NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Tuesday, 15 October 2013

Hasad


BERKATA Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Bidayatul Hidayah’: Sifat hasad adalah cabang daripada bakhil kerana orang yang bakhil ialah orang yang tidak mahu memberikan sesuatu yang ada di tangannya kepada orang lain kerana tidak mahu melihat kurnia Allah itu tercurah kepada sesiapa sahaja daripada hamba Allah s.w.t. Sifat hasad adalah kejahatan yang luar biasa kerana itu Nabi s.a.w. bersabda:


“Awas diri kamu dari bersifat dengan sifat hasad dengki kerana sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebajikan sebagaimana api membakar kayu api.”


Orang hasad sebenarnya jauh daripada kasih sayang dan senentiasa berada dalam seksaan di dunia dan akhirat:

1. Di dunia ia terseksa dengan tekanan perasaan kerana nikmat Allah s.w.t. kepada hambaNya tidak terhitung banyaknya dan kemungkinan nikmat itu turun kepada sahabat yang dihasaddengkikan itu. Ia berada dalam keadaan penyeksaan bila melihat kemurahan Allah terhadap orang lain. Maka ia berlanjutan sehingga kepada kematiannya.

2.  Di akhirat lebih dahsyat lagi kerana seseorang hamba tidak akan mencapai hakikat iman selama ia belum mencintai seluruh muslimin sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri. Ia hendakalah bersama seluruh umat muslimin sama ada dalam keadaan senang atau susah. Umat Islam ibarat sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan sebahagian yang lain. Sama seperti badan apabila mana-mana anggota badan merasa sakit, maka penderitaan itu dirasai oleh seluruh anggota badan yang lain.

Oleh itu, sifat hasad hendaklah dibersihkan dari fikiran dan perasaan kerana meninggalkan penyakit hati lebih penting daripada menyibukkan diri mendalami cabang-cabang fekah yang tidak penting dan masalah-masalah yang dikhilafkan oleh ulama.

Berkata penyair:

“Semua perbalahan di antara kita boleh diatasi kecuali permusuhan yang disebabkan hasad dengki.”

Beberapa perkara perlu dilakukan bagi mengatasi sifat hasad tersebut, antarnya:


1. Sabda Nabi s.a.w.:

“Daripada Abu Hurairah r.a. dia berkata, bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Tidak ada hasad kecuali dua perkara:

Pertama: Seorang lelaki yang diberikan ilmu al-Quran oleh Allah s.w.t. digunakan dengan membacanya siang dan malam, maka didengari oleh jirannya lalu berkata mudah-mudahan diberikan kepadaku (membaca al-Quran) seperti mana diberikan kepada fulan (jiranku), maka ia beramal seperti jirannya beramal.

Kedua: Seorang lelaki yang diberikan kekayaan oleh Allah s.w.t. lalu digunakan dengan menyumbangkannya kepada perkara yang benar, maka berkata lelaki (jirannya) mudah-mudahan diberikan harta kepadaku seperti mana diberikan kepada fulan, maka ia melakukan seperti jirannya melakukan.”


2. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Tidak ada hasad dengki kecuali dua perkara:

Pertama: “Seorang lelaki yang diberikan oleh Allah, lalu ia menyedekahkannya pada jalan yang benar.

Kedua: “Seorang lelaki yang diberikan ilmu al-Quran, maka ia membacanya siang dan malam.” Hadith Hasan)


3. Berkata penyair:


“Bersabarlah kamu dengan dugaan yang datang dari penghasut kerana kesabaran kamu itu akan membunuhnya. Lihatlah api akan membakar diri sendiri jika dia tidak dapat apa yang akan dimakannya.”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”