23 Jun 2015 5:01 PM
NEW DELHI 23 Jun - Empat puluh lima penumpang AirAsia adalah
antara 56 orang yang ditahan oleh pihak berkuasa India di Lapangan Terbang
Antarabangsa Visakhapatnam di Andhra Pradesh, dan daripada itu, mereka merampas
62 kilogram(kg) jongkong emas bernilai 17 crore rupee (RM9.94 juta), menurut
akhbar Times of India.
Ia tidak jelas sama ada rakyat Malaysia adalah antara mereka yang
ditahan.
Menurut akhbar itu, bertindak atas maklumat awam,
pegawai-pegawai Direktorat Risikan Hasil (DRI) di Chennai, dalam satu operasi
khas pada malam Ahad, bergerak ke lapangan terbang antarabangsa yang baru
ditauliahkan dan menjalankan pemeriksaan teliti ke atas dua penerbangan dari
Kuala Lumpur dan satu dari Singapura.
Pada mulanya, para pegawai memeriksa 20 penumpang
penerbangan AirAsia yang membawa banyak barang-barang elektronik, dan menemui
jongkong emas tersembunyi di dalam barangan itu, menurut akhbar harian itu.
Pemeriksaan ke atas 10 penumpang penerbangan Silk Air dari
Singapura juga menemui jongkong emas dalam barangan elektronik mereka.
Pemeriksaan ke atas 25 penumpang AirAsia dalam penerbangan
kedua dari Kuala Lumpur
juga mendedahkan penyeludupan jongkong emas.
Menurut akhbar itu, ramai di antara mereka yang ditahan
ialah mereka yang kerap melancong dan kebanyakan mereka bertindak sebagai
'kurier'.
Akhbar harian itu memetik pegawai DRI sebagai berkata,
mereka yang ditahan semata-mata sebagai "pembawa" dan tugas mereka
berakhir dengan penyerahan emas kepada seseorang di luar lapangan terbang.
"Mereka terbabit dalam perniagaan itu semata-mata
kerana wang. Bergantung kepada kuantiti, pembawa terbabit akan dibayar, kata
akhbar itu memetik kenyataan pihak berkuasa DRI. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment