Menyenangkan Kerajaan"
Diterbitkan: 16 November 2015
Ditulis oleh ABDUL HADI AWANG
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
PENDIRIAN DAN CADANGAN BALAS PAS TERHADAP BAJET 2016
2 Safar 1437 H / 14 November 2015
“BAJET MENYUSAHKAN RAKYAT, MENYENANGKAN KERAJAAN”
PENDAHULUAN
PAS telah meneliti Bajet 2016 seperti yang telah dibentang
oleh YAB Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan Dato Seri Mohd Najib Tun
Abdul Razak, di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2015 baru-baru ini. Berikutan
dengan itu, sebuah jawatankuasa terdiri dari kalangan pakar yang mempunyai
kepelbagaian latar belakang telah dibentuk oleh Lajnah Ekonomi dan Pengurusan
Harta PAS serta Pusat Penyelidikan PAS (PPP) untuk meneliti kandungan bajet
tersebut.
Penelitian PAS terhadap bajet tersebut adalah dengan
objektif paling utama, iaitu untuk memastikan agar perancangan dalam bajet
tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam seterusnya kepentingan
rakyat diberi keutamaan dalam kesemua aspek.
PAS juga meletakkan objektif penelitian bajet tersebut
dengan hasrat agar dapat memberi cadangan dan penambahbaikan yang difikirkan
perlu, khasnya dalam konteks membawa kesejahteraan serta mengurangkan bebanan
rakyat.
Ke arah mencapai hasrat tersebut, PAS telah menyediakan
sebuah dokumen bagi menjelaskan cadangan-cadangan PAS secara lebih spesifik
berteraskan kepada prinsip-prinsip yang digariskan oleh Islam. Dokumen ini akan
diserahkan kepada Kerajaan Malaysia
dalam tempoh terdekat dan akan disebarkan kepada umum selepas itu.
PAS berharap agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian
yang sewajarnya kepada cadangan-cadangan ini, serta memberi pertimbangan secara
professional demi kepentingan negara dan rakyat.
Kenyataan Media ini bertujuan memberi makluman awal, secara
ringkas kepada pihak media berkaitan maklumbalas PAS terhadap bajet 2016.
PRINSIP-PRINSIP ISLAM BERKAITAN BELANJAWAN NEGARA
Dalam menguruskan ekonomi termasuk berkaitan belanjawan oleh
sesebuah pemerintah, PAS ingin menegaskan beberapa prinsip-prinsip penting yang
dilihat tidak dijadikan panduan di dalam menyediakan belanjawan negara kali
ini:
1. Harta negara tidak boleh berlegar dalam kalangan golongan
kaya sahaja
Prinsip ini jelas dinaskan di dalam al-Quran al-Karim pada
ayat 7 surah al-Hasyr yang bermaksud:
(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya
beredar antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.
2. Cukai diambil daripada lebihan golongan kaya untuk
diagihkan kepada golongan miskin
Prinsip ini adalah berdalilkan kepada sabda Rasulullah SAW
kepada Muaz Bin Jabal r.a. ketika baginda menghantarnya sebagai Gabenor di
Yaman. Sabda Baginda SAW:
Beritahulah kepada mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah
telah mewajibkan mereka membayar zakat (cukai Islam) pada harta-harta mereka,
ia diambil daripada golongan kaya mereka untuk diagihkan kepada golongan miskin
mereka. (Riwayat al-Bukhari).
3. Golongan fakir dan miskin adalah dua sasaran utama sistem
ekonomi islam
Prinsip ini adalah berdalilkan ayat al-Quran surah al-Taubah
ayat 60 di samping hadith di atas.
MAKLUMBALAS PAS SECARA UMUM TERHADAP BAJET 2016
Secara keseluruhannya PAS melihat kandungan Bajet 2016 ini
merangkumi kesemua elemen penting bagi pembangunan negara. PAS memperakui
terdapat beberapa elemen bajet yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Walau bagaimanapun, PAS melihat terdapat ketidakpatuhan
kepada Prinsip Syariat Islam yang agak ketara terutamanya dalam pelaksanaan GST
yang telah mengenakan cukai kepada golongan faqir dan miskin, justeru bajet ini
dilihat sebagai “bajet menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat”.
PAS juga mendapati wujud sekurang-kurangnya dua aspek besar
pengurusan ekonomi negara yang sebenarnya boleh ditangani secara lebih
berkesan, iaitu aspek Kejatuhan Nilai Ringgit, dan aspek Kos Sara Hidup Rakyat.
RINGKASAN CADANGAN-CADANGAN BALAS PAS TERHADAP BAJET 2016
Bagi tujuan mengelakkan perlanggaran prinsip-prinsip syariat
Islam di dalam Bajet 2016, PAS sebagai sebuah parti Islam yang
bertanggungjawab, mengusulkan cadangan-cadangan penyelesaian kepada tiga
masalah utama yang dikemukakan oleh Bajet 2016 seperti berikut:
1. Penyelesaian kepada masalah kejatuhan harga petroleum dan
kesilapan Kerajaan Malaysia
bergantung kepada GST sebagai sumber alternatif pendapatan negara.
Cukai Atas Simpanan Syarikat dan Korporat (Tax on Saving)
Cukai Perdagangan Saham Di Bursa
Saham Malaysia
(Tax On Share Trading)
2. Penyelesaian kepada masalah kejatuhan matawang ringgit
dan kesannya kepada perbelanjaaan negara dan rakyat.
Penggantian Import (Import Substitution) untuk Tempoh Terhad
Penelitian Semula Kontrak Kerajaan (Value Enginering)
3. Penyelesaian kepada masalah kenaikan kos hidup rakyat,
iaitu secara lebih khusus kemelut berkaitan pemilikan rumah yang dihadapi oleh
sebahagian besar masyarakat.
Pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) oleh Majikan Swasta
Projek ‘Mampu Memiliki Rumah’ (Affordable Home Ownership)
Butiran lebih terperinci pelaksanaan cadangan-cadangan ini
terdapat dalam dokumen yang akan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia dan
diumumkan kemudiannya kepada rakyat.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment