontan. Suatu yang mustahil. Golongan yang berjaya dalam bidang masing-masing adalah mereka yang melalui pelbagai tribulasi kehidupan.

Bermacam-macam cara dan kaedah yang digunakan untuk mencapai matlamat. Dalam ajaran Islam pun kita tidak diajar mengharapkan sesuatu datang secara bergolek, dihantar melalui utusan kerana suatu jasa yang telah dilakukan, terjumpa suatu yang bernilai harganya dan/atau seperti kisah penebang pokok dengan jin yang memberi  wang selepas bangun dari tidur. Tidak. Tidak. Tidak.

Zaman ini adalah untuk mereka yang hidup di zamannya. Peristiwa yang lepas adalah guru yang terbaik untuk dijadikan contoh teladan kepada kita. Ilmu yang bermanfaat. Tips-tips yang kita lupakan akan merugikan jika sahabat-sahabat yang ramai tidak mengingatkan umat ini.

Tahun 1432H/2010M  wajar dimanfaatkan, dari segi menentukan masa, membahagikan waktu, menggunakannya  secara  selesa, menghabiskan  setiap detik dikorbankan untuk kepentingan Islam dan bukan  berlalu  dengan  sia-sia,  kerana musuh-musuh Islam tidak pernah luput walau sejenak pun  dalam mengadakan persiapan dan pembinaan kuasa untuk mencari peluang dan ruang  menyerang Islam dan pengganutnya.

Kita tidak mungkin mencapai  sasaran/target  sebagaimana  yang  diharapkan  selagi  ia  tidak difokuskan  kepada  bidang-bidang  yang   dikendalikan   seperti   penumpuan   dalam  bidang pendidikan,  bidang  angkasa  lepas,  bidang  sains teknologi,  bidang  politik,  bidang  jihad,  bidang sosial,   bidang    kebajikan   dan   pelbagai   bidang  lagi.   Itupun   jika   didikan dipertingkatkan  kepada mentaliti ahli-ahli pertubuhan/organisasi/persatuan yang mampu untuk meletakkan  semua  urusan  menurut   tempatnya.   Pemeliharaan    semua   itu  bergantung kepada  golongan  Islam  yang  mengharapkan Allah dan manakala golongan kafir mengharapkan duit.

Sempena  Maulidur  Rasul  tahun  ini diungkapkan  semula  secara  ringkas tetapi jelas tentang sirah perjalanan Rasulullah s.a.w. ke arah menubuhkan sebuah pemerintahan.  Kita yang diberi akal fikiran sewajarnya melihat ada tanda-tanda  dan  unsur-unsur  pengaturan rapi, sistematik, terancang dan dirancang  oleh  Rasulullah s.a.w  bersama Abu Bakar  As-Siddiq r.a., peristiwa hijrah mereka daripada Mekah ke Madinah di mana terlihat di sana beberapa langkah-langkah penyusunan  kerja  yang  kemas  yang  patut  dicontohi,  dikaji,  diambil   perhatian,  ditekankan kepada ahli dan ditatang dengan kukuh.

Berikut adalah beberapa unsur-unsur yang wajar diperhatikan:-

Ali mengalih perhatian dan melengah-lengahkan: Rasulullah  s.a.w.  meminta  kepada  Ali  bin  Abu Talib r.a. supaya mengambil kedudukan di tempat Rasul s.a.w. agar  golongan  musyrikin  menjadi  serba salah memikirkan tentangnya, kekeliruan yang nyata sedang pada waktu tersebut Rasulullah s.a.w telah meninggalkan Mekah dan telah sampai di Gua Thaur.

Menentukan Strategi: Baginda Rasulullah s.a.w. memilih Gua Thaur yang terletak bertentangan arah ke Madinah (bergerak ke arah selatan). Golongan Musyrikin akan bertambah serba salah memikirkannya kerana mereka mengetahui bahawa tentunya Rasulullah s.a.w sudah berpindah ke Madinah.

Abdullah penghubung hal ehwal semasa: Dalam tempoh yang sama Baginda s.a.w. telah menugaskan Abdullah bin Abu Bakar r.a. supaya membawa perkhabaran tentang perkembangan yang sedang berlaku di Mekah.

Asma menyediakan keperluan logistik: Asma binti Abu Bakar r.a. diamanahkan menyediakan dan menghantar makanan.

Amir merintis dan menghilangkan jejak pergerakan: Amir bin Fuhairah r.a. ditugaskan mengembala kambing-kambing sekitar Gua Thaur di siang hari dan bermalam di sekitarnya agar Baginda s.a.w. dan Abu Bakar As-Siddiq r.a. dapat meminum susu dan kesan tapak kaki mereka dihapuskan oleh kambing-kambing yang bergerak.

Abdullah penunjuk jalan: Abdullah bin Uriqat seorang musyrikin diupah menjadi penunjuk jalan menuju Madinah.

Sahabat-sahabat siapsiaga: Sahabat-sahabat senentiasa mengikuti perkembangan hijrah Rasulullah s.a.w. dari semasa ke semasa.

Sahabat-sahabat di Madinah senentiasa menunggu ketibaan Rasulullah s.a.w.

Sahabat-sahabat di seluruh jazirah Arab senentiasa bersiapsiaga setiapa masa.

Sokongan dan doa masyarakat: Umat Islam senentiasa berdoa untuk kejayaan umat Islam dan keamanan sejagat.


Sila layari pautan berkaitan: http://perkimpantai.blogspot.com/l

Wednesday, 3 November 2010

Yusuf disayangi


Zulaikha berjalan-jalan di anjung istana. Menoleh ke sana sini. Seorang hamba segera menghampirinya.

“Apa yang puan mahu?” Tanya hamba itu tanpa mengangkat kepalanya.

“Mana Yusuf?” Tanya Zulaikha kembali.

“Yusuf telah keluar ke pasar, puan!” jawab hamba itu.

Zulaikha seorang wanita lembut. Hidup dalam kemewahan dan kekayaan. Menjadi isteri kesayangan seorang pemimpin Mesir. Ketua Menteri. Sejak melihat Yusuf, beliau tidak sanggup berpisah dengannya lagi. Yusuf adalah kesayangannya.

Yusuf datang berlari-lari kearah Zulaikha. Wajahnya bercahaya. Hati Zulaikha kembali tenang, sebaik sahaja melihat Yusuf.

“Ke mana Yusuf pergi?”

“Ke pasar,” Yusuf memberitahu Zulaikha sambil menunjukkan barang yang dibelinya.

Zulaikha membelek-beleknya.

“Ini adalah benda suci yang diletakkan di atas hati mayat.”

“Apa yang tertulis di atasnya?”

“Wahai hati janganlah engkau menjadi saksi kepadaku.”

“Bila hati boleh menjadi saksi ke atasnya?”

“Selepas mati, ketika mereka dihukum di hadapan mahkamah Azris, Tuhan kepada orang yang telah mati.”

Zulaikha mengajak Yusuf duduk di sampingnya. Zulaikha kemudiannya mengambil sehelai kertas yang diperbuat daripada pokok bardi. Di atas kertas tersebut terlukis gambaran sebuah mahkamah dan kata-kata yang menyatakan kebersihan orang yang mati.

“Bukankah ini penebus dosa bagi setiap orang?”

Zulaikha hanya tersenyum.

“Setiap orang yang bersalah walau bagaimanapun besar kesalahannya, boleh membeli kertas ini. Apabila mereka menulis nama mereka di atasnya, mereka akan kembali bersih daripada segala dosa.”

Zulaikha merenung Yusuf. Perasaan sayang bercampur-baur dengan rasa ghairah yang semakin menggetarkan jiwanya. Yusuf tunduk malu menentang mata Zulaikha.

“Apakah agama yang dianuti oleh orang Mesir ini mempercayai bahawa hanya mereka sahaja bangsa manusia?” Tanya Yusuf sambil memalingkan wajahnya.

Zulaikha menghampirinya. Lengannya dihulur memeluk Yusuf dari belakang. Kertas itu dibuka.

“Ini adalah gambar mahkamah Azris. Di tengah-tengahnya ialah timbangan. Tuhan Anubis yang berkepala serigala akan memusingkan timbangan dari kanan. Di belakangnya ialah Tuhan Tahut,  Tuhan bijaksana  tuhan berkepala anak lembu (Abis). Tugasnya ialah mencatat hukum yang diputuskan oleh mahkamah. Ini,  di atas bahagian kanan ini ialah multahamah. Bentuknya bujur. Ia menunggu kedatangan roh yang jahat apabila mahkamah mengeluarkan hukum menghina ke atas roh itu. Ini! Yang terletak di kiri neraca dipanggil al-qadar. Yang di belakang ialah tuhan-tuhan kelahiran.” Zulaikah meletakkan satu di tapak tangan kanannya.

“Apa maksud bulu ini?”

“Lambang kebenaran dan keadilan.”

“Apakah makna tulisan di atas neraca timbangan ini?”

“Ia adalah dosa-dosa mayat agar hatinya tidak mengkhianatinya.”

Zulaikha membuka lembaran kertas yang lain pula.

“Lihat ini Yusuf!” kata Zulaikha.

“Apa ini?” Tanya Yusuf.

“Gambar seorang mati dipimpin setelah suci daripada dosa di hadapan Azris. Mahkamah memutuskan dia telah bersih daripada dosa-dosa besar. Orang mati ini sedang dipimpin oleh Hur menghadap ayahnya, Azris. Tuhan yang agung,” terang Zulaikha.

“Mengapa Azris memakai baju hijau?”

“Kerana Azris adalah Tuhan kesuburan.”

“Dia berbentuk mumia.”

“Kerana sebelum ini ia telah mati kemudian dihidupkan semula untuk menghitung orang yang telah mati.”

“Seperti Tuhan Ba’al,” katanya dengan ragu.

“Ba’al? Tuhan orang Babil?”
“Mereka menyembah Ba’al di Babil. Di Syria, penduduknya mempercayai Ba’al telah dijadikan tawanan ketika dia menjadi raja di dunia.
.

Bersambung …

Tuesday, 2 November 2010

Amanat Panglima


“Wahai saudara-saudaraku,
Lautan ada di belakang kalian,
Musuh ada di depan kalian,
Ke manakah kalian akan lari?
Demi Allah,
Yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran.
Ketahuilah bahawa di pulau ini kalian lebih terlantar dari pada anak yatim,
Yang ada di lingkungan orang-orang hina.
Musuh kalian telah menyambut dengan pasukan dan senjata mereka.
Kekuatan mereka sangat besar,
Sementara kalian tanpa perlindungan selain pedang-pedang kalian,
Tanpa kekuatan selain dari barang-barang yang kalian rampas dari tangan musuh kalian.
Seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini,
Tanpa adanya perubahan yang berkesan,
Nescaya nama baik kalian akan hilang,
Rasa gentar yang ada pada hati musuh akan berganti menjadi berani kepada kalian.
Oleh kerana itu,
Pertahankanlah jiwa kalian.”

Amanat  Tariq bin Ziyad sebelum peperangan menakluki Andalusia menentang tentera Visigoth di bawah pimpinan kezaliman Raja Roderic ketika itu tidak mampu melawan semangat jihad tentera Islam.
Peristiwa tersebut akan berulang.








Wednesday, 20 October 2010

Yusuf antara duka nestapa dan cahaya kehidupan


Sekumpulan kafilah Madyan sedang meredah padang pasir yang luas.  Setelah beberapa lama, mereka berhenti  berhampiran Yusuf dicampakkan. Mereka menyuruh para khadam mengambil air untuk keperluan mereka. Timba mereka dihulurkan ke dalam telaga itu. Alangkah terperanjatnya mereka apabila timba itu diangkat, didapati seorang kanak-kanak cantik bergayut pada timba itu. Mereka semua amat terkejut, seolah-olah melihat Adam pada hari penciptaan dan peniupan rohnya. Ketampanannya seperti cahaya di siang hari. Kulitnya putih, wajahnya tampan, rambutnya ikal, matanya luas, hidungnya mancung, dipipinya ada tahi lalat hitam.


Lelaki yang menemui yusuf itu amat gembira. Dia membawa Yusuf kepada kafilahnya dan membawa Yusuf bersama mereka.  Dalam perjalanan, Yusuf melihat kubur ibunya. Beliau tidak dapat mengawal perasaan lalu terjun dari unta, tertiarap di atas kubur ibunya. Yusuf meratap semahunya.

“Ibu! Lihatlah apa yang telah mereka lakukan kepada anakmu ini. Apakah yang menimpaku selepas engkau tiada? Oh ibu! Mereka membuang bajuku, dan melimparkan aku ke dasar perigi yang gelap. Mereka tidak menyayangi aku, mereka menjadikan aku hamba. Aku telah menjadi hamba … sesungguhnya aku adalah hamba … hamba ibu!”

Lelaki Madyan itu menghampiri Yusuf dan menariknya bangun. Yusuf menangis.

“Ibu! Ibu! Aku telah menjadi hamba ibu! Hamba …! Hamba!”

Suasana ketika itu amat menyayat hati, kepiluan menyelubungi jiwanya.

Kafilah Bani Ismail melintasi Jal’ad dan bertemu kafilah Madyan di bumi Syakim. Di situ kafilah Madyan telah menawarkan Yusuf kepada Bani Ismail. Mereka membelinya dengan harga yang murah sahaja, lapan dirham.

Bani Ismail adalah golongan zuhud. Kafilah ini terus berangkat ke Mesir dengan membawa Yusuf bersama-sama mereka. Salah seorang dari mereka dapat merasakan bahawa kanak-kanak lelaki yang mereka beli itu ialah anak bapa saudara mereka, Nabi Ya’aqub. Mereka dapat mengagaknya kerana Yusuf bercakap dalam bahasa ’Ibri; bahasa orang Kan’an.

Nabit bin Ismail adalah penjaga Baitullah setelah kewafatan Nabi Ismail, menganggap kafilah Madyan dan Ishaq serta anak-anak keturunan Ismail yang lain sebagai waris tiupan rohani yang akan menghilangkan dari manusia sifat kebendaan yang menyesatkan untuk membina satu tamadun sejagat di atas asas agama. Cita-citanya pada masa yang akan datang begitu besar. Walaupun mereka terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang berpecah tetapi mereka tetap seiring menuju kepada matlamat yang satu. Membina satu kumpulan masyarakat yang bersatu dan kuat untuk menyeru ke jalan Allah. Ini merupakan impian ketua Bani Ismail itu, tetapi peristiwa-peristiwa yang berlaku menjauhkan mereka daripada mencapai impian ini.

Bahasa Bani Ismail, madyan dan Ishaq adalah sama. Mereka adalah dari golongan yang beriman. Bahasa percakapan mereka adalah bahasa arab, kecuali Bani Israel. Bani Israel telah mengambil bahasa ‘Ibri dari orang Kan’an, sekalipun mereka sebahagian daripada bangsa Arab. Di sinilah bermulanya perpecahan dan perselisihan di kalangan anak cucu Nabi Ibrahim.

Kafilah Bani Ismail terus bergerak, meredah jalan yang panjang. Mereka berhenti rehat di Josyen. Di sini mereka melalui tempat-tempat penyembahan Basanta, tuhan keseronokan dan penentu musim-musim. Mereka berhadapan dengan kemungkaran yang begitu berleluasa. Mereka menundukkan pandangan. Mereka melihat diri mereka daripada  terjatuh ke dalam dosa-dosa, yang hanya semata-mata kerana ingin memenuhi keinginan nafsu yang melalaikan.

Yusuf memasuki Mesir sebagai seorang hamba dengan perasaan duka, sebagaimana keluarnya Hajar dari mesir sebagai hamba dengan perasaan yang sedih.

Itulah kehendak Allah. Allah Maha Mengetahui dan berbuat apa yang dikehendakiNya.

Kafilah itu kini sampai di Awaris. Yusuf menjejaki negeri itu sebagai seorang hamba yang hina sebagaimana yang dilalui oleh nendanya Sarah sebelum itu. Pandangannya bertukar ganti. Pada istana-istana, tiang-tiang batu dan tempat-tempat penyembahan. Fikirannya berlegar-legar, cuba mengingati sejarah kedatangan datuknya Nabi Ibrahim ke negeri ini suatu waktu dahulu. Dapatkah dia memberitahu kepada kaum itu bahawa dia adalah cucu kepada lelaki yang diberkati itu. Seorang lelaki yang banyak memberi bimbingan kepada mereka. Adakah mereka akan mempercayainya?

Akhirnya Yusuf mengambil keputusan mendiamkan diri sahaja. Siapakah yang akan mempercayai cucu Nabi Ibrahim dijual di pasar hamba?

Yusuf dimandikan dan dipakaikan baju baru lalu dibawa ke pasar. Dengan wajahnya yang tampan, ramai orang berebut-rebut untuk membelinya, sehingga datanglah Qatfir, pegawai kerajaan Mesir dan Ketua Menterinya untuk membeli Yusuf.

Orang ramai saling tawar-menawar harganya.

“Aku akan bayar harganya dengan kasturi, wang dan sutera,” tawar Qatfir.

Yusuf akhirnya dijual pada Qatfir. Bani Israel gembira dengan harga tersebut. Mereka sangat memerlukan wang untuk diberi kepada Qhaidar yang menghabiskan sebahagian malamnya dengan sembahyang, mengajar cara-cara penulisan dan membaca suhuf Ibrahim  demi pembelajaran anak-anak mereka. Yusuf dibawa pulang oleh Qatfir.

“Muliakan dia. Dia akan memberi manfaat kepada kita atau kita jadikannya sebagai anak angkat,”  
Kata Qatfir kepada isterinya dengan gembira.

Kehadiran Yusuf telah memberikan cahaya dalam kehidupan mereka.

Bersambung …


Yusuf disayangi

Thursday, 14 October 2010

Yusuf dan pengkomplotan jahat abang-abangnya


Yusuf berada di dalam dakapan ayahnya. Nabi Ya’aqub  merenung lama ke wajah anaknya itu. Beliau merasakan seluruh kecantikan yang ada di muka bumi ini telah dibahagikan antara Yusuf dan ibunya, Rahil. Beliau teringat suatu hari Yusuf bercerita kepada saudara-saudaranya bahawa dia telah bermimpi bersama-sama dengan abang-abangnya mengikat berkas-berkas kayu di ladang. Tiba-tiba berkas kayu Yusuf berdiri dan mengelilingi berkas-berkas kayu yang lain.  Kemudian berkas-berkas kayu yang lain itu sujud kepada berkas kayu Yusuf. Terngiang-ngiang juga kata-kata anaknya yang lain yang mengatakan bahawa Yusuf akan menjadi raja kepada mereka semua.

Kesemua anak Nabi Ya’aqub yang lain amat cemburu kepada Yusuf. Mereka sering memarahinya. Ayah mereka, Nabi ya’aqub menjadi penjaga kepada Nabi Yusuf daripada sasaran kemarahan dan cemburu abang-abangnya itu. Yusuf dijaga dilindungi dengan penuh hati-hati.

“Ayah, aku telah melihat sebelas butir bintang, matahari dan bulan sujud kepadaku,” kata Yusuf kepada ayahnya pada suatu hari.

“Wahai anakku! Janganlah kamu menceritakan mimpi engkau itu kepada saudara-saudaramu. Mereka akan membuat tipu daya kepada engkau. Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh yang nyata kepada manusia.”

Hinggalah pada suatu hari anak-anak Nabi Ya’aqub yang lain telah berbincangkan sesuatu sesama mereka. Berbincang tentang keluarga mereka sendiri.

“Ayah lebih menyayangi Yusuf dan adiknya  Bunyamin daripada kita semua, sedangkan kita satu golongan yang kuat. Ayah kita sebenarnya berada dalam kekeliruan yang nyata,” kata salah seorang dari mereka.

“Kalau begitu kita bunuh Yusuf atau buangkan dia ke suatu daerah supaya selepas ketiadaan Yusuf perhatian ayah akan tertumpu kepada kita sahaja.  Sesudah itu kita jadilah orang yang baik-baik,” cadang salah seorang yang lain pula.

“Janganlah Yusuf di bunuh. Cukuplah dengan mencampakkan dia ke dasar telaga supaya dia  dipungut oleh musafir  yang lalu,” cadang Yahuza pula.

Mereka pun pergi mendapatkan ayah mereka yang sedang berbual-bual dengan Yusuf.

“Ayah! Kenapa ayah tidak mempercayai kami untuk menjaga Yusuf, sedang kami pun inginkan kebaikan untuknya? Biarkanlah dia pergi bersama kami esok pagi agar dia dapat bersukaria dan bermain-main dengan kami. Kami berjanji untuk menjaganya dengan baik.”

“Sesungguhnya pemergian kamu bersama Yusuf akan menyedihkan aku. Aku bimbang kalau-kalau ia dimakan serigala, jika kamu lalai menjaganya.”

“Jika dia benar-benar di makan serigala, sedangkan kami golongan yang kuat, sesungguhnya kamilah orang yang rugi.”

Keesokan harinya, Yusuf bersama abang-abangnya dengan gembira pergi untuk bermain-main. Apabila mereka telah jauh dari rumah, mereka mula menunjukkan permusuhan dan kebencian mereka terhadap Yusuf. Salah seorang abangnya memukul Yusuf. Yusuf meminta tolong kepada abang-abangnya yang lain, tetapi permintaannya itu tidak diendahkan malah beliau menerima layanan yang sama. semua abangnya melepaskan dendam masing-masing. Diwajah mereka tidak kelihatan secebis pun rasa kasih sayang terhadap adiknya itu. Mereka memukul Yusuf dengan sewenang-wenangnya sehingga dia hampir-hampir terbunuh.

“Ayah! Tolong! Lihatlah apa yang sedang mereka lakukan terhadapku,” rintih Yusuf sayu.

“Tidakkah kamu  telah berjanji tidak mahu membunuhnya?” Yahuza bertanya kepada saudaranya yang lain.

Dia sebagai abang yang tua tidak suka melihat Yusuf diperlakukan sesuka hati.

Mereka pergi ke sebuah telaga untuk mencampakkan Yusuf. Yusuf meronta-ronta, namun tenaganya begitu lemah. Mereka cuba mencampakkan Yusuf  ke daalam telaga. Yusuf bergantung pada pinggir telaga. Mereka kemudiannya mengikat kedua-dua tangan Yusuf dan menanggalkan bajunya.

“Abang! Pulangkanlah bajuku, supaya aku dapat berselimut di dalam telaga ini,” rayu Yusuf dengan hiba sekali.

Sungguh tidak terlintas di fikirannya bahawa abang-abangnya akan bertindak sekejam ini. Yusuf menangis keseorangan.

“Panggillah matahari, bulan dan sebelas bintang agar menggembirakan engkau,” ejek salah seorang daripada abangnya.

Sementara itu Yusuf berhempas pulas menyelamatkan dirinya daripada tenggelam, dia berpaut pada batu dan dan duduk di atasnya.

Ketika Yusuf duduk keseorangan dalam perigi itu, Allah telah menenangkan jiwanya dengan wahyuNya.

“Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka itu sedangkan mereka tidak ingat lagi.”

Selepas itu, abang-abang Yusuf pulang menemui ayah mereka sambil berpura-pura menangis.

 “Ayah! Sesungguhnya kami sedang berlumba dan kami tinggalkan Yusuf dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala. Ayah tentu tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang yang benar,” kata salah seorang dari mereka dengan sedu-sedan sambil memegang baju Yusuf yang berlumuran darah.

“Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan yang buruk itu. Maka kesabaran yang baik itulah kesabaranku.  Dan kepada Allah sahajalah dimohonkan pertolongan terhadap apa yang kamu ceritakan.”


Bersambung …



Akan datang: Yusuf antara duka nestapa dan cahaya kehidupan

Saturday, 9 October 2010

Cawangan-Cawangan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan


Alamat Cawangan-Cawangan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan:

1.             PERKIM Cawangan Lembah Pantai
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-202
Pengerusi : Abdullah bin Uthman
No. 91, Taman Pelangi Jaya
Persiaran Pelangi, Sentul
51100 Kuala Lumpur
Tel : 019-2192934/013-2904516/603-20702004   

          
                PERKIM Cawangan K.L Utara
No. Rujukan : PPM/WP 76/61-127(2)
            Pengerusi : Puan Sri Munira Sabki
            No. 16, Bukit Segambut
            51200 Kuala Lumpur
            Tel : 03-62576161 / Faks : 03-22845678

2.            PERKIM Cawangan Bangsar
No. Rujukan : WP 76/61-109(2)
Pengerusi : Hj. Naina M. Khalid
No. 110, Jalan Limau Purut
Taman Bangsar
59000 Kuala Lumpur
Tel : 03-2171949 / Faks : 03-20948914

3.            PERKIM Cawangan Ekhtisamiah, Taman Melati
No. Rujukan : WP 76/61-165(2)
Pengerusi : Babul Abbas bin Abd Aziz
Blok D4-4-3 Taman Melati
53100 Kuala Lumpur.
Tel : 0166748080 / Faks : 03-80616672

4.            PERKIM Cawangan Taman Desa Setapak
No. Rujukan : PPM/WP 76/61-172
Pengerusi : Mohd Mathurudi bin Rejab
No. 14 Jalan 32/27B
Taman Desa Setapak
53300 Kuala Lumpur
Tel : 013-3431788

5.           PERKIM Cawangan Bandaraya
No. Rujukan : PPM/WP 76/61-174
Pengerusi : Mohd Noor bin Othman
29-01-06, Perumahan Sri Perak
Bandar Baru Sentul
51000 Kuala Lumpur
Tel : 019-3239682

PERKIM Cawangan Taman Cheras Utama
No. Rujukan : PPM/WP 76/61-171
Pengerusi : Hj. Adam bin Hj. Daud
No. 6, Jalan CU 8
Taman Cheras Utama
56000 Kuala Lumpur
Tel : 019-3815243

7.           PERKIM Cawangan Putra
No. Rujukan : PPM/WP 76/61-179
Pengerusi : Ann Wan Seng
250-D, Tingkat 2, Balai Islam
Jalan Ipoh, 51200 Kuala Lumpur.
Tel : 016-3326717
  
8.           PERKIM Cawangan Pergerakan Belia
No. Rujukan : PPM/WP 76/61-185
Pengerusi : Mohd Amir Ng Al-Karim
250-D, Tingkat 2, Balai Islam
Jalan Ipoh, 51200 Kuala Lumpur.
Tel : 016-2021230

9.            PERKIM Cawangan ASDAF
            No. Rujukan : PPM/WP 76/61-186
Pengerusi : Dr. Hasri bin Sameon
535/10. Changkat Persekutuan
Bukit Persekutuan
50480 Kuala Lumpur
Tel (P): 03-22831009/ Faks : 03-22833084
H/P : 012-3393420

10.              PERKIM Cawangan Bukit Damansara
No. Rujukan :PPM/WP 76/61-187
Pengerusi : Hj. Abd Hanif Harun
No. 3, Lorong Setiabistari 1
Bukit Damansara
50490 Kuala Lumpur
Tel : 012-3088224

11.              PERKIM Cawangan Sg. Besi
No. Rujukan : PPM/SEL 76/61-192
Pengerusi : Hj. Omar bin Hj. Shamsuri
No. 9, Jalan 20B/146 Desa Tasik, Sg. Besi
57000 Kuala Lumpur
Tel/Faks : 03-90565149

12.              PERKIM Cawangan Bandar Tun Razak
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-197
Pengerusi : Md. Shukor bin Aziz
No. 23 Lorong Jaya 7, Taman Jaya, Bandar Tun Razak
56000 Cheras, Kuala Lumpur
Tel : 019-6732048
  
14.              PERKIM Cawangan Alam Damai
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-204
Pengerusi : Hj. Mohd Zahir Mohd Yusof
No. 20 & 22, Jalan Damai Murni 7
Alam Damai Cheras
56000 Kuala Lumpur
Tel : 03-41062727 / Faks : 03-41067719

15.              PERKIM Cawangan Sentul Timur
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-208
Pengerusi : Norhafizah bt Musa
No. 12, Jalan Batu Jauhar 6
Taman Rowther Gombak,
68100 Kuala Lumpur
Tel : 012-3118974

16.              PERKIM Cawangan Wanga Maju
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-214
Pengerusi : Rasyidi Jalaludin
Madrasah Nurul Muktaqin
Off Persiaran Pertahanan,Wangsa Maju
53000 Kuala Lumpur
Tel : 013-2160730

17.                 PERKIM Cawangan Putrajaya
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-218
Pengerusi : Mohd Nazir bin Zakaria
41B, Tingkat 2, Jalan Diplomatik, Presint 15
62000 Putrajaya
Tel : 013-2196789 / 012-2996545
Faks : 03-88884040

18.                 PERKIM Cawangan Datuk Keramat
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-241
Pengerusi : Ustaz Syukri bin Abdul Wahab
No. 3, Lorong Bukit Keramat 4
Kg. Datuk Keramat
54200 Kuala Lumpur
Tel : 013-3139405
  
19.              PERKIM  Cawangan Batu Muda
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-245
Pengerusi : Hjh. Halimah bt Kilau
No. 7, Jalan Batu 17
Taman Batu Muda
68100 Kuala Lumpur
Tel : 03-61884660

20.              PERKIM Cawangan Kepong Barat
No. Rujukan : PPM/WKL 76/61-246
Pengerusi : Haji Muhibah Ardani
Surau Al-Huda, Jalan Burung Bebarau,
Taman Bukit Maluri, Kepong
52100 Kuala Lumpur
Tel : 019-3237954(Hj. Dziauddin)

21.              PERKIM Cawangan Labuan Jaya
No. Rujukan : PPM/SBH 76/61-47
Pengerusi : Ahmad Ismail
Peti Surat 80446, 87014 Wilayah Persekutuan
Labuan.
Tel : 019-6110548

Ya’aqub mencari isteri


Sinopsis: Kisah Nabi Yusuf a.s. adalah petikan dari buku: Banu Ismail, karya Ustaz Abdul Hamid Jaudah Al-Sahhar, diterjemahkan oleh Safiah Abd Razak dan Sutina Sulaiman, diterbitkan oleh Dewan bahasa & Pustaka, Kuala lumpur (1995).


Nabi Ibrahim pernah menegah anaknya, Ishaq daripada mengahwini wanita-wanita dari kabilah-kabilah Kan’an kerana, mereka:

1.  Masih lagi meliputi kelalaian.
2.  Telinga mereka tertutup menerima     dakwah
3.  Mata mereka masih buta melihat      kekuasaan Allah.
4.   Hati mereka tetap keras membatu.

Ya’azar al-Dimasyqi, penjaga khazanahnya telah diutus ke Haran untuk meminang Rifqah, cucu saudaranya, anak Nahur. Begitu juga dengan ayahnya, beliau sendiri telah ke rumah bapa saudara ibunya yang bernama Laban untuk mencari seorang isteri daripada wanita-wanita kabilah itu bagi menghasilkan zuriat yang baik, bebas dari kabilah Kan’an ini.

Ya’aqub mengenang kembali kepada apa yang telah berlaku pada zaman remajanya. Beliau telah pergi ke Haran. Sesampainya di Bandar itu dia terpandang anak gadis bapa saudaranya, Rahil berhampiran telaga. Ya’aqub terpikat dengan kecantikannya dan dia segera pergi menemui bapa saudaranya untuk meminang anak gadis itu.

“Adakah kamu ada harta untuk perkahwinanmu?”

“Tidak! Tetapi saya sedia berkhidmat kepada pak cik sebagai bayaran mas kahwin pernikahan saya.”

“Baiklah, engkau mesti berkhidmat dengan pak cik selama tujuh tahun.”

“Aku memilih untuk  dikahwinkan dengan Rahil dan untuk itu aku bersetuju untuk berkhidmat dengan pak cik.”

“Itu adalah urusan antara aku dengan engkau.”

Nabi Ya’aqub mengembala ternakan bapa saudaranya selama tujuh tahun. Apabila selesai menyempurnakan syarat itu, pada suatu malam, beliau masuk ke dalam khemahnya. Didapatinya ada seorang wanita di situ. Ya’aqub menyangka wanita itu adalah Rahil, tetapi setelah siang barulah beliau sedar bahawa wanita itu adalah Liya, kakak tertua Rahil. Ya’aqub marah. Beliau segera menemui bapa saudaranya yang kebetulan sedang duduk bersama-sama  kaumnya.

“Pak cik telah menipuku. Pak cik telah menikmati hasil kerjaku selama tujuh tahun, tetapi tidak mengahwinkan aku dengan wanita yang dijanjikan.”

“Wahai anak saudaraku, engkau mahu memalukan aku di khalayak ramai?  Aku adalah bapa saudaramu, sama seperti ayahmu sendiri. Pernahkah kamu melihat seseorang itu mengahwini adik sebelum mengahwini  kakaknya terlebih dahulu! Bekerja denganku selama tujuh tahun lagi, kemudian baru aku kahwinkan engkau dengan adiknya pula.”

Ya’aqub akur dengan kata-kata bapa saudaranya itu. Beliau mengembala ternakan bapa saudaranya selama tujuh tahun lagi. Dalam tempoh ini beliau mendapat tujuh orang anak bernama Robil, Yahuza, Sham’an dan Lewi. Pada suatu malam, cita-citanya benar-benar menjadi kenyataan. Bapa saudaranya telah menghantar Rahil kepadanya. Itulah malam yang paling bahagia dalam hidupnya.

Rahil yang amat dicintai belum lagi melahirkan zuriat untuknya. Oleh itu, Rahil telah memberikan seorang jariahnya bernama Balha kepada Nabi Ya’aqub; suaminya. Liya juga menghadiahkan suaminya itu seorang jariah bernama Zulfah untuk menyaingi jariah Rahil. Kerukunan hidup keluarga Ya’aqub bergoncang disebabkan pergeseran yang berlaku di antara isteri-isterinya. Pertelingkahan juga berlaku di antara Ya’aqub dengan bapa saudaranya kerana Rahil.

Setelah sekian lama, Rahil pun melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Yusuf, wajahnya begitu indah berseri-seri setelah melahirkan. Kegembiraan tergambar di wajah Ya’aqub suami isteri. Malangnya, selepas melahirkan anak kedua mereka; Bunyamin, Rahil meninggal dunia. Rahil merupakan pendorong dan sangat bererti bagi Nabi Ya’aqub selama ini. Yusuf pula merupakan anak yang paling disayanginya di antara kedua-dua belas orang anaknya yang lain. Tambahan lagi wajah yusuf mirip wajah isterinya, Rahil.

Pada suatu hari, anak gadis Nabi Ya’aqub Dinah daripada isterinya yang pertama telah keluar melihat tanam-tanaman. Gelagat Dinah diperhatikan oleh syakim, anak seorang ketua kabilah yang lain. Dia terpikat dengan kecantikan Dinah lalu menculiknya. Syakim telah mengambil Dinah sebagai isterinya. 

Perkahwinan ini amat memalukan Bani Israel. Peristiwa itu telah membangkitkan kemarahan mereka, tetapi apakan daya mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Bilangan mereka terlalu sedikit, manakala semangat mereka sendiri sangat lemah. Mereka hanyalah orang dagang di bumi Palestin ini.

Bersambung …


Akan datang:  Yusuf dan pengkomplotan jahat abang-abangnya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”