MH17: Rusia tuduh Belanda sorok maklumat
26 Ogos 2015 1:23 AM
MOSCOW 25 Ogos – Menteri Luar
Rusia, Sergei Lavrov menuduh Belanda menyembunyikan hasil siasatan membabitkan
nahas pesawat Malaysia Airlines (MH17) yang ditembak jatuh di timur Ukraine
daripada pengetahuan negara itu, lapor agensi berita TASS, semalam.
“Kami berusaha mendapatkan satu
siasatan yang adil bagi tragedi itu, namun fakta utama masih disembunyikan
daripada kami,’’ kata Lavrov pada forum belia Terra Scientia, jelas laporan
yang dipetik dari portal Moscow Times.
Lavrov berkata, pasukan siasatan
yang dikendalikan perkhidmatan keselamatan Belanda ada bertemu dengan Rusia
baru-baru ini dan Moscow
sempat bertanyakan beberapa soalan kepada mereka.
“Sebagai contoh, mengapa
pengumuman tentang wujudnya elemen peluru berpandu BUK hanya dibuat pada bulan
Ogos, sedangkan mereka menemukannya beberapa bulan sebelum itu dan kami meminta
mereka menunjukkan serpihan berkenaan kepada kami, namun mereka enggan berbuat
demikian,’’ kata Lavrov.
Pesawat MH17 terhempas di kawasan
yang dikuasai oleh pemberontak pro-Rusia pada Julai tahun lepas yang
menyaksikan semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.
Penyiasat daripada negara-negara
asal mangsa termasuk Belanda , Malaysia , Belgium ,
Australia , dan Ukraine
menyiasat kejadian tersebut.
Pakar dan negara-negara Barat
menuduh pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat penumpang tersebut dengan
peluru berpandu BUK.
Bagaimanapun, Rusia pula
menyatakan pesawat MH17 ditembak jatuh jet pejuang Ukraine .
No comments:
Post a Comment