Posted on Monday, November 16 @ 10:42:02 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu
Isu Semasa "
Keganasan ini bukan perkara baru. Setiap hari
perkara-perkara yang melibatkan keganasan berlaku di seluruh dunia. Skop
keganasan ini kita tidak boleh hanya tertumpu kepada isu di Paris sahaja. Ia juga berlaku di
negara-negara lain – seperti yang kita ketahui berlaku di
Palestin , Lebanon ,
Myanmar
dan juga negara-negara lain. Keganasan ini mungkin berlaku berdekatan dengan
kita. Kes-kes rompakan, samun dan pembunuhan juga adalah keganasan. Namun kita
tidak terkesan kerana ia tidak berlaku terhadap kita dan juga liputannya tidak
terkena kepada kita.
Seperti kes serangan di
Paris , ia memberi
kesan kepada seluruh dunia. Sehinggakan isu ini menjadi perkara utama Sidang
Kemuncak G20 yang diadakan di Turki yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin besar
dunia, termasuk Perdana Menteri Malaysia
yang merupakan Pengerusi ASEAN. Saya jangkakan isu serangan Paris ini akan mendominasi persidangan
sehingga akan meminggirkan perkara-perkara penting lain yang telah dirancang
untuk diutarakan lebih awal. Dan perkara ini akan sedikit sebanyak menganggu
perancangan asal sidang kemuncak tersebut sebelum ini.
Saya juga terpanggil untuk menulis malam ini disebabkan oleh
penggunaan ‘temporary picture profile’ oleh Facebook bagi membolehkan para
pengguna menambah profile picture mereka dengan gambar bendera Paris sebagai
menunjukkan solidariti mengutuk serangan di Paris. Facebook juga melancarkan
‘Safety Check’ bagi mengetahui status keselamatan pengguna yang berada di kota Eiffel
Tower ini. Di tempat saya
belajar sekarang, di bangunan kampus utama juga bangunan dipancarkan dengan
lampu 3 warga negara tersebut sebagai menunjukkan solidariti. Saya tidak
membantah perkara ini, saya memang tidak menyokong keganasan. Tak kiralah
sesiapapun yang melakukannya kerana ia mengganggu keharmonian sejagat.
Namun begitu, saya tertanya-tanya, mengapa sekarang dunia
hanya tertumpu kepada Paris ?
Seolah-olah hanya Paris
yang terkena serangan yang dahsyat. Seolah-olah hasil serangan ini, Paris akan lenyap dari
peta dunia. Setiap hari kita disajikan dengan isu Paris ini. Kalau berita-berita dunia tu usah
cakaplah memang dah trending. Tetapi media arus perdana negara kita juga
menyajikan isu yang sama.
Kenapa hanya Paris
yang mendapat liputan meluas?
Kenapa serangan pengganas di Beirut, Lebanon, yang
mengorbankan 40 orang dan mencederakan lebih 200 orang tidak diberi perhatian?
Serangan pengebom berani mati ini berlaku sehari sebelum serangan di Paris.
Keganasan dan kezaliman yang berlaku di Palestin. Sedangkan
keganasan berlaku di Palestin hampir setiap hari. Malah mereka sedang bertarung
sekarang. Nyawa wanita, kanak-kanak, warga emas sudah tidak bernilai. Mereka
dibunuh tanpa belas kasihan. Kebebasan mereka disekat. Mereka terkurung di
dalam penjara tanpa besi terbesar di dunia. Mereka merempat di negara mereka
sendiri. Kenapa tidak diberi perhatian?
Rakyat Islam di Myanmar juga menjadi mangsa kezaliman
ekstrimis Buddha. Rumah mereka dibakar. Mereka dihalau dari kediaman mereka.
Hak mereka sebagai warganegara mereka direntap. Mereka terpaksa menjadi
pelarian dan bertebaran ke serata dunia. Mengapa isu ini tidak diberi liputan
meluas?
Apabila ia melibatkan ISIS ,
maka galaklah para pelapor media mencari, mengorek, menggali dan mencungkil
maklumat dan kalau boleh nak melaporkan kepada seantero dunia sehingga kalau
boleh, orang yang dah mati pun mereka nak sampaikan liputan. Tetapi jika ia
melibatkan kumpulan-kumpulan lain, ia seolah-olah disenyapkan. Dan kalau boleh
media-media ini tidak mahu rakyat sedunia tahu. Mata dipejamkan. Mulut dikunci
seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Ingatkah anda akan perlawanan akhir Piala Dunia tahun lepas
antara Jerman dan Argentina ?
Seluruh dunia tertumpu kepada perlawanan tersebut. Media arus perdana galak
membuat liputan seluruh pelusuk dunia. Tahukah anda pada malam perlawanan akhir
itu, Zionis Israel
galak melancarkan serangan terhadap Palestin?
Mengapa perkara ini berlaku? Adakah sebab ISIS
ini membawa nama Islam? Mengapa Islam juga yang ingin dijadikan isu sedangkan
status ISIS ini juga kabur. Sedangkan
kewujudan Zionis yang memang dah nyata melakukan kezaliman, melanggar
undang-undang dunia, merobek hak asasi manusia, disenyapkan.
Mengapa kegilaan ini berlaku? Kenapa media hanya tertumpu
kepada isu yang mereka mahu sahaja? Mengapa kebutaan media dunia ini berlaku?
Adakah mereka ini betul-betul buta? Ataupun dibutakan? Ataupun tutup sebelah
mata sahaja? Ataupun ditutup mata mereka? Ataupun siapa yang menyebabkan mereka
buta?
Nota Kaki: Saya kagum dengan usaha yang dilancarkan oleh
Bruno Portela bagi turut menunjukkan solidariti terhadap
Palestin.Sekurang-kurang yang beliau berbuat sesuatu yang tak mungkin pihak
Facebook buat. Anda boleh klik sini untuk turut menunjukkan solidariti. Diharap
kita sebagai insan yang mementingkan keadilan sejagat turut serta bagi
menyeimbangkan ketidakadilan media ini.
Aizen Nasa (Penulis) merupakan blogger di www.aizennasa.com.
No comments:
Post a Comment