NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial
Showing posts sorted by relevance for query Tabib. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query Tabib. Sort by date Show all posts

Sunday, 23 June 2013

Dialog Antara Tabib Dengan Pesakitnya


Berlaku dialog antara seorang tabib dengan pesakitnya, Qutbah Umair Mubasysyir yang bertanyakan tentang masalah kesihatan. Tabib yang tawaduk itu secara spontan telah memberikan jawapan yang cukup berkesan. Pesakitnya dengan rasa syukur berharap semoga semua nasihat daripada tabib tersebut dapat direalisasikan dalam kehidupannya.

"Tuan Dr., apakah yang menyebabkan kita sakit?"


"Sakit disebabkan ada sesuatu yang menimpa badan seseorang dan  menimpa jiwanya. Kedua-dua perkara tersebut dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 10, surah al-Muddaththir ayat 31 dan surah an-Nuur ayat 48-50 dan 61 dan banyak lagi termasuk juga daripada hadith Nabi s.a.w. dan pengamal-pengamal perubatan"

"Dalam keadaan atau kaedah perubatan, tiga perkara mestilah dipatuhi, iaitu: pertama memelihara kesihat, kedua mencegah dari segala yang merosakkan dan ketiga mengeluarkan zat-zat yang rosak. Perkara ini dinyatakan dalam surah  al-Baqarah ayat 184 dan 196 dan surah an-Nisaa' ayat 43 dan banyak lagi yang boleh dirujuk di dalam al-Quran dan hadith Nabi s.a.w.."

"Apakah penyebab penyakit tuan Dr.?"

"Banyak sebabnya, walaupun barangkali tidak selalu diketahui, tetapi besar manfaatnya jika diketahui dan menyelidiki sebab-sebabnya supaya penyakit itu dapat diubati dengan tepat. Jika kita ketahui penyakit itu, dua perkara perlu dilakukan: pertama menghilangkan sebab-sebabnya dan kedua menjauhkan diri dari penyakit tersebut."

"Penyebab-penyebab kepada penyakit, kelemahan atau kelesuan dan kematian, bolehlah dikategorikan kepada lima perkara: pertama disebabkan oleh kekurang zat-zat berfaedah untuk tubuh dalam makanan, kedua gangguan jiwa, ketiga akibat panas dan kesejukan yang berlebihan,  keempat racun atau keracunan dan kelima luka-luka. Jika dihuraikan lima perkara itu amatlah panjang ceritanya"


"Islam menganjurkan supaya berubat bila sakit. Ubat menjadi mujarab ketika sakit. Ubat adalah penyembuh kepada pesakit dan ubat bukan penyembuh orang sihat. Jika sihat tidak perlu makan ubat. Ubat hanya sesuai untuk mereka yang sakit sahaja. Sabda Nabi s.a.w., yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Zubair, dari Jaabar bin Abdullah, maksudnya: Setiap penyakit itu ada ubatnya, jika tepat ubatnya maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah Azza wa Jalla.""

“Apakah ubat yang mujarab itu?”

“Mengosongkan perut.”

“Bagaimana caranya?.”

“Berpuasa. Berlapar. Berpantang.”

“Ya, kerana perut adalah punca penyakit.”

“Berpuasa, lazimkan berlapar, kosongkan perut.”

“Lapar itu ubat. Nasihat pun ubat.”

“Makan dan minumlah, jangan berlebih-lebihan.”

“Jagalah kesihatan melalui perut.”

"Makanan yang baik?"

"Makanlah makanan yang baik-baik. Tidak memudaratkan. Tidak beracun."

"Elakkan makan binatng-binatang ganas/buas, jangan makan binatang-binatang yang dilarang dalam Islam terutamanya anjing dan babi. "

“Baginda s.a.w. sangat menyukai yang manis-manis dan madu.”

“Baginda s.a.w. makan roti dengan lauk, jika ada dan adakalanya lauknya adalah daging.”

“Sabda Nabi s.a.w., maksudnya: Daging adalah penghulu makanan penduduk dunia dan akhirat.”

“Rasulullah s.a.w. meletakkan kurma kering di atas roti dan bersabda: Ini lauknya.”

“Baginda s.a.w. memakan buah-buahan dalam negeri bila telah tiba musimnya. Baginda tidak berpantang mengenainya. Ini termasuk cara utama bagi memelihara kesihatan.”

“Orang yang tidak mahu makan buah-buahan kerana takut sakit itulah yang menyebabkan sakit badannya, jauh dari kesihatan dan kekuatan.”

“Makanlah dengan sopan, jangan makan sambil bersandar.”

“Menyuap makanan dengan sederhana, jangan gelojoh, cepat dan kelam kabut.”

“Nabi melarang tidur sebelum makan malam kerana ia boleh mengeraskan hati dan membahayakan kesihatan. Sabda Nabi s.a.w.: Meninggalkan makan malam itu menyebabkan lekas tua.”

“Sebaik-baiknya selepas makan malam hendaklah berjalan-jalan beberapa langkah atau mengerjakan salat supaya makanan itu masuk semuanya ke dalam perut dan memudahkan pencernaannya.”

“Rasulullah s.a.w.  tidak pernah mencelah makanan. Jika berselera di makannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

“Nabi pernah bersabda: Barangsiapa berada dalam keadaan badan yang sihat, aman dalam penghidupannya dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”

"Bagaimana pula tentang minuman?"

"Minuman adalah yang paling sempurna, untuk pemeliharaan kesihatan."

“Baginda minum madu dicampur dengan air.”

“Kadang-kadang Nabi s.a.w. minum susu asli tanpa dicampur apa-apa dan kadang-kadang dicampur air.”

“Baginda s.a.w. tidak pernah minum ketika sedang makan, sama ada minuman sejuk atau panas kerana ia boleh merosakkan dan tidak sesuai dengan keadaan perut.”

“Dilarang minum kerana tidak baik untuk kesihatan selepas berolahraga, sukan, berenang, jogging, selepas melakukan kerja-kerja berat, sesudah jimak, sebelum dan selepas makan, selepas makan buah-buahan kerana ia tidak baik untuk kesihatan.”

“Nabi s.a.w. minum sambil duduk dan dilarang minum sambil berdiri kecuali dalam keadaan terpaksa.”

“Jangan minum sambil bernafas dalam gelas.”

“Jangan minum sambil bercakap. Jangan minum sambil berlari.”

“Jika minum hendaklah dihirup dan jangan minum yang banyak sekali teguknya, ia menyebabkan penyakit hati.”

“Nabi s.a.w. minum dengan tiga kali bernafas kerana ia melega dan lebih menyihatkan.”

“Jimak adalah paling terpuji di antara sebab-sebab pemeliharaan kesihatan.”

"Berapa kalikah kekerapan jimak yang baik?"

“Seminggu sekali, atau dua kali, jika lebih daripada dua kali dikhuatiri akan mendatangkan mudarat kepada lelaki.”

"Bagaimana pula jika beristeri empat?

“Menurut Imam al-Ghazali: Hendaklah lelaki itu jimak dengan isterinya empat hari sekali dan itu dianggap pekerjaan yang adil kerana menimbangkan bahawa dihalalkan oleh Allah Taala bagi lelaki itu empat isterinya, tetapi harus dia mengurangi atau melebihkan kekerapan itu.”

“Menurut Imam al-Ghazali lagi: "Nafsu syahwat itu, apabila mengeras dan tidak dapat disanggah oleh kekuatan takwa, nescaya dapat mengheret kepada perbuatan keji.” Dan katanya lagi: “Demi sesungguhnya, pada waktu syahwat itu ada hikmah yang lain lagi, selain dari memberi beban untuk memperolehi keturunan, iaitu memperolehi kesenangan pada perlaksanaan nafsu syahwat itu, yang tiada bandingan dengan kesenangan itu, oleh kesenangan mana pun jua, apabila kesenangan itu boleh kekal.”

“Sebutlah nama Allah ‘Bismillah’ ketika makan minum dan pujilah ‘Alhamdulillah’ setelah selesai.”

Qutbah terfikir selama ini beliau makan dan minum tidak menurut peraturan. Umpamannya ketika menghadiri seminar atau kursus, jamuan, majlis kahwin, berbuka puasa kecuali jika makan di rumah sendiri masalah peraturan/disiplin pemakanan tersebut boleh diatasi. Ya Allah Ya Rabbal Alamin.

Kuala Lumpur
22 Jun 2013M bersamaan 15 Syaaban 1434H (Sabtu)





Wednesday, 27 May 2015

KEHIDUPAN PENDEK SEDANGKAN ILMU ITU BANYAK


PostPosted: Fri May 15, 2015 10:48 pm    Post subject: Hikam Al-Ghazali Reply with quote

1.
Akhirat itu di depan.
Dunia itu di belakang.
Ajal itu dekat.
Perjalanan itu jauh.
Perbekalan itu sedikit.
Bahaya itu besar.
Dan jalan itu tertutup.

2.
Berjalan ke akhirat dengan banyaknya tipu daya, jika tanpa penunjuk dan teman, adalah payah dan sukar.
Penunjuk-penunjuk jalan itu ialah kaum ulama. Merekalah pewaris para nabi.

3.
Pengetahuan menuju ke akhirat itu terbahagi kepada ilmu mu'amalah dan ilmu mukasyafah.
Dan ilmu mu'amalah itu adalah jalan kepada ilmu mukasyafah.
Adapun ilmu mukasyafah, mereka (para nabi) tidak memperkatakannya selain dengan jalan rumus dan isyarat, yang berupa contoh dan kesimpulan. Kerana para nabi itu tahu akan singkatnya pemahaman orang ramai untuk memikulnya.

4.
Ilmu mu'amalah itu terbahagi kepada ilmu zahir dan ilmu batin.
Ilmu zahir ialah ilmu tentang amal perbuatan anggota badan.
Ilmu batin ialah ilmu tentang amal perbuatan hati.

5.
Berlemah-lembut menarik hati orang kepada ilmu yang berguna dalam kehidupan abadi, adalah lebih penting daripada kelemah-lembutan menariknya kepada ilmu kesihatan, yang faedahnya hanya untuk kesihatan jasmaniah belaka.
Faedah ilmu (agama) ini ialah membawa kesihatan kepada hati dan jiwa, yang bersambung terus kepada kehidupan abadi.
Apalah ertinya ilmu kesihatan itu yang hanya dapat mengubati tubuh kasar sahaja, yang akan hancur binasa dalam waktu yang tidak lama lagi.

6.
Sesungguhnya makanan hati ialah ilmu dan hikmah. Dengan dua itulah hidupnya hati, sebagaimana tubuh hidup dengan makanan.
Orang yang tidak berilmu, hatinya jadi sakit dan kematian hatinya itu suatu kemestian. Tetapi dia tidak menyedari hal itu kerana kecintaan dan kesibukannya dengan dunia menghilangkan perasaan itu, sebagaimana kesangatan takut kadang-kadang menghilangkan kepedihan luka buat seketika, meskipun luka itu masih ada.

7.
Kita berlindung dengan Allah dari hari pembukaan apa yang tertutup. Sesungguhnya manusia itu tertidur. Apabila mati, barulah dia terbangun.

8.
Ilmu itu jalan ke negeri akhirat, kebahagiaan akhirat dan jalan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Tidak akan sampai kepadaNya melainkan dengan ilmu.

9.
Kedudukan yang tertinggi bagi seseorang manusia ialah kebahagiaan abadi. Dan yang paling utama ialah jalan kepadanya. Tidak akan sampai kepadanya selain dengan ilmu dan amal. Dan tidak akan sampai kepada amal melainkan dengan mengetahui cara beramal.

10.
Dunia adalah tempat bercucuk-tanam bagi akhirat.
Dunia adalah alat yang menyampaikan kepada Allah Ta’ala,
bagi orang yang mahu mengambilnya sebagai alat dan tempat tinggal,
tidak bagi orang yang mengambilnya menjadi tempat tetap dan tanah air abadi.

11.
Yang paling mulia di atas bumi ialah bangsa manusia.
Yang paling mulia daripada bahagian tubuh manusia ialah hatinya.
Guru bekerja menyempurnakan, membersihkan, mensucikan dan membawa hati itu mendekati Allah.

Maka manakah pangkat yang lebih mulia daripada menjadi perantara antara Tuhan dan makhlukNya, untuk mendekatkan kepadaNya dan membawa mereka ke syurga tempat kediaman?

12.
Penguasa dan agama adalah dua anak kembar.
Agama itu pokok dan penguasa itu pengawal.
Sesuatu yang tidak berpokok, roboh.
Sesuatu yang tidak berpengawal, hilang.

13.
Tentang solat, ahli fiqh berfatwa dengan sah apabila solat itu dikerjakan dengan bentuk segala perbuatan solat serta jelas syarat-syaratnya, sekalipun ia lengah (lalai) dalam seluruh solatnya dari awal hingga akhir, asyik berfikir menghitung penjualan di pasar, kecuali ketika bertakbir.
Solat seperti itu tidaklah bermanfaat di akhirat.

14.
Wara’ itu mempunyai 4 tingkat :
1.  Wara’ tingkat pertama (wara’ orang awam).
2. Wara’ para solihin.
3. Wara’ para muttaqin.
4. Wara’ para siddiqin (peringkat tertinggi).

15.
Ilmu mukasyafah itu ialah ilmu batin. Dan itulah kesudahan segala ilmu. Telah berkata sebahagian ‘ariffin : “Orang yang tidak mempunyai bahagian daripada ilmu mukasyafah ini, aku khuatir akan buruk kesudahannya. Sekurang-kurangnya ialah membenarkan ilmu itu dan tunduk kepada ahlinya.”

16.
Kami maksudkan dengan ilmu mukasyafah itu ialah terangkat hijab yang menutupi sehingga jelaslah kenyataan kebenaran Allah pada semuanya itu dengan sejelas-jelasnya, laksana mata memandang, yang tidak diragukan lagi.

17.
Ulama zahir itu hiasan bumi dan kerajaan.
Ulama batin itu hiasan langit dan alam malakut.

18.
Adapun mengenal Allah Ta’ala, sifat dan af’alNya serta sekalian yang telah kami isyaratkan dalam ilmu mukasyafah, maka tidaklah diperoleh dari ilmu kalam. Malahan hampir sahaja ilmu kalam itu menjadi hijab dan penghalang.

19.
Tauhid mempunyai dua kulit.
Kulit pertama - mengucapkan Laa Ilaahaillallaah.
Kulit kedua – hati tidak berlawanan dengan ucapan tadi.

Manakala isi tauhid – melihat seluruh keadaan daripada Allah Ta’ala dengan tidak menoleh kepada perantaraan. Dan beribadah kepadaNya dengan ibadah yang tunggal kepadaNya. Tidak ia beribadah kepada yang lain.

20.
Tiap-tiap orang yang mengikut hawa nafsunya, dia telah mengambil hawa nafsunya sebagai Tuhannya.

21.
Seorang yang bertauhid, dia tidak melihat melainkan Yang Esa dan tidak menghadapkan wajahnya melainkan kepada Yang Esa itu.

22.
Adapun ilmu yang terpuji setinggi-tingginya ialah ilmu tentang Allah Ta’ala, sifatNya, af’alNya, sunnahNya dalam menjadikan makhlukNya dan hikmahNya pada tertibnya akhirat di atas dunia.

23.
Ilmu (tasawuf peringkat tinggi) itu adalah laut yang tak diketahui dalamnya. Para perenang hanya dapat merenangi pantai dan tepinya sahaja, sekadar yang mungkin ditempuhnya. Tidak dapat menempuh segala tepinya selain para nabi, wali dan para ahli menurut tingkat masing-masing, yang berbeza kesanggupan dan berlebih kurang takdir yang dianugerahi Allah Ta’ala.

Itulah ilmu yang tersembunyi, yang tidak ditulis pada halaman kitab. Yang menolong untuk mengetahuinya ialah dengan jalan belajar dan menyaksikan perihal keadaan ulama akhirat.

24.
Ilmu terpenting yang disia-siakan semua orang ialah ilmu sifat hati, yang terpuji dna yang tercela daripadanya. Kerana tidak ada manusia yang terlepas daripada sifat yang tercela seperti haloba, dengki, riya’, takbur, sombong dan sebagainya. Semua itu membinasakan.

Menyia-nyiakan kewajiban tadi serta mementingkan amal zahiriyyah, samalah halnya dengan melakukan perbuatan menggosok badan zahir ketika menderita penyakit kudis dna bisul, tetapi melupakan usaha untuk mengeluarkan benda (punca) penyakit dari tubuh dengan berbekam dan mencuci perut.

25.
Ulama kosong – menunjukkan jalan kepada amal zahiriyyah, sepertilah tabib-tabib di jalanan yang menunjukkan jalan dengan menggosok badan zahiriyyah.
Ulama akhirat – tidak menunjukkan jalan selain dengan mensucikan batin, mencabut benda-benda jahat yang merosakkan tanaman dan akar-akarnya dari hati.

26.
Orang kebanyakan menempuh amal zahiriyyah, bukannya amalan batin iaitu mensucikan hati nurani. Kerana amal zahiriyyah itu mudah, sedangkan amalan hati itu sukar. Samalah seperti orang yang berasa payah meminum ubat yang pahit lalu menggosok badan yang zahir sahaja. Maka terus-meneruslah dia bersusah-payah menggosok dan bertambah pula benda-benda yang digosokkan, sedangkan penyakitnya terus bertambah juga.

27.
Jika engkau mahu akan akhirat, mencari kelepasan dan melarikan diri daripada kebinasaan abadi, maka berusahalah mempelajari ilmu penyakit batin dan cara mengubatinya.

28.
Sesungguhnya apabila hati kosong daripada sifat yang tercela, maka penuhlah ia dengan sifat yang terpuji. Apabila bumi telah bersih daripada rumput, maka tumbuhlah padanya pelbagai tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan. Jika tidak kosong daripada rumput, maka tidaklah tumbuh yang tersebut tadi.

29.
Janganlah engkau menghabiskan waktu dengan fardhu kifayah, apatah lagi apabila sudah berdiri segolongan anggota masyarakat yang mengerjakannya. Orang yang mengorbankan dirinya sendiri untuk kebaikan orang lain itu bodoh. Alangkah dungunya orang yang telah masuk ular dan kala ke bawah kain bajunya dan akan membunuhnya, lalu ia mencari alat pembunuh lalat untuk membunuh lalat itu pada orang lain, yang tidak akan menolong dan melepaskannya daripada ular dan kala itu.

30.
Janganlah engkau menghabiskan umur pada suatu ilmu sahaja daripada ilmu-ilmu itu kerana benar-benar hendak mendalaminya. Hal ini kerana ilmu itu banyak sedangkan umur itu pendek.









Monday, 29 July 2013

Nasihat Perubatan Dan Jenis-Jenisnya



Suatu pagi minggu saya dan kawan; Noorhadaina Mansurah, sarapan di sebuah gerai berhampiran taman perumahan saya. Semasa minum itu kami bersembang-sembang tentang penjagaan kesihatan, produk-produk kesihatan, herba dan ramuan-ramuannya dan makanan tambahan untuk kesihatan sehingga mengerawang ke dunia ghaib dan kadang-kadang merentasi lautan, benua, angkasa raya dan hutan belukar untuk sampai ke klimaks yang dibincangkan. 

Beberapa langkah-langkah bagi seseorang pengamal perubatan menentukan keadaan pesakitnya sebelum menentukan rawatan yang sesuai. Antaranya melalui pemerhatian, pertanyaan dan aduan, punca berlakunya, nasihat-motivasi, pemeriksaan nadi, sentuhan, penghiduan bagi mengenalpasti keadaan pesakit pada peringkat awal sebelum tindakan susulan bagi penentuan jenis rawatan. 

Di samping perbincangan dan sebahagian besarnya catatan ini dipetik daripada buku: Penyakit Ganguan Syaitan Dan Cara Mengatasinya oleh Dr. Alimin dan diterbitkan oleh Penerbitan Edaran Kalam, Kuala Lumpur (1997). Semoga Allah memanjangkan pahalanya kepada mereka yang menasihati perubatan itu kepada kita. Amin.


Pertanyaan: Apakah tujuan perubatan?

Jawapan: Untuk menyembuhkan, mempercepatkan penyembuhan dan meminimumkan akibat penyakit. TAPI ada individu mengambil makanan tambahan kesihatan untuk tujuan mengekalkan kesihatan walaupun perkara tersebut tidak mendesak. Barangkali dalam artikel di ruangan ini: Dialog Antara Tabib Dengan Pesakitnya boleh dirujuk dan diamati. 


Pertanyaan: Kemusykilan saya lagi ialah apakah perbezaan antara orang sakit dan orang sihat. Yang dimaksudkan ialah orang sihat nampak ceria, cerdas dan tenang manakala orang yang sakit kelihatan tidak bermaya, keletihan dan gelisah?

Jawapan: Sebenarnya sukar untuk menentukan keadaan seseorang antara sihat atau sakit. Kerana individu  yang sihat tidak seratus peratus sihat dan individu yang sakit tidak pula seratus peratus sakit. Thermometer kepada skima ini adalah individu yang kelihatan sihat mengadu sakit dan demikian juga individu yang kelihatan sakit parah  sekalipun  pada umumnya masih mengandungi sihat walaupun dalam nisbah yang kecil. Sebagai contoh: Seseorang kelihatan sihat tetapi ia sendiri merasakan dirinya sakit.  Sebaliknya pula ada individu kelihatan sakit  tetapi ia sendiri mengakui dirinya sihat. Demikian juga jika individu mengakui dirinya sakit tetapi orang lain mengatakan bahawa ia kelihatan sihat. Bila diri individu merasa sihat dan orang lain mengatakan sihat, maka tepatlah dia seorang yang sihat. Jika individu itu sakit dan orang lain pula mengatakan dia sakit maka  sudah pastilah bahawa individu tersebut sakit. Kesimpulananya ialah masalah kesihatan sama ada seseorang itu sihat atau sakit adalah berdasarkan kepada pengaduan dan pernyataan individu tersebut kepada pakar (doktor) yang bertindak mengesahkan keadaan individu tersebut sama ada sihat atau sakit setelah menjalani rawatan yang intensif.


Pertanyaan: Bagaimana pula tentang penyebab penyakit?

Jawapan: Bila penyebab penyakit masih aktif, mengganggu, menyerang dan merosak maka tindakan segera dilakukan untuk menyingkirkannya. Kadang-kadang ada penyakit tertentu di mana penyakit berlabuh sementara sahaja dengan meninggalkan kesan parah kepada pesakit. Oleh itu penyembuhan kepada penyebab penyakit itu tidak diperlukan lagi sebaliknya kepada penyakit yang baru dihasilkan. Sebagai contoh seseorang terkena paku; pakunya telah dikeluarkan dan yang perlu diubati ialah lukanya dan kesan karat paku pada luka tersebut bukan lagi paku yang penyebab penyakit itu.


Pertanyaan: Bagaimana kita menentukan penyebab penyakit?

Jawapan: Dari segi perubatan:

1. Ada sejumlah penyakit secara relatif mudah ditentukan penyebab penyakit seperti: malaria, luka, selsema dan cirit-birit.

2. Ada pula sejumlah penyakit yang sulit ditentukan penyebabnya seperti: jantung, hipertensi, darah rendah dan diabetes.

3. Ada pula penyakit diketahui penyebabnya dan diberi nama sesuai dengan penyebab penyakit itu seperti malaria, tibi, luka dan selsema.

4. Ada sejumlah penyakit diberi nama sesuai dengan keadaan badan yang sakit seperti: sakit kepala, sakit perut, apendiks dan sakit zakar.

5. Ada sejumlah penyakit diberi nama sesuai dengan gejala yang menonjol seperti hipertensi, darah rendah, bisul dan sakit sendi.


Pertanyaan: Bagaimana kita mengenali gejala-gejala penyakit?

Jawapan: Kita boleh mengenali penyakit sama ada gejala bersifat umum atau gejala bersifat khusus dan gejala bersifat utama dan tambahan:

1. Penyakit yang gejalanya bersifat umum seperti lesu, pucat, letih dan demam.

2. Penyakit yang gejalanya bersifat khusus seperti menggigil, selsema, batuk-batuk dan lumpuh. 

3. Penyakit yang gejalanya bersifat utama dan tambahan seperti:
   i.  Penyakit  usus;  gejala  utamanya  sakit  kiri  berbelit   manakala  gejala
       tambahannya berasa mual atau muntah.

   ii. Penyakit  malaria;  gejala  utamanya  panas  didahului  dengan menggigil
      kesejukan  berulangkali  dan  gejala  tambahanya  muka  pucat,  letih dan
      tidak bertenaga.


Pertanyaan: Bagaimana penyakit berlaku?
                                                                                       
Jawapan: Semua penyakit berlaku dengan pelbagai cara menurut  kejadian-kejadian seperti berikut:

1. Penyakit boleh berlaku secara mendadak seperti terjatuh, terluka, minum racun dan disihir.

2. Ada penyakit boleh berlaku secara beransur-ansur seperti tibi, kurang gizi, jantung dan diabetes.

3. Ada penyakit masuk dahulu, lalu memperkuat diri, sesudah kuat baru melakukan serangan. Tempoh  masa antara masuk dan munculnya penyakit itu dikenali sebagai inkubasi (mengeram) seperti malaria, infeksi kuman, keracunan (racun) dan barah.

4. Ada penyakit masuk secara halus, bila dipantau dan diawasi secara positif ia akan hilang begitu sahaja, kesan daripada pengawasan dan mendampingi pesakit ia memulihkan tetapi bila ia dipantau secara negatif, diabaikan ia berubah drastik seperti stress, tertekan perasaan, was-was atau barangkali perasaan kesal yang masuk dan bersarang di dalam hati.

5. Ada penyakit memudaratkan iaitu bawaan bayi sejak lahir akan berlaku semasa peringkat pemulihan akibat infleksi penyakit tersebut seperti jantung, usus berbelit, infeksi kuman, kusta dan HIV.


Pertanyaan: Pada ketika bila penyakit menyerang dan menghilang tanpa disedari atau ringkasnya bila masa datang dan perginya penyakit?

Jawapan: Penyakit boleh menyerang bila-bila masa tanpa amaran. Serangan kilat yang boleh membunuh. Serangan secara senyap-mengejut. Penyakit akan menghilang bila imun badan bertindakbalas terhadap serangan penyakit. Oleh itu penyakit akan datang tanpa disedari dan  sudah tentu penyakit itu menghilang apabila dapat dipulihkan. Istilah yang tepat ialah penyakit itu telah sembuh. Ada beberapa keadaan iaitu: 

1. Ada penyakit yang pergi tanpa meninggalkan kesan.  Sembuh hampir seratus peratus atau sembuh seratus peratus seperti demam, batuk atau cirit-birit. 

2. Ada penyakit yang pergi dengan meninggalkan kesan sementara seperti luka yang meninggalkan kesan parutan kecil dan berbekas, penonjolan dibahagian badan, rabun atau herot.

3. Ada penyakit yang pergi dengan meninggalkan kesan sampingan sahaja  seperti sengatan lebah, selepas penyembuhan berat badan menurun atau meningkat.

4. Ada penyakit yang pergi dengan meninggalkan kesan kekal seperti kesan penyakit cacar yang berparut, kesan pembedahan atau melecur.

5. Ada penyakit yang pergi dengan meninggalkan kesan kecacatan dengan segala kekurangan dan akibatnya pula seperti patah, rabun, kudung atau lumpuh.

6. Ada penyakit yang pergi dengan meninggalkan kesan kekal utama seperti putus anggota badan, kaku menyebabkan tidak dapat dibetulkan lagi, putus zakar menyebabkan langsung tidak berfungsi, mata rosak yang menyebabkan buta atau gegendang telinga pecah menyebabkan pekak.


Pertanyaan: Jika kita menjalani perubatan tetapi kurang berkesan adakah alternatif lain yang boleh kita ikhtiarkan?

Jawapan: Pada ketika ini ada berapa jenis keadah-keadah perubatan. Mungkin perubatan pertama tidak berkesan dan kita hendak mencuba alternatif lain. Ada tujuh (7) cara perubatan yang dikenali dan digunapakai oleh masyarakat dunia ketika ini:

1. Cara Rawatan. Perubatan yang diamalkan di hospital-hospital dan klinik-klinik yang terkini. Perkembangannya sentiasa berlaku menurut sains dan teknologi. 

2. Cara Singsing. Perubatan traditional Cina adalah perubatan yang diamalkan turun-temurun  mengunakan herba-herba yang sedia ada atau yang dibangunkan. Ia memiliki keunggulan tersendiri. Berasal dari China.

3.Cara Tabib. Mengembangkan teknik perubatannya  menurut perkembangan semasa. Berasal dari India.

4.Cara Dukun.  Berkonflik dengan perubatan amalan kedoktoran kerana ia lebih kepada penipuan, tipu helah dan ketertibannya dipertikai. Berasal dari seluruh pelusuk tempat.

5. Cara Psikologi. Ia meliputi psikoterapi, motivasi, nasihat dan banyak variasinya. Ia lebih kepada menggunakan pengertian dan latihan. Berasal dari pengalaman dan seluruh pelusuk tempat.

6. Cara Spiritual. Memantapkan hati dengan menggunakan kaedah tertentu seperti wirid, zikir songsang, menyiksa diri, lagu mendayu-dayu, yoga, meditasi, subud (latihan kejiwaan) yang berorganisisi dan latihan tersendiri. 

7. Cara Rohani. Ia adalah cara rawatan Islam. Tetapi kurang diamalkan oleh ulama dan tidak difahami oleh perubatan doktor beragama Islam.

Kombinasi daripada perubatan yang disedia ada menghasilkan penyembuhan yang sepadu dan lebih efektif. Sebagai misalan cara perubatan akibat gangguan syaitan:

i.   Vitamin untuk memperkukuhkan ketahanan tubuh.
ii.  Ubat penenang untuk meletihkan pesakit.
iii. Ubat kejutan elektrik mempercepatkan pemulihan menyedarkan diri.
iv. Hembusan membisik nasihat kepada pesakit tentang kebesaran Allah.
v.  Keyakinan akan melembutkan pesakit dan menghindari dari gangguan 
     jahat.
vi. Nasihat yang baik melahirkan manusia yang baik.
vii.Nasihat berkesan memudahkan audiens menerima dakwah.


Pertanyaan: Bagi setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. Bagaimana kita tahu bahawa sesuatu penyakit itu ada ubatnya kerana biasa kita mendengar penyakit pelik-pelik seperti AIDS, liwat, badan berkerutu dan sebagainya?

Jawapan: Setiap penyakit ada ubatnya. Penyakit dan ubat pula adalah bersifat umum. Ia meliputi segala macam penyakit dan segala macam ubat termasuklah penyakit-penyakit yang mungkin sukar disembuhkan oleh doktor pakar. Bagi penyakit yang dikenali umum amatlah mudah mendapatkan ubatnya. Allah s.w.t. telah menyediakan bermacam-macam ubat bagi penyakit yang sukar dijangkau oleh akal manusia kerana memang manusia tidak diberikan kemampuan untuk perkara tersebut. Yang penting, manusia perlu berikhtiar, membuat uji kaji dan pemerhatian bagi mendapatkan pengubatan penyakit yang tersembunyi disebabkan pemakanan dan persekitaran yang pelbagai ragam. Bagi yang melanggar sifat tabie kemanusiaan antaranya seperti liwat, pembunuh, pemberontak, penzina, virus pembunuh berjangkit, bersetubuh dengan binatang; semua itu, mudah sahaja ubatnya iaitu hukum mati setelah disabitkan oleh hakim.

Pertanyaan: Mana yang lebih utama bersyukur kerana sihat atau saya sabar dengan ujian Allah s.w.t.?

Jawapan: Dari Abdurrahman bin Abi Laila, dari Abi Dardaa’, ia berkata: “Aku berkata: “Ya Rasulullah, sungguh aku diberi kesihatan lalu aku bersyukur lebih kusukai daripada aku diberi bala (cubaan) lalu aku bersabar.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dan Rasulullah (juga) menyukai engkau berada dalam kesihatan.”

Pertanyaan: Apakah sesuatu penyakit itu merupakan takdir Allah dan takdir Allah tidak boleh ditolak? Umpamanya, kita biarkan takdir Allah menyembelih diri kita. Boleh?

Jawapan: Tidak ada sesuatu pun yang keluar dari takdir Allah tetapi yang dilakukan adalah menolak takdir dengan takdir. Tiada jalan keluar dari takdir Allah melainkan dengan takdir Allah jua. Perubatan yang dilakukan adalah kerana takdir Allah. Sebagai contoh:

1. Kita menolak takdir lapar dan dahaga dengan melakukan takdir makan dan minum.
2. Kita menolak takdir perompak/penjenayah dengan takdir menghalangnya.
3. Kita menentang takdir musuh dengan takdir melawannya.
4. Kita menghukum takdir liwat-perlakuan luar tabie manusia dengan takdir hukuman mati.

Semua contoh takdir di atas adalah takdir Allah. Sama ada kita menolak, yang ditolak atau pekerjaan menolak itu adalah takdir Allah s.w.t.. Jelas ya. 

Moga-moga kita senentiasa dalam rahmat Allah s.w.t.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”