Hishamuddin Rais Hari ini, 10:34 pagi Hari ini, 1:01 petang
Dunia hari ini semakin kacau bilau. Di Malaysia, kita semua
sedang menjadi saksi. Kita sedang melihat gambar mangsa ledakan, gambar mangsa
keganasan, mangsa pelarian perang, mangsa pembunuhan, gambar kemusnahan. Imej
dan gambar muncul dari TV, dari YouTube, dari Facebook. Gambar dan imej ini
sedang memaksa kita menjadi saksi.
Kita tidak ada pilihan. Kita, warga dunia yang memiliki
kesedaran dan sifat kemanusiaan, sedang menjadi saksi terhadap apa yang sedang
berlaku di hadapan mata kita.
Perang sedang berjalan di Afghanistan ,
Pakistan , Iraq , Syria ,
Lubnan, Yaman , Somalia ,
Libya , Palestin, Kashmir dan
Mali .
Sila baca sekali lagi nama negara-negara yang saya tulis. Semuanya negara yang
diduduki oleh penganut agama Islam. Sebahagian besarnya negara Arab.
Apa sebenarnya sedang berlaku?
Saya membesar di zaman peralihan – ketika kuasa British
sedang melancarkan Perang Kolonial ke atas warga Tanah Melayu. Ini berlaku
ketika Pasukan Pembebasan Rakyat Malaya sedang bermati-matian melawan kuasa
penjajah British untuk membebaskan dan memerdekakan Tanah Melayu. Ini berlaku
lebih dari lima
puluh tahun dahulu.
Dari ingatan saya di zaman kanak-kanak ini – Perang Kolonial
tahun 50-an dahulu tidak seperti apa yang sedang saya saksikan sekarang. Hari
ini dengan bantuan teknologi, dengan alatan perhubungan yang canggih – kamu,
kita dan saya – tidak dapat melarikan diri.
Kita semua wajib menjadi saksi melihat kemusnahan dan
kehancuran. Saya bandingkan Perang Kolonial menghalau British dahulu sama
seperti menghalau babi dengan lembing. Manakala perang hari ini sama saperti
menyerang semut dengan M16.
Maka kita akan bertanya. Apa sebenarnya sedang berlaku? Apa
sebenarnya semua ini?
Secara jujur saya nyatakan di sini bahawa apa yang saya
tulis ini adalah hasil dari pembacaan, hasil dari pengamatan saya. Berita dan
maklumat yang bersepah-sepah dalam Internet saya kumpulkan untuk dijadikan satu
peta besar.
Peta ini akhirnya menjadi satu penceritaan atau naratif
induk. Cerita induk inilah yang kadang kala terlepas dari pandangan mata. Kita
terlalai oleh kisah sampingan yang sengaja dipaparkan untuk mengaburi
pandangan.
Sebenarnya semua berita ini kait mengait. Semuanya ada
hubungan antara satu sama lain. Kita melihat berita ini terpencar-pencar,
bersepah-sepah di sana
sini, tetapi hakikatnya semua berita ini terpusat dalam satu naratif induk.
Perang ialah lanjutan dari perbincangan yang telah gagal.
Perang bertujuan untuk menundukkan satu kumpulan, satu wilayah, satu negeri
atau satu bangsa.
Perang bertujuan untuk menawan wilayah, untuk menawan hamba
abdi, untuk mencari dan membuka pasaran, untuk merampas harta kekayaan, untuk
memiliki bahan-bahan mentah. Hukum perang ini dari zaman berzaman tidak pernah
berubah-ubah.
Belanda dan Portugis datang ke Alam Melayu untuk menawan
ladang dan pasaran rempah rampai. British datang untuk menawan damar, emas dan
bijih.
Justeru, jika Iraq
dan Libya
hanya mengekspot petai dan budu, sampai hari ini Saddam dan Gaddafi masih
hidup.
Hakikatnya perang adalah perebutan punca ekonomi. Selagi
dunia memakai sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maka selagi itulah
dunia akan berhadapan dengan bencana perang.
Pada 24 November 2015 yang lalu jet pejuang F-16 Turki
menembak jatuh sebuah kapal terbang pengebom Sukhoi Su-24 milik Rusia.
Turki adalah anggota perjanjian persenjataan NATO yang
dikepalai oleh Amerika. Negara ini menuduh Rusia mencabuli ruang udaranya.
Pesawat Su-24 pada ketika itu sedang mengebom ISIS . Presiden Vladimir Putin menafikan Rusia mencabuli
ruang udara Turki. Putin telah menuduh Presiden Turki Recep Tayyip Edorgan
berbohong kerana Su-24 ini tidak melintasi sempadan Turki.
Sebelum ini pada 7 November pesawat udara Airbus A321 milik
syarikat penerbangan Rusia telah meledak di udara. Seramai 224 warga Rusia
termasuk anak kapal yang pulang dari bercuti di Mesir telah tewas. Bahan bukti
menunjukkan pesawat ini dikhianati dengan bom jangka.
Kumpulan ISIS mengakui bahawa bom jangka telah dipasang
dalam pesawat sebagai jawapan balas kepada Rusia yang telah memulakan kempen
mengebom pangkalan ISIS di Syria.
Untuk saya, semua ini adalah awan mendung yang akan membawa
perang yang lebih besar. Berita-berita ini pada hemat saya adalah rintik-rintik
perang yang akan meledak.
Semenjak meledaknya WTC 9/11 dunia kita amat jauh berubah.
Atas nama Perang Melawan Keganasan (PMK), banyak negara dalam dunia ini telah
memperkenalkan hukum dan undang-udang baru. Undang-undang ini semuanya
dikatakan untuk PMK – untuk menjaga keselamatan rakyat.
Nama dan bunyi undang-udang ini cukup molek. Di Amerika ada
Akta Patriot, Undang-Undang Keselamatan Tanah Air, di Malaysia kita ada Sosma,
kita ada POCA, POTA dan paling terbaru MKN – Majlis Keselamatan Negara.
Semenjak peristiwa 9/11, UK ,
Perancis , Australia dan Itali semakin galak
memperkenalkan akta dan undang-undang baru atas nama keselamatan dan untuk
menumpas keganasan.
Pada hemat saya semua undang-undang yang diwujudkan atas
nama keselamatan orang ramai, atas nama PMK di pelbagai negara sebagai satu
persediaan untuk menghadapi perang yang lebih besar.
Perang yang sedang berlaku di Timur Tengah pada ketika ini
saya panggil perang tempatan. Ini kerana ianya berlaku di satu tempat atau
wilayah. perang tempatan ini akan merebak dan memaksa kita semua berhadapan
dengan kedatangan Perang Dunia Ketiga. Awan mendung dan rintik-rintik ini
adalah petanda perang dunia akan sampai bila-bila masa sahaja.
Warga dunia, terutama di Amerika Utara, Eropah dan negara
Nordic di Utara Eropah memiliki gaya
hidup bebas dan demokratik. Kebebasan ini sedikit demi sedikit sedang
dilupuskan. Undang-undang, akta dan hukum-hakam yang disedikan untuk PMK
sebenarnya sedang mengawal warga dan orang ramai.
Hukum-hakam ini dikatakan akan memperkukuh demokrasi tetapi
hakikatnya hukum-hukum ini bertentang dengan roh dan gaya hidup demokratik. Hukum-hakam ini sedang
melanggar hak asasi umat manusia yang paling asas: Bebas dari ancaman perang
dan bebas dari ketakutan.
Kenapa warga perlu dikawal sekarang?
Jangan silap faham, elit politik dunia, elit ekonomi dunia,
kaum pemodal antarabangsa dan tuan pemilik media dunia telah lama sedar bahawa
sistem ekonomi kapitalis yang sedia wujud hari ini telah sampai ke tahap amat
bahaya.
Krisis ekonomi yang melanda dunia pada bulan September 2008
dahulu masih lagi belum dapat ditangani. Kini krisis baru akan muncul.
Dunia kapitalis sedang berhadapan dengan pelbagai krisis
yang maha besar.
Pertama: Ekonomi China yang selama dua dekad ini
menjadi penjana ekonomi dunia sedang menguncup. Permintaan bahan mentah dari China mengendur
maka harga bahan bakar petroleum merudum.
Kedua: Ekonomi Amerika Syarikat – ekonomi kapitalis terulung
– sedang berhadapan dengan hutang yang bertimbun-timbun.
Ketiga: Nilai dolar semakin susut. Dolar semakin tidak
diyakini sebagai mata wang tukaran untuk jual beli.
Keempat: Muncul pesaing baru dalam ekonomi dunia. Negara
BRIC – Brazil , Rusia , India ,
China , Afrika Selatan dan Iran – sedang
menandingi kuasa imperial Amerika.
Mengikut fakta sejarah. Mengikut apa yang telah berlaku
dahulu. Mengikut hukum ekonomi kapitalis, apabila sistem kapitalis dalam gawat
maka jalan keluar ialah perang.
Jelas kelihatan bahawa perang tempatan di Timur Tengah pada
ketika ini tidak akan menyelesaikan kekalutan sistem ekonomi kapitalis yang
sedia ada.
Perang tempatan ini diwujudkan untuk mengolah persetujuan
warga dunia bahawa bahaya hari ini bukan datang dari sistem ekonomi kapitalis
tetapi dari Islam.
Ketika Perang Dingin berlarutan antara USSR dengan USA
dahulu, yang menjadi musuh dunia ialah sistem ekonomi sosialis dan komunis dari
blok China , Vietnam , Korea Utara, Rusia , Cuba
dan Eropah Timur.
Sosialis dan Komunis telah digantikan dengan Islam. Agama
Islam sedang dijadikan musuh utama rakyat dunia. Secara terancang Islam
diperlihatkan sebagai pembawa keganasan. Islam digambarkan sebagai pembawa
huru-hara dalam dunia kita hari ini.
Apa yang berlaku sekarang ini bukan datang dengan sendiri.
Semua ini dirancang. Ada
ahli fikir, ada kertas kerja, ada idealog, ada lembaga kumpulan pemikir yang
kerja mereka hanya berfikir, merancang dan melakar strategi untuk memastikan
kuasa hegemoni Amerika Syarikat dan sistem ekonomi kapitalis akan terus
berkuasa.
Di Amerika ada lembaga seperti Rand Coporation, Brooking
Institution, American Enterprise Institute atau Council on Foreign Relation. Di
UK pula ada Chatham House, ada
Center for Policy Study.
Semua ini adalah lembaga yang dianggotai oleh para pemikir prokapitalis. Akidah
dan cita-cita lembaga ini ialah untuk memastikan sistem kapitalis ini selamat.
Perang tempatan yang sedang berlangsung sekarang kesemuanya
berlaku dalam negara yang penduduknya penganut agama Islam. Islam dipilih untuk
menggantikan sosialisme dan komunis bukan secara tidak sengaja.
Untuk membolehkan sesebuah daulah terus berkuasa, wajib ada
musuh luaran agar rakyat dan pengundi akan terus dapat ditakut-takutkan. Islam
sedang dijadikan musuh dan hantu untuk terus menakut-nakut rakyat dunia.
Orang ramai yang takut pasti akan mencari perlindungan.
Perlindungan hanya datang dari kerajaan yang memiliki undang-undang dan
hukum-hakam saperti ISA, SOSMA atau Patriot Act.
Wajib saya nyatakan di sini, pada tahun 1992 Samuel P
Huntington seorang ahli sains politik telah menulis The Clash of Civilisation
dalam majalah Foreign Affiars.
Tulisan ini mengajukan bahawa sesudah Perang Dingin tamat
maka agama dan identiti akan menjadi induk perbalahan. Artikel ini akhirnya
menjadi sebuah buku dengan nama yang sama terbit pada tahun 1996.
Hari ini garis politik kanan – agama dan identiti sedang
menggantikan Perang Dingin. Islam sebagai musuh telah difikirkan seawal 1992
lagi. Saya cukup yakin pemikir ini juga sedang merancang cara terbaik untuk
menyelamatkan sistem ekonomi kapitalis yang sedang nazak ini.
Perang Dunia Ketiga pasti dalam agenda.
HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas.
Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual).
Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.
Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center ,
Bombay Arthur Road ,
Ayer Molek dan Dang Wangi.
No comments:
Post a Comment