PAS sedia tamatkan kerjasama dengan DAP - Hadi
Astro Awani | Kemas kini: Mei 22,
2015
(Diterbitkan pada: Mei 22, 2015
17:57 MYT)
ABDUL HADI: DAP tidak boleh
mendabik dada kerana mereka bukan parti mutlak yang mewakili masyarakat bukan
Islam di negara ini.
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan partinya bersedia untuk menamatkan
kerjasama dengan DAP.
Abdul Hadi berkata kesediaan
menamatkan kerjasama itu dibuat ekoran kenyataan serta tindak tanduk pemimpin
DAP yang mahu membentuk Kabinet bayangan tanpa penglibatan PAS dan PKR.
Katanya, tindakan DAP itu umpama
omongan kosong dan tidak realistik kerana Kabinet bayangan perlu mengambil kira
pelbagai perkara dalam perlembagaan negara dan bukan sekadar kepentingan
kelompok tertentu.
"Dia (DAP) nak putus, putus
lah, saya kena berpijak di bumi Malaysia ,
bumi Malaysia
ini bumi masyarakat majmuk.
"Kita sudah ada dewan-dewan
himpunan, NGO-NGO bukan Islam pun banyak," katanya ketika ditemui
pemberita di Marang selepas solat Jumaat tengah hari tadi.
Katanya, DAP tidak boleh mendabik
dada kerana mereka bukan parti mutlak yang mewakili masyarakat bukan Islam di
negara ini.
Abdul Hadi berkata demikian
ketika diminta mengulas hasrat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang
bercita-cita untuk memerintah negara secara bersendirian dengan membentuk
Kabinet bayangannya sendiri tanpa penglibatan PAS dan PKR.
Guan Eng berkata demikian
berikutan parti itu tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan presiden PAS.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu
juga mendakwa, pembentukan Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang dicadang
oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan gagal berikutan
keengganan Abdul Hadi bekerjasama.
Guan Eng menyifatkan Abdul Hadi
sukar dikawal kerana mempunyai 'kuasa veto' untuk menolak sebarang keputusan
yang dipersetujui bersama Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment