NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Sunday, 3 November 2013

Salam Muharam 1435H


Salam Tahun Baru. Semoga  tahun lalu memberi impak besar dalam kehidupan kita. Impaknya di samping memberi kita kesihatan tubuh badan, akal yang cerdas dan senentiasa dalam pengawasan daripada Allah s.w.t.. Perubahan penting ialah amalan baik kita semakin meningkat; amalan kehidupan kita berpaksikan agama, tindak tanduk kita berdasarkan al-Quran, perancangan kita menurut takwim tepat dan perkara-perkara tersebut membantu kita untuk berhadapan pada saat-saat getir. Masa kita terlalu singkat dan menjarakkan kehidup-an dunia kita dari semasa ke semasa. 

Kita berharap tahun ini lebih baik daripada tahun lalu. Harapan kita bersebab kerana semakin kita hampir mendekati hari-hari yang mendatang maka kerinduaan kita berjumpa Rasulullah s.a.w. semakin membara. Ibarat seorang suami merindui isterinya atau seorang isteri menanti kepulangan suaminya. Perjalanannya panjang tetapi masanya dekat. Dekatnya seperti kita berdiri di depan pintu rumah.

Oleh itu, sempena tahun baru marilah kita mengingati bagaimana Rasululah s.a.w. diperintah oleh Allah s.w.t. melaksanakan kewajiban-kewajiban syariat Islam, antaranya; mendirikan salat, mengeluarkan zakat, berpuasa, mengerjakan haji, mengkanunkan syariah, tilawah Quran, zikrullah, uzlah, kalwat dan seumpamanya.

Melalui pengukuhan iman dan keyakinan pula dengan penetapan akal dan naluri perasaan diteguhkan dengan penurunan Al-Quran berperingkat-peringkat dan diperjelaskan oleh Nabi s.a.w. tentang asbab nuzulnya sesuatu peristiwa dan kaitannya dengan ayat-ayat tersebut. Pertautkaitan al-Quran dan penjelasan Nabi s.a.w. mengukuhkan kefahaman keyakinan mereka. Ia menambahkan ketakwaan dan penerimaan Islam yang jelas, tepat dan benar.

Nabi mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah s.w.t., melaksanakan perintah Allah s.w.t., menguatkan jiwa dengan ketakwaan, keikhlasan, ketekunan supaya sifat keduniaan tidak sebati berpadu dengan darah, jiwa dan akal manusia. Kesannya amat dahsyat jika ianya terjadi. Kesesatan akan dijadikan suatu yang benar dan kebenaran pula akan diletakkan sebagai suatu yang dangkal. Kesesatan mudah dilakukan tetapi kebenaran berat ditegakkan. Maka berlakulah pertembungan di antara kesesatan dan kebenaran. Antara yang hak dan batil.

Para sahabat Nabi s.a.w. tidak pernah merancang, berpakat, merencana, berhimpun untuk tujuan menghiburkan hati mereka dan untuk kepentingan perut-perut mereka. Tetapi mereka berhimpun untuk memikirkan agama Islam, umat Islam dan kaum-kaum yang masih dalam kesesatan. Mereka yakin dengan agama Islam sebagaimana mereka yakin dengan kehidupan di dunia ini. Keyakin mereka bulat, seratus peratus.

Masa mereka dimanfaatkan dengan dakwah. Kehidupan mereka dipenuhi dengan keyakinan yang bersinar cemerlang. Mereka memiliki keazaman kukuh untuk mencapai sesuatu impian, cita-cita mereka melangit yang sukar dicapai oleh manusia biasa tetapi mudah bagi mereka mencapainya, pesanan Rasulullah s.a.w. suatu ikrar yang mesti dilaksanakan sama ada semasa bersama hayat Baginda s.a.w atau selepas ketiadaannya, mereka berpegang teguh dengan agama Islam sebagaimana mereka menggenggam bara api. Mereka tidak pernah takut dengan ugutan, provokasi, ucapan ancaman dan tindakan golongan sesat. Perkara ini  menjadikan mereka sukar dikalahkan oleh musuh-musuh mereka. 

Perumpamaan kehidupan yang tidak dibajai oleh ajaran tauhid seperti tumbuh-tumbuhan tidak menerima air, hujan atau embun. Ia akan musnah kerana kehidupannya tidak dilengkapi oleh unsur-unsur pertumbuhan yang baik. Pertumbuhan dan arah pucuknya akan terpesong, melelong, membengkok ke sana sini. Akhirnya batangnya melingkuk, dahannya bercabang; menegak, menyenget, melintang dan melemahkan daya ketahanannya. Pokok tumpang mulai menapak, mengukuhkan perumahnya dan mereputkan sendi-sendi pokok asal. Kematian dan kereputannya tidak dipedulikan oleh makhluk kecuali melalui pengawasan tuannya. 

Demikaian juga pesakit barah, tuan atau puan punya diri tidak menyedari bahawa terdapat simptom-simpton penyakit sedang bertapak di badannya. Ia tidak melakukan pengawasan, merawatnya dengan segera, membiarkannya kerana tiada gejala-gejala dan tanda-tanda yang memudharatkan, tiada tindakbalas negatif, maka kelalaian telah bertapak dibenaknya. Akhirnya,  bila barah tersebut berada pada tahap yang parah-kritikal dan sukar dirawat baharulah ia sedar betapa pentingnya kesihatan. Betapa pentingnya langkah-langkah pengawasan awal dan perubatan susulan supaya penyakit tersebut dapat dipantau oleh pakar. Di samping itu penyaki-penyakit sampingan juga dapat dikesan lebih awal jika tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. 

Allah memberi kita akal geliga, mata hati yang terang, tubuh badan sihat, lidah yang fasih dan tingkah laku yang baik sepatutnya digunakan memikir tentang kejadian-kejadian ciptaan Allah s.w.t., melihat dan memerhati alam sebagai tanda-tanda kebenaran dan kebesaran Allah s.w.t. dengan keyakinan jelas tepat, benar bahawa manusia dilahirkan di dunia ini bukan sia-sia. Mereka mempunyai wawasan yang jelas, misi dan visi yang tepat dan halangan-halangan yang mendatang mudah di atasi kerana mereka wujud bukan untuk makan dan berseronok semata-mata tetapi berusaha mengenali pencipta alam ini terutamanya kejadiaan diri kita sendiri. Beruntunglah manusia yang memahami kejadiannya. ALLAHU aKHBAR.




Salam Muharam 1435H

Yang dekat kita rapat-rapatkan
manakala yang jauh kita dekatkan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”