PERDANA Menteri Rusia, Dmitry Medvedev (kiri) bersalaman dengan Barack Obama dalam mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 di Kuala Lumpur, semalam. REUTERS |
AS cuma serang kumpulan militan IS
Obama nafi lancar perang terhadap umat Islam
23 November 2015 1:41 AM
Beliau berkata, persepsi yang
mendakwa AS dan sekutu-sekutunya memerangi seluruh umat Islam adalah tidak
benar dan mesti ditolak.
Menurut Obama, sebagai sebuah
negara yang mengandungi masyarakat pelbagai agama, AS tidak boleh melancarkan
peperangan terhadap mana-mana agama.
“Malah, negara kita diperkukuhkan
dengan masyarakat yang mewakili semua agama termasuk warga AS yang beragama
Islam.
“Kita mesti memahami hakikat ini,
prejudis dan diskriminasi hanya memberi kelebihan kepada IS serta menjejaskan
keselamatan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Obama berada di negara ini selama
tiga hari mulai kelmarin bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ketiga dan
Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10.
Beliau menegaskan, AS juga perlu
memastikan tindakan yang diambil dalam memerangi keganasan adalah selari dengan
nilai-nilai dan perspektif negara itu.
Obama menambah, semua pihak boleh
memainkan peranan dengan mempertahankan nilai-nilai toleransi dan kepelbagaian
yang dipegang AS selama ini.
“Kita tidak akan gentar atau mula
berkonflik sesama sendiri atau mendiskriminasi sebahagian anggota masyarakat
semata-mata kerana agama, kaum atau latar belakang mereka,” jelasnya.
Beliau memberitahu, perbuatan itu
bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap nilai-nilai yang dipertahankan AS
malah, ia menepati propaganda IS.
Obama berkata, setakat ini,
sebanyak 65 negara termasuk Malaysia
telah menyertai pakatan memerangi IS yang diketuai AS.
Sementara itu, beliau menyifatkan
pertemuannya dengan pemimpin 17 negara dalam Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan
Sidang Kemuncak Asia Timur sebagai satu kejayaan.
“Saya ingin menyatakan
penghargaan kepada kepemimpinan Malaysia
di atas peranan mereka dalam menjayakan dua sidang kemuncak tersebut,” ujarnya.
Obama menambah, beliau juga telah
menjemput semua pemimpin ASEAN untuk menghadiri pertemuan di AS tahun depan.
Ketika mengulas tentang pertemuan
dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, beliau berkata,
antara perkara yang dibangkitkan adalah kepentingan aspek ketelusan dan
akauntabiliti dalam pentadbiran sesebuah negara serta saranan untuk
mempertingkatkan usaha membanteras rasuah.
No comments:
Post a Comment