Lelaki yang menemui yusuf itu
amat gembira. Dia membawa Yusuf kepada kafilahnya dan membawa Yusuf bersama
mereka. Dalam perjalanan, Yusuf melihat
kubur ibunya. Beliau tidak dapat mengawal perasaan lalu terjun dari unta,
tertiarap di atas kubur ibunya. Yusuf meratap semahunya.
“Ibu! Lihatlah apa yang telah
mereka lakukan kepada anakmu ini. Apakah yang menimpaku selepas engkau tiada?
Oh ibu! Mereka membuang bajuku, dan melimparkan aku ke dasar perigi yang gelap.
Mereka tidak menyayangi aku, mereka menjadikan aku hamba. Aku telah menjadi
hamba … sesungguhnya aku adalah hamba … hamba ibu!”
Lelaki Madyan itu menghampiri
Yusuf dan menariknya bangun. Yusuf menangis.
“Ibu! Ibu! Aku telah menjadi
hamba ibu! Hamba …! Hamba!”
Suasana ketika itu amat
menyayat hati, kepiluan menyelubungi jiwanya.
Kafilah Bani Ismail melintasi
Jal’ad dan bertemu kafilah Madyan di bumi Syakim. Di situ kafilah Madyan telah
menawarkan Yusuf kepada Bani Ismail. Mereka membelinya dengan harga yang murah
sahaja, lapan dirham.
Bani Ismail adalah golongan
zuhud. Kafilah ini terus berangkat ke Mesir dengan membawa Yusuf bersama-sama
mereka. Salah seorang dari mereka dapat merasakan bahawa kanak-kanak lelaki
yang mereka beli itu ialah anak bapa saudara mereka, Nabi Ya’aqub. Mereka dapat
mengagaknya kerana Yusuf bercakap dalam bahasa ’Ibri; bahasa orang Kan’an.
Nabit bin Ismail adalah
penjaga Baitullah setelah kewafatan Nabi Ismail, menganggap kafilah Madyan dan
Ishaq serta anak-anak keturunan Ismail yang lain sebagai waris tiupan rohani
yang akan menghilangkan dari manusia sifat kebendaan yang menyesatkan untuk
membina satu tamadun sejagat di atas asas agama. Cita-citanya pada masa yang
akan datang begitu besar. Walaupun mereka terdiri daripada kumpulan-kumpulan
yang berpecah tetapi mereka tetap seiring menuju kepada matlamat yang satu.
Membina satu kumpulan masyarakat yang bersatu dan kuat untuk menyeru ke jalan
Allah. Ini merupakan impian ketua Bani Ismail itu, tetapi peristiwa-peristiwa
yang berlaku menjauhkan mereka daripada mencapai impian ini.
Bahasa Bani Ismail, madyan dan
Ishaq adalah sama. Mereka adalah dari golongan yang beriman. Bahasa percakapan
mereka adalah bahasa arab, kecuali Bani Israel. Bani Israel telah mengambil
bahasa ‘Ibri dari orang Kan’an, sekalipun mereka sebahagian daripada bangsa
Arab. Di sinilah bermulanya perpecahan dan perselisihan di kalangan anak cucu
Nabi Ibrahim.
Kafilah Bani Ismail terus
bergerak, meredah jalan yang panjang. Mereka berhenti rehat di Josyen. Di sini
mereka melalui tempat-tempat penyembahan Basanta, tuhan keseronokan dan penentu
musim-musim. Mereka berhadapan dengan kemungkaran yang begitu berleluasa. Mereka
menundukkan pandangan. Mereka melihat diri mereka daripada terjatuh ke dalam dosa-dosa, yang hanya
semata-mata kerana ingin memenuhi keinginan nafsu yang melalaikan.
Yusuf memasuki Mesir sebagai
seorang hamba dengan perasaan duka, sebagaimana keluarnya Hajar dari mesir
sebagai hamba dengan perasaan yang sedih.
Itulah kehendak Allah. Allah
Maha Mengetahui dan berbuat apa yang dikehendakiNya.
Kafilah itu kini sampai di
Awaris. Yusuf menjejaki negeri itu sebagai seorang hamba yang hina sebagaimana
yang dilalui oleh nendanya Sarah sebelum itu. Pandangannya bertukar ganti. Pada
istana-istana, tiang-tiang batu dan tempat-tempat penyembahan. Fikirannya
berlegar-legar, cuba mengingati sejarah kedatangan datuknya Nabi Ibrahim ke
negeri ini suatu waktu dahulu. Dapatkah dia memberitahu kepada kaum itu bahawa
dia adalah cucu kepada lelaki yang diberkati itu. Seorang lelaki yang banyak
memberi bimbingan kepada mereka. Adakah mereka akan mempercayainya?
Akhirnya Yusuf mengambil
keputusan mendiamkan diri sahaja. Siapakah yang akan mempercayai cucu Nabi
Ibrahim dijual di pasar hamba?
Yusuf dimandikan dan dipakaikan baju baru lalu dibawa ke
pasar. Dengan wajahnya yang tampan, ramai orang berebut-rebut untuk membelinya,
sehingga datanglah Qatfir, pegawai kerajaan Mesir dan Ketua Menterinya untuk
membeli Yusuf.
Orang ramai saling
tawar-menawar harganya.
“Aku akan bayar harganya dengan
kasturi, wang dan sutera,” tawar Qatfir.
Yusuf akhirnya dijual pada
Qatfir. Bani Israel gembira dengan harga tersebut. Mereka sangat memerlukan
wang untuk diberi kepada Qhaidar yang menghabiskan sebahagian malamnya dengan
sembahyang, mengajar cara-cara penulisan dan membaca suhuf Ibrahim demi pembelajaran anak-anak mereka. Yusuf
dibawa pulang oleh Qatfir.
“Muliakan dia. Dia akan memberi
manfaat kepada kita atau kita jadikannya sebagai anak angkat,”
Kata Qatfir kepada isterinya
dengan gembira.
Kehadiran Yusuf telah
memberikan cahaya dalam kehidupan mereka.
Bersambung …
Yusuf disayangi