KEMAHIRAN dalam merangka, merancang dan
melaksanakan sesuatu misi adalah yang amat diperlukan dalam suatu organisasi
terutamanya yang melibatkan kepentingan umat. Tanpa melalui perancangan
biasanya misi yang hendak dicapai akan terbantut dan terabai atau mati di
perjalanan. Tidak mungkin sesuatu visi yang besar dapat dicapai melalui
perlakuan secara spontan. Suatu yang mustahil. Golongan yang berjaya dalam
bidang masing-masing adalah mereka yang melalui pelbagai tribulasi kehidupan.
Pelbagai cara dan kaedah yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ajaran
Islam tidak mengajar mengharapkan sesuatu datang secara bergolek,
dihantar melalui utusan kerana suatu jasa yang telah dilakukan, menemui suatu
yang bernilai harganya atau seperti kisah penebang pokok dengan jin yang
memberi wang selepas bangun dari tidur melalui perjanjian sulit atau mengharapkan bantuan 'tentera-tentera Allah'. Jawapannya: Tidak. Tidak. Tidak.
Kita hidup pada zaman ini kita manfaatkan seadanya, Jangan dilalaikan. Peristiwa yang lepas adalah guru yang terbaik untuk dijadikan contoh teladan
kepada kita. Ilmu yang bermanfaat. Tips-tips yang kita lupakan akan merugikan
kita jika sahabat-sahabat yang ramai tidak mengingatkan umat ini.
Ketibaan tahun baru, tahun 1434H wajar dimanfaatkan dengan sedaya upaya; dari segi menentukan masa, membahagikan waktu, mengagihkan saatnya, menggunakannya secara selesa, menghabiskan setiap detik dikorbankan untuk kepentingan Islam dan bukan berlalu dengan sia-sia, kerana musuh-musuh Islam tidak pernah luput walau sejenak pun dalam mengadakan persiapan dan pembinaan kuasa untuk mencari peluang dan ruang
menyerang Islam dan pengganutnya.
Kita tidak mungkin mencapai sasaran sebagaimana yang diharapkan selagi ia tidak difokuskan kepada bidang-bidang yang menjurus kepada penumpuan kepakaran seperti dalam bidang pendidikan, bidang angkasa lepas, bidang sains teknologi, bidang politik, bidang jihad, bidang sosial, bidang kebajikan dan pelbagai bidang-bidang lain lagi. Itupun jika dididikan dipertingkatkan kepada mentaliti ahli-ahli yang mampu untuk meletakkan semua urusan itu menurut keutamaannya. Pemeliharaan semua itu bergantung kepada kita yang mengharapkan Allah dan manakala golongan kafir mengharap kan harta karun.
Sempena Maulidur Rasul tahun ini diungkapkan semula secara ringkas tetapi jelas tentang sirah perjalanan Rasulullah s.a.w. ke arah menubuhkan
sebuah pemerintahan. Kita yang diberi
akal fikiran sewajarnya melihat ada tanda-tanda dan unsur-unsur pengaturan
rapi, sistematik, terancang dan dirancang oleh Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar As-Siddiq r.a., peristiwa hijrah mereka daripada Mekah ke Madinah di mana terlihat di
sana beberapa langkah-langkah penyusunan kerja yang kemas yang patut dicontohi, dikaji, diambil perhatian, ditekankan kepada ahli dan ditatang dengan kukuh.
Berikut
adalah beberapa unsur-unsur yang wajar diperhatikan:-
Rasulullah s.a.w. meminta kepada Ali bin Abu Talib r.a. supaya mengambil kedudukan di tempat Rasul s.a.w. agar golongan musyrikin menjadi serba salah memikirkan tentangnya, kekeliruan yang nyata sedang pada
waktu tersebut Rasulullah s.a.w telah meninggalkan Mekah dan telah sampai di
Gua Thaur.
Baginda Rasulullah s.a.w. memilih Gua Thaur yang
terletak bertentangan arah ke Madinah (bergerak ke arah selatan). Golongan
Musyrikin akan bertambah serba salah memikirkannya kerana mereka mengetahui
bahawa tentunya Rasulullah s.a.w sudah berpindah ke Madinah.
Dalam tempoh yang sama Baginda s.a.w. telah
menugaskan Abdullah bin Abu Bakar r.a. supaya membawa perkhabaran tentang
perkembangan yang sedang berlaku di Mekah.
Asma binti Abu Bakar r.a. diamanahkan menyediakan dan
menghantar makanan.
Amir bin Fuhairah r.a. ditugaskan mengembala kambing-kambing
sekitar Gua Thaur di siang hari dan bermalam di sekitarnya agar Baginda s.a.w.
dan Abu Bakar As-Siddiq r.a. dapat meminum susu dan kesan tapak kaki mereka
dihapuskan oleh kambing-kambing yang bergerak.
Abdullah bin Uriqat seorang musyrikin diupah menjadi penunjuk jalan menuju Madinah.
Sahabat-sahabat senentiasa mengikuti perkembangan hijrah Rasulullah s.a.w. dari semasa ke semasa.
Sahabat-sahabat di Madinah senentiasa menunggu ketibaan Rasulullah s.a.w..
Sahabat-sahabat di seluruh jazirah Arab senentiasa bersiapsiaga setiapa masa. Umat Islam senentiasa berdoa untuk kejayaan umat Islam dan keamanan sejagat.
No comments:
Post a Comment