SUBKY LATIF | 12 Januari 2016
BOLEH dikira sikap kerajaan sekarang cuba berlepas tangan atas kesilapan
dan kerenah pemimpin kerajaan yang lampau sekalipun pimpinan lampau itu dari
parti dan sistem yang sama.
Setiap pemimpin itu dulu, sekarang dan akan datang ada
kesilapan dan kelemahannya kecualilah pimpinan yang terdiri dari rasul dan nabi
dan mereka yang diberi petunjuk seperti khalifah ar-rasyidin dan Khalifah Umar
Abdul Aziz. Kelima-lima khalifah ini adalah contoh dan model pimpinan dan
pemerintahan/pentadbiran Islam.
Jika mereka ada kesilapan, justeru segala tindakan dan
matlamat mereka adalah kerana Allah, maka kelemahan itu jadi dosa yang
dimaafkan atau tidak berdosa. Setiap yang dibuat atas dasar ijtihad, jika tepat
dapat dua pahala dan silap dapat satu pahala.
Tetapi pimpinan dan pemerintahan yang tidak berlandaskan
al-Quran dan Sunnah, terlepaslah ia dari obligasi ibadat. Setiap yang non
ibadat, paling baik ia tidak dapat apa-apa tetapi tidak terlepas daripada dosa.
Adat pemerintahan dan politik, setiap tindakan ada untung
ruginya kerajaan dan rakyat semasa yang pastinya memberi kesan segera buat masa
itu dan kesan yang mesti diwarisi oleh orang terkemudian.
Hutang negara dan kesilapan pentadbiran dan politik Tunku,
bukan sekadar jadi beban kolektif kepada pimpinan masa itu tetapi jadi beban
dan tanggungan kepada kerajaan dan pemimpin selepasnya.
Sekalipun kerajaan dan pemimpin yang terkemudian terdiri
daripada parti dan sistem yang tidak sama, boleh kerajaan itu menyalah yang
terdahulu, tetapi ia tetap mewarisi semua beban dan kebaikan lalu, dan
bertanggungjawab membaiki dan mengatasinya.
Hutang kerajaan lama mesti ditanggung oleh kerajaan baru.
Sistem dunia tidak melepaskan kerajaan baru dan pimpinan baru cuci tangan atas
penyelewengan kerajaan sebelumnya.
Nikita Khrushchev, setiausaha agung parti komunis Rusia dan
perdana menteri SovietUnion selepas Stalin. Justeru Stalin adalah diktator dan
kejam, Kruschev sebagai ahli parti komunis berdiam diri atas kekejaman Stalin.
Setelah dia berkuasa bukan sahaja saka kekejaman Stalin didedahkan, bahkan
Stalin dan kuburnya dimasukkan ke dalam bakul sampah sejarah.
Tanah Melayu kemudiannya Malaysia merdeka adalah negara
demokrasi. Ahli Umno boleh tegur dan bantah kemahuan pimpinan Tunku. Aziz
Ishak, menteri pertanian masa itu tidak sedia tanggung beban daripada dasar
Tunku, dia bantah dan sedia dipecat.
Dr. Mahathir tidak setuju dengan tindakan Tunku, dia kritik
dan dia dipecat. Musa Hitam tak setuju dengan Mahathir, dia letak jawatan.
Anwar Ibrahim bantah dasar Mahathir, dia dipecat.
Jika mereka tidak sedia pikul beban pemimpin terdahulu,
mungkin mereka boleh difahami. Tetapi orang memimpin Umno dan kerajaan sekarang
adalah yang membisu atas segala yang dibuat oleh kerajaan Dr. Mahathir termasuk
perjanjian yang dikira berat sebelah dan membebankan negara dan rayat sekarang.
Jika pemimpin sekarang tidak setuju dengan semua keputusan
Dr. Mahathir mengapa baru sekarang, sesudah tak terpikul bebannya baru bagitahu
rakyat jangan salah orang sekarang yang mewarisi beban orang dulu. Hendak
marah, marahlah pemimpin dulu bukan pemimpin dan kerajaan sekarang.
Kemungkaran dalam semua bentuk mesti ditegur/dicegah.
Mula-mula dengan tangan, lepas itu dengan lidah. Semua tidak berkesan, cegah
dalam hati. Ia tanda selemah iman.
Apa ertinya seru orang jangan salah pimpinan sekarang atas
angkara orang dulu? Marahlah orang dulu! Ia adalah hendak mengajar orang akan
datang, jangan salahkan pimpinan sekarang atas semua beban akan datang.
Pemimpin masa itu marahlah pemimpin – kerajaan Najib - sekarang kerana menyusah
orang akan datang.
No comments:
Post a Comment