NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Tuesday, 6 August 2013

Luqman Al-Hakim Menasihat



Firman Allah s.w.t.: 


A012
A013
A014
A015
A016
A017
A018
A019


“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”
( Q.S. Luqman:12-19 )


Luqman a.s.  merupakan ahli hikmah yang termasyhur sehingga nasihat-nasihatnya dapat diperhatikan dipaparkan di dalam al-Quran. Beliau asalnya seorang hamba berasal dari Habsyah. Allah s.w.t. kurniakan beliau menjadi ahli hikmah di samping menjawat jawatan hakim. Menjadikan gelarannya Yang Arif Hakim Luqman atau Luqman al-Hakim atau ahli hikmah. Sesungguhnya Allah berkuasa menentukan martabat sesorang insan di dunia lagi. Allahu Akhbar.

Beberapa nasihat Luqman yang sumbernya dari al-Quran dan hadith Nabi s.a.w. dengan penuh hikmah yang Allah s.w.t. berikan kepadanya untuk disampaikan kepada kita melalui mimpinya, atau dialognya dengan malaikat, atau nasihat-nasihatnya sama ada dalam majlis ilmu, perjumpaan/pertanyaan orang ramai atau nasihat kepada anak kesayangannya, antaranya; adalah:

“Bagaimana jika engkau dijadikan raja dan menjalankan pemerintahan dengan adil dan saksama?”

“Jika sekiranya ini merupakan arahan dari Tuhanku maka aku tidak uzur sebab dalam keadaan demikian aku akan menerima pertolonganNya, tetapi kalaulah aku diberi pilihan untuk terima atau sebaliknya maka aku memohon maaf. Aku tidak suka menanggung musibah,” jawab Luqman.

“Kenapa, wahai Luqman?” Tanya para malaikat.

“Kedudukan pemerintah merupakan amat sulit. Perkara yang tidak disukai serta berbagai-bagai jenis kezaliman mengelilinginya. Pertolongan dari pihak Allah sahaja boleh selamatkannya. Jika ia menjadikan pentadbiran dengan adil maka ia akan berjaya. Jika tidak maka ia akan tergelincir dari jalan ke syurga. Seseorang itu hidup di dunia ini dalam keadaan hina dina adalah lebih baik daripada ia hidup mulia dan hebat lalu rosak (dari segi akhirat). Sesiapa yang mengutamakan dunia dari akhirat maka dunia itu dia tidak akan dapat memilikiny dan akhirat pun akan terlepas,” jawabnya.

Dalam satu majlis ilmu seseorang lelaki lalu di kawasan majlisnya dan singgah mengikuti majlis ilmu itu. Ia bertanya kepada Luqman:

“Bukankah engkau merupakan hamba kepada kaum itu?”

“Betul, saya pernah menjadi hamba mereka,” jawab  Luqman.

“Bukankah engkau orang yang sama pernah mengembala kambing dekat kaki bukit itu?” Tanya orang itu lagi.

“Ya, sayalah orang itu,” jawab Luqman pula.

“Bagaimanakah engkau sampai ke martabat yang begitu tinggi?” Tanyanya lagi.

“Disebabkan beberapa perkara yang telah saya melakukan dengan mengambil berat perkara itu, ialah: 
Takut akan Allah Taala. 
Bercakap benar.
Menunaikan amanah dengan sempurna. Dan, 
Mengelakkan diri dari perbulanan sia-sia,” jawab ahli hikmah dengan tegas. 

“Siapakah orang paling jahat?” Tanya murid Luqman.

“Sesiapa yang rasa tak kesah walaupun ada yang melihat dia melakukan kejahatan,” jawabnya lagi.

"Wahai anakku, haraplah kepada Allah sekadar yang tidak menjadikan engkau hilang perasaan takut kepadaNya dan takutilah Allah sekadar engkau tidak berputus asa dari limpah rahimNya.”

“Bagaimanakah boleh menaruh kedua-duanya: “Takut serta harap” sedangkan hati adalah seketul sahaja?” Tanya anaknya.

“Demikianlah ciri-ciri orang beriman yang mana seolah-olah baginya ada dua ketul hati. Di dalam satu dia mesti menaruh harapan yang sempurna dan di dalam yang kedua ketakutan yang sempurna kepadaNya,” jawab al-Hakim.

“Wahai anakku, berdampinganlah selalu dalam majlis-majlis agama dan dengarlah kata-kata ahli hikmah dengan mengambil berat mengenainya. Dengan cahaya hikmah itu Allah menghidupkan hati-hati yang mati seperti mana ia menghidupkan tanah yang mati (kering kontang) dengan hujan yang lebat.

Wahai anakku, bacalah “rabbiqfirli” sebanyak-banyaknya. Di sisi Allah Taala ada masa-masa yang tertentu bila mana apa sahaja diminta daripadaNya pasti akan dikurniakanNya.

Wahai anakku, tiada amalan soleh tanpa keyakinan dengan Allah Taala. Sesiapa yang mempunyai keyakinan yang lemah maka amalannya juga menjadi cacat. 

Anakku, apabila syaitan cuba timbulkan perasaan ragu-ragu di hatimu maka hendaklah kamu mengalahkan dia dengan keyakinan. Apabila dia cuba jadikan kamu malas melakukan amalan soleh maka dengan mengingatkan kubur dan kiamat hendaklah kamu mengatasinya. Dan apabila dia mendekati kamu dengan menarik perhatian kamu kepada kesenangan dunia atau memberi takut (kesusahan dunia) maka beritahulah kepadanya bahawa dunia adalah sesuatu yang pasti akan berakhir dalam apa juga keadaan sekali pun. (Tiada nilai kesenangan di sini tidak juga kesusahan di sini akan berkekalan).

Wahai anakku, sesiapa yang bercakap bohong maka ia kekurangan keadaan ceria di wajahnya.  

Sesiapa yang bertabiat buruk maka ia akan dikuasai oleh kegelishan. 

Memindahkan gunung dari satu tempat ke satu tempat adalah lebih mudah berbanding dengan memberi kefahaman kepada orang-orang yang bodoh.

Wahai anakku, elakkanlah dirimu dari bercakap bohong. Bercakap bohong adalah lazat seperti daging burung, tetapi cepat akan wujud permusuhan terhadap orang yang bercakap bohong.

Wahai anakku, barangsiapa yang berdusta dalam perkataannya, maka akan hilang kecantikannya.

Wahai anakku, berilah keutamaan kepada amalan salat jenazah dan perbanyakkanlah mengambil bahagian dalam salat jenazah. Elakkanlah dirimu dari menyertai perayaan, sebab; jenazah memberi peringatan mengenai akhirat, sedangkan majlis perkhwinan dan perayaan yang lain mendorongkan kesibukan dalam dunia.

Wahai anakku, janganlah kamu makan dalam keadaan kenyang. Lebih baik beri makanan itu kepada anjing dari makan semasa masih kenyang. 

Anakku, janganlah kamu menjadi manis sehingga kamu ditelan dan janganlah pula menjadi terlalu pahit sehingga manusia meludah. 

Anakku, janganlah kamu menjadi lebih lemah dari seekor ayam jantan; ia bangun pada waktu sahur lalu menjerit sedangkan kamu terbaring di atas tempat tidur; jangan demikian. 

Anakku, jangan lambat bertaubat sebab waktu mati itu tidak tentu, bila-bila sahaja boleh menemui kamu. 

Anakku, janganlah berkawan dengan orang jahil, nanti kata-kata kejahilannya mula disukai olehmu dan janganlah bermusuh dengan ahli hikmah, nanti dia berpaling daripada kamu sehingga kamu terlucut dari mutiara hikmahnya. 

Anakku, janganlah memberi makananmu kepada sesiapa kecuali orang-orang bertakwa dan untuk urusan-urusanmu bermesyuaratlah dengan ulama.

Wahai anakku, bergaullah sebanyak-banyaknya dengan orang-orang soleh sebab kamu boleh memperolehi kesolehan pada dirimu dengan pergaulan demikian ketika rahmat Allah Taala yang khas turun di atas mereka maka sudah pasti kamu juga akan memperolehi bahagian daripadanya. (Sebab apabila turun hujan maka ia sampai kepada semua bahagian sebuah rumah. 

Jauhkan dirimu dari pergaulan dengan orang-orang jahat, sebab dengan bersama mereka tiada harapan apa-apa kebaikan boleh diperolehi, tetapi ketika turun malapetaka di atas mereka maka kamu juga akan terkena jika bersama mereka.)

Wahai anakku, pukulan bapa bermanfaat bagi anak-anak seperti air bermanfaat bagi ladang.

Wahai anakku, setelah kamu lahir di dunia ini pada setiap hari kamu sedang mendekati akhirat (dan belakang kamu setiap hari terpaling kearah dunia. Jadi rumah yang kamu sedang menuju adalah lebih dekat berbanding dengan rumah yang kamu sedang meninggalkan jauh pada setiap hari).

Wahai anakku, jagalah dirimu dari menanggung hutang, ia merupakan kehinaan di sebelah siang dan kegelisahan di sebelah malam ( yakni disebabkan permintaan piutang pada siang  hari terpaksalah terhina dan sepanjang malam terpaksa memikirkan hal hutang itu). 

Anakku, haraplah daripada Allah Taala sehingga kamu tidak berani derhaka kepada Allah Taala dan takutlah kepada Allah Taala sehingga kamu tidak putus asa dari rahmat Allah Taala. 

Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”

Sebelum meninggal dunia Luqman al-Hakim sempat menasihati anaknya:

“Wahai anakku, dalam tempoh hayatku ini aku telah memberi banyak nasihat kepadamu, kini aku hendak memberi enam nasihat”:

1. Sibukkan dirimu dalam urusan dunia sekadar yang kamu akan hidup di dunia ini.

2. Hendaklah kamu beribadat kepada Allah Taala sekadar yang kamu rasa kamu berhajat kepadaNya.

3. Buatlah persiapan untuk akhirat sekadar yang kamu hendak hidup di sana.

4. Berusahalah untuk melepaskan dirimu dari neraka sehingga kamu yakin bahawa kamu dah terlepas dari neraka.

5.  Beranilah melakukan dosa sekadar yang kamu sanggup berada di dalam api neraka.

6. Apabila kamu hendak melakukan maksiat dosa maka carilah satu tempat di mana Allah Taala dan malaikat-malaikatNya tidak melihat.


Pautan berkaitan: http://id.wikipedia.org/wiki/Luqman_al-Hakim
                             http://shafiqolbu.wordpress.com/Nasihat Luqman al-Hakim /
                             http://smzblog.wordpress.com/2009/01/06/siapakah-luqman-al-hakim/
                             http://irfanirsyad.wordpress.com/Siapakah Luqman al-Hakim/
                             http://tanbihun.com/profil-ulama/Biografi Lengkap Luqmanul Hakim/#.
                             http://halaqah.net/v10/index.php?topic=435.0
                             http://www.sabah.edu.my/cwm010/til_7.htm









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”