pada 20-06-2015 10:06 Ditulis
Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Saf kepimpinan ulama PAS
benar-benar menghadapi ujian getir ketika ini. Bukan sahaja mereka perlu
menangani gelagat DAP yang bertindak lebih daripada seteru politik, tetapi
golongan profesional yang ditumpaskan awal bulan ini.
Ketika Datuk Seri Haji Abdul Hadi
sibuk mengatur pasukan pengurusan dan kepimpinan PAS, golongan yang mengaku
masih menjadi ahli PAS ini sibuk pula membina persepsi yang agak negatif
terhadap parti itu sendiri.
Selain Persatuan Ummah Sejahtera
(PasMa) kini menggembar-gemburkan khabar ia akan ‘bersalin kulit’ menjadi
sebuah parti politik, ada juga pemimpin PAS sendiri yang memberi gambaran suram
tentang masa depan PAS.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid
Abdul Samad, misalnya berkata, pembentukan parti baru akan diusahakan jika
kepimpinan PAS yang dipilih pada Muktamar PAS kali-61 lalu tidak dapat
berfungsi dengan baik.
Secara langsung atau tidak
kenyataan ini memberi gambaran yang kurang mengujakan terhadap mutu kepimpinan
PAS yang umumnya ditunjangi pemimpin dari golongan ulama.
Ia memberi isyarat seolah-olah
keberangkalian kepimpinan ulama yang baru dipilih oleh perwakilan PAS akan
gagal, adalah agak tinggi; lantas perlu dipersiap parti pengganti. Jika ini
bukan kritik kurang membina apakah namanya?
Mungkin Khalid tidak berniat
mencemoh wibawa ulama. Namun dalam suasana peralihan kepimpinan PAS, kenyataan
yang bersifat ‘gergaji dua mata’begitu pasti tidak membantu pengukuhan politik
PAS.
“Kami masih mempunyai peranan
untuk menentukan bahawa Pas akan terus memainkan peranan yang seperti mana
sepatutnya.
"Jika tidak, kami akan ke
hadapan. Penubuhan parti baharu ini hanya akan terlaksana bergantung kepada
keupayaan pemimpin baharu," katanya.
Beliau yang juga bekas Ahli
Jawatankuasa Pusat berkata, PAS perlu memainkan peranan menegakkan Islam,
menyatupadukan kaum dan memenuhi keperluan rakyat jika mahumengelak parti baru
‘ala-PAS’ditubuhkan.
"Kami akan memberikan masa
kepada mereka melihat sejauh mana peranan yang dimainkan pemimpin baru.
Tetapi
tiada garis masa tempoh itu. Jika mereka gagal, kami akan terus ke
hadapan," katanya.
Sebagai ahli politik, cakap
Khalid dilihat berlapik. Bagaimanapun seorang lagi profesional yang gagal
mempertahankan kedudukan dalam jawatankuasa Pusat, Hanipa Maidin segera
melontarkan pandangan supaya PAS keluar Pakatan Rakyat.
Jika tidak, hujahnya, PAS akan
dilihat mahu berpaut pada kuasa politik yang diraih bersama Pakatan Rakyat
walaupun pada dasarnya Dewan Ulama sudah mengesyorkan supaya hubungan politik
dengan DAP diputuskan.
Seorang lagi tokoh profesional
yang nampaknya masih belum dapat menyembunyikan kekecewaan tumpas dalam
pemilihan lalu ialah bekas Timbalan Presiden, Mat Sabu.
Dalam tembual bersama sebuah
portal berita, beliau meramalkan bahawa PAS tidak akan mendapat kembali
sokongan orang bukan Islam berikutan tindakan ‘fasakh’ politik dengan DAP.
Satu faktor yang menyokong
hujahnya, kata Mat Sabu, ialah hakikat bahawa PAS kini dipimpin oleh tokoh dari
Pantai Timur yang jarang bersemuka dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada
pelbagai kaum dan agama.
Mat Sabu berkata, pemimpin Pantai
Timur dari Kelantan dan Terengganu mungkin berfikir mereka tidak memerlukan
sokongan bukan Islam kerana mereka hanya berinteraksi dengan orang Melayu
setiap hari.
"Mereka tidak akan merasa
seperti apa yang kita lakukan di sini di Pulau Pinang
dan Selangor. Pemimpin Kelantan juga berkata adalah bagus melakukannya tanpa PR
kerana mereka membuat penilaian berdasarkan lokasi mereka sendiri.
"Mereka boleh menang di
kawasan mereka tetapi bagaimana pula Selangor, Melaka dan Johor? Di Kedah, ada
juga kawasan Parlimen di mana undi bukan Islam membentuk kira-kira 40
peratus," katanya.
Mat Sabu berkata pemimpin PAS
tidak realistik jika mereka fikir parti boleh bergerak sendirian dalam pilihan
raya umum.
"Dalam pilihan raya, anda
mesti mempunyai gabungan, melainkan jika anda hanya mahu menjadi parti serantau
di Kelantan dan Terengganu.Ini semua sudah terkebelakang," katanya.
Bagaimanapun dalam ucapan penggulungannya
di Muktamar PAS ke-61 tempoh hari, Haji Hadi menggariskan keperluan untuk
mencergaskan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dari kalangan bukan Melayu.
Selain mahu menjadikan sistem
jaringan usrah di peringkat Ranting, Kawasan dan Negeri sebagai tulang belakang
pengurusan PAS, mencergaskan DHPP dilihat wawasan untuk memastikan sokongan
bukan Melayu berkekalan.
Belum sebulan golongan ulama
mengambil alih kepimpinan PAS, mereka kini disindir, cemuh dan gertak oleh
kalangan ahli dan bekas pemimpin parti itu sendiri.
Soalnya, apa sudah jadi pada
iltizam dan tarbiyah yang pemimpin-pemimpin profesional PAS anuti selama ini?
Tindak tanduk mereka ‘bak api dalam sekam’ yang boleh membakar kewibawaan dan
keutuhan PAS.
Benarkah dakwaan bahawa kepimpinan
ulama sudah tersasar dari strategi mahu menumbangkan Umno-BN?
Atau, adakah golongan profesional
kini terlalu taksub dengan ‘silat politik’ rakan-rakan Pakatan Rakyat lain
sehingga merumuskan ulama tidak bijak memimpin?
Kemana pergi rasa kasih sayang
pada jemaah? Adakah perselisihan pandangan dengan golongan ulama hari ini
begitu meruncing hingga soal apa akan jadi pada jemaah PAS sudah tidak lagi
penting bagi mereka.
Atau, adakah luka kecundang dalam
pemilihan lalu terlalu pedih sehingga mereka sudah hilang pedoman dan alpa
bahawa kenyataan-kenyataan itu hanya akan melemahkan lagi PAS?
Mungkin benar persoalan yang
dilontarkan oleh ulama sebelum muktamar tempoh hari bahawa yang jadi isu
politik terkini bagi PAS ialah wala’ atau kesetiaan golongan tertentu yang
terkesima dengan strategi PKR dan DAP.
No comments:
Post a Comment