Adalah
termasuk di antara rahmat Allah bahawa Ia menjadikan dasar segala sesuatu
adalah halal sehingga terdapat dalil yang mengharamkannya. Perkara ini
menunjukkan bahawa Allah s.w.t. Maha Pengasih dan Maha Luas RahmatNya atas
segenap hambaNya. Oleh sebab itu, kita wajib taat, memuji dan bersyukur
kepadaNya.
Sebahagian
manusia, jika mereka menyaksikan perkara-perkara yang haram dihitung dan
diperjelaskan kepada mereka, jiwanya tiba-tiba terasa sesak kerana keberatan
terhadap hukum-hukum syariat. Ini menunjukkan betapa lemah iman dan betapa
sedikit pemahaman mereka terhadap syariat.
Apakah
mereka menginginkan agar diperincikan bahawa daging sembelihan dari unta,
lembu, kambing, kijang, kambing hutan, ayam, burung dara, angsa, itik, burung
unta, semua itu halal? Bangkai belalang serta ikan juga halal? Dan
sayur-sayuran, rempah ratus, buah-buahan dan semua biji-bijian serta hasil
tanaman yang bermanfaat halal? Dan bahawa air, susu, madu, minyak dan cuka
halal? Garam rempah ratus dan bumbu-bumbu halal? Lalu menggunakan kayu besi,
pasir, batu kerikal, plastik, kaca serta getah halal?
Mengenderai
haiwan, kereta, kereta api, kapal laut dan kapal terbang halal?
Lalu
menggunakan tandas, mesin basuh, alat pengering, mesin pengiling tepung, mesin
pencincang daging, pengisar serta pelbagai jenis peralatan perubatan, teknik,
alat mengira, astronomi, kejuruteraan, alat mengepam air, penggalian minyak,
alat penyaringan, pertambangan, penyulingan air, percetakan dan computer perlu
diperincikan bahawa semua itu halal?
Kemudian
memakai pakaian dari bahan kapas, bulu, kain lena kulit yang diperolehkan,
nilon dan polister perlu dijelaskan sebagai sesuatu yang halal?
Dasar
hukum pernikahan, jual beli, kafalah (penanggungan), hawalah (Pengiriman), sewa
menyewa, semua jenis kemahiran dan keahlian seperti tukang kayu, tukang besi,
mekanik, menggembala kambing, semua perlu diterangkan sebagi pekerjaan yang
halal?
Mungkinkah
kita boleh menyelesaikan dalam menghitung dan memperincikan perkara-perkara
yang dihalalkan? Sungguh mereka itu adalah orang-orang yang hampir tidak
memahami perkataan.
Adapun
dalih mereka bahawa agama itu mudah, ucapan tersebut adalah benar tetapi
diselewengkan dan disalahgunakan.
Makna
mudah dalam agama, tidaklah bererti disesuaikan menurut hawa nafsu dan pendapat
manusia tetapi kemudahan itu disesuaikan menurut tuntutan syariat.
Sesungguhnya
sangat besar perbezaan antara melanggar perkara-perkara yang diharamkan lalu
berdalih secara batil bahawa agama adalah mudah dengan menerapkan
keringanan-keringanan yang diberikan oleh syariat seperti dengan melakukan
jama’ dan qasar dalam salat dan berbuka puasa ketika musafir, mengusap (khauf)
kasut dan stoking bagi bagi orang mukmin sehari semalam dan bagi yang musafir
tiga hari tiga malam, tayamum ketika takut bahaya kalau menggunakan air, jama’
antara dua salat bagi orang sakit dan ketika sedang turun hujang lebat, boleh
memandang kepada wanita bukan mahram untuk tujuan meminang, memilih dalam
kaffarah (denda) sumpah antara memerdekakan budak, mencari makan orang miskin
atau memberinya pakaian, memakan bangkai ketika dalam keadaan dharurat atau
rukhsah-rukhsah (keringanan syariat lainnya.
Di
samping perkara-perkara yang telah disebutkan, setiap muslim hendaklah
mengetahui bahawa diharamkannya beberapa perkara tersebut terdapat hikmah yang
besar di dalamnya di antaranya:
1. Allah s.w.t. menguji segenap hambaNya
dengan perkara-perkara yang diharamkan tersebut, lalu Dia melihat bagaimana
sikap mereka terhadapnya.
2. Di antara sebab perbezaan penduduk
syurga dengan penduduk neraka adalah para penduduk neraka telah tenggelam
dengan syahwat yang dengannya neraka dikelilingi.
3. Para penduduk syurga bersabar atas
berbagai perkara yang dibencinya yang dengannya syurga dikelilingi.
Jika
tidak kerana ujian ini tentu tidak akan dapat dibezakan antara pelaku maksiat
dengan orang taat.
Orang-orang
beriman melihat beratnya kewajiban dengan semata-mata mengharap pahala dan
ketaatan terhadap perintah Allah sehingga berharap mendapat redhaNya. Dengan
demikian kewajiban itu terasa ringan. Berbeza halnya dengan orang-orang
munafik, mereka melihat beratnya kewajiban dari sudut kepedihan, kesal dan pembatasan
sehingga kewajipan itu terasa berat untuk mereka lakukan dan ketaatan menjadi
sesuatu yang sangat sukar.
Dengan
meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan, orang yang taat akan merasakan
buah manisnya; kerana sesiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah
akan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya, lalu mendapatkan
kelazatan iman di dalam hatinya.
Dalam
risalah ini, pembaca akan mendapati beberapa perkara (perbuatan) yang diharamkan
yang pengharamannya jelas di dalam syariat disertai keterangan dalil dari
Al-Quran dan Al-Sunnah di mana sebahagian ulama telah menulis kita yang
membicarakan tentang masalah ini, dan
salah sebuah yang terbaik adalah kitab Tanbihul Ghafilin karangan Ibnu Al-Nuhas
Al-Dimasqi, semoga Allah merahmatinya.
Perkara-perkara
yang diharamkan ini merupakan sesuatu yang sering berlaku dan umum dilakukan
oleh sebahagian besar kaum muslimin. Ingin dinyatakan perkara-perkara tersebut
dengan tujuan memberi keterangan dan nasihat.
Hanya
kepada Allah kita memohon petunjuk taufik serta kekuatan untuk selalu menjauhi
laranganNya, untuk diri saya sendiri dan untuk segenap umat Islam. Dan
mudah-mudahan Dia menjauhkan kita dari perkara-perkara yang diharamkan serta
menjaga kita dari perkara-perkara yang buruk. Sesungguhnya Allah adalah
sebaik-baik Penjaga dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang.
Bersambung…