HARAKAHDAILY I 07 Ogos 2015.
ISLAM adalah agama yang memenuhi
keperluan manusia dari aspek mental, fizikal dan spiritual melalui panduan
wahyu dengan Iman, Islam dan Ihsan. Sesungguhnya, kecemerlangan setiap individu
Muslim adalah dengan pencapaian sifat ketakwaan. Sifat ketakwaan diperolehi
dengan kesepaduan dan penghayatan aspek Iman, Islam dan Ihsan dalam kehidupan.
Justeru, marilah bersama kita mengukuhkan ketakwaan kepada Allah SWT agar kita
beroleh kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Firman Allah s.w.t. di dalam
surah Ali Imran ayat 102:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan
sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
Mimbar pada hari Jumaat yang
mulia ini akan membicarakan khutbah bertajuk:
“KUNCI SEBUAH PEMBEBASAN”.
Sesungguhnya, kota suci bersejarah ini pernah berdaulat di
bawah pimimpinan para pemerintah Islam bermula dari zaman khalifah Islam kedua
iaitu Sayidina Umar RA. Para penduduk dan rakyat kota suci ini hidup harmoni, aman dan damai
walaupun mereka terdiri dari kalangan masyarakat majmuk yang berlainan anutan
dan agama. Inilah dasar kerajaan Islam yang sentiasa menjamin keamanan dan
kesejahteraan setiap masyarakat, agama dan bangsa di bawah naungannya. Kerana
Islam itu adalah agama damai dan cintakan perdamaian serta perkataan Islam itu
sendiri membawa maksud salam atau perdamaian.
Namun, tabiat musuh Islam tidak
akan berhenti dari memerangi Islam sehinggakan mereka bercita-cita memurtadkan
umat Islam. Dengan alasan membebaskan al-Quds dan Kota Suci ini dari penguasaan
Islam serta membebaskan orang-orang Kristian daripada pemeritahan Islam. Maka
berlakulah peperangan demi peperangan. Siri peperangan bersejarah dalam
perebutan al-Quds ialah Perang Salib yang pertama, kedua dan ketiga. Perang
Salib Pertama berlaku antara tahun 1095 hingga tahun 1099.
Seterusnya Perang Salib Kedua
pada tahun 1145 hingga tahun 1149 tercetus sebagai kesinambungan daripada siri
Perang Salib pertama setelah tentera Salibiah berjaya menawan banyak negeri
yang berada di bawah naungan Islam. Namun, setelah hampir 91 tahun dan di bawah
kepimpinan Salahuddin al-Ayubi, Islam berjaya menawan kembali al-Quds.
Akhirnya, tercetus Perang Salib Ketiga pada tahun 1189 hingga tahun 1192
melalui pakatan raja-raja Kristian iaitu Henry II dari England dan juga Philip
II dari Perancis terhadap tentera pimpinan Salahuddin al-Ayubi.
Apabila membicarakan Perang
salib, Salahuddin al-Ayubi adalah individu yang paling diingati dalam peristiwa
bersejarah ini. Bagaimanakah Salahuddin al-Ayubi berjaya menawan Baitulmaqdis?
Apakah kekuatan yang dimiliki beliau dan tenteranya sehingga berjaya menawan
Baitulmaqdis? Apakah pengajaran yang boleh diperolehi dari peristiwa bersejarah
ini?
Kejayaan Salahuddin al-Ayubi dan
tenteranya menawan Baitulmaqdis bukanlah usaha yang mudah dan diperolehi dengan
harga yang murah. Tetapi Baitulmaqdis diperolehi dengan ilmu, kesungguhan,
kesabaran dan kesatuan daripada seluruh umat Islam.
Ilmu adalah asas utama dalam
setiap tindak tanduk umat Islam. Jihad itu lahir dari ilmu dan pengetahuan
bukan lahir dari emosi dan perasaan. Bahkan, persoalan jihad dalam Islam
dibicarakan secara tuntas dan khusus di dalam kitab-kitab fiqah. Peperangan
berdasarkan perspektif Islam tidak membenarkan membunuh kanak-kanak, ibu-ibu
atau orang-orang tua. Bahkan, tidak dibenarkan membunuh sama sekali sekiranya
tiada penentangan. Rumah ibadat tidak boleh diceroboh apa lagi diroboh. Sejarah
membuktikan banyak kota-kota Islam dibuka tanpa sebarang peperangan dan
pertumpahan darah.
Dalam membicarkan keperluan ilmu,
Salahuddin al-Ayubi sendiri menghabiskan zaman mudanya mencari ilmu dan
pengetahuan daripada menghadiri latihanlatihan peperangan. Ketika berumur 31
tahun, barulah beliau bersama-sama tentera Islam ke Kaherah untuk menawan Mesir
daripada Kerajaan Fatimiyyah. Keilmuan yang dimiliki Salahuddin al-Ayubi
terserlah di atas kebijaksanaan tokoh ini memimpin tentera Islam. Penduduk
Kristian dibenarkan meninggalkan al-Quds dengan segala keperluan mereka kecuali
hanya senjata. Manakala penduduk Islam ketika al-Quds ditawan oleh tentera
Salibiah dibunuh begitu sahaja. Paling diingati dalam sejarah Perang Salib,
Salahuddin al-Ayubi pernah menawarkan khidmat perubatan kepada seterunya Raja
Kristian.
Kesungguhan dan kesabaran pula
adalah antara sifat penting yang perlu ada bagi setiap umat Islam. Baitulmaqdis
bukan sahaja berjaya ditawan semula oleh Islam di bawah usaha dan kepimpinan
Salahuddin al-Ayubi seorang. Tetapi telah melalui lebih dari satu kurun dan
berada di bawah beberapa generasi kepimpinan seperti Imad al-Din Zinki, Nur
al-Din Mahmud Zinki dan Salahuddin al-Ayubi. Bahkan, al-Quds ditawan semula di
bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayubi pada Perang Salib Kedua selepas tentera
Salibiah menguasainya dari Perang Salib Pertama.
Kesatuan umat Islam adalah aspek
yang amat penting selepas ilmu, kesungguhan dan kesabaran. Kerana itu, pepatah
Melayu yang menyebutkan "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh"
seharusnya menjadi peringatan kepada kita bersama. Islam dengan mudah akan
disekat dan umat Islam akan diperkotak-katikkan kerana tiada kesatuan daripada
kita bersama. Sejarah memperlihatkan, Tentera Salibiah berjaya menawan al-Quds
kerana umat Islam meminggirkan penghayatan kehidupan berasaskan ajaran Islam
yang sebenar, dalam masa yang sama sering berbalah, berperang dan saling
menjatuhkan.
Kejayaan, kemajuan dan
kecemerlangan umat Islam adalah apabila mereka bersatu padu dan saling
membantu. Rasulullah s.a.w. menggambarkan keadaaan ini di dalam sebuah hadis
riwayat al-Bukhari daripada al-Nu’man bin Basyir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda:
Bermaksud: “Perumpamaan orang yang menjaga hukum Allah dan orang yang melanggarnya
ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah
kapal. Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala
sebahagian lagi di tingkat bawah. Maka apabila mereka yang berada di bawah
inginkan air, mereka terpaksa pergi meminta kepada mereka yang berada di
tingkat atas. Lalu mereka yang di bawah itu berkata: “Jika kita membuat lubang
pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas
kita.” Jika mereka yang berada di tingkat atas itu membiarkan mereka yang
berada di tingkat bawah melakukan perbuatan tersebut (melubangkan kapal), pasti
semuanya akan musnah (tenggelam). Sebaliknya jika mereka yang berada di tingkat
atas menegah perbuatan mereka, pasti mereka yang di tingkat atas akan selamat
dan akan selamat juga semuanya termasuk di tingkat bawah.”
Rumusan daripada khutbah yang
disampaikan pada hari ini antaranya ialah:
Pertama: Setiap perlakuan individu Muslim mestilah berasaskan ilmu
kerana ilmu sahaja yang dapat menjamin kebenaran daripada kebatilan,
penyelewengan dan kesesatan.
Kedua: Kesungguhan dan kesabaran adalah antara sifat penting yang
perlu ada bagi setiap individu Muslim untuk mencapai kecemerlangan, kemajuan
dan kebahagian dunia serta akhirat.
Ketiga: Kemajuan dan kemunduran umat Islam adalah kerana hati-hati
umat ini tidak bersatu teguh untuk sama-sama memacu ke arah kemajuan.
Keempat: Keilmuan, kesungguhan, kesabaran, kesatuan dan ketokohan
Salahuddin al-Ayubi dan bala tenteranya wajar dijadikan model dalam memahami
erti jihad dan tuntutannya di dalam Islam.
Firman Allah s.w.t. di dalam
surah surah al-Haj ayat 40:
“Iaitu mereka yang diusir dari
kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka
diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah".
Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan
setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta
gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan
juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak
padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya
(agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
Artikel di atas ialah teks
khutbah Jumaat JAWI pada 7 Ogos 2015M/ 22 Syawal 1436H.
No comments:
Post a Comment