Almarhum Sultan Azlan Shah telah
kembali kerahmatullah pada hari ini 28 Mei 2014 bersamaan 28 Rejab
1435 (Rabu) di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Jenazah
almarhum telah dibawa balik ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan untuk urusan penyelenggaraan sebelum dimakamkan di
Makam Diraja Kuala Kangsar.
Semoga roh almarhum dicucuri rahmat
oleh Allah s.w.t. Al-Fatihah.
Sultan Azlan Shah mangkat
Oleh ASLIZA MUSA
IPOH
28 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum
Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah mangkat pada pukul 1.30
tengah hari hari ini pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara
(IJN) Kuala Lumpur.
Kemangkatan
baginda yang memerintah Perak selama 30 tahun diumumkan oleh Menteri
Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada pukul 3.45 petang
melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Almarhum
meninggalkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta seorang
putera dan tiga orang puteri.
Zambry
berkata, jenazah Sultan Azlan akan disemayamkan di Balairong Seri,
Istana Iskandariah di Kuala Kangsar esok untuk penghormatan terakhir.
Menurut
beliau, bagi pembesar negeri dan orang kenamaan, mereka boleh memberi
penghormatan terakhir pada pukul 9 pagi manakala orang ramai pula
antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.
"Bagi
Ke Bawah Duli Maha Mulia Sultan, raja-raja dan pembesar negara asing
pula, tempoh penghormatan terakhir adalah antara pukul 2 hingga 3
petang.
"Jenazah
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan akan dimakamkan di Makam Diraja
Kuala Kangsar selepas solat Asar, esok," katanya.
Zambry
turut mengumumkan tempoh perkabungan negeri ini selama 100 hari
bermula hari ini dan bendera negeri dikibarkan separuh tiang
sepanjang tempoh tersebut manakala bendera Malaysia pula dikibarkan
separuh tiang untuk tujuh hari sahaja.
Menurutnya,
sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan
dibatalkan.
"Sebagai
tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, esok diisytiharkan
sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri Perak.
"Seluruh
rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan sultan yang dikasihi dan
berjiwa rakyat. Saya mewakili seluruh rakyat jelata merafak sembah
takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan
ditempatkan oleh Allah Subhanahuwataala dalam kalangan para Auliya,
Syuhada dan solehin," ujarnya.
Di
KUALA LUMPUR, jenazah Almarhum dibawa keluar dari IJN ke Istana
Iskandariah, Kuala Kangsar menggunakan van jenazah Kementerian
Pertahanan pada pukul 5.05 petang.
Turut
berangkat mengiringi jenazah Almarhum ialah Tuanku Bainun serta
kerabat diraja.
Terdahulu,
pada pukul 2.40 petang, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah
dilihat berada di pekarangan IJN ditemani Raja Puan Besar Perak,
Tuanku Zara Salim.
Sultan
Azlan diputerakan pada 19 April 1928, dimahkotakan sebagai Raja Muda
Perak pada 1 Julai 1983 dan dimasyhurkan sebagai Sultan Perak pada 3
Februari 1984 selepas kemangkatan Sultan Idris Shah.
Almarhum
baginda yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara
memperoleh pendidikan awal di Government English School, Batu Gajah
yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf,
Batu Gajah.
Baginda
kemudiannya meneruskan pelajaran peringkat menengah di Kolej Melayu
Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajian dalam bidang
undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom.
Pada
tahun 1953, baginda mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan
seterusnya sah menjadi ahli di dalam The English Bar oleh The
Honorable Society of Lincoln"s lnn pada 23 November 1954.
Baginda
merupakan Yang di-Pertuan Agong yang kesembilan, dilantik pada 26
April 1989 hingga 25 April 1994.
Semasa
hayat Almarhum, Sultan Azlan aktif dalam sukan hoki dan memegang
pelbagai jawatan penting antaranya Presiden Persatuan Hoki Malaysia
(PHM), Presiden Hoki Asia dan Naib Presiden Persekutuan Hoki
Antarabangsa (FIH).
No comments:
Post a Comment