16 November 2015 1:05 AM
KLUANG 15 Nov. – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein mendedahkan, kumpulan militan Negara Islam (IS) telah mengeluarkan
senarai nama beberapa pemimpin negara ini sebagai sasaran mereka.
Menurut beliau, ancaman serta ugutan terhadap beberapa tokoh
terkenal termasuk beliau itu telah dikeluarkan sejak sekian lama yang
berkemungkinan hanya untuk tujuan menakut-nakutkan mereka.
Hishammuddin berkata, biarpun ugutan itu bukan perkara
baharu namun maklumat dan perkembangan semasa sentiasa dilaporkan kepada beliau
untuk memantau pergerakan kumpulan tersebut di negara ini.
“Memang IS sudah mengeluarkan senarai sasaran mereka
terhadap pemimpin-pemimpin negara tetapi saya mahu maklumkan bahawa ia tidak
akan menakutkan kita.
“Sebaliknya, saya bersama Menteri Pertahanan ASEAN lain akan
terus pastikan ASEAN menentang mereka habis-habisan. Namun, kita tidak
mengambil mudah perkara itu kerana sesiapa pun boleh menjadi individu yang
mencetuskan huru-hara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Rumah
Terbuka Deepavali Muafakat Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz dan
pemimpin-pemimpin lain.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen
Sembrong berkata, senarai nama tersebut telah dikeluarkan sebelum perjanjian
bersama menentang keganasan antara Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dimeterai
Mac lalu di Langkawi.
Sementara itu, beliau berkata, tragedi serangan berdarah di
Perancis tidak menghairankan, sebaliknya apa yang dibimbangi adalah skala serangan
itu yang boleh merebak ke tempat lain.
“Beberapa kumpulan pengganas termasuk Abu Sayyaf telah
berikrar menyokong IS. Jadi, ideologi itu perlu diperangi dengan cara
perkongsian risikan dengan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS),
United Kingdom (UK) dan Perancis yang mempunyai hubungan ketenteraan rapat
dengan kita.
“IS akan menimbulkan huru-hara sekiranya kestabilan ekonomi
dan politik tidak dipelihara. Oleh itu, adalah penting untuk kita kekalkan
perkara itu daripada dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh pihak seperti
mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment