Posted on June 14, 2015 by
Editorial|
Nazri_Aziz
Ketua Pemuda MIC Johor, S Deva
menggesa Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
dikenakan tindakan disiplin kerana menggertak untuk “belasah” Putera Mahkota
Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mengkritik politik negara.
Beliau berkata, pihaknya bimbang
budaya biadap itu akan menular di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang
lain jika tiada tindakan tegas diambil.
Katanya, Nazri sepatutnya
menunjukkan contoh ikutan yang baik kepada rakyat supaya menghormati institusi
diraja dan bukannya bertindak seperti ketua kumpulan kongsi gelap dengan
mengeluarkan kata-kata ugutan kepada Tunku Ismail.
“Pemuda MIC Johor mahu kepimpinan
BN Pusat mengenakan tindakan disiplin kepada Datuk Seri Nazri.
“Ini selari dengan semangat BN
yang sentiasa mendokong prinsip Rukun Negara yang salah satu daripadanya adalah
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
“Pemuda MIC bimbang, sekiranya
tiada tindakan diambil terhadap kebiadapan Datuk Seri Nazri ini, budaya
menghina dan bersikap biadap terhadap Institusi Diraja di Malaysia akan menular
di kalangan para pemimpin BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, Nazri juga perlu dipecat
daripada jawatan Kabinet kerana gagal dalam program Tahun Melawat Malaysia
tahun lalu apabila hanya mampu mencatat kemasukan pelancong sebanyak 27.4 juta
pelancong sedangkan sasarannya adalah sebanyak 28 juta pelancong.
“Ini pun sudah jelas membuktikan
beliau gagal menguruskan kementeriannya dengan baik.
“Negara kita memerlukan pemimpin
yang bijak serta mampu mengurus tadbir dengan baik dan bukannya hanya tahu
bercakap seperti nyaringnya ‘tin kosong’,” katanya.
Katanya, Nazri perlu menarik
balik kenyataan biadapnya itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada
Tunku Ismail dengan segera.
Katanya, sikap Nazri itu
membuatkan imej perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak terus tercalar.
“Pemuda MIC Johor berikrar akan
sentiasa berdiri teguh di belakang Institusi Diraja Johor dan tidak akan
membenarkannya dihina dan dicaci seperti apa yang dilakukan Datuk Seri Nazri
Aziz pada hari ini.
“Kami semua adalah anak Johor dan
ingatlah hanya Johor yang mengenali Johor,” katanya.
Sementara itu laman Facebook
pasukan bola sepak Johor tampil mempertahankan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku
Ismail Sultan Ibrahim.
Dalam posting Facebook hari ini,
pasukan itu memetik empat orang rakyat Johor dari pelbagai kaum memberitahu
Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz untuk menarik balik kritikan terhadap
putera sultan itu.
Mohd Fadzli Roy Jamil dipetik
sebagai menyatakan bahawa Nazri tidak mempunyai hak untuk menghalang putera itu
bercakap apa yang beliau fikirkan walaupun dalam hal politik.
Tema yang sama telah diulang
sebut oleh tiga individu yang lain.
Laman Facebook pasukan bola sepak
Johor sering dilihat sebagai jurucakap rasmi bagi putera raja itu, yang juga
Presiden Persatuan Bola Sepak Johor.
Nazri semalam memberi amaran
kepada Tunku Ismail supaya menjauhi politik jika tidak mahu “dibelasah” apabila
mengkritik Najib yang tidak muncul dalam program “Nothing To Hide” bersama
bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.
Tunku Ismail pada 5 Jun lalu
memuat naik status di laman Facebook ‘Johor Southern Tigers’ membidas Najib
tidak muncul di khalayak umum menjawab persoalan hutang 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) kerana mahu menyembunyikan banyak perkara.
Komen itu dimuat naik baginda
beberapa jam selepas forum yang dianjurkan SukaGuam itu dibatalkan Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar atas faktor keselamatan.
No comments:
Post a Comment