NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Sunday, 29 November 2015

‘BAHAYA TAHU DAN FAHAM SEKERAT-SEKERAT’



‘Bahaya tahu dan faham sekerat-sekerat’

DR. LIM SWEE TIN  |  20 November 2015 12:38 AM

PADA tahun 70-an dahulu, saya ada menonton sebuah filem Hong Kong berbahasa Mandarin. Ceritanya ringkas, tentang sepasang belia yang bercinta, kemudian berkahwin. Saya sudah lupa judulnya!

Selepas berkahwin mereka pun berpindahlah ke rumah baharu, untuk memulakan hidup baharu. Dalam kerancakan mengangkat dan menyusun barang-barang yang dibawa ke rumah baharu itu, si suami terbaca diari yang kebetulan terjatuh (memang begitulah plot filem atau novel).

Dalam catatan di halaman yang kebetulan terbuka (bukan sengaja membelek diari isterinya), si suami tiba-tiba berubah wajahnya apabila si isteri yang dahulu kekasihnya menulis, lebih kurang begini: Inilah lelaki yang paling aku benci. Mengapa entah aku boleh berjumpanya. Aku pun tidak mengerti. Yang pasti, terlihat sahaja dia aku amat membencinya.

Suami menjadi sangat kecewa, terluka dan remuk hatinya apabila mendapati dirinya diberikan persepsi sebegitu. Diam-diam dia mengambil keputusan keluar dari rumah tanpa disedari sang isteri.

Dia membawa diri, dari sebuah bandar ke sebuah bandar lain, membawa perasaan yang luluh. Perkahwinan ini kelihatannya bukan sahaja sia-sia, akan tetapi menjadi neraka baginya! Sang suami bekerja, berkelana, dan menemui banyak wanita yang tidak mungkin lagi dipercayainya. Sementara si isteri terus meronta-ronta bertanya mengapa, dan mengapa!

Ditakdirkan, lelaki ini tanpa sengaja bertemu seorang kawannya (plot filem lagi!), yang memberitahunya isterinya sedang menderita atas kehilangannya kerana sangat mencintainya. Kawan itu berjaya meyakinkannya, dan dia pun pulanglah. Dia membelek semula diari si isteri dahulu, dan mendapati penulisan selanjutnya memperlihatkan perubahan sedikit demi sedikit di hati isterinya, sehingga dia mencatatkan “Inilah lelaki yang paling aku cintai di dunia, dan aku akan mengahwininya.” Ini tidak dibacanya dahulu. Dia hanya membaca sekerat, dan membuat keputusan atas perkara ‘sekerat’ yang dibacanya itu!

Beberapa tahun lepas, saya diminta IKIM membentangkan kertas kerja dalam satu seminar peringkat kebangsaan di MITC, Melaka, bertajuk: Citra Melayu dalam karya Kesusasteraan Kontemporari: Dinamika Anjakan Sikap dan Pemikiran.

Kertas kerja saya berhasrat menyatakan bagaimana transformasi dan dinamika anjakan bangsa Me­layu yang terlihat dari era ke era sehingga mutakhir ini.

Waktu pembentangan saya petang. Khalayak peserta yang datang dari jauh dengan khidmat bas pelancongan terutamanya kelihatan letih. Saya pula jadi pembentang terakhir. Saya risau akan tumpuan perhatian peserta. Namun, peserta masih belum berganjak sebenarnya, dewan penuh sesak.

Saya melontarkan premis awal bahawa orang Melayu suka bergaduh sesama sendiri. Ini dikatakan banyak penulis imperialis dahulu. Saya katakan, ada juga benarnya. Lihatlah Hikayat Hang Tuah ataupun Sejarah Melayu, banyak yang memerikan hal ini.

Kemudian, saya susuli dengan kejatuhan Melaka yang memilukan, era kebangkitan dengan mem­potretkan penentangan Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak, penentangan Mat Kilau dan Tuk Janggut, yang memperlihatkan bagaimana semangat nasionalisme meledak.

Saya kaitkan kedatangan Islam. Saya merungkainya melalui karya-karya sastera. Beransur-ansur saya membuktikan bahawa kedatangan Islam adalah rahmat besar di alam Melayu. Bangsa Melayu menjadi bangsa yang besar. Bahasa Me­layu menjadi wadah ilmu dan peradaban. Karya-karya sastera sejak Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, sejak tahun 1936 menunjukkan keperibadian, jati diri dan maruah Melayu diletakkan tinggi sekali pun tertekan dahsyat oleh penjajah Inggeris. Saya membuktikannya dengan memetik banyak daripada penulisan atau alam persuratan Melayu.

Malangnya, ada beberapa khalayak yang kurang berpuas hati mendengar pembentangan saya pada peringkat awal ini bertindak meninggalkan dewan. Mereka tidak mahu mendengar lagi kata-kata saya yang konon menyakitkan hati. Akan tetapi, segelintir sahaja.

Saya merumuskan pembentangan saya menekankan peri dinamika kekuatan, kekuasaan dan kebangkitan bangsa Melayu sebahagian besarnya dengan Islam. Bangsa Melayu itu sendiri sudah tinggi peradaban dan tamadunnya, justeru dengan Islam, bangsa Me­layu menjadi lebih besar.

Saya ingat saya menyebut, bahkan Perdana Menteri, ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) yang memimpin pertubuhan OIC - pertubuhan yang dianggotai negara-negara Islam di dunia, juga ialah pemimpin Islam yang sangat hebat.

Disebabkan hanya sekerat pembentangan saya yang didengar oleh sebahagian khalayak yang me­ninggalkan dewan, saya selepas itu diserang bertubi-tubi untuk sekian lamanya. Cakap-cakap di luar jelas bercanggah sama sekali dengan apa yang saya maksudkan. Ia merisaukan, dan saya mengambil waktu yang lama untuk mengharunginya.

Kalaulah sebahagian khalayak itu bersabar seketika, mereka pasti akan merasai niat baik saya. Mujur juga banyak yang faham, dan di hujung pembentangan saya menerima apresiasi yang sangat menyenangkan! Demikianlah bahayanya perihal mengetahui dan memahami perkara secara sekerat-sekerat ini!

Kita perlu menyeluruh. Dalam apa-apa keadaan sekalipun, pemahaman yang sekerat-sekerat ini sangat berbahaya. Mengetahui se­suatu secara segmental sebegini hanya akan menambahkan rumit letak duduknya sesuatu perkara.

Dalam bidang kesusasteraan juga demikian, sekadar mengambil contoh yang lain. Dengan hanya membaca sebuah sajak Sasterawan Negara Usman Awang, Pak Utih, umpamanya, kita tidak boleh mengakui kita memahami seluruh pemikiran Usman Awang. Kita hendaklah meneliti banyak sajak-sajak nukilannya, perlu membaca dan meneliti drama-drama yang digarapnya dan sekian tulisan Usman Awang yang lain untuk memahami sikap dan perjuangannya.

Begitu juga Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, adalah tidak cukup dengan sekadar membelek-belek beberapa halaman novelnya, Shit, lalu menyimpulkan bahawa Shahnon itu begitu-begitu, begini-begini. Kita tidak akan memahami sensitiviti Shahnon yang melihat nasib malang bangsanya tanpa membaca Rentung, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, Sutan Ba­ginda, hatta Ummi dan Abang Syeikul selain ratusan cerpennya yang tersiar dalam pelbagai media.

Kita tidak mungkin! Samalah juga, andai kita hendak mengenali siapa itu Pramoedya Ananta Toer. Sekiranya hanya membaca sebuah novelnya, mustahil seseorang dapat memahami dengan jelas jalur pemikiran Pramoedya.

Jika kita mengatakan, kita boleh menelusuri seluruh jiwa perjuangannya, ideologi dan idealismenya, kita mungkin hanya memberi gambaran yang palsu dan penyataan yang meleset!

Kita tidak boleh mengambil mudah hal-hal seumpama ini. Banyak contoh di sekeliling kita yang menunjukkan banyak kesilapan telah kita lakukan apabila membuat kesimpulan atas sesuatu perkara dengan tahu sekerat-sekerat dan melalui pemahaman yang sekerat-sekerat ini.

Kita tidak mungkin akan pernah menilainya secara yang lebih adil, saksama dan seimbang, sekali gus pincang dengan tahu atau membaca sesuatu isu dan persoalan secara segmental atau sekerat-sekerat sahaja. Kita perlu menyeluruh. Kita dituntut komitmen penuh, mungkin sedikit mencabar, akan tetapi cubalah berusaha, atau jangan sama sekali memberi kesimpulan apa-apa!

Dr. Lim Swee Tin ialah seorang sasterawan Penerima Anugerah Kesusasteraan Asia Tenggara atau dikenali juga sebagai The South East Asia Write Award (S. E. A. Write Award).




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”