DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 05 Jun 2015
UCAPAN DASAR PRESIDEN PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)
Muktamar Tahunan PAS ke – 61 2015
Yang dihormati Dato’ Pengerusi
Tetap, YBhg. Sohibul Fadhilah Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din Mursyidul ‘Am Parti
Islam SeMalaysia (PAS), YAB Dato’ Timbalan Mursyidul Am, Ashab al-Fadhilah Ahli
Majlis Syura Ulamak, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Dewan
Ulamak, Pemuda, Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Dato’ Setiausaha
Agung dan seluruh Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, pimpinan dan
rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, NGO, seluruh para perwakilan dan pemerhati,
muslimin dan muslimat yang dikasihi sekelian.
Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa
marhaban bi kum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua para
perwakilan dan tetamu yang memeriahkan Muktamar Agung Tahunan Parti Islam
Se-Malaysia (PAS) yang julung kali bertandang ke Kuala Selangor pada tahun 2015
ini. Marilah dengan penuh yakin kita memohon kepada Allah SWT akan keberkatan
dan fadhilat, serta pahala yang berlipat ganda daripada kelebihan ribat fi
sabilillah, kerana keyakinan terhadap dasar dan matlamat perjuangan kita.
Muktamar kita kali ini diadakan
dalam suasana kita kehilangan murabbi parti dan ummah yang begitu banyak
jasanya kepada perjuangan Islam di tanah air kita, al-Marhum Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat pada malam 22 Rabiul Akhir 1436 Hijriah bersamaan 12
Februari 2015 yang baru sahaja berlalu. Marilah kita sama-sama mendoakan agar
roh beliau dan pimpinan serta ahli parti yang telah kembali ke rahmatullah agar
ditempatkan di kalangan para syuhada dan solihin. Al-Fatihah.
MENGANGKAT TEMA MUKTAMAR
1. Marilah kita sama-sama
menghayati dan memahami firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan umatnya yang
beriman dan setia:
(Beristiqamah kamu (wahai Muhammad SAW) dan sesiapa yang bertaubat
bersama mu dan jangan sekali-kali kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia
(Allah) Maha Melihat apa-apa yang kamu amalkan. Dan jangan sekali-kali kamu
cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu disentuh oleh api neraka,
dan tidak ada penolong bagi kamu selain Allah. Kemudian kamu tidak diberi
pertolongan)
2. Muktamar Agung Tahunan kali
ke-61 pada tahun ini mengangkat tema “BERISTIQAMAH
HINGGA KEMENANGAN”. Istiqamah adalah bermaknatetap berada di atas dasar,
amalan dan perjuangan yang benar daripada Allah, iaitu Islam yang sempurna,
tetap dalam perkara prinsip dan anjal dalam pelaksanaan di sepanjang zaman.
Ianya bukanlah satu retorik untuk mencapai kemenangan dunia yang sementara,
tetapi yang paling besar ialah kemenangan akhirat yang berkekalan
3. Kemenangan adalah menjadi
matlamat dalam setiap perjuangan. Islam mempunyai konsepnya yang tersendiri
mengenai maksud “kemenangan”, dan ianya adalah berbeza dengan konsep kemenangan
dalam agama atau ideology serta fahaman lain. Kemenangan juga hendaklah dikaitkan
dengan kemenangan di akhirat yang merupakan kemenangan yang sebenar. Walaupun
pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan
peperangan atau sebarang medan
perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan.
Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.
4. Marilah kita menghayati apa
yang di firmankan oleh Allah SWT:
"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong
(agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya
yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan
agama) Allah? Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: Kami lah
penolong-penolong agama Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman
dan segolongan (yang lain) kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang
yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang
menang." [As-Sof : 14]
Firman Allah lagi;
"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam)
di antara orang-orang muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka
dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun rida kepada Allah dan
Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di
dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang
besar.” [at-Taubah : 100]
5. Tema “istiqamah” diangkat sekali lagi dalam muktamar kali ini bagi
menegaskan betapa pentingnya “istiqamah”
dalam perjuangan Islam yang sangat mencabar, sehingga ada yang terhenti di pertengahan
jalan, ada yang tercicir dan terpesong, dan sebilangan terus bersama dengan
jemaah ini sehingga ke akhir hayat mereka. Istiqamah inilah yang menjadi doa
kita semua agar hidup kita berakhir dengan husnul khatimah. Ingatlah apa yang
dinyatakan oleh Allah SWT;
"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah
diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu,
tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan
bersumpah dengan (nama) Allah: ""Jika kami sanggup tentulah kami
berangkat bersama-samamu"" Mereka membinasakan diri mereka sendiri
dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang
berdusta.” [at-Taubah : 42]
Istiqamah di atas prinsip dan dasar PAS
6. Ingin saya memperingatkan para
hadirin sekelian, bahawa apa sahaja yang kita bicarakan dalam memandu
perjuangan ini hendaklah merujuk kepada panduan yang menyeluruh dari al-Quran
dan as-Sunnah, serta memahami bahawa PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengambil
jalur tarbiyah, dakwah dan siyasah. Manakala Perlembagaan PAS menetapkan bahawa
hukum tertinggi bagi PAS adalah al-Quran, Hadis, Ijma’ Ulama dan Qiyas.
7. Inilah yang membezakan kita
dengan suara demokrasi Barat yang melaungkan slogan Suara Rakyat Suara Keramat,
Hidup Rakyat, atau pun kita mengikut kehendak rakyat yang jahil atas nama
demokrasi, sehingga melanggar sempadan Allah.
8. Maka Muktamar dan musyawarah
kita adalah syura yang tidak boleh mengatasi hukum tertinggi dalam perlembagaan
PAS. Inilah pegangan PAS yang wajib difahami dan dipegang oleh semua pimpinan
dan ahli. Konsep ini tidak ada pemisahan di antara ulama dan para ilmuan dalam
apa jurusan sekalipun. Inilah yang membezakan kita dengan pihak lain. Maka PAS
wajib memelihara jati dirinya sendiri dalam semua keadaan. Laksana ikan yang
tidak menjadi masin, walau pun berada dalam lautan masin yang luas
mengelilinginya.
9. PAS menegakkan konsep
demokrasi beraqidah Islam bertuhankan Allah Yang Maha Esa. Bukan demokrasi
barat yang bertuhankan manusia walau sebijak 10. Kita ingin tegaskan sekali
lagi pada hari ini, bahawa PAS tidak mengamalkan konsep Teokrasi yang
mempertuhankan ahli agama sebagai pencipta peraturan dan dasar yang tidak boleh
dipertikaikan. Kita menolak konsep teokrasi berpandukan peringatan Allah.
“Mereka jadikan para paderi dan pendita, tuhan-tuhan yang lain daripada
Allah.”
11. Golongan ahli kitab itu
menjadikan para pendita dan rahib mereka sebagai pembuat dasar yang bercanggah
dengan hukum Allah serta mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak
diizinkan oleh Allah. Firman Allah:
“Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (dilantik menjadi tuhan) kepada
mereka, yang berkuasa mengadakan hukum syariat dalam apa-apa perkara yang tidak
diizin Allah ,dan kalaulah tidak kerana adanya keputusan yang difirman Allah,
sudah tentu meraka sudah dihukum di kalangan mereka. Dan sesungguhnya
orang-orang yang zalim itu disediakan kepada mereka azab yang sangat
menyeksakan.” [as-Syuura : 21]
Istiqamah menolong agama Allah
12. Istiqamah juga menjadi
menjadi syarat mendapat pertolongan dari Allah SWT, dengan kita berpegang
kepada tiga prinsip yang utama:
i. Berpegang dengan Islam
iii. Tidak terpengaruh dengan
mereka yang zalim
13. Ketiga-tiga prinsip ini
adalah bagi mencapai kemenangan yang luas berkekalan, sepanjang dunia hingga
akhirat. Memberi kebahagiaan bagi diri, keluarga dan masyarakat. Kita mahu
berjaya di dunia ini sehingga memerintah Negara berkebajikan terhadap rakyat
dan mengurus alam, melalui pertolongan Allah Rab‘Alamin. Firman Allah SWT:
“Dan Allah pasti menolong sesiapa yang menolong (agamanya) dan
sesungguhnya Allah itu Maha kuat Lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami
berikan kepada mereka kuasa memerintah, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan
zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahaja
akibat (penentu kesudahan segala perkara dengan ganjaran pahala dan
balasannya.”
14. Oleh itu, adalah tersangat
penting untuk kita mengukuhkan keaslian jalan tindakan kita dalam menegakkan
Islam di tanahair kita ini. Islam yang kita bawa pula adalah berteraskan
Aqidah, Syariat dan Akhlak, dan tidak memisahkan urusan dunia dengan agama.
Islam yang sempurna sehingga mampu menunaikan tugas dan matlamat kejadian
manusia untuk :
(1) Beribadah,
(2) Berkhilafah dan
(3) Menunaikan amanah.
15. Hal ini menuntut kita
berpegang kukuh di atas dasar, matlamat dan cara yang benar, tanpa terpesong
daripada landasannya, dengan cara dan adab yang betul. Kita juga tidak boleh
jumud atau melampaui batas, tidak terpesong ke kanan atau kiri dan tidak
berundur ke belakang, tidak juga melampau sehingga terjerumus ke lembah yang
membinasakan.
Istiqamah Mengukuhkan Kepimpinan Ulama, Mengangkat Peranan Professional
16. Islam ini dipelihara Allah
dalam kitab al-Quran yang tidak boleh diselewengkan. Sunnah Rasulullah SAW pula
dijaga ilmu dan cara amalannya oleh para ilmuwan Islam yang dinamakan para
ulama. Mereka perlu mewarisinya dengan benar dan amanah, sebagaimana yang
ditegaskan oleh sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya para ulama itu adalah para pewaris pusaka (peninggalan
para anbiya). Mereka (para anbiya) itu tidaklah meninggalkan pusaka mata wang
dinar (duit emas) dan dirham (duit perak). Sesungguhnya mereka meninggalkan
pusaka ilmu (daripada wahyu dan hikmah Rasulullah SAW. Maka sesiapa yang
menerimanya nescaya dia mendapat bahagian yang banyak).
17. Para Rasul yang menegakkan
negara besar, seperti Nabi Daud A.S., Nabi Sulaiman A.S. dan Nabi Muhammad SAW,
dan pengikut Rasul seperti Zulqarnain, semuanya meninggalkan pusaka ilmu Islam
yang dipelihara Allah. Mereka tidak meninggalkan tamadun kebendaan seperti
Namrud dan Firaun, supaya manusia mengambil iktibar, dan bukannya berbangga
dengan kesan jahiliyah itu.
18. Maka PAS meletakkan kepimpinan
ulama bagi memelihara asas dan matlamat Islam yang kukuh bersama warisan ilmu
daripada hidayah Allah. Semua keperluan yang lain yang menjadi urusan duniawi
juga wajib beristiqamah di atas yang mampu memahami nas dan mampu berijtihad
dalam perkara yang tidak terpesong daripada Islam.
19. Di zaman mutakhir ini,
ijtihad perlu diwujudkan secara jama’ei (kolektif). Inilah landasan Islam. Maka
para ulama feqah mewajibkan kepimpinan berilmu Islam ada nas dalam urusan dunia
yang menjadi jambatan akhirat, sehingga tidak tujuannya diwujudkan Majlis Syura
Ulama, yang menggabungkan para ulama dalam berbagai bidang ilmu Islam daripada
kalangan kepimpinan PAS sehingga mampu mencapai tujuan nas dan berijtihad dalam
perkara yang tidak ada nas.Para ilmuan dalam jurusan yang lain wajib diambil
kira kepakaran masing-masing dalam membuat ijtihad.
20. Golongan profesional adalah
tenaga yang sangat penting dalam parti, sebagaimana pentingnya golongan ulama
dan aktivis parti. Bahkan kita menerima siapa sahaja yang ingin menyumbang
kepada kemenangan Islam. Jangan ada di kalangan kita yang terperangkap dengan
mainan musuh yang cuba
memecahbelahkan kita dengan melontarkan slogan pengasingan antara ulama dan
professional.
21. Sejarah PAS tersangat jelas,
di mana kedua-dua golongan ini berganding bahu menubuh dan menggerakkan PAS
hingga ke hari ini. Gagasan kita jelas dalam puluhan muktamar, bahawa kitalah
yang menggerakkan usaha mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulama.
22. Para
profesional dalam PAS telah dan secara berterusan memberikan sumbangan kepada
parti samada dalam bidang ekonomi, pembangunan dasar dan polisi, strategi,
hubungan antarabangsa dan sebagainya. Kesemua ini adalah mutiara indah yang
menjadi khazanah berharga dalam PAS di atas pengorbanan mereka untuk bersama
memenangkan perjuangan Islam.
23. Sebenarnya tidak ada
pemisahan di antara ulama dan profesional dalam bahtera PAS. Apa yang berlaku
adalah kita berdepan dengan tempias sekularisma yang diwujudkan untuk
penghalang kebangkitan Islam, yang cuba membolos ke dalam saf gerakan
Islam. Usaha sebegini dilakukan oleh musuh Islam di seluruh pelusuk dunia,
dengan mengambil kesempatan daripada kelemahan yang wujud dalam saf kebangkitan
Islam terkini. Maka di sana
wujud kalangan yang mahu menang secara cepat dan tergopoh-gapah, berjuang
secara tasahul dan tasyaddud.
24. Kalangan berjuang secara
tasahul, ingin menceduk setiap perkembangan yang berlaku daripada luar
Malaysia, seperti Revolusi Islam Iran, AK Turki, Ikhwan dan Hizbu al-Nahdhah di
negara Arab, tanpa melihat perbezaan waqie’ di bumi tempat kita berpijak.
Sedangkan kita di tanahair ini telah jauh bergerak ke hadapan dalam matlamat
memurnikan aqidah dan amalan masyarakat Islam ke jalan yang tulen berbanding
dengan suasana masyarakat di tempat rakan rakan kita di luar sana . Mereka adalah rakan-rakan seperjuangan
kita tetapi di bumi yang berbeza dan waqie yang juga berbeza.
25. Manakala dari kalangan yang
kedua pula iaitu ber tasyaddud, iaitu mahu melaksanakan Islam dalam sekelip mata,
atau menang secara cepat tanpa pilihan raya seperti Taliban, al-Qaeda dan ISIS atau DAAISH. Kumpulan ini jugamelibatkan kalangan
ulama dan ilmuan yang bersemangat Islam tetapi tidak feqah dalam harakah
Islamiyyah dan perlu dinasihati dan dibimbing.
26. Bagi mendepani berbagai
mehnah, ujian, kekalahan dan kejayaan di sepanjang perjalanannya pada waktu
ini, ada tiga sudut yang ingin ditekankan dalam halatuju PAS untuk tempoh
setahun ini. Ianya adalah, (1) Istiqamah PAS dengan dasar; sebagaimana yang dijelaskan
sebelum ini; (2) Mempertegaskan bahawa PAS membawa mesej Islam, di mana semua
urusannya berkait adalah dengan, Islam; dan (3) Mengadakan semua pedekatan
dengan pihak lain mengikut panduan al-Quran dan Sunnah, seperti Tahaluf Siyasi,
Ta’awun, Dialog dan lain-lain.
Hubungan Semua Urusan dengan Islam
27. Al Quran meletakkan sifat
mendapat kuasa untuk memerintah negara (Tamkin), juga meletakkan politik,
ekonomi, kemasyarakatan dan seluruh aspek hendaklah berkonsepkan : Mendirikan
sembahyang; di mana kepada kerajaan Islam bukan sekadar mendirikan masjid
dengan bangunannya sahaja, tetapi perlembagaan, undang-undang negara dan
pengurusannya adalah sebahagian daripada urusan agama yang termasuk dalam
perhitungan dosa dan pahala.
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan
memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta member zakat, dan
mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan
perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
(al-Haj : 41)
28. Maka di sinilah penghujung
wawasan yang menentukan kemenangan yang besar sekiranya kita beristiqamah,
bukan sekadar wawasan 2020 dan bukannya berhenti sekadar di Putrajaya. Wawasan
kita ialah kemenangan dunia yang dekat dan kemenangan paling besar di akhirat.
Inilah juga perbezaan kita dengan semua pihak yang lain sama ada kawan atau
lawan.
29. Generasi awal zaman keemasan
umat ini telah menjadi contoh, bukan sahaja mencapai kemenangan menegakkan
negara di Madinah, selepasnya pula mereka melakukan Futuhat Islamiyyah, di mana
Islam yang dibawa bukan sahaja menguasai wilayah yang luas bahkan membuka
hati-hati manusia di negeri yang diperintah oleh Islam. Kedatangan yang
membezakannya dengan penaklukan dan penjajahan. Bermakna kemenangan membawa
rahmat dan adil terhadap semua. Bukannya membalas dendam dan zalim. Kemenangan
membawa amanah bukannya mendapat peluang berkuasa semata-mata.
Pendekatan dengan pihak luar dari PAS
30. Sejarah PAS sejak dari tahun
1951 lagi, mencatatkan bahawa kita telah dan sedang melaksanakan berbagai
pendekatan yang dirujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana yang
ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam kita menerokai siyasah. Maka kita melaksanakan
Tahaluf, Ta’awun, Dialog, dan berbagai pendekatan lainnya.
31. Aspek Tahaluf siyasi atau
kerjasama politik adalah merupakan dasar yang telah melalui satu perbincangan
para ulama dan diterima oleh PAS sejak berpuluh tahun lalu. Sejarah panjang
perjuangan PAS meyaksikan bagaimana PAS telah melakukan kerjasama politik
dengan Parti Negara yang di asaskan oleh Dato Onn Jaafar bila mana beliau
keluar dari parti UMNO yang diasaskannya. Demikian juga PAS menyertai Kerajaan
Campuran dan BN selepas pergolakan politik tahun 1969, Majlis Perunding Ekonomi
Negara bersama Angkatan Perpaduan Ummah 1990, bersama dengan PKR dan DAP tahun
1999 dalam Barisan Alternatif dan kini bersama Pakatan Rakyat yang di asas
pasca pilihan raya umum 2008.
32. Sejarah ini membuktikan
bahawa PAS bukanlah sebuah parti yang tertutup, atau juga bukan parti yang
hanya menghafal hukum-hukum feqah semata-mata sehingga tidak memahami waqie
politik negara. Namun kesemua ini dilakukan melalui kaedah - kaedah yang
dibenarkan syarak dan syarat-syarat yang tidak mengikat kita untuk membawa
Islam. Perlu kita ingat, bahawa apa sahaja persepakatan yang mengikat PAS untuk
meninggalkan perjuangan dan agenda Islam yang dibawa adalah tidak boleh diikuti
sama sekali.
33. Sepanjang sejarah tahaluf dan
lain-lain, kita sering memperingatkan pimpinan dan ahli agar memelihara batas
tahaluf, menjaga prinsip dan dasar perjuangan, memelihara ketaatan kepada parti
agar tidak terlalu ghairah sehingga meninggalkan prinsip dan dasar perjuangan.
Allah Taala menguji kita dengan sedikit kemenangan, namun jangan kita terlalai
dengan kemenangan sehingga lupa amanah untuk menegakkan agama dan memastikan
dunia diurus tadbir dengan peraturan agama.
34. Maka sebagaimana yang
berkali-kali diperjelaskan sebelum ini, bahawa PAS melaksanakan tahaluf siyasi
bersama PR ini adalah dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama, seperti
- menentang kezaliman, rasuah, ketirisan, urustadbir telus dan lain - lain yang
menjadi titik pertemuan. Agenda ini kita rangkakan sebagai panduan, sebagai
perkara yang dipersetujui dalam Polisi Bersama PR.
35. Manakala perjuangan yang
menjadi agenda yang berbeza yang sudah tentunya tiada dalam Polisi Bersama,
adalah menjadi perjuangan parti masing-masing. Sebab itulah, walaupun kita tahu
parti kawan kita adalah memperjuangkan perlembagaan sekular, yang tentunya
sangat bercanggah dengan dasar PAS, tetapi PAS tidak pernah meminta mereka
mengkaji dan membawa dasar secular ini dalam perbincangan. Apatah lagi kita
tidak pernah mencampuri siapa yang patut atau tidak patut berada dalam
kepimpinan parti masing-masing, walau kita diserang siang dan malam.
36. Oleh yang demikian, PAS akan
terus dan tetap melaksanakan Tahaluf Siyasi
bersama Pakatan Rakyat, selagi
mana ianya tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah. Tentunya
dalam masa yang sama kita wajib berhati-hati dengan peringatan Allah SWT dalam
al-Quran; yang sangat jelas peringatannya; firman Allah SWT:
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi
teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman dan sesiapa yang
melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan)
dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada
sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu) dan Allah
perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa
kamu) dan kepada Allah jualah tempat kembali.”
MEMBANGUN NEGARA MALAYSIA
Menentang kezaliman dengan pendekatan demokrasi
37. PAS memilih pendekatan
muwajahah silmiyyah melalui proses demokrasi yang tidak melampau dan hanyut,
menentang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa, kedudukan, rakyat dan harta.
Perjuangan kita berkonsepkan hadis Rasullullah SAW:
“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Mereka berkata:
Wahai Rasulullah !, yang dizalimi ini kami menolongnya, bagaimana pula menolong
yang zalim. Sabdanya: Pegang tangannya supaya jangan berlaku zalim.”
38. Kita menentang kezaliman itu
dengan memberi nasihat yang diberi kelebihan Jihad Akbar. Tegasnya sabda
Rasulullah SAW:
“Jihad paling afdal ialah ucapan menegakkan yang adil di hadapan
pemerintah yang zalim.”
39. Inilah pendekatan yang wajib
dilaksanakan dalam masyarakat Islam di tanahair sendiri yang tenggelam dalam
kejahilan setelah mengalami kesan penjajahan, sehingga meletakkan Islam tidak
berkuasa memimpin dengan istiqamah. Keadaannya sangat berbeza dengan suasana
menghadapi musuh luar yang menceroboh tanah air. Kewajipan kita ialah
membetulkan pemimpin dan rakyat supaya kembali kepada Islam dengan
beristiqamah.
40. Maka pendekatan demokrasi
adalah paling aslah bagi kita, walau pun masih banyak kepincangan dan kecacatan
yang menyulitkan kita untuk mencapai kejayaan dengan cara yang baik. Ini adalah
kerana kejahatan wujud dengan berlesenkan demokrasi yang tidak adil. Antara
kezalimannya ialah, keadaan demokrasi tempang tanpa hak media, pembahagian
kawasan pilihanraya yang menzalimi PAS secara khusus, tidak beramal dengan
konsep Federalisma yang lebih demokratik, khusus terhadap kerajaan yang
dipimpin oleh PAS.
41. Maka kita wajib beristiqamah
menentang kezaliman ini, tanpa melakukan perkara yang zalim juga terhadap
rakyat dengan tindakan-tindakan yang melampaui batas yang diajar oleh Islam.
Atau melakukan perkara yang member pulangan mudarat yang lebih besar. Inilah
makna pelaksanaan Feqah Aulawiyyat yang sebenar.
Membela masyarakat peneroka dan luar bandar
42. PAS merakamkan penghargaan
kepada seluruh warga Felda, Generasi Kedua dan Ketiga yang telah menunjukkan
isyarat jelas dalam PRK Rompin baru- baru ini. Pencapaian yang boleh
dibanggakan hasil kerja keras seluruh ahli dan pimpinan parti, bagi mengangkat
martabat warga Felda. Isu yang melibatkan kebajikan dan hak warga Felda seperti
kadar Gred Perahan, kos Tanam Semula yang begitu tinggi, isu Koperasi
Permodalan Felda (KPF), serta kedudukan saham FGV yang kini menjunam hampir
sekali ganda menambahkan lagi bebanan kepada warga Felda.
43. Termasuklah isu Perumahan
Rumah Generasi Kedua dan Ketiga yang gagal disediakan, manakala yang telah
dibina pula tidak mampu dibeli oleh mereka. Kerajaan sepatutnya mengatasi
masalah mereka dan bukannya menambah
44. PAS juga kesal kerana
kerajaan gagal menunaikan tanggungjawab untuk mengganti Tanah Rezab Melayu yang
telah digunakan bagi tujuan pembangunan sebagaimana yang diperuntukkan dalam
Kanun Tanah Negara. Begitu juga kampung tradisi dan Peneroka Bandar, samada
tanah yang mempunyai hak milik atau bersifat sementara (Tol) turut menjadi
mangsa seperti Kampung Abdullah Hukum, Kerinci, Kampung Chubadak Tambahan dan
Puah Seberang.
45. Kesemua isu-isu yang melanda
masyarakat peneroka dan rakyat ini, menuntut supaya PAS melipat gandakan usaha
untuk membela dan membantu golongan yang dizalimi ini. Sasaran kita biarlah
jelas, kerana kita bukan bermusuh dengan institusi Felda atau mana-mana
institusi yang lainnya, dan kita juga tidak bermusuh dengan mana-mana
kakitangan institusi ini, tetapi kita menggempur dasar yang menekan rakyat,
bersama pimpinan BN yang tidak bersifat amanah ini. Felda adalah hak rakyat
negara ini yang perlu diperbetulkan kaedah pengurusannya.
Mengolah Masyarakat Majmuk
46. Beristiqamah dengan Islam
membolehkan kita menyelesaikan masalah masyarakat majmuk. Masalah masyarakat
majmuk ini dipaksakan oleh penjajah, kerana berbagai kaum yang datang dipaksa
oleh penjajah menjadi hambanya, namun secara kebetulannya inilah mesej Islam
yang wajib kita sampaikan. Syaratnya bukan sekadar kita telah berjaya menghalau
penjajah itu, kita juga wajib membebaskan diri daripada belenggu ideologi dan
sistem yang ditinggalkan penjajah itu, serta membebaskan seluruh manusia dengan
cara dan pendekatan Islam. Mengapa dibiarkan kapitalis, sosialis, komunis,
pragmatis yang asing daripada kaum dan bangsa Asia
ini membawa perjuangan mereka ke sini?
47. Mesej ini hanya boleh
dilaksanakan sekiranya Islam diberi peluang mentadbir negara, bukan sekadar
menumpang pihak lain yang tidak memberi ruang supaya Islam dilaksanakan, tetapi
hanya menjadi alat atau tangga, atau kuda tunggangan menjulang kemenangan tanpa
istiqamah.
48. Islam menjadikan manusia
seluruhnya adalah satu keluarga yang berasal daripada seorang bapa dan seorang
ibu, Adam dan Hawa. Firman Allah:
“Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada
seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan bersuku kaum, supaya
kamu berta’aruf, dan yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah
yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui berkenaan diri
kamu Lagi Amat Berpengetahuan berkenaan urusan kamu).”
49. Maka kewujudan masyarakat
majmuk dalam negara kita ini mestilah diolah oleh PAS supaya ianya
memperkuatkan negara kita ini. Oleh yang demikian, kita perlu juga melihat
masyarakat majmuk ini dari kacamata dakwah yang menjadikan mereka sebagian
mad’u kita, bukan hanya dari kacamata politik semata-mata. Kita hidup dalam
rumpun berbagai kaum, bangsa, agama; yang wajib berta’aruf, kerana berasal
daripada Adam dan Hawa.
50. Islam membawa konsep tidak
ada paksaan dalam agama walaupun diwajibkan berdakwah kepada seluruh manusia,
dan wajib berlaku adil terhadap semua, memberi hak menganut agama dan beramal
dengan ajarannya oleh penganutnya. Semuanya ini ada kaedah dan feqahnya
mengikut Islam. Firman Allah;
(Wahai orang-orang yang beriman,
jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan yang disaksikan menjadi
contoh, dan janganlah dengan sebab permusuhan kamu terhadap sesuatu kaum
sehingga menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Kamu wajib berlaku adil kerana ia
lebih hampir kepada takwa. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan)
Membina Pendidikan dengan acuannya
51. Pendidikan adalah acuan
pembangunan manusia dengan ilmu, namun hendaklah mengikut acuan Allah pencipta
alam semesta. Makhluk manusia ini difitrahkan kejadiannya dengan sifat-sifat
berjasad, roh dan akal, secara individu, berkeluarga dan bermasyarakat. Maka
mereka diwajibkan beribadah kepada penciptanya, berperanan di alam bumi bagi
memakmurkannya (Khilafah), dan wajib menunaikan amanah menegakkan syariat adil
membawa rahmat dengan beriman dan akhlak.
52. Acuan pendidikan manusia
mengikut acuan Islam, wajib merangkumi segala aspek fitrah kejadian dan
peranannya di alam dunia ini. Sebagaimana jawapan Rasulullah SAW kepada soalan
malaikat Jibril berkenaan Islam, Iman dan Ihsan. Ini adalah acuan Allah supaya
pendidikan manusia itu merangkumi Aqidah (Iman), Syariat (Islam) dan akhlak
(Ihsan) iaitu lah membangun jasad, roh dan akal. Inilah yang perlu dijadikan
dasar pendidikan oleh pihak kerajaan supaya pendidikan awal ini melalui proses
acuan yang menekankan aqidah, syariat dan akhlak.
53. Acuan ini telah berjaya
melahirkan manusia generasi awal di tanah Arab yang tidak ada sumber ekonomi,
dan tanpa tamadun duniawi yang dijadikan rukun kemajuan terkini, tetapi telah
berjaya memimpin dunia dengan iman dan amal soleh yang menjadi syarat
kemenangan yang dijanjikan oleh Allah.
54. Kini pula kita menyaksikan
kemusnahan tamadun barat yang beracuannya sendiri. Adapun kita masih lagi
meminjam dan melaksanakan acuan pendidikan yang sama. Akibatnya ialah menerima
hasil pemimpin dan masyarakat yang sedang dirasai bahang kemusnahannya juga.
Inilah yang perlu diperbetulkan dalam negara kita ini.
55. Apa yang kita lihat sedang
berlaku sekarang ialah, anak-anak kita dan guru menjadi bahan ujikaji
pelaksanaan kaedah-kaedah baharu yang ingin dijalankan oleh pihak kerajaan
tanpa persiapan prasarana yang benar mencukupi, bertukar ganti dasar apabila
menterinya bertukar. Akibatnya murid dan guru dibebankan dengan kerja, yang
akhirnya menyebabkan tugas sebagai pendidik akan terjejas.
Ekonomi negara
56. Kebanyakan kita hanya
mengenali dua mazhab ekonomi dalam mengurus negara dan rakyat, serta sumber
hartanya. Pertama, mazhab Liberal Kapitalisma yang lebih berpihak kepada
segelintir kroni golongan kaya raya dan kedua, mazhab Sosialisma dan pecahannya
seperti komunisma yang kononnya berpihak kepada rakyat tertindas (pekerja dan
petani) tetapi menzalimi golongan kaya yang patut membantu kejayaan ekonomi yang
adil.
57. Mereka tidak tahu bahawa
Islam adalah berbeza dengan semuanya, kerana Islam tidak menjadikan kebendaan
sebagai dasar dan matlamat. Islam meletakkan manusia adalah modal ekonomi yang
sangat penting. Modal insan ini hendaklah dibangun mengikut segala aspek
fitrahnya, roh, jasad, individu, keluarga dan masyarakat. Beracuankan Islam
daripada Allah, yang telah menetapkan juga perkara-perkara aqidah, syariat dan
akhlak dalam aspek ekonomi sehingga tidak berpisah di antara satu sama lain.
58. Negara Malaysia tanahair kita
ini berada di atas bumi yang subur dan bersumber di dalam perutnya hasil mahsul
yang banyak, di mana Bank Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang
terkaya dari segi sumber per kapita rakyatnya. Tetapi hasil yang banyak ini
tidak befungsi sebagaimana sepatutnya. Ini semua adalah kerana kita membentuk
manusia yang bertuhankan harta benda dan berlumba sekadar mengisi perut tanpa
makanan roh dan akal, di mana kekayaan berlegar di kalangan pihak pemodal
kaya-raya, ditambah pula dengan wujudnya kepincangan tadbir-urus dan
tata-kelola kepimpinan negara.
59. Lihatlah bagaimana pengurusan
ekonomi yang adil, berakhlak dan berkat, sebagaimana contoh Raja yang adil
Zulqarnain yang menolak cukai yang hendak diberikan kepadanya oleh kaum yang
lemah, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran:
“Mereka berkata: Wahai (Raja) Zul Qarnain sesungguhnya kaum Yakjuj dan
Makjuj melakukan kejahatan dalam negeri kami. Adakah kami bayarkan cukai
kepadamu supaya kamu dirikan kota
pertahanan yang menghalang musuh. (Zulkarnain menjawab): Apa yang Tuhan
kurniakan kekuasaan kepada ku lebih baik lagi (tidak perlu membayar cukai itu).
Tolong sahaja dengan tenaga kerja yang kuat, nescaya aku dapat dirikan kota yang teguh boleh
menghalang serangan mereka terhadap kamu“.
60. Manakala Raja Sulaiman A.S.
pula menolak rasuah, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran:
“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi
Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): Tidaklah patut kamu memberikan
kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku
lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang
memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya
kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan
megah).” [an-Naml : 36]
61. Negara yang kita idamkan
ialah yang ditegakkan di atas hidayah daripada Allah yang dijamin keteguhannya,
bukan negara jibayah yang bergantung dengan cukai daripada rakyat dan membeli
rakyat. Negara inilah yang menerima janji Allah:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman
serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan)
yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka Dan (Tuhan
berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa,
tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) mendustakan (Rasul
Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka
telah usahakan.
62. Sekiranya kita meneliti
perspektif ekonomi dalam negara ini, kita akan dapati bahawa berbagai
perancangan dan dasar dikemukakan oleh Kerajaan BN yang memerintah sejak
puluhan tahun. Antaranya ialah Bajet Tahunan, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak
1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan Dasar Wawasan
Negara (2001-2010). Kemudianya, Dasar Transformasi Negara dan terkini
pembentangan Rancangan Malaysia
ke-11. Marilah kita dengan secara ikhlas membuat ukuran dan menilai pencapaian
dasar-dasar ini secara adil dan berani, dengan berdasarkan kepada apa yang
dikatakan oleh pihak ketiga, iaitu mereka yang lebih pakar dan sememangnya
menumpu perihal kajian ekonomi dan kewangan negara.
63. Antaranya, sekumpulan
penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa merakamkan dalam laporan kajian
mereka (Fairness, Competition & Development – Foundation for A Social
Market Economy in Malaysia ,
2012), bahawa ‘sejarah pembangunan sosio-ekonomi Malaysia adalah satu yang bersifat
‘pencapaian agak rendah secara relatif atau perbandingan’. Sementara indikator
pertumbuhan ekonomi dan sosial kita, mendahului negara-negara jiran seperti
Thailand, Filipina dan Indonesia, tetapi negara seperti Korea Selatan,
Singapura, Taiwan dan Hong Kong telah jauh meninggalkan dan mengatasi prestasi
ekonomi Malaysia sejak 1980-an.
64. Lihatlah contohnya Korea
Selatan yang mempunyai ‘pendapatan per kapita’ (GNI per capita) pada tahun 1970
sebanyak USD$270, di mana rakyat di Negara Malaysia ketika itu mengecapi
pendapatan per kapita sebanyak USD$470 (mengikut data World Bank Atlas Method).
Pada tahun 1980, Korea Selatan telah hampir menyaingi Malaysia . Korea Selatan telah
meningkat kepada US$1,810 yang tidak jauh di belakang US$1,820. Namun, ketika Malaysia
disajikan dengan pelbagai program dan dasar-dasar pembangunan, Korea Selatan
terus memacu pertumbuhan per kapita rakyatnya. Pada tahun 2011, Korea Selatan
terus memecut pertumbuhan per kapita rakyatnya sebanyak USD$20,870 sementara
Malaysia terus berada di paras “Perangkap Pendapatan Sederhana” dengan hanya
mampu mencapai USD$8,420 masih hampir 3 kali ganda ketinggalan.
65. Lebih mengaibkan lagi adalah
negara-negara umat Islamlah yang tercicir dan terkebelakang dari segi
tata-kelola dan tadbir-urus negara termasuklah gejala dan amalan rasuah serta
penyalahgunaan kuasa penguasa politik negara.
66. Kita ingin mengingatkan
kepimpinan negara supaya tidak hanya bermegah membentang dasar demi dasar,
program demi program. Saya bersedia mengakui bahawa sebahagian dasar-dasar dan
program-program ini adalah baik kerana dibuat oleh pihak birokrat negara yang
sejak dulu sememangnya hebat dan kompeten, kerana mereka terdiri dari
pemikir-pemikir anak watan yang terpelajar dan terlatih.
67. Unit Perancangan Ekonomi
(EPU) adalah think-tank kerajaan sejak dahulu telah memerah otak fikiran mereka
untuk menghasilkan kajian dan penyelesaian terhadap pelbagai kemelut dan gejala
ekonomi yang serba bersimpang-siur dan pelbagai tuntutan yang saling bersilang dalam
sebuah masyarakat majmuk berbagai kelas ekonomi.
68. Hari ini mereka sedikit
diketepikan kerana kecenderungan kerajaan untuk memberikan kepada ‘konsultan
atau perunding luar’ yang dibayar secara mewah sekaligus meminggirkan
pakar-pakar tempatan dalam persiapan pelbagai kajian sosial, pendidikan,
kesihatan dan pembangunan ekonomi. Ini sangat malang dan amalan ini harus dihentikan.
69. Maka seandainya kepimpinan
negara tidak komited untuk benar-benar menghayati tuntutan Allah dan Syariat
sebenar, khasnya dalam pembangunan ekonomi dan pengurusan kewangan, kesemua
matlamat pembangunan ini akan 70. Terkini, hampir-hampir seluruh urusniaga dan
pengurusan kewangan 1-Malaysia Development Berhad (1-MDB) adalah lambang segala
kekalutan dan kecurangan pengurusan kerajaan BN.
71. Bermula sebagai Terengganu
Investment Authority (TIA) yang berhajat untuk mencagar wang royalti Terengganu
dan kemudian bertukar menjadi 1-MDB, selepas 6 tahun penubuhan (2009) dan
operasinya, apa yang dapat ditunjukkan hanyalah timbunan hutang ke paras
RM42bilion ! . Manakala Aset RM 50 bilion, gagal menjana aliran tunai positif.
72. Kerajaan juga tidak wajar
memangsakan simpanan rakyat dan dana rakyat dalam apa jua tabung sekalipun
samada KWSP, KWAP, LTAT, TH dan sebagainya. Cubaan untuk menggunakan dana
Tabung Haji telah mencetuskan amarah ummat Islam khasnya dan rakyat seluruhnya
kepada pihak kerajaan BN. Skandal demi skandal berulangan walaupun pimpinan
negara bertukar; setengahnya sudah ditelan sejarah seperti isu BMF, Perwaja,
Maika Holdings, PKFZ dan berbagai lagi.
73. PAS sekali lagi menekankan
bahawa sebuah kerajaan yang dimandat rakyat, mestilah bertanggungjawab
menunaikan amanah dan harapan rakyat ini. PAS memahami sebuah pemerintahan itu,
antara tugas utamanya adalah terangkum dalam seperti ditegaskan dalam Surah
Hud, ayat 61:
“Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia
berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi
kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi,
serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah
dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid.
Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan
hamba-Nya.” (Hud : 61)
HAK PELAKSANAAN SYARIAT
74. Usaha mendaulatkan syariat
ini terus diperjuangkan sejak awal oleh PAS. Bacalah kembali apa yang pernah
disebut oleh pimpinan PAS yang telah meninggalkan kita. Prof Zulkifli Mohamed
mengungkapkan pada tahun 1956:
“Kita (PAS) adalah umat Islam, dengan sebab itu kita ingin melihat
hukum-hukum Allah dapat dilaksanakan di bumi Allah ini..”.
Manakala Dr Burhanuddin al-Helmy
menyebut dalam Ucapan Dasar Yang DiPertua Agung Pas pada 24 Ogos 1957:
“... kemerdekaan bangsa dan nusa sepenuhnya belumlah lagi berarti
tercapainya cita-cita PAS, dan belumlah dihitungkan telah merdeka sepenuhnya,
melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada orang seseorang, masyarakat
dan negara, barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS.”
75. Maka adalah tidak benar sama
sekali pandangan pihak yang tidak memahami sejarah dan dasar perjuangan PAS,
bahawa PAS bersikap gopoh dalam mengambil langkah ke arah pelaksanaan syariat
Allah SWT ini. Lihat sahajalah bahawa kita sangat beransur dalam tindakan
(tadarruj), di mana PAS bercakap dari tahun 1950an lagi, hanya meggubal dan
diluluskan enakmen pada tahun 1993, iaitu setelah berlalu 40 tahun lebih dan
generasi pula telah berubah bertukar ganti. Sejak dari tahun 1990an, PAS dan
Kerajaan Kelantan mengadakan perbagai kempen, seminar, dialog, perbincangan
pakar dan lain-lain, tanpa melaksanakan enakmen itu sama sekali kerana kita
menyedari akan kekangan yang wujud. Kepada mereka yang tidak memahami ini, jangan
dibaca sejarah PAS hanya dari tahun 1990 ataupun tahun 1999.
76. Setelah lebih 20 tahun pula
berlalu selepas enakmen ini diluluskan (menjadikannya lebih dari 60 tahun
langkah-langkah diambil oleh PAS), maka kita lihat ada ruang kecil boleh
dilakukan untuk mengangkat taraf mahkamah syariah yang kini hukuman di Mahkamah
Tinggi Syariah pun adalah jauh lebih rendah dari Mahkamah Rendah (Sivil), maka
kita mengambil langkah proaktif untuk membawa pindaan Akta 355 [Akta Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965]. Itupun hanya untuk kesalahan rotan, denda
dan penjara sahaja; untuk meningkatkan hukuman kesalahan syariah supaya tidak
tertakluk kepada hanya 3 tahun penjara, denda maksima RM5000 dan 6 kali rotan
sahaja sebagaimana pada waktu ini.
77. PAS menghadapi isu
pelaksanaan syariat Islam ini sebagai satu senjata menolak Islam sejak zaman
penjajah lagi. Namun kita menangani semua persoalan ini secara demokrasi
bermula dengan pendekatan ilmu sehinggalah mencetuskan kesedaran melaksanakan
undang-undang syariat yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Kelantan.
Pelaksanaan syariat ini, bahkan isu peningkatan taraf hukuman untuk kesalahan
syariah pula adalah hak orang Islam yang wajib diperkukuhkan sesuai dengan
Islam sebagai agama Persekutuan.
78. Kerajaan Kelantan pimpinan
PAS wajib mengusahakan agenda ini kerana desakan umat yang sudah ingin kembali
kepada Islam, kerana Islam menjadi hak setiap penganutnya dan manusia yang mahu
melihatnya. Masyarakat pula dilanda wabak jenayah dan keruntuhan akhlak yang tidak
terkawal oleh undang-undang ciptaan manusia. Ketepikan mereka yang degil
melawan Allah walaupun tenggelam bersama tanda kemusnahan.
79. Allah pernah berfirman kepada
Rasulullah SAW ketika menghadapi kumpulan seperti ini di zamannya:
(Dan hendaklah kamu berhukum di kalangan mereka dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan
berwaspada terhadap mereka daripada godaan terhadapmu supaya meninggalkan
sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka
sekiranya mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah hendak mengenakan ke
atas mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya
ramai daripada kalangan manusia itu orang-orang yang fasik).
80. Maka PAS menolak mereka yang
tidak mahu memberi jalan kepada pelaksanaan Islam atau Islamnya tidak istiqamah
di atas konsep adil terhadap semua. PAS juga menolak kalangan bercita-cita
untuk membalas dendam terhadap mereka yang dianggap musuh, kerana kita diajar
oleh Rasulullah SAW menjadi penyelamat kepada seluruh manusia. Maka inilah
perbezaan kemenangan Islam dengan revolusi barat dan timur yang banyak
mengorbankan nyawa, mencabul maruah dan harta kerana membalas dendam.
81. Kita hendaklah membezakan PAS
dengan kalangan yang mahu melaksanakan Islam tanpa feqahnya menyebabkan wajah
Islam dirosakkan kerana tidak mengikut tasawurnya dengan istiqamah. Jangan
siapa yang menyekat perjuangan kita atau memesongkan perjalanan kita secara
berterangan atau menipu helah dengan cara mengikat PAS supaya tidak bergerak ke
hadapan dalam membawa agenda Islam.
MENGUKUHKAN ORGANISASI PAS
82. Organisasi dalaman PAS
mestilah bergerak seiring untuk diperkukuhkan dengan diberi suntikan baharu
dalam merancang dan melaksanakan gerakerja. Penyelarasan bersama untuk merangka
gerakerja antara Lajnah-Lajnah di peringkat Pusat dan Negeri-Negeri perlu
dilakukan agar kita dapat memaksimakan gunatenaga ahli parti.
83. Penumpuan khusus menerokai
negeri Sabah dan Sarawak secara intensif akan dilakukan nanti, terutamanya
dalam aspek dakwah, diikuti tarbiyah memperkukuhkan kefahaman ahli dan
persediaan berdepan dengan politik pilihanraya di Sarawak
dalam tempoh dua tahun akan datang ini.
84. Sehubungan dengan itu juga,
gerakerja dakwah yang menjadi tugas yang penting di era kepimpinan ulama ini
perlulah dipertingkatkan, terutama di luar bandar, kawasan orang asal, kawasan
kepadatan penduduk tinggi di pinggir perbandaran, dan di kalangan generasi muda
yang disebut sebagai Gen-Y. Bahkan aktiviti dakwah jalanan yang dijalankan juga
adalah sangat baik dan perlu diteruskan.
85. Proses dakwah kita mestilah
meliputi semua golongan, kerana kita mesti menjadi agen penyelamat ummah.
Lantaran itu semua ruang dan peluang yang ada mesti dimanfaatkan semaksima
mungkin. Aktiviti dakwah kepada golongan bukan Islam mestilah dipertingkatkan.
Perkembangan teknologi maklumat dan capaian media baru mesti dipenuhi oleh info
yang berguna dan bermanfaat. Para daei juga
mestilah meningkatkan kemahiran, ilmu pengetahuan serta keterampilan dengan
akhlak Islamiyah.
86. Pemuda dan pemudi dalam
parti, mestilah sentiasa beristiqamah meneruskan gerakerja kebajikan dan
kemasyarakatan, sehingga mampu menjadi contoh yang dikagumi oleh masyarakat.
Aktiviti tarbiyah mesti dirancakkan, terutama kepada ahli dan medan baharu di kalangan masyarakat awam.
Program khusus menjelaskan tentang dasar parti, dan pengisian fikrah perjuangan
PAS mesti dilaksanakan dengan segera kepada semua ahli baharu parti. Usrah
disemua peringkat terutamanya di Negeri, Kawasan dan Cawangan mestilah
digerakkan, dan dijadikan satu agenda penunjuk prestasi (KPI) dalam mesyuarat
Cawangan, Kawasan dan Negeri.
87. Kaedah untuk mentarbiyah,
berurusan dan menarik generasi muda yang dikenali sebagai Gen-Y ini mestilah
tanpa kita meninggalkan asas dasar PAS, bukannya kita mengikut mana-mana
kehendak mereka yang bersalahan dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah
semata-mata untuk memenangi hati mereka. Di sinilah letaknya peranan tarbiyah,
bukan sekadar ilmu, bahkan ilmu bersama iman, kemampuan beramal dan berakhlak.
Bukan sahaja untuk kemenangan, termasuk juga memenuhi syarat kemenangan dan
mengisi kemenangan selepas mencapainya.
88. Golongan ulama di seluruh
peringkat dalam PAS, mestilah senantiasa bersedia dengan ilmu dan kefahaman
yang sentiasa di pertingkatkan dalam berdepan dengan cabaran baharu yang sangat
hebat pada masa kini. Kita bukan sahaja mesti memahami kitab-kitab Turath yang
menjadi khazanah ilmu Islam, tetapi dapat membaca – menganalisa - menjelaskan kefahaman
baharu sebagai suatu tajdid untuk membawa umat ini ke hadapan, berpandukan
kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri.
89. Ulama - Pemuda - Muslimat
perlulah juga proaktif dalam mengemukakan penyelesaian masalah semasa yang
wujud hasil dari zaman yang terus berkembang, terutamanya dalam zaman tanpa
sempadan ini. Masyarakat menunggu sesuatu penyelesaian Islam yang selalu
disebut oleh kita sebagai
satu cara hidup. Zaman kita hanya
berucap tanpa memgemukakan apa-apa penyelesaian yang berpijak di alam nyata ini
sebenanrya sudah berlalu.
90. Hubungan yang proaktif dengan
NGO yang tidak menentang Islam dan mendampingi masyarakat awam mestilah menjadi
agenda ketiga-tiga Dewan ini agar penyelarasan kefahaman dan tindakan dapat
dilaksanakan dengan efektif.
91. Kepada seluruh ahli PAS, kita
semua mempunyai tanggungjawabnya tersendiri sebagaimana yang disebut dalam
Perlembagaan parti. Bermakna PAS wajib menyediakan ahlinya sebagai ‘Aamilin dan
Du’aat yang berjati diri mengikut acuan Allah.
92. Marilah kita semua menjadi
ahli PAS yang menyempurnakan sifat atau ciri-ciri kumpulan Islam yang dapat
memenuhi syarat dijanjikan kemenangan oleh Allah:
“Allah berjanji kepada kalangan orang-orang yang beriman dan
mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia akan jadikan mereka berkuasa memerintah
negeri di bumi ini, seperti pernah dikurniakan kepada kalangan sepertinya di
zaman dahulu, lalu Agama yang Diredainya (Islam) berkuasa (Tamkin) dan
bertukarlah keadaan daripada ketakutan kepada keamanan, dalam keadaan mereka
beribadah kepadaku (tanpa gangguan) dan mereka tidak berlaku syirik terhadapku.
(Ingatlah) sesiapa yang kufur selepas itu, maka merekalah orang-orang yang
fasik”.
93. Dewan Himpunan yang menjadi
satu sayap penting PAS perlulah juga diperkukuhkan peranannya. Organisasi DHPP
wajar diberi lonjakan baharu dari segi keahlian, struktur organisasi dan
perancangan gerakerja. Pembinaan modul kursus untuk memahami sejarah dan dasar
PAS, kursus organisasi, dan lain-lain yang perlu hendaklah dirangkakan dengan
segera pada sessi ini.
94. Sejak beberapa muktamar yang
lepas, saya banyak memberikan peringatan kepada perwakilan berhubung keperluan
mendekati senjata terkini ICT dan Media Baru dalam memperkasakan jentera
pentadbiran, penerangan dan dakwah serta pilihan raya kerana internet merupakan
lebuhraya maklumat yang terbesar yang perlu dimanfaatkan.
95. Internet kini telah menjadi
sebahagian gaya
hidup dan keperluan dalam mencari maklumat dan melakukan tugasan harian. Satu
perkara yang perlu ditekankan kepada pimpinan dan pengguna berbagai
aplikasi-aplikasi IT ini ialah isu keselamatan siber dan penyamaran identiti
online yang menyebabkan berlakunya banyak gelaja-gejala buruk, adu-domba dan
fitnah di alam siber. Justeru itu, banyak kali saya menegaskan supaya pimpinan
PAS tidak menerima bulat-bulat apa yang terdapat atau dipetik dari Internet,
terutama apabila sumbernya tidak sahih dan meragukan. Ingatlah sabda Nabi
Muhammad SAW dalam satu hadis yang panjang dalam Riyadhus Shalihin:
“Adapun orang yang engkau datangi, ia sedang dipotong-potong hujung
mulutnya sampai ke tengkuknya dan dari lobang hidung sampai ke tengkuknya dan
juga dari matanya sampai ke tengkuknya itu ialah orang-orang yang pergi dari
rumahnya lalu membuat kata-kata dusta dengan kedustaan yang sampai mencapai ke
segala penjuru.”
96. Seperti yang ditegaskan dalam
muktamar sebelum ini, media parti seperti Harakah, Harakahdaily dan radio
internet hijau.fm, mestilah tidak terlibat dengan fenomena-fenomena negatif
dalam berkarya dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan pendekatan
sensasi-songsang yang bertujuan melariskan jualan semata-mata dengan
menjejaskan kredebiliti sebagai sebuah media Islam. Sebaliknya hendaklah
sentiasa berusaha membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan
parti untuk memberi kefahaman sebenar kepada
MEMPOSISIKAN PAS DI PENTAS ANTARABANGSA
97. Di persada antarabangsa, PAS
amat bimbang dan tersentuh dengan konflik dan pertumpahan darah yang berlaku di
Semenanjung Tanah Arab seperti di Yemen ,
Syria , Iraq dan Libya . Saya ingin tegaskan sekali
lagi bahawa pertumpahan berdarah yang sedang berlaku ini mesti dihentikan
segera. Apa yang kita sedang lihat adalah amat trajis dan memilukan kita semua
umat Islam.
98. Di Syria, kini lebih 250,000
rakyat awam yang terbunuh dan lebih dari 7 juta rakyatnya terpaksa menjadi
pelarian di negara-negara jiran. Di Iraq peperangan terus disemarakkan oleh
musuh sehingga mengakibatkan ratusan ribu yang terkorban dan menjadi pelarian.
Perbezaan mazhab yang sudah ribuan tahun dapat ditangani, kini diapi-apikan
semula sehingga seseorang itu dihukum akibat dari perbezaan mazhabnya.
Begitulah juga dengan apa yang sedang berlaku di Yemen
di mana peperangan proksi Kuasa-Kuasa Besar mengakibatkan ribuan rakyat awam Yemen
yang menjadi mangsa korban.
99. Saya juga ingin tegaskan
sekali lagi, PAS tidak mahu campurtangan asing berlaku di bumi umat Islam.
Biarlah rakyat Yemen , Syria , Iraq
dan Libya menentukan masa
depan negara mereka tanpa sebarang campurtangan Kuasa Asing yang cuba
memporak-perandakan negara-negara ini.
100. PAS amat tersentuh dengan
kezaliman terbaru yang dilakukan kepada umat Islam di Mesir oleh pihak yang
bersekongkol dengan kudeta. Mahkamah yang didokong oleh junta tentera Mesir
telah menjatuhkan hukuman mati kepada lebih 100 orang pejuang Islam, termasuk
Presiden Mesir yang sah Dr Mohammad Morsi, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin
Dr.Mohammad Badi', serta Sheikh Yusuf Qardhawi yang kini menetap di Qatar.
Apakah dosa sebenar mereka ini melainkan dendam kesumat yang ada pada pemimpin
kudeta yang gagal meredakan kemarahan rakyat Mesir meskipun sudah hampir 2
tahun berlaku rampasan kuasa.
101. Kezaliman yang dilakukan
oleh pihak rejim Zionis terhadap penduduk awam di Gaza dan Palestin juga nampaknya tiada penghujungnya.
Agensi antarabangsa, terutamanya Kerajaan Malaysia yang berada dalam Majlis
Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mestilah menggunakan semua ruang yang
ada untuk membantu umat Islam yang disembelih setiap hari ini.
102. Begitu jugalah dengan apa
yang berlaku di Bangladesh .
Rejim Sheikh Hasina yang zalim telah menjalankan hukuman mati ke atas beberapa
pimpinan gerakan Islam Jamaat Islami Bangladesh termasuk Abdul Qader
Mulla dan Penolong Setiausaha Agung Jamaat Mohamed Kamaruzaman. Sementara itu
Amir Jamaat Islami Bangladesh ,
Maulana Motiur Rahman Nizami sedang menunggu saat hukuman di tali gantung ke
atas beliau.
103. Di Myanmar, PAS menentang
sekerasnya penafian berterusan terhadap hak asasi manusia kaum minoriti di Myanmar
yang berasaskan kebencian terhadap agama. Penafian ini tidak memberi petanda
yang baik untuk penyatuan Myanmar
mahupun kestabilan komuniti Asean. Penduduk minoriti Rohingya telah di halau
dari bumi mereka sendiri dengan dibakar perkampungan mereka, sekolah-sekolah
serta masjid-masjid yang mengakibatkan beribu-ribu umat Islam Rohingya kini
menjadi pelarian.
104. PAS ingin membuat seruan
terbuka kepada kerajaan Malaysia
selaku rakan ASEAN dengan Myanmar
agar melihat isu ini secara tegas dan matang dengan menyatakan secara tegas
terhadap kerajaan Myanmar .
Bantuan kemanusiaan kepada ribuan pelarian Rohingya yang sedang
terumbang-ambing di tengah-tengah laut harus dilaksanakan secepatnya tanpa
bertangguh.
Pemerhati dan Perwakilan yang dihormati sekelian,
Bertitik tolak di atas tema
“Beristiqamah Hingga Kemenangan” ini, maka marilah sama-sama kita pada hari ini
memahaminya dan menggerakkan jemaah ini untuk menghadapi apa juga cabaran yang
sedang menunggu di hadapan dengan penuh yakin kepada dasar dan prinsip
perjuangan ini dengan mengambil tindakan-tindakan berikut:
1. Marilah sama-sama pada hari
ini kita menyatakan kesetiaan kita kepada perjuangan Islam dengan penuh
istiqamah, berdasarkan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan
oleh Rasulullah SAW dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT.
2. Marilah kita memahami maksud
kemenangan yang dinyatakan oleh Allah SWT. Kemenangan yang mahu dicapai adalah
sebahagian dari usaha mendapatkan redha Allah SWT. Kita berjuang siang dan
malam adalah kerana mencari redha Allah SWT. Justeru itu, marilah kita pastikan
diri kita semua, dan jemaah yang menjadi platform perjuangan kita memenuhi
syarat kemenangan yang telah digariskan oleh Islam dengan makna kemenangan yang
sebenar.
3. Marilah kita sama-sama
memantapkan tarbiyah ahli dan kepimpinan, dengan setiap dari kita
bersungguh-sungguh melibatkan diri dalam program tarbiyah yang dijalankan oleh
jemaah. Tarbiyah inilah yang akan menyediakan diri kita untuk lebih faham dan
yakin terhadap fikrah perjuangan ini yang sempadannya bukan sahaja di dunia
tetapi hingga ke akhirat.
4. Marilah kita mengemaskini
pentadbiran parti di semua peringkat, semua Dewan-Dewan dan Lajnah, termasuklah
Cawangan, Kawasan dan negeri. Saya menyeru kepada semua perwakilan dan
pemerhati supaya merapatkan saf perjuangan bersendikan fikrah perjuangan yang
jelas dan tulen, melipat gandakan gerakkerja amal jamaie dan Islammi, dengan
tumpuan kepada halatuju perjuangan untuk meraih kemenangan di dunia melalui
dakwah dan siasah berpilihanraya, serta menang pula di akhirat iaitu mendapat
syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT.
5. Marilah kita membawa mesej
Islam sebagai penyelesaian kepada masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita
ini. Semua pihak dan peringkat dalam organisasi ini mestilah memahami
fiqhul-waqie, dengan merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah yang
ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
6. Marilah kita meneruskan
kerjasama Tahaluf dalam Pakatan Rakyat dengan rukun dan syarat-syarat yang
ditetapkan oleh Islam mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah, dan berta’awun
dengan semua pihak dalam perkara kebaikan umat Islam dan bukan Islam dalam
negara kita, serta tidak bertolak ansur dalam perkara kezaliman dan
kemungkaran.
7. Marilah kita mengukuhkan
kedudukan dan peranan PAS di peringkat antarabangsa, membela pihak yang
dizalimi, mengusahakan penyelesaian konflik di rantau ini dan antarabangsa
untuk mewujudkan dunia yang lebih aman, dan menolak campurtangan kuasa besar
dalam konflik di dunia umat Islam.
Akhirnya, saya juga ingin mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih yang tidak
terhingga kepada Pengerusi, Pengarah dan Jawatankuasa Panitia Muktamar, Badan
Perhubungan PAS Selangor, Petugas-petugas, anggota Jabatan Amal dan semua pihak
yang menjayakan Muktamar ke 61 ini.
Mudah-mudahan segala amal ini
mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Saya RASMIKAN Muktamar PAS kali
ke 61 ini dengan menyebut sabda Rasulullah SAW:
سيروا على بركة هللا .
وآخر دعوانا أن الحمدهلل رب ا
لعالمين .
هللا أكبر ,هللا أكبر ,هللا أكبر
,وهلل الحمد .
-
HARAKAHDAILY 4/6/2015
No comments:
Post a Comment