NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Friday, 26 April 2013

Jawatankuasa PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan


PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-36 yang diadakan pada 20 April 2013M bersamaan 9 Jamadil Akhir 1434H (Sabtu) di Brisdale Internatonal Hotel, Chow Kit, Kuala Lumpur.
  
Perasmian mesyuarat telah disempurnakan oleh Yang Bhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan.

Jawatan Pengerusi tetap, Pengerusi dan dua jawatan Naib Pengerusi tidak dipertandingkan kerana penyandangnya kekal menang tanpa bertanding. Pertandingan berlaku bagai jawatan Timbalan Pengerusi Tetap (seorang) dan lapan orang untuk Ahli Jawatankuasa.

Kepada mereka yang diamanahkan diucapkan tahniah.

Berikut adalah adalah senarai Ahli Jawatankuasa Bahagian Wilayah Persekutuan Sesi 2013-2015:


Pengerusi Tetap

Tuan Babul Abbas Bin Abd Aziz
(Menang tanpa tanding)


Timbalan Pengerusi Tetap

Tuan Abdullah Bin Usman


Pengerusi                         
Datuk Haji Mohd Nakhaie Bin Hj. Ahmad                                                 
(Menang tanpa tanding)


Naib Pengerusi 1                 

Datuk Haji Mohd Darus Bin Hj. Mahmud                                                 
(Menang tanpa tanding)


Naib Pengerusi 2                  

Datuk Haji Abd Rashid Bin Omar                                                     
(Menang tanpa tanding)


Ahli Jawatankuasa                

Tuan Haji Adam Bin Haji Daud
Tuan Md. Shukor Bin Aziz
Puan Datin Hajah Maheran Binti Omar                                           
Tuan Engku Mohd Hafiz Bin Engku Aziz                                                
Tuan Mohd Mathurudi Bin Rejab                                                
Tuan Mohd Nazir Bin Zakaria                                                
Tuan Mohd Amir Ng Al Karim                                                
Tuan Mohd Danial Au Yang Leong Hock


Jawatankuasa PERKIM Bahagian Lantikan

Setiausaha Kehormat seorang                                               
Penolong setiausaha Kehorma Sorang Pegawai Bahagian                                               
Bendahari Kehormat Seorang                                              
Jawatankuasa 4 Orang

  
Pegawai PERKIM Bahagian               

Mohd Jogi Bin Maruli
Siti Noor Aishawati Binti Mamat
Suria Binti Abdullah




Anak Yatim



Siapakah yang dimaksud dengan anak yatim? Apakah perbedaan antara anak yatim dan anak piatu? Bagaimana pula dengan anak yatim piatu?

Yatim Piatu adalah seseorang yang tidak lagi memiliki ayah dan ibu. Yatim, dari bahasa Arab, ertinya seseorang yang tidak memiliki ayah, dan piatu adalah seseorang yang tidak memiliki ibu. Dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, yatim maksudnya anak yang kematian ibu atau bapa. Yatim piatu pula adalah anak yang kematian ibu dan bapa - yang kematian kedua-dua ibu bapanya.

Menurut istilah syarak yang dimaksudkan dengan anak yatim adalah anak yang ditinggal mati oleh ayahnya sebelum dia baligh. Had atau sempadan umur seorang anak disebut yatim adalah ketika anak tersebut sebelum baligh dan dewasa, berdasarkan sebuah hadith yang menceritakan bahwa Ibnu Abbas r.a. pernah menerima surat dari Najdah bin Amir yang berisi beberapa pertanyaan, salah satunya tentang batasan seorang disebut yatim, Ibnu Abbas r.a.  menjawab, maksudnya:


“Dan kamu bertanya kepada saya tentang anak yatim, kapan terputus predikat yatim itu, sesungguhnya predikat itu putus bila ia sudah baligh dan menjadi dewasa." (H.R. Imam Muslim).

Perkataan piatu bukan berasal dari bahasa arab, kata ini dalam bahasa Indonesia atau bahasa Melayu dinisbatkan kepada anak yang ditinggal mati oleh ibunya, dan anak yatim piatu: anak yang ditinggal mati oleh kedua orang tuanya.

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya: 

“Barangsiapa mengambil anak yatim dari kalangan muslimin, dan memberinya makan dan minum, Allah akan memasukannya ke surga, kecuali bila ia berbuat dosa besar yang tidak terampuni.” (H.R. Imam Turmudzi)

“Sebaik-baik rumah kaum Muslimin ialah rumah yang di dalamnya anak yatim diperlakukan dengan sebaik-baiknya, dan sejelek-jelek rumah orang Islam ialah rumah yang di dalamnya anak yatim diperlakukan dengan jelek.” (H.R. Ibnu Mubarak)

Tragedi menjadi anak yatim amatlah perit kerana dalam usia  muda adalah suatu yang sukar terpaksa diharungi dengan keadaan duka kerana ketiadaan belaian kasih sayang daripada orang yang tersayang, mengadu perasaan dan mengharapkan simpati sama ada ibu atau bapa atau kedua-duannya. Kesukaran tersebut semakin berat apabila anak tersebut berstatus fakir atau miskin. Lagi parah jika ditinggalkan dengan hutang atas nama anak yatim tersebut.

Sifat anak yatim boleh menjerumuskan dirinya ke arah penyelewengan, masa depan yang sukar dan dipergunakan atau menjadi alat untuk kepentingan penjaganya. Jika berlaku perkara tersebut ia turut menyusahkan masyarakat, menghancurkan pembangunan negara, memecah-belahkan perpaduan umat, menghuru-harakan akhlak anak-anak yang sebaya dengannya dan berleluasanya kerosakan di sana-sini .

Allah s.w.t. memberi kita akal insani wajar menyantuni, membantu, memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak tersebut supaya mempunyai keyakinan diri,  menyayangi mereka agar berasa tidak terasing daripada masyarakat dan rakan sebaya. Pembesaran mereka pula seiring dengan perkembangan rakan-rakan yang mempunyai ibu bapa yang tersayang.

Firman Allah s.w.t.:


A220


"Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Q.S. Al-Baqarah: 220)


A009


“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,” (Q.S. Al-Dhuha: 9)


A001

A002


“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,” (Q.S. Al-Ma’un: 1-2)

Adalah menjadi kewajiban bagi individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan supaya mendidik, memberi dorongan dan mencukupkan keperluan hidup mereka supaya sama seperti anak-anak yang lain.

Jika keluarganya tidak berkemampuan maka menjadi tanggungjawab pemerintah menanggung semua keperluan anak yatim tersebut supaya mereka membesar dengan kasih sayang, terdidik, dipimpin dan menanggung keperluan hidupnya supaya pembesarannya tidak tergelincir kepada kebinasaan, menjadi jahat, tertekan, tidak senonoh, tidak tentu arah dan terpesong dari ajaran Islam.


Nota:

Pengertian Predikat:  kata atau kata-kata dalam bentuk frasa yang menerangkan sesuatu yang menjadi subjek sesuatu ayat; cerita. Atau bahagian ayat yang menandai apa yang dikatakan atau dinafikan tentang subjek.


Sila lihat juga:

Tuesday, 23 April 2013

Pengalaman: Bertekak Dahulu Kemudian Memeluk Islam



Rentetan daripada perubahan sikap Arnoud van Doorn, mantan anggota Parti Kebebasan haluan kanan, Belanda,  yang sebelum ini  terlibat secara langsung dalam pembikinan sebuah filem menghina peribadi Rasulullah s.a.w. telah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kini dilaporkan telah memeluk Islam.

Ketika ditanya apakah punca yang mendorongnya memeluk Islam; antaranya kata beliau sebenarnya reaksi dan kemarahan luar biasa umat Islamlah telah mendorongnya untuk mengkaji dan mencari apakah rahsia sebenar di sebalik kecintaan yang begitu mendalam umat Islam terhadap peribadi agung tersebut. Akhirnya terjawab dengan kerelaan beliau mengucap dua kalimah syahadah.


Lapan tahun dahulu, saya pernah menghadapi satu keluarga yang anaknya memeluk Islam kerana akan berkahwin dengan seorang lelaki Melayu. Kemasukan wanita cantik itu ke dalam Islam, telah saya syahadahkan dihadapan kedua ibu bapanya yang bukan Islam dan disaksikan oleh bakal suami serta seorang saksi lagi kerana individu yang hendak masuk Islam dikehendaki membawa dua orang saksi dari kalangan umat Islam bagi melengkapkan borang permohonan dan memudahkan proses pendaftaran pengislamannya teratur dan mengikut prosedur yang dikehendaki oleh jabatan pada ketika itu.   

Kebiasaannya selepas disyahadahkan, saya akan memberikan penjelasan serba ringkas tentang agama Islam kepada mualaf bersama-sama dengan saksi-saksi yang hadir.  Dalam tempoh beberapa minit, saya fokus kepada persoalan akidah dan ibadah. Selepas itu baharulah saya cadangkan supaya mualaf rajin menghadiri kelas-kelas pengajian agama sama ada dibawah kelolaan JAWI, JAIS, PERKIM, masjid surau atau  pertubuhan Islam bagi memahami Islam secara terperinci. Di samping itu memberi ruang sesi pertanyaan dan bersembang-sembang dari hati ke hati.

Dalam masa bersembang itu terkeluar daripada mulut saya:

“Mak cik dan pak cik tak nak masuk Islam?”  

“Saya tetap dengan agama saya, kerana anak nak kahwin dengan orang Islam sebab itu saya datang,” tegas ibu mualaf.

“Saya dengan suami tidak fikir untuk masuk Islam,” sambungnya lagi.

“Manalah tahu, saya cuma tanya sahaja,” jawab saya.

“Selepas menerima surat pengesahan Islam, proses untuk nikah boleh dilakukan di Bahagaian Nikah Kahwin di blok sebelah sana,” sambil saya menunjukkan arah pejabat nikah kahwin.

Sebenarnya, panjang lagi dialog saya dengan ibu mualaf itu. Manakala suaminya mendiamkan diri. Majlis pengislaman dijalankan selepas salat Jumaat.

Pada hari Isnin, saya menerima panggilan daripada ibu mualaf menyatakan bahawa beliau dan suaminya berhasrat hendak masuk Islam. Barangkali tempoh berehat selama tiga hari selepas pengislaman anaknya, Allah s.w.t. telah mengilhamkan kepada keluarga tersebut. 

Sehingga hari ini saya mendapat pengajaran bahawa manusia akan berubah sekelip mata jika dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa mengetuk hati yang keras. Allahu Akhbar.



Sunday, 21 April 2013

Datuk Kamilia Ibrahim: Pejuang Berprinsip


Secara peribadi saya tidak mengenali Datuk Kamilia Ibrahim, mantan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia yang bertanding atas tiket bebas kerana kecewa dipinggirkan daripada arena politik peringkat kebangsaan.

Kekecewaan beliau itu diluahkan melalui kenyataan laman sosialnya: “Saya  Kamilia Ibrahim telah disahkan oleh SPR sebagai calon bebas Parlimen Kuala Kangsar, dan dengan ini mengumumkan perletakan jawatan selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar, dan Ahli Umno," tulis Datuk Kamilia.

Sebagai seorang yang berprinsip, saya amat berbangga dengan Datuk Kamilia kerana sebagai seorang ahli parti yang terkuat di kalangan banyak parti yang  ada di negara kita dan beliau pula berada pada posisi atau hierarki yang atas tiba-tiba dinafikan potensi beliau sedangkan beliau telah melalui pelbagai peringkat untuk sampai kepada kedudukan tersebut. Dengan kedudukan tersebut setidak-tidaknya Datuk Kamilia boleh mengatur strategi, menyumbang tenaga dan idea kepada kejayaan parti terutamanya menghadapi PRU13.

Saya menjangkakan dan mungkin Datuk Kamilia juga bersetuju bahawa adalah sukar untuk beliau memenangi kerusi parlimen kawasan tersebut dalam pertandingan tiga penjuru disebabkan oleh keadaan kekurangan jentera pilihan raya, keputusan bertanding pada saat-saat akhir, bergerak atas tiket bebas dan  menentang calon daripada parti berpengaruh: BN dan PR, tetapi sekurang-kurangnya beliau telah  membuktikan bahawa dalam perjuangan, kita wajar memiliki prinsip. Kalah atau menang dalam pertandingan adalah perkara biasa tetapi yang pastinya beliau telah melakukan kejutan diluar jangkaan.

Barangkali ramai lagi individu seperti Datuk Kamilia tidak mendapat tempat bertanding sepertinya sama ada di dalam parti atau parti-parti lain tetapi setidak-tidaknya mereka itu berada dalam lingkungan ahli biasa atau jawatankuasa tertinggi parti sahaja berbeza dengan beliau.

Dalam suasana pertarungan sengit untuk mendapatkan kerusi parlimen; kelekaan  dalam menyusun kekuatan anggota,  mengemaskini gerak kerja, mengatur strategi dan mengeratkan kesepakatan adalah suatu yang wajib diadakan dan terlerainya ikatan tersebut akan memberi kekecewaan selepas pembuangan undi pada 5 Mei 2013 bersamaan 24 Jamadil Akhir 1434H (Ahad).

Friday, 19 April 2013

PAS Memerintah Malaysia?


Jika benar Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggunakan logo Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk Pilihan Raya Umum Ke-13, ketika tarikh penamaan calon akan diadakan pada hari esok 20 April 2013 bersamaan 9 Jamadil Akhir 1434H, maka akan tercatat sejarah yang sukar untuk dilupakan dan wajar diraikan setiap tahun kerana sejak 30 tahun yang lalu seorang penceramah agama atau barangkali juga pengkaji politik melontarkan pandangannya dalan suatu ceramah di Masjid Jamek An-Nur, Labuan,  Wilayah Persekutuan, mengenai penggabungan tersebut.

Pandangan tersebut disuarakan walaupun pada ketika itu PAS diwakili oleh seorang wakil rakyat tunggal di parlimen. Dengan nada ceramahnya yang penuh keyakinan meramalkan dan menjangkakan seandainya PAS dan DAP boleh bergabung maka kerajaan yang sedang memerintah boleh ditumbangkan. Analisa  tersebut dilontarkan semasa saya sedang belajar di peringkat menengah.

Dalam analisa tersebut beliau mengambil pendekatan mudah iaitu bahawa orang Melayu majoritinya menyokong PAS terutamanya di kawasan luar bandar, dan perlu juga diingatkan bahawa orang Melayu luar bandar telah ramai yang berhijrah ke bandar, manakala majoriti kaum Cina menyokong DAP. Gabungan antara PAS dan DAP akan memberi impak yang amat besar kepada scenario politik negara menurut pencermah itu. Keyakinan penceramah tersebut disokong dengan fakta dan katanya lagi bahawa perkara tersebut boleh berlaku jika diizinkan oleh Allah s.w.t.

Setelah saya berhijrah ke semenanjung kerana melanjutkan pelajaran, ramai sahabat-sahabat yang bertanya kepada saya sama ada PAS ada peluang untuk memerintah negara atau memenangi pilihan raya. Saya menjawab dengan yakin seperti mana penceramah yang saya dengar 30 tahun dahulu melontarkan ideanya. Cuma saya membuat tambahan bahawa bertukarnya siang dan malam, bersilih gantinya musim, maka sikap manusia juga akan turut berubah seperti berubahnya perkembangan kemanusiaan. Tiada makhluk yang mengatasi kekuasaan Allah s.w.t.

Sehingga hari ini suara tersebut masih mendesis di telinga saya dan catatan ini disediakan adalah untuk mengimbau kembali sama ada cetusan idea penceramah tersebut menjadi kenyataan. Dan barangkali benarlah jika Allah s.w.t. hendak mengubah sesuatu perkara itu ia akan berlaku sekelip mata sahaja kerana naluri, perasaan dan fikiran manusia boleh berubah.  Dengan kenyataan DAP hari ini secara terbuka menggunakan lambang PAS dan pihak PAS secara lapang dada memberi laluan mudah, dengan itu barangkali ‘kasyaf’  yang dilontarkan oleh penceramah tersebut sedang menaungi bumi ini. Allahu Akhbar.

Sehingga kini, saya juga amat berbangga dengan Datuk Haji Mohd Nakhaie bin Haji Ahmad, adalah antara pelopor yang memperkenalkan PAS kepada kaum Cina secara dialog terbuka sehingga boleh menembusi ‘Dewan Perniagaan Cina Selangor, Jalan Kampung Atap, Kuala Lumpur’, yang ketika itu kelihatan asing kepada masyarakat tetapi tidak asing bagi PAS. Tahniah kepada Datuk Haji Mohd Nakhaie bin Haji Ahmad ketika ini, Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan. Jasamu dikenang Datuk.

Persoalan sekarang ialah adakah tepat ramalan yang pernah diaju dan dilontarkan di Masjid Jamek An-Nur, Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan, tiga puluh tahun dahulu menjadi realiti atau ia suatu pandangan kritis daripada seorang yang peneliti yang ikhlas?

Thursday, 11 April 2013

P121 Lembah Pantai: Calon BN Dan PR Memiliki Kelebihan Tersendiri



Pertembungan antara Barisan Nasional yang diwakili oleh Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik bin Raja Zainal Abidin, dengan penyandang  kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah binti Datuk Seri Anwar yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (Pakatan Rakyat) memperlihatkan bahawa persaingan sengit untuk mendapatkan kerusi Parlimen Lembah Pantai tetap berlaku, tanpa menafikan pertandingan yang lebih hebat pada semua kawasan sama ada  di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri  hatta yang melibatkan pertarungan sesama pakatan rakyat di kawasan yang sama ditandingi. Kehadiran calon-calon bebas bertanding hanyalah untuk meraikan Pilihan Raya Umum ke-13 sahaja. Barangkali juga untuk dicatatkan sebagai rekod sejarah kerana bertanding pada pilihan raya ke 13 untuk tahun 2013.  Angka:  1313.

Secara ironisnya, Nurul Izzah binti Datuk Seri Anwar mempunyai kelebihan tersendiri yang bukan sahaja dilihat kepada pengaruh ayahnya tetapi kekerapan beliau mendekati pengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai dan penampilan beliau yang boleh meraih simpati khalayak. Kebolehan beliau mengemukakan sesuatu isu dan membangkitkannya untuk pengetahuan umum adalah suatu yang diharapkan sama ada di peringkat parlimen, sebaran media masa atau ceramah umum. Dengan membawa isu-isu terkini dan disokong dengan fakta menjadikan ia sukar disanggah berdasarkan fakta dengan fakta.

Manakala jentera pilihan raya pula adalah tidak menjadi masalah baginya  kerana di samping memiliki jentera parti, kehadiran aktivis-aktivis Parti Islam SeMalaysia (Pas) yang memang dikenali tahan lasak, berdisiplin dan memiliki komitmen yang tinggi sama ada golongan veteran atau pemuda pemudinya yang senentiasa bersedia menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit secara percuma, dan sokongan padu daripada penyokong-penyokong  Parti Tindakan Demokratik (Dap).

Bagi Barisan Nasional, setelah pengunduran Datuk Seri Shahrizat binti Abdul Jalil daripada bertanding di kawasan Parlimen Lembah Pantai adalah dijangkakan individu yang layak mewakili Barisan Nasional tidak lain tidak bukan iaitu Datuk Raja Nong Chik bin Raja Zainal Abidin. Beliau bukan sahaja Penyelaras Parlimen Lembah Pantai tetapi juga menteri yang kerap bersama rakyat dan masyarakat di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Kelebihan yang ada pada Datuk Raja Nong Chik kerana beliau adalah Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar yang bertanggungjawab secara langsung kepada rakyat di Wilayah Persekutuan, khususnya di kawasan Parlimen Lembah Pantai. Hubungan baik beliau dengan penduduk dan kakitangan kerajaan adalah suatu kelebihan yang sepatutnya tidak disia-siakan dan mesti digemblengkan sepenuhnya. Dengan sumber yang beliau miliki daripada ahli UMNO: veteran, wanita dan pemuda, dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional sewajarnya diselaraskan kerana kekuatan yang dimiliki jika tidak digunakan amat mengecewakan.

Catatan ini disediakan tidak berpihak kepada mana-mana individu. Cuma kita berharap bahawa mereka yang pernah memberikan harapan dan sokongan tidak diabaikan apabila kita berada dalam keadaan yang selesa.

Wednesday, 10 April 2013

PRU Ke-13


Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengisytiharkan bahawa penamaan calon akan diadakan pada 20 April 2013 (Sabtu) dan pengundian akan diadakan pada 5 Mei 2013 (Ahad).Dengan penetapan tarikh tersebut maka adalah menjadi tanggungjawab kita meluangkan masa mengundi.

Selamat berpilihan raya.




Friday, 5 April 2013

PRU13: Pertarungan Sengit


Mujahid: Calon PAS P057 Parit Buntar
Politik atau ilmu siasah adalah suatu bidang yang bersifat subjektif.

Bagi mereka yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. pemikiran yang cerdas dapat membaca aliran pemikiran dan tindakan pihak lawan, sekurang-kurangnya untuk tempoh tertentu.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh yang sama pihak yang satu pula akan mengubah corak tindakannya supaya sukar dibaca oleh seterunya sama ada dari segi tindakan, ucapan, iklan, provokasi, muslihat, kelicikan, kuasa dan kewangan, sokongan rakan, meraih dan merayu undi, isu-isu dibangkitkan tanpa memahami perkara yang sebenarnya atau menjadikan sesuatu kelihatan ada kaitannya dengan politik.

Memandangkan persoalan tersebut memerlukan terjahan agresif maka keligatan untuk mencapai kejayaan adalah suatu yang diwajibkan.

Main-main, bergerak sambil lewa, tiada keseriusan akan menerima kegagalan.

Semoga kita digolongkan menjadi mujahid dan bukan abid.


Daripada Fadhalah bin ‘Ubaid. Rasulullah s.a.w, bersabda maksudnya:

“Mahukan kalian aku beritahu tentang siapakah orang mukmin? Iaitu sesiapa yang manusia lain percaya kepadanya untuk menguruskan harta dan diri mereka. Muslim pula ialah sesiapa yang manusia lain terselamat daripada lidah dan tangannya. Mujahid pula ialah sesiapa yang berjihad menentang dirinya untuk mentaati Allah. Muhajir pula ialah sesiapa yang berhijrah daripada kesilapan dan dosa-dosa.” 
(H.R. Imam al-Baihaqi)


Berjayalah mereka yang memahami sumber kekuatannya dan menggunakan semaksimumnya.


Firman Allah s.w.t.:

"Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata:  Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat '.

Maka kamu jadikan mereka ejek-ejekan sehingga ejek-ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasanKu, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka.

Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya."

(Q.S. Al-Mu'minuun:109-111)


“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

( Q.S. Fussilat: 33 )


“Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka pula tidak dapat melambatkannya.

Kemudian Kami mengutus rasul-rasul Kami silih berganti. Tiap-tiap kali sesuatu umat didatangi Rasulnya, mereka mendustakannya; lalu Kami binasakan umat-umat yang demikian, lepas satu-satu; dan Kami jadikan perihal mereka sebagai cerita-cerita (yang mendatangkan iktibar); maka kebinasaanlah kesudahannya bagi orang-orang yang tidak beriman.”

(Al-Mu'minuun: 43-44)

Wednesday, 3 April 2013

Parlimen Bubar



Parlimen secara rasminya dibubarkan hari ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan khasnya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dari pejabatnya di Putrajaya. Dengan pembubaran tersebut segala teka-teki berkaitan pembubaran parlimen telah terjawab.

Aktivis-aktivis parti politik kini sedang bersiapsiaga untuk mengibarkan panji-panji parti masing-masing selepas sahaja penamaan calon disahkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

Walau bagaimanapun, disebabkan 'kehebatan' parti-parti yang akan bertanding, kini kita perhatikan dipelbagai tempat pemasangan iklan dan lambang parti politik yang dijangka akan bertanding sedang rancak mengatur strategik meraih dan menarik perhatian pengundi. Dalam suasana politik  antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dengan kekuatan yang sepadan, adalah dijangkkan pertarungan sengit akan berlaku.

Barangkali bahang dari semenanjung Korea dan timur tengah sedang tempias di sini. 

Mereka yang cerdik mengatur strategi dan menggunakan sumber kekuatan akan memenangi perjuangan.

Selamat berjuang.






Monday, 1 April 2013

Bagaimana Melindungi Undi Anda Dari Dikesan?




Video ini dirakam khas untuk pendidikan para pengundi, terutamanya untuk mengetahui bagaimana undi kita dapat dilindungi daripada dikesan.

 How to protect your votes ...


https://www.youtube.com/watch?v=z35HhEGLiTY


Untuk semakan daftar pemilih sila ke laman SPR dan semak samada nama anda telah berada dalam sistem sebagai pengundi berdaftar.


http://www.pru13.gov.my/
http://www.spr.gov.my/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”