NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Sunday, 13 September 2015

CABARAN BAHARU MENANTI EROPAH, AS



SELASA, 8 SEPTEMBER 2015 @ 7:30 AM
Cabaran baharu menanti Eropah, AS


Oleh Harold James

Jika ada satu sisi cerah untuk kemelut yang melanda ekonomi global sejak tahun 2008, ia tidak meletus secara serentak di seluruh dunia. Tamparan pertama adalah krisis pinjaman subprima di Amerika Syarikat (AS). Kemudian pada tahun 2010, dengan tercetusnya krisis hutang Eropah, maka tiba giliran AS untuk menarik nafas lega, manakala negara Asia menuding jari kepada kaedah negara berkebajikan sebagai punca masalah.

Hari ini, dunia terlalu taksub dengan kelembapan di China dan masalah pasaran sahamnya. Malah, bagi sesetengah pihak, apa yang berlaku di China boleh menjadi versi moden kejatuhan pasaran saham AS pada tahun 1929 - satu kejutan yang menggoncang dunia. Bukan ekonomi China sahaja dilanda pergolakan, keadaan di Russia dan Brazil lebih buruk lagi.
  
Globalisasi menghubungkan manusia dan ekonomi yang jauh tetapi kesannya tidak selalunya seperti apa yang diharapkan atau dialu-alukan. Krisis ekonomi semakin bersifat global, cabaran seterusnya kepada penggubal dasar adalah untuk cuba mengurangkan kesannya di negara sendiri dan mengurangkan pembabitan dunia luar.


Jalan penyelesaian berbeza

Kini, jelaslah setiap kejayaan mempunyai sisi gelapnya dan tiada ekonomi yang akan terus mengukuh selama-lamanya. Namun, cara menyelesaikan masalah untuk sesebuah negara mungkin tidak akan berhasil di negara lain. Contohnya, masalah di Eropah tidak boleh dikaitkan dengan punca tunggal seperti penggunaan mata wang yang sama.

Ketika berlaku krisis Eropah, Itali melalui tempoh lembap yang panjang, Sepanyol mengalami fenomena lebihan rumah keterlaluan seperti AS, dan Greece menderita kerana banyak pembangunan dibiayai kerajaan. Punca semuanya kerana menerima pakai dasar tidak mapan yang perlu diperbetulkan.

Krisis di AS juga tidak sama, Florida dan Arizona berdepan masalah berbeza dengan Michigan. Ekonomi Russia, Brazil dan China perlahan atas sebab berbeza. Russia menerima kesan daripada keputusannya untuk menjadi pengeluar tenaga terbesar dengan mengorbankan kepelbagaian.

Punca masalah China pula kerana cubaannya beralih daripada eksport dan pelaburan dalam infrastruktur kepada model pertumbuhan berasaskan penggunaan domestik yang lebih tinggi. Brazil terjejas oleh kredit pengguna yang lebih tinggi berbanding gaji sebenar yang mengatasi pertumbuhan produktiviti.


Polisi penurunan mata wang

Ada pelbagai cara menangani setiap masalah ini tetapi strategi jangka panjang yang paling berkesan untuk meningkatkan produktiviti tidak boleh dilakukan dengan formula yang mudah. Malangnya, tindak balas biasa ahli politik terhadap krisis ekonomi ialah tuntutan supaya sesuatu tindakan dilakukan segera. Sepanjang berlakunya masalah ekonomi, wujud polisi yang nampaknya berkesan setakat ini, iaitu penurunan nilai mata wang.

Polisi itu berjaya di Jepun, apabila yen yang lemah adalah satu-satunya pencapaian sebenar 'Abenomics' (istilah digunakan untuk merujuk kepada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe) dan di Eropah yang mana euro yang lemah membantu mengelak kemelesetan. Eropah juga dilihat mengekalkan kelemahan dolar di belakang pemulihan pesat ekonomi AS. Sekarang, tiba giliran China untuk berharap penurunan nilai mata wang akan membantu meningkatkan semula daya saing.

Masalahnya, mata wang setiap negara tidak boleh menurun secara serentak. Kesan daripada penyusutan yang teruk akan mendorong kerajaan mengamalkan dasar perdagangan berhati-hati dan mengecutkan pertumbuhan selama bertahun-tahun. Tindakan itu sudah lama tidak digunakan dalam menghadapi krisis tetapi keadaan boleh berubah.


Ketidakstabilan ekonomi baharu

Satu lagi kesan globalisasi yang tidak menyenangkan ialah kecenderungan meletakkan manusia dan modal untuk bergerak. Apabila pertumbuhan ekonomi yang besar tergelincir, ramai akan terdorong untuk mencari masa depan yang lebih baik di tempat lain. Penghijrahan yang menarik perhatian ialah kesediaan untuk menerima pendatang dari zon konflik di Asia Barat dan Afrika Utara.

Sementara itu, ketidakstabilan dalam ekonomi baharu muncul menyebabkan rakyat yang kaya cuba untuk menyelamatkan modal sebanyak mungkin, memandu lonjakan harga hartanah di kawasan global yang selamat seperti New York, London dan Geneva. Ia membuatkan kota itu nampak glamor dan dinamik, pada masa sama, menyebabkan kesulitan besar apabila harga rumah melambung, keadaan menjadi lebih sesak, masa berulang alik lebih lama dan kualiti hidup penduduk tempatan semakin menurun.

Setakat ini, negara maju dapat menguruskan kegawatan yang berlaku baru-baru ini dengan berkesan. Walaupun tindak balas ekonomi lebih berkesan berbanding ketika tahun 1930-an, ketegangan sosial dan kemarahan semakin meningkat. Eropah dan AS kini berdepan cabaran baharu - mereka perlu bertindak balas bukan sahaja terhadap masalah ekonomi, tetapi juga penderitaan rakyat disebabkan kegagalan ekonomi dan politik di tempat lain.








 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”