Tanggapan salah hubung
kait minyak, ekonomi
Oleh Anatole Kaletsky
Perubahan mendadak harga minyak menyebabkan ketidakstabilan
ekonomi dan pasaran kewangan dunia. Apabila harga minyak turun mendadak
melebihi 50 peratus tahun lalu, iaitu daripada AS$110 kepada AS$55 satu tong,
puncanya jelas - tindakan Arab Saudi menambah pengeluaran bagi meningkatkan
pegangannya dalam pasaran minyak dunia.
Apa yang menyebabkan harga minyak terus merudum dalam
beberapa minggu ini - hingga ke tahap paling rendah berbanding kesan krisis
kewangan dunia pada tahun 2008? Bagaimana ia memberi kesan kepada ekonomi
dunia?
Jawapan yang biasa kita dengar adalah permintaan yang lemah
oleh China dan merudumnya
harga minyak dianggap sebagai petanda kemelesetan, sama ada di China
atau keseluruhan ekonomi dunia. Bagaimanapun, tanggapan ini salah, walaupun ada
benarnya wujud hubungan jelas antara minyak dan pasaran ekuiti, yang menurun ke
tahap paling rendah sejak tahun 2009 bukan sahaja di China, tetapi juga Eropah
dan kebanyakan ekonomi yang sedang berkembang.
Ramalan terhadap harga minyak sebenarnya agak mengagumkan,
tetapi hanya sebagai petunjuk bertentangan. Kejatuhan harga minyak tidak pernah
diramal dengan tepat sebagai kejatuhan ekonomi. Dalam beberapa kejadian di mana
harga minyak turun sehingga separuh - 1982-1983, 1985-1986, 1992-1993,
1997-1998 dan 2001-2002 - pertumbuhan pantas di seluruh dunia menyusul.
Sebaliknya, setiap kali berlaku kemelesetan dunia sejak 50
tahun lalu, ia sentiasa didahului dengan peningkatan mendadak harga minyak.
Terbaru, harga minyak hampir tiga kali ganda daripada AS$50 (RM212.97) kepada
AS$140 (RM596.31) satu tong, di sekitar tahun yang menyaksikan kejatuhan, iaitu
pada tahun 2008 dan kemudian merudum kepada AS$40 (RM170.37) enam bulan sebelum
ekonomi menyaksikan pemulihan yang bermula pada April 2009.
Rangsangan KNK
Menurut Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), penurunan harga
minyak tahun ini seharusnya memberi rangsangan kepada Keluaran Negara Kasar
(KNK) sebanyak 0.5 hingga satu peratus di seluruh dunia, termasuk pertumbuhan
0.3 hingga 0.4 peratus di Eropah, satu hingga 1.2 peratus di Amerika dan satu
hingga dua peratus di China.
Bagaimanapun, jika pertumbuhan ini mungkin agak cepat bagi
ekonomi yang menggunakan minyak seperti China , apakah yang menjadi hujah
kepada harga minyak yang menjunam? Jawapannya bukan terletak pada ekonomi China
dan permintaan terhadap minyak, sebaliknya geopolitik negara Asia Barat dan
bekalan minyak.
Walaupun polisi pengeluaran Arab Saudi jelas di sebalik
kadar harga minyak yang separuh tahun lalu, penurunan terkini yang bermula pada
6 Julai, berlaku pada tempoh beberapa hari sebelum perjanjian untuk
menghentikan sekatan antarabangsa terhadap Iran .
Sebaik sekatan ditarik balik, Iran berjanji meningkatkan
eksportnya dua kali ganda dengan segera berjumlah dua juta tong sehari yang
kemudian akan ditingkatkan dua kali ganda sekali lagi menjelang hujung dekad
ini. Untuk melakukannya, Iran
harus merangsang jumlah pengeluaran (termasuk penggunaan dalam negeri) kepada
enam juta tong sehari, hampir sama dengan kemuncak pengeluarannya pada tahun
1970-an.
Melihat kepada kemajuan dalam teknologi penggerudian minyak
sejak tahun 1970-an dan besarnya rizab dimiliki Iran (keempat terbesar di
dunia, selepas Arab Saudi, Russia dan Venezuela), mengembalikan pengeluaran ke
tahap yang diperoleh 40 tahun lalu, bukanlah perkara sukar.
Persaingan baharu
Untuk mencari pembeli bagi lebihan minyak ini, kira-kira
hampir sama dengan lebihan pengeluaran dihasilkan Amerika daripada proses
serpihan, Iran harus
bersaing dengan hebat bukan sahaja dengan Arab Saudi, tetapi juga Iraq , Kazakhstan
dan Russia
serta pengeluar yang lebih kecil.
Semua negara ini juga berusaha mengembalikan semula
pengeluaran mereka kepada tahap kemuncak dan mampu mengeluarkan minyak lebih
banyak daripada apa dikeluarkan pada tahun 1970-an dan 1980-an melalui
teknologi pengeluaran baharu yang diterokai Amerika.
Dalam suasana persaingan baharu ini, dagangan minyak akan
diniagakan seperti komoditi lain, tambahan pula monopoli Arab Saudi dipecahkan,
manakala kos pengeluaran di Amerika Utara ditetapkan pada harga siling jangka
panjang AS$50 satu tong.
Justeru, jika anda ingin memahami soal kejatuhan harga
minyak, lupakan perkara berkaitan penggunaan di China , sebaliknya fokus kepada
pengeluaran di Asia Barat. Jika anda juga ingin mengetahui mengenai ekonomi
dunia, lupakan kepada pasaran saham, sebaliknya tumpukan kepada hakikat bahawa
harga minyak yang rendah akan sentiasa merangsang pertumbuhan global.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/79862
No comments:
Post a Comment