Penulisan Kreatif
Oleh: Wanitakini.com
"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh!
Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik,
yang tak menyusahkan aku?" Marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak
menjawab sepatah apapun. "Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua
kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut
macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang
hah?" Leter ibu lagi.
Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus
membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Tiba-tiba
dia melihat si ibu bergegas pergi mencari sesuatu dan kembali semula dengan
rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati
agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. "Sekarang kau cakap, kenapa
kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!"
Jerkah ibu.
Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat
berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu
bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. "Jadi
betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakit,
sekarang nah, rasakan!" Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali
jugaklah
Along menjerit kesakitan. "Sakit bu, sakit…maafkan
Along bu, Along janji tak buat lagi.Bu, jangan pukul bu..sakit bu.. "
Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya
lagi. "Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?" Balas
ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus
itu. "Bu, ampunkan Along bu,bukan Along yang mulakan, bukan Along bu,
sakit bu..!!" Rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih.
Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun
siratan rotan tetap mengenai tubuhnya.
Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan
tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak
jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula
berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis
kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak
mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan
ibunya menangis lagi kerananya.
Malam itu, Along berjaga sepanjang malam.. Entah mengapa
matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu
petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini
marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di
sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah
untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat
menjeling ibu di sebelah..Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara.
Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang.
Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun
tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih
bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu
lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi.
Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun
sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini.
Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun
masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah
ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi,
sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan
biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada
mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat
keputusan yang corot dalam SPM.
Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau
adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu.
Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu
lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya
terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam
kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.
Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu
bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak
acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak
mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum
memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian
mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong.
Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu.
Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik
perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along
terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.
"Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?"
Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang
pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah
menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu.
Sementara Along di sebalik pintu terus memerhatikan mereka
sambil memasang telinganya. "Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?"
"Eh! jangan, nanti dulu… Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah
dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan
tukar baju dulu ye!" Si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang
dan melepaskannya perlahan…"Anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya"
bisik hati kecil Along. "Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?"
Soalnya lagi. Atih masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil
tersenyum.
Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. "Oooo..
patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila
Along balik, ibu tak masak macam ni pun?" Along terkejut mendengar soalan
Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. "Along kan
hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama,
balik pun sebulan sekali ja!" Terang si ibu. "Tapi, ibu tak penah
masak lauk macam ni untuk Along pun!" Soal Atih lagi. Dahinya sedikit
berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak.
Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak
mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat
disayanginya. "Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak
Ngah dengan Alang dekat stesen bas" Arah ibu. Dia tidak mahu Atih
mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu
juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak
yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah
didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan
itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia
menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba
di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada
sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik.
"Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni" Dia bermonolog sendiri.
Along melangkah masuk ke dalam kedai itu.
Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba
disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya.
"Laa..kau ke, apa kau buat kat sini?" tanya Along ingin tahu sambil
bersalaman dengan Fariz. "Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat
apa kat sini?" soalnya pula. "Aku tak de buat apa-apa, cuma nak
tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak beli dan hadiahkan kepada mak aku"
Jelas Along jujur. "Waa..bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli, aku
bagi potongan harga 50%. Macam mana?" Terlopong mulut Along mendengar
tawaran Fariz itu. "Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!" Along
meminta kepastian.
"Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi
punya!" Balas Fariz meyakinkannya. "Tapi aku kena beli minggu depan
la. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along agak keseganan. Fariz
hanya menepuk bahunya sambil tersenyum. "Kau ambik dulu, lepas tu kau
bayar sikit-sikit." Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda
tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi
silap-silap dipukul lagi. Pada kau ada berapa ringgit sekarang ni?" soal
Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu.
Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet
berwarna hitam yang semakin lusuh itu. "Tak sampai sepuluh ringgit pun
Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni
tau!" pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.
Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor
tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah.
Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah
mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana
sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan
diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan
nasi di atas meja.
Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei,
kucing kesayangan arwah ayahnya. "Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa
lagi kat luar tu?" Soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba
membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan.
"Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah"
Leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat
muka selambar seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang
menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang
ke arahnya seperti tidak berpuas hati.
"Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana
Along, ibu kena marah dengan pengetua tu" Marah Angah, adik perempuannya
yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja
dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di
situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. "Along! Kalau tak suka
belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada
menghabiskan duit ibu”" Sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di
sekolah berasrama penuh.
Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin
terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka.
Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka.
Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.
Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru.. Hatinya pula jadi tidak keruan
memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan
semakin membencinya.
Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia
akan mencari kerja di Bandar B. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula
esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus
bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada
rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan
bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu.
Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa
hari. Justeru dia terpaksa berbohong agar ibunya tidak bimbang dengan
tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk
mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya. Tengah hari itu, dia diterima bekerja
dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal. Upahnya lima
belas ringgit sehari. Along rasa sangat bersyukur dan gembira. Gembira kerana
tidak lama lagi, dia dapat membelikan jubah untuk ibu.
Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu
sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa
agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap
kali memandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila
melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.
Seperti hari-hari yang sebelumnya, Along bekerja keras
membantu Abang Joe di bengkelnya. Sydah lebih 10 hari Along bekerja di situ.
Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya
yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan
Along di rumahnya dengan percuma. "Azam, kalau aku tanya kau jangan marah
ke?" Soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah
hari itu. "Macam serius jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan.
"Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?"
Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke
dalam mulutnya tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan.
Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. "Kenapa lari
dari rumah? Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe lagi cuba menduga.
Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan
diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba
menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih.
"Azam, kau ada cita-cita tak ataupun ada impian apa-apa
ke?" Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang
selesa dengan soalannya tadi. "Ada!" Jawab Along pendek. "Kau
nak jadi apa satu masa nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik
macam aku atau apa?" Along menggeleng-gelengkan kepala. "Semuanya
tidak! Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along
disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak
serius menjawab soalannya itu.
"Ala, gurau ja la Abang Joe… Sebenarnya, saya nak bawa
ibu saya ke Mekah dan saya nak jadi anak yang soleh!" Perlahan sahaja
suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum
mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak
yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun
belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.
Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja
masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak
berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi.
"Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah …terima kasih banyak kerana jaga
saya beberapa hari ni" Ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel.
Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira
kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga.
Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini
menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. "Abang Joe, jaga diri baik-baik.
Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk
Abang Joe" Kata Along lagi. "Tapi, kau kan boleh datang bila-bila
yang kau suka ke rumah aku!?" soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along
menyalah-anggap tentang soalannya tadi.
Along hanya senyum memandangnya. "Tak apa, saya bagi
kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas
budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju"
Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk
adiknya yang akan pergi jauh.
Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak
Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa
berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. "Hey Azam, mana
kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?" Soal Fariz setelah menyedari kedatangan
sahabatnya itu. "Along hanya tersengeh menampakkan giginya. "Azam,
mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau
tumbuk siMalik tu?" "Tak pe lah, perkara dah berlalu.lagipun, aku tak
nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni”, Terang Along
dengan tenang.
"Kau jadi mangsa Azam. Tengok, kalau kau tak bagitau,
mak kau ingat kau yang salah”, kata Fariz lagi. "Tak apa lah Riz, aku tak
nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah, aku sangat sayangkan Ibu aku!"
"Azam..kau ni.." "Aku ok, lagipun aku tak mahu menyusahkan lagi
ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah tu lagi" Jelas Along
memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.
"Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek,
jangan lupa lekat kad ni sekali, ok!" pinta Along sambil menyerahkan
sekeping kad berwarna merah jambu. "No problem, tapi, mana kau dapat duit?
Kau kerja ke?" Soal Fariz ingin tahu. "Aku kerja kat bengkel Abang
Joe. Jadi pembantu dia” Terang Along. "Abang Joe mana ni?" "Yang
buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita
tu!" Jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk. "Azam, kau
nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?"
"Hari ni laâ.." Balas Along.
"Ooo hari lahir ibu kau hari ni ya?"
"Bukan, minggu depan"
"Habis? Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?"
Soal Fariz lagi.
"Aku rasa hari ni je yang sempat untuk aku bagi hadiah
ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi" Jawabnya
sambil mengukir senyum.
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun.
Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu.
Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima
hadiahnya itu. Motorsikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang
hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang dipandu laju cuba
mengelak daripada melanggar seekor anjing yang tiba-tiba muncul di depannya.
Pemandu kereta itu menekan brek dan mengelak tapi dek jalan yang licin, ia
hilang kawalan. terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak.
Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke
tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi
keledar yang dipakainya mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya.
Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu.
Dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak
berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai
dari kotak itu.
Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya
juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin
tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang yang sangat
dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul
wanita tersebut. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali
apabila dahinya dikucup saat itu.
Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat
mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada
suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia
kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih di genggamannya
itu. "Ha..ha..hadiiiiah uuuntuk iiiiiibu" Itu saja yang termampu
diucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat
dicintainya. Sebaik habis mengukir senyuman bahagia itu, Along terasa
kesakitannya sudah tidak tertahan lagi. Suara ibu, Angah, Alang dan Atih
semakin sayup terdengar. Matanya sudah sangat berbinar. Di gagahnya menahan
matanya untuk terus menatap wajah ibunya selama yang mungkin.
Along sudah kelihatan hampir tidak sedarkan diri. Si ibu
begitu cemas bercampur sebak dan sedih. Kepala dan tubuh Along dipeluknya
sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat
ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat,
terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam
pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.
Along di bawa ke hospital dan disahkan sudah meninggal
dunia. Siibu menangis semahu-mahunya menyesali tindakannya terhadap Along. Dia
lebih menurut nafsu dan emosi. Along sudah pergi untuk selama-lamanya. Tangisan
dan penyesalan tidak akan mengembalikan Along ke pangkuannya semula. Sebaik
pengebumian jenazah Along, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama
Angah, Alang dan Atih. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih.
Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama
ini disisihkan.
Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba
muncul. Dia terus mendekati wanita separuh umur itu lalu mencurahkan segala apa
yang dipendamnya selama ini. "Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam
tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam
dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami.. Dia sengaja cari
pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu,
dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh
dan dia jugak cakap, ibunya iaitu mak cik sebagai seorang perempuan gila. Azam
pukul Malik sebab tak sanggup mendengar Malik menghina ibu dan ayahnya"
Cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut
mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana
kesalahan menumbuk Malik. "Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik
Fariz? Soalnya dengan sedu sedan. "Sebab..Azam tak mahu makcik sedih dan
teringat kembali peristiwa itu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi,
dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang walaupun dia
disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke
hospital sakit jiwa semula" Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana
dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.
Siibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Lidahnya kelu
untuk berkata-kata lagi. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah.
Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan
terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap anak derhaka.
Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir
relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah
yang kering dibukanya lalu dibaca. ˜Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah
salah silap Along selama ini. Andai Along melukakan hati ibu, Along pinta
sejuta kemaafan. Terimalah maaf Along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu
marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu dan
terimalah hadiah ini dari anakmu yang banyak menyusahkanmu....UNTUKMU IBU!"
Kad itu dilipat dan dicium. Air matanya sekali lagi melunjur
deras berjurai membasahi pipi. Sekali lagi siibu menangis semahu-mahunya.
Segala perasaan sedih, pilu, sayang, menyesal dan marahkan diri bercampur baur
di dalam dadanya. Setelah beberapa lama, siibu tenang semula. Di dalam hatinya
siibu berkata "Ya Allah!! Aku mohon ampun padamu atas apa yang sahaja
kesalahan aku kepada anak ini. Kau saksikanlah Ya Allah bahawa aku meredainya
sebagai anak yang soleh.. Engkau tempatkanlah Along anakku ini di dalam
syurgaMu yang kekal abadi!"
Mereka terus terkenangkan Along... sedangkan di depan mereka
di sebalik alam nyata, berdiri ruh Along memerhatikan Ibunya dan mereka. Along
hanya tersenyum melihat keluarganya yang sudah menyaksikan kebenarannya. Along
berbahagia menerima kiriman doa yang sangat berharga dari Ibunya..... Ruh Along
terus terbang jauh-jauh menuju kesejahteraan dan kebahagiaan yang sebenarnya di
alam sana...
Sumber : Suara Muhajirin
.......oo00oo......
Posted on Thursday, July 25 @ 09:03:44 MYT by AnisahOmar
Pautan yang berkaitan:
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=7541
No comments:
Post a Comment