TUAN GURU ABDUL HADI AWANG |
21 Julai 2016.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:
وَلَن
تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا
ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ
قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ
هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ
مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ
ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ
وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠ البقرة)
"Orang-orang Yahudi dan
Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka.
Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang
benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikut kemahuan mereka setelah
pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan
penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah: ayat 120)
Sebaik sahaja gagalnya
rampasan kuasa di Turki oleh segelintir tentera yang mengaturnya, keseluruhan
negara barat, termasuk negara Islam yang berada di bawah ketiaknya yang busuk
itu membuat kenyataan menyokong kerajaan Turki yang dipilih secara demokrasi,
dengan peringatan supaya menghormati undang-undang dan hak asasi manusia,
termasuk tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap mereka yang nyata terlibat
dengan rampasan kuasa yang telah terkorban dibunuh dan cedera ditembak.
Beberapa minggu dan bulan
sebelum rampasan kuasa, beberapa media barat menyiarkan penulisan yang
menyatakan kebimbangan dan keraguan terhadap Presiden Turki, Recep Tayyip
Erdogan yang dianggap melakukan perubahan yang dikira ancaman dan bahaya oleh
mereka khususnya kembali kepada Islam dan mengubah kiblat politiknya dalam
hubungan antarabangsa.
(merujuk kepada Foreign Afairs
30 Mei, Foreign Policy 15 Jun, New Yorks Times 5 Julai)
Perlu diketahui senario dahulu
yang diulang lakonannya, betapa kuasa besar barat yang berjaya menumbangkan
kerajaan Uthmaniyyah di awal abad yang lalu, setelah berjaya mengkhadamkan
pemerintah umat Islam yang berpeluang mendapat kerusi berkuasa memerintah
negara tanpa hala tuju Islamnya, di samping Kerajaan Uthmaniyyah yang sangat
uzur itu berjaya ditumbangkan, sehingga tanah air umat Islam dijajah, dipecah
dan diperintah, rakyatnya diabdikan, hartanya rompak.
Setelah berjaya meletakkan
Kamal Atartuk yang ditabalkan sebagai "Bapa Turki" moden dengan
menyingkirkan Islam dan melanyaknya habis-habisan, sehingga dimasukkan ke dalam
buku teks di seluruh negara jajahan termasuk negara kita supaya mengagungkan
Kamal Atarturk.
Kamal Atartuk seorang ketua
tentera diktator disanjung oleh barat sebagai seorang yang paling demokrasi
dengan perlindungan istimewa melalui perlembagaan Turki yang dipilih anggotanya
secara pilihan raya bebas dan demokratik, telah meletakkan di dalam
perlembagaan Turki, prinsip dan konsep sekularisme yang mengharamkan politik
Islam dengan apa cara sekalipun.
Sesiapa sahaja pemimpin yang
hanya mencuba untuk memasukkan agenda Islam dalam kerajaannya mewajibkan
tentera mengambil alih kuasa dengan perlindungan perlembagaan, inilah demokrasi
ala Turki. Maka, sesiapa yang mahu memakai jenama Erdogan di Malaysia mesti
membaca dan memahaminya.
Di awal tahun 50-an, Ali Adnan Menderes, seorang
tokoh ilmuan Turki (peguam) keluar daripada Parti Kamal Atarturk (Parti
Republik Rakyat) dan menubuhkan Parti Demokrat berdasarkan sekularisme mengikut
undang-undang Turki.
Parti ini mencapai majoriti
besar dalam Pilihanraya Umum 1954 dan Adnan dilantik menjadi Perdana Menteri,
beliau berjaya meningkatkan ekonomi Turki dalam aspek pertanian sehingga
menjadi negara pengeksport pertanian besar ke pasaran Eropah, dengan mendapat
sokongan besar daripada rakyat.
Tiba-tiba tentera dipimpin
oleh General Jamal Jorsel merampas kuasa Adnan bersama Menteri Luar Potin
Rusydi Zoghlo dan Menteri Kewangan Hasan Pulatkan dijatuhkan hukuman bunuh,
kerana dituduh mengheret Turki kepada Islam. Semua negara barat berdiam diri
apabila Islam menjadi mangsanya.
Selepasnya, muncul pula Profesor Najmuddin Erbakan tokoh jurutera,
pencipta jentera berat di Jerman, khususnya menggunakan diesel. Beliau pulang
ke Turki pada tahun 1960, sehingga berjaya melahirkan 300 orang pakar jentera
dan Turki dapat mengeluarkan 30,000 buah jentera diesel setahun, menjadikannya
tokoh yang sangat dihormati di Turki.
Seterusnya, beliau masuk ke
alam politik menubuhkan Parti Kebangsaan Turki. Selepas sembilan bulan parti
ini diharamkan kerana amaran panglima tentera General Muhsin Batur disebabkan
lantangnya bersuara Islam.
Tahun 1972, Profesor Erbakan
menubuhkan Parti Selamat Negara dan berkerjasama dengan Parti Artaturk,
sehingga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, sehingga juga berjaya
mengheret Turki menyerang Cyprus bagi menyelamatkan umat Islam yang dibunuh
oleh Kristian Ortodok Greece dan memulihkan hubungan Turki dengan negara Islam,
serta berjaya mengharamkan Pertubuhan Fremasson yang mendukung perjuangan
yahudi, seterusnya menyokong perjuangan Rakyat Palestin. Akhirnya, Jeneral
Kanan Ivreen merampas kuasa kerana menyelamatkan sekularisme Turki. Profesor
Erbakan ditahan dan diharamkan berpolitik.
Ketika beliau masih dikenakan
tahanan rumah pada tahun 1983, saya berkesempatan berkunjung ke rumahnya dan
mengenali Profesor Erbakan, selepasnya terjalin hubungan yang sangat akrab dan
sering kali mengajak saya mengiringinya dalam lawatan antarabangsa.
Pada tahun 1992, Profesor
Erbakan yang masih diharamkan berpolitik menubuhkan Parti Refah (kemakmuran)
dengan dipimpin oleh Profesor Ahmad Tekdal.
Pada tahun 1996, Parti Refah
mencapai kemenangan bersama Parti Toreliq Qawim (Jalan Betul). Kerjasama yang
mencapai kemenangan menubuhkan Kerajaan Campuran, akhirnya Profesor Erbakan
dilantik menjadi Perdana Menteri.
Beliau mengambil langkah
menubuhkan D-8, iaitu gabungan lapan buah negara umat Islam bersama Iran,
Mesir, Pakistan, Nigeria, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh. Mewujudkan
kerjasama ekonomi dan lain-lain.
Adapun Recep Tayyip Erdogan
berjaya menang sebagai Datuk Bandar Istanbul, dan akhirnya tentera memaksa
Profesor Erbakan meletakkan jawatan dan Parti Refah diharamkan juga, akibatnya
juga Profesor Erbakan dan beberapa pemimpin termasuk Erdogan dipenjarakan.
Setelah dibebaskan, Profesor Arbakan tidak dibenarkan berpolitik sehingga
meninggal dunia pada 27 Februari 2011.
Pengikut tegar Profesor
Erbakan menubuhkan Parti Saadat dengan meneruskan pendekatannya. Adapun Recep
Tayyip Erdogan dan Abdullah Gol menubuhkan Parti Adalat dengan dasar yang lebih
ekstrem berterus-terang sekularnya sehingga mengadakan perjanjian tidak
melaksanakan Islam di hadapan para jeneral tentera, meneruskan hubungan dengan
Israel dan barat, sehingga memenuhi segala syarat untuk menjadi anggota
Kesatuan Eropah (EU) namun tidak diluluskan juga.
Langkah yang dimarahi oleh
gurunya Profesor Erbakan, namun Erdogan memekakkan telinga terhadap gurunya
tanpa menjawab. Langkah Erdogan membebaskan dakwah dan kegiatan masjid, serta
berterus-terang menyokong Palestin, dalam masa yang sama mencipta keadaan
memulihkan hubungan dengan Israel, sehingga mendedahkan diri kepada kritikan
yang keras daripada dalam dan luar, tetapi tidak mendapat kepercayaan barat dan
sekutu-sekutunya.
Bahkan, polisi barat mengepung
Turki terlibat dengan krisis negara jirannya, dan sekutu barat menguatkan
ancaman pemberontak komunis Kurdis, dan mencipta tembakan Turki ke arah pesawat
Rusia dan lain-lain.
Barang kali kerana Erdogan dan
rakan-rakan yang akrab dengannya tetap bersolat dan beramal dengan cara hidup
seorang Islam, isteri-isteri mereka berjilbab dalam majlis rasmi pun tetap
menjadi teguran yang keras daripada golongan sekular, walaupun di atas konsep
demokrasi dan hak-hak asasi manusia terhadap masing-masing.
Akhirnya merobekkan topeng
barat yang menipu dan berpura-pura terhadap umat Islam di sepanjang masa,
menunjukkan prejudis, oportunis,
"double-standard", hasad dan lain-lain sifat lagi yang sangat negatif
terhadap Islam, walaupun Islam dan penganutnya sangat berbudi dan berbahasa
terhadap mereka, sejak zaman keemasan tamadun Islam sehinggalah zaman menjadi
sasaran kezaliman mereka, dengan penjajahan, perhambaan, sehinggalah dijadikan
mangsa pembunuhan perebutan kuasa dan ujian senjata.
Umat Islam terus menjadi
sasaran fitnah kerana agamanya. Demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan yang
sebenar, keadilan yang saksama hanya ungkapan manis yang tidak dirasa kalau
berbau Islam sahaja. Semua kemenangan parti yang berteraskan Islam atau ada
tanda-tanda menuju ke arah Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab tetap
dinafikan.
Sejarah kemenangan Masyumi di
Indonesia di tahun 50-an diguling dan diharamkan, kemenangan Mujahidin
Afghanistan menghalau Soviet dikacaubilaukan sehingga mencetuskan huru-hara
yang tidak padam sehingga kini, begitu juga kemenangan Parti Islam FIS di
Algeria hanya dalam pilihan raya Majlis Perbandaran dirampas kuasa dan
diharamkan secara terbuka, menjatuhkan Presiden Mursi di Mesir dengan dramanya
yang tersendiri, sikap barat terhadap Revolusi Islam bermazhab Syiah di Iran
juga dipulau dengan fatwa negara barat sehingga menyekat segala usahanya
menyatukan umat menentang Israel dan lain-lain.
Kini giliran Turki dengan
pendekatan Erdogan yang dinafikan Islamnya secara undang-undang yang
merumitkan, dilakukan rampasan kuasa tentera yang diulang senarionya tiba-tiba
menemui kagagalan. Sebaik sahaja beritanya tersebar, dapat disaksikan betapa
negara penjajah dan sekutunya menunggu dan lihat siapa yang menang.
Kecuali Mesir yang menyokong
rampasan kuasa gagal itu secara berani kerana mengikut sunnahnya, sehingga
lebih ke hadapan daripada Israel yang membisu.
Semua negara barat terkini
mendesak supaya Turki menghormati undang-undang tidak menjatuhkan hukuman mati
oleh mahkamahnya nanti ke atas mereka yang nyata terlibat dalam rampasan kuasa
yang gagal itu, sedangkan mereka boleh melakukan pembunuhan kerana perbezaan
warna kulit membunuh beramai-ramai menyerang Afghanistan dan Iraq kerana khabar
angin adanya senjata merbahaya atau adanya seorang sahaja yang diburu seperti
Osama bin Laden, Saddam Hussin, Muammar Ghadafi atau Ayatullah Khomeini dan
sebagainya, sebaliknya melindungi Salman Rusydi dan rakan-rakannya tanpa
mahkamah dan bukti yang kukuh.
Mereka juga memejam mata
terhadap pembunuhan rakyat Palestin, Rohingya dan terakhirnya hukuman mati ke
atas para pemimpin Jamaat Islami di Bangladesh kerana kesalahan tidak menyokong
perpecahannya daripada Pakistan setelah berlalunya masa lebih empat puluh
tahun.
Perlu diperkenalkan tiga tokoh
yang menggagalkan rampasan kuasa Turki, mereka bersama Erdogan, mereka ialah,
Perdana Menterinya Binali Yildirim, Pemangku Penglima tentera yang memimpin
operasi menentang pemberontakan, Jeneral Omet Dawardar dan Ketua Perisikan,
Jeneral Dr Hakan Fidan.
Kali ini diharapkan jeratnya
tidak mengena, laksana ayamnya terlepas, tangan berbau najis.
Benarlah firman Allah SWT di
dalam Surah Al-Baqarah, ayat 109:
وَدَّ
كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ
ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ
بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ
عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا
تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ
وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ
بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ
كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ (١٠٩البقرة.)
"Banyak di antara ahli
kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran
setelah kamu beriman, kerana rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran
jelas bagi mereka. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah
mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala
sesuatu."
"BERISTIQAMAH HINGGA
KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
16 Syawal 1437 / 21 Julai 2016
- HARAKAHDAILY 21/7/2016