Sinopsis: Musuh Islam sentiasa beusaha memusnahkan Islam dengan pelbagai cara. Mereka bergerak dan bekerja dalam pasukan dan kumpulan. Pasukan dan kumpulan inilah yang telah lama disebutkan sebagai Ahzab. DSTG Presiden PAS berkhutbah mengenainya pada 7 Ogos 2015 :
Wahai hamba-hamba Allah,
bertakwalah kamu kepada Allah ( dengan mengikut segala perintahnya dan
meninggalkan segala larangannya ). Carilah bekalan, maka sesungguhnya
sebaik-baik bekalan ( bagi kehidupan dunia sehingga hari akhirat ) ialah
bertakwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang
yang bertakwa.
Saudara muslimin yang dirahmati
Allah,
Kita masih lagi berada di bulan
Syawal, bulan umat Islam. Di zaman Rasulullah s.a.w. diuji dengan peristiwa Al-Ahzaab.
Ia berlaku apabila orang-orang Yahudi golongan Ahli Kitab yang mengetahui
kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., mengetahui tanda-tanda yang ada pada jasadnya
dan tanda-tanda yang ada pada para sahabatnya serta perkara yang disebut di
dalam kitab yang diwahyukan kepadanya, namun kerana hasad dengki mereka
diambilnya langkah menentang Islam habis-habisan, termasuk juga di kalangan mereka yang diizinkan oleh Rasulullah s.a.w. bersama masyarakat, di
dalam masyarakat umat Islam, masyarakat majmuk,
berbilang agama dan kaum berada di bawah pemerintahan Islam supaya
mereka dapat melihat hukum-hukum Allah yang adil, rahmat kedatangan Nabi
Muhammad s.a.w., perkara-perkara yang disebut di dalam Al-Quran Al-karim banyak
persamaan di dalam kitab Taurat, Injil dan kitab-kitab yang diwahyukan kepada
rasul-rasul yang terdahulu. Al-Quran yang diturunkan di Makkatul Mukaramah, nabi yang
diutuskan buta huruf dalam masyarakat
yang buta huruf untuk membuktikan Al-Quran sebenarnya Kitab Allah, buka ciptaan
manusia.
Namun mereka menentang Islam juga
kerana hasad dengki terhadap Islam dan kerana fanatik kaum Yahudi yang
sangat tebal. Berbagai-bagai langkah
diambil untuk merosakkan umat Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w.. mereka
memecahkan perpaduan umat Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar, di kalangan
Aus dan Khazraj, masyarakat yang
berperang di zaman jahiliah kerana semangat kabilah disatukan dengan semangat
Islam dengan persaudaraan iman yang dijalin oleh Allah s.w.t.. Namun
orang-orang Yahudi merancang berbagai-bagai cara untuk memecahkan umat Islam,
memfitnah Rasulullah s.a.w. dengan syair dan sajak yang dicipta yang merupakan
media zaman itu serta merancang untuk membunuh, menyihir dan meracun Rasulullah
s.a.w..
Yang lebih dahsyat mereka
merancang peristiwa Ahzaab apabila pemimpin-pemimpin mereka datang ke Mekah
menemui pemimpin-pemimpin masyarakat memberi semangat untuk menentang Nabi
s.a.w. dan Islam yang dibawanya.
Oleh kerana orang-orang musyrikin
melihat mereka adalah golongan Ahlul Kitab yang merupakan ulama-ulama yang tahu
kitab menambahkan semangat untuk menentang Islam. Digabungkan kabilah-kabilah
Arab yang besar jumlahnya. Bala tentera
yang lengkap bersenjata 10,000 anggota, lebih besar daripada jumlah umat
Islam pada masa itu dicampur lelaki
perempuan, orang tua-tua, kanak-kanak dan yang cacat tidak mencapai angka
10,000 orang jumlah bala tentera Ahzaab itu. Mereka datang untuk mengepong
Madinah. Allah s.w.t. merakamkan peristiwa itu di dalam Al-Quran Al-Karim dalam surah yang dinamakan
surah Al-Ahzaab mengambil sempena peristiwa itu dan Allah menyebut Al-Ahzab itu
di dalam Al-Quran Al-Karim dengan firman-Nya:
“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab,
berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada
kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan
(angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan
kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka
bulat-bulat kepada Allah.
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar
menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela
Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu
(lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka
pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” ( Al-Quran,
surah Al-Ahzaab ayat 22-23 )
Dengan kekuatan iman yang ada
dalam diri para sahabat r.a. yang dididik oleh rasulullah s.a.w. walaupun
Madinah dikepong oleh bala tentera Ahzaab,
di dalam Madinah ada orang-orang Yahudi yang berjanji telah mungkir
janji. Di dalam Madinah ada orang-orangmunafik yang berpura-pura menjadi orang
Islam yang mengaku Islam berpura-pura, bila diuji dengan peristiwa Ahzaab mereka mendedahkan diri mereka yang
sebenar. Allah s.w.t. menjadikan peristiwa itu untuk memberi kemenangan kepada
umat Islam.
Peristiwa ini disambut di dalam
Al-Quran Al-Karim. Al-Quran adalah kitab mukjizat sehingga hari kiamat. Ini
menunjukkan bahawa cerita dan peristiwa di dalam Al-Quran adalah peristiwa yang
tidak selesai dan habis di zaman itu
sahaja, bahkan ia berpanjangan sehingga
hari kiamat.
Di sepanjang sejarah, umat Islam
menyaksikan peristiwa Ahzaab yang berulang kali. Di zaman muktahir ini, bala
tentera Ahzaab di kalangan kumpulan penjajah telah berjaya meniupkan semangat
perkauman dan fanatik mazhab yang memecahkan umat Islam. Mereka berjaya
menjatuhkan kerajaan Islam, menakluk tanah air umat Islam dan
membahagi-bahagikan tanah air dan bangsa umat Islam di kalangan kuasa-kuasa
penjajah.
Namun Allah s.w.t. tidak
mengizinkan cahaya Islam dipadamkan sekali-kali. Allah telah berjanji di dalam
Al-Quran Al-Karim:
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam)
dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun
orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” ( Al-Quran surah As-Saff ayat 8 )
Sehingga hari ini kita melihat
banyak negara umat Islam sudah dibebaskan daripada penjajahan asing. Walaupun pemikiran
mereka masih dijajah dengan fahaman-fahaman asing. Kini kembali semula zaman
kebangkitan umat Islam untuk kembali kepada Islam. Kebangkitan umat Islam di zaman
kini sedang menghadapi cabaran baharu daripada tentera Ahzaab melalui media,
melalui berbagai angkatan mengepong kebangkitan Islam, sama ada dengan
memecahkan perpaduan umat Islam sendiri atau melalui berbagai-bagai operasi
politik, ekonomi dan ketenteraan untuk tidak mengizinkan umat Islam kembali
semula memimpin dunia.
Percahaya bahawa Allah s.w.t.
akan tetap memelihara cahaya agama-Nya sebagaimana dijanjikan di dalam Al-Quran
al-Karim.
“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa
petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan
ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak
menyukainya.” (Al-Quran, surah At-Taubah ayat 33 )
No comments:
Post a Comment