FADZIL ZAINOL | 26
Ogos 2015 1:17 AM
KUALA LUMPUR 25 Ogos -
Kemerosotan pasaran saham China yang digelar China’s Black Monday semalam,
kesan tindakan drastik pelabur-pelabur menjual pegangan saham mereka di negara
itu, telah membawa kesan domino yang membuatkan penanda aras pasaran-pasaran
saham dunia mengalami kejatuhan teruk.
Saham utama Amerika Syarikat
(AS), Dow Jones turut terkena tempias dan ditutup rendah semalam ke paras
15,871.35 mata iaitu susut 588.40 mata atau 3.57 peratus. Bursa-bursa AS yang
lain seperti Indeks Komposit NASDAQ turut mengalami penyusutan 179.79 mata kepada
4,526.25 mata dan Bursa Saham New York pula jatuh 405.75 mata atau 3.98
peratus.
FTSE 100 di United Kingdom (UK)
pula susut 4.7 peratus kepada 5,898.87 mata iaitu terendah sejak akhir 2012.
Beberapa indeks lain seperti di
Frankfurt, Jerman dan Paris , Perancis turut
mengalami penyusutan lebih lima peratus
sementara bursa saham Athens ,
Greece
mengalami penurunan sekitar 10 peratus. Bursa
saham Pan-Eropah, FTSEurofirst 300 susut 6.4 mata sekali gus mengakibatkan
pengeluaran dana sehingga 500 bilion euro (RM2.4 trilion) daripada bursa
tersebut.
Menurut Reuters, keadaan itu juga
memberi kesan kepada saham-saham utama Asia dengan Indeks Nikkei di Jepun
menyusut 895.15 mata atau lebih empat peratus iaitu kejatuhan terbesar dalam
tempoh dua tahun, Indeks Kospi Korea Selatan susut 2.5 peratus, Hang Seng Hong
Kong lebih lima peratus, sementara indeks utama Bursa Saham Singapura merosot
127.62 mata.
Ketua Strategi Bank SEB yang
berpangkalan di Singapura, Sean Yokota berkata, tindakan drastik jualan saham
oleh pelabur-pelabur dijangka berterusan sebagai reaksi terhadap perkembangan
ekonomi semasa khususnya langkah-langkah yang diambil oleh kuasa ekonomi dunia
seperti China
dan AS.
Kegawatan di China semalam, turut
mengakibatkan mata wang negara-negara Asia menyusut ke paras paling rendah
dalam tempoh beberapa tahun termasuk ringgit, rupiah Indonesia, dolar Taiwan,
bath Thailand, dolar Singapura dan peso Filipina berbanding dolar AS.
Indeks Shanghai terus merosot
lagi hari ini sebanyak tujuh peratus sekali gus membuatkan paras indeks itu
kini berada di bawah paras 3,000 mata. Indeks itu sebelum ini telah merosot 15
peratus dalam tempoh tiga hari dengan semalam mencatatkan kemerosotan terbesar
iaitu 8.5 peratus.
Sementara itu, Penyelidik Kanan
Daiwa Securities, Yukino Yamada berkata, hampir kesemua saham dunia terjejas
termasuk saham-saham syarikat walaupun interaksi perdagangan dengan China adalah
kecil.
Kerajaan China
bagaimanapun hari ini mengumumkan pengurangan kadar faedah di negara tersebut
sebanyak 0.25 mata kepada 4.6 peratus selepas dua hari berturut-turut saham
negara itu bergolak. Pengurangan itu adalah kali kelima yang dibuat oleh negara
itu sejak November 2014.
Langkah tersebut berjaya
menaikkan semula pasaran-pasaran Eropah setakat sesi dagangan pagi di rantau
itu. FTSE 100 di London melonjak kembali 3.3 peratus, Index Dax Jerman
meningkat 4.4 peratus sementara Cac Perancis naik 4.6 peratus.
Indeks utama Bursa Malaysia, FBM
KLCI kembali pulih apabila meningkat 31.8 mata sepanjang sesi dagangan hari ini
dan ditutup pada 1,563.94 setelah mengalami kemerosotan semasa sesi dagangan
semalam yang turut dialami semua bursa-bursa serantau.
No comments:
Post a Comment