11 Januari 2016 12:47 AM
KESELAMATAN dan kesejahteraan sesebuah negara bukan
semata-mata bergantung kepada politik dan ekonomi, namun turut dinilai
berdasarkan sistem pertahanan yang kukuh.
Sistem pertahanan yang kukuh pula dinilai berdasarkan
kekuatan pasukan ketenteraan yang merangkumi jumlah anggota tentera, pemilikan
dan kecanggihan senjata, serta kuasa tenaga nuklear yang kini menjadi saingan
antara negara kuasa besar dunia.
Malah, agensi risikan juga berperanan penting dalam kejayaan
pelbagai fungsi ketenteraan.
Menurut senarai yang dikeluarkan penyedia data terkini kuasa
ketenteraan dunia, Global Firepower (GFP) tanpa mengambil kira kekuatan nuklear
yang dimiliki sesebuah negara, Amerika Syarikat (AS) masih kekal berada di
kedudukan teratas sekali gus menjadi negara paling kuat daripada segi
ketenteraan pada masa ini.
Dari sudut aset ketenteraan, AS masih melebihi negara-negara
lain apabila memiliki 13,892 buah pesawat, 2,797 jet pejuang, 6,196 buah
helikopter, dan 72 buah kapal selam.
Namun, dari segi jumlah keanggotaan, tentera China
mendahului AS apabila mempunyai kira-kira 2.3 juta anggota yang masih aktif
berbanding AS dengan hanya 1.4 juta anggota tentera.
Dalam masa sama juga, China dilihat bakal mencabar kekuatan
AS apabila memiliki aset pertahanan yang lebih hebat termasuklah memiliki 6,426
meriam serta kelengkapan maritim antaranya termasuk kapal pemusnah, kapal selam
serta kapal peronda sebanyak 2,030 berbanding AS yang hanya memiliki 300
kelengkapan.
Pada masa ini, keadaan dunia yang berdepan keadaan
‘huru-hara’ memberi peluang kepada China untuk menonjolkan diri.
Bilangan rakyat China yang
semakin ramai, kecanggihan dalam bidang teknologi, dan kedudukan geografinya
yang unik adalah faktor yang mampu membawa China mendominasi dunia.
Pembangunan itu bermula sejak zaman pemerintahan Mao Zedong
pada tahun 1945. Beliau menginginkan pembangunan ketenteraan yang kuat
mengatasi segala-galanya.
Kuasa yang dimiliki oleh China hari ini dilihat bakal
menjadi satu kuasa yang mampu menstabilkan kuasa dominan yang dimiliki AS dan negara-negara
kuasa besar yang lain.
Jadi tidak mustahil China mampu mendominasi dunia pada
satu masa nanti, sekali gus ‘menjatuhkan’ AS.
Keupayaan China
dari segi teknologi moden dan pengamalan sistem pintu terbuka mampu membentuk China sebagai
kuasa utama dunia dan memberi persaingan yang hebat kepada negara-negara kuasa
besar yang lain.
Oleh itu, tindakan pemimpin China dalam melakukan pembaharuan
dari segi penstrukturan semula ekonomi dan bidang ketenteraan juga perlu
dipandang serius kerana langkah-langkah tersebut merupakan tindakan mewujudkan
sebuah kuasa baharu di dunia.
Begitu juga Rusia yang berkemungkinan menjadi negara yang
mempunyai kuasa ketenteraan terbesar di dunia dengan simpanan senjata nuklear
dan peralatan senjata yang canggih.
Secara keseluruhan, Rusia berada di tempat kedua dalam
senarai yang dikeluarkan GFP apabila mempunyai 766,000 anggota tentera, hampir
separuh daripada bilangan keseluruhan anggota tentera AS.
Dari segi senjata nuklear, Rusia sedikit ketinggalan di
belakang AS.
Menurut statistik yang diperoleh BBC, Rusia mempunyai
sebanyak 10,000 unit peledak nuklear, diikuti AS (8,500), Perancis (300), China (240), dan United Kingdom (225).
Selain itu, kehebatan Rusia terbukti melalui pemilikan
peluru berpandu SS-18 Satan yang mampu mencapai jarak sejauh 16,000 kilometer,
diikuti China dengan DF-5A yang mampu sampai pada jarak 13,000 kilometer,
manakala AS dengan Trident D5 boleh menjangkau jarak 11,300 kilometer.
No comments:
Post a Comment