|
Identiti Penganalisis Sosiologi Mesir dirahsiakan atas faktor keselamatan |
Posted
on Thursday, August 29 @ 20:30:00 MYT
Dilulus
untuk paparan oleh korokkering
SINAR
Harian memulakan kupasan isu di Mesir sejak dari hari penggulingan Presiden
Mohamed Mursi pada 3 Julai. Susulan daripada itu kupasan demi kupasan dilakukan
hingga memaparkan penderitaan rakyat di Mesir.
Pendekatan
pandangan saintis politik juga diambil kira bagi mengimbangi kisah krisis di
negara itu. Kini, Sinar Harian menemu ramah seorang lagi penganalisis dari
Mesir yang pakar dalam bidang kajian ‘Arab Spring’ sejak 2010.
Beliau
melontarkan pandangan bebas dan membawa suara harapan rakyat di negara itu.
Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita Farush Khan, Ketua Meja Global
Liza Hasan, jurufoto Rosli Taib, jurukamera Md Nidzam Osman dan Yusrizal Yusuf.
[SAKSIKAN
VIDEO WAWANCARA DI SINAR TV : http://bit.ly/17lqrUE]
Apakah
permintaan dan harapan saudara untuk masa depan di Mesir ketika ini?
Apa
yang kami mahu sangat mudah. Permintaan utama adalah demokrasi dan rakyat
bersatu. Jika dahulu kami sering berbicara tentang negara dan empayar
kegemilangan Islam, tetapi kini, kami tidak lagi dibenarkan bercakap mengenai
kerajaan Islam. Kami disekat daripada bercakap mengenai empayar Islam. Kami
juga tidak boleh bercakap mengenai Ikhwanul Muslimin (IM).
Adakah
tindakan kerajaan sementara kini membunuh demokrasi yang hanya bertahan setahun
ketika pemerintahan Mursi?
Demokrasi
di Mesir tercalar akibat tindakan kerajaan sementara. Mereka melakukan
keganasan hingga rampasan kuasa ketika Mesir berada dalam pemerintahan
demokrasi. Perkara ini amat merbahaya bukan sahaja untuk Mesir tetapi untuk
mana-mana negara lain.
Adakah
demokrasi benar-benar diamalkan di Mesir ketika pemerintahan Mursi kerana
beliau dikecam dan digelar sebagai diktator?
Itu
tidak benar. Rakyat yakin demokrasi mampu memerintah dan mereka melakukan
pemilihan secara pilihan raya. Pada pilihan raya pusingan pertama, parti
Islamis mendapat 75 peratus. Pada Pilihan Raya Parlimen, IM mendapat 40 peratus
secara tunggal dan 25 peratus diperoleh oleh kumpulan salafi, lima peratus
memihak kepada parti-parti lain. Ini menyaksikan satu perkembangan baik;
membawa kesemua parti ke arah demokrasi dan mereka dapat menerimanya. Tetapi
jika demokrasi dihentikan, ini bermakna mereka memberi mesej kepada rakyat
bahawa demokrasi gagal berperanan sekali gus mengembalikan semula kepada era
pemerintahan tentera.
Adakah
perkara ini memberi tamparan kepada Mesir?
Perkara
ini memberi kesan negatif kepada seluruh negara Islam kerana menjadikan contoh
Mesir sebagai negara Islam yang gagal dalam pelaksanaan demokrasi. Mereka
mengambil demokrasi dari rakyat dengan cara keganasan.
Adakah
benar tentera melakukan keganasan pada 13 dan 14 Ogos di Dataran Rabaa
Adawiyah, Nadha dan Tahrir?
Dataran
Tahrir menjadi pilihan kerana di situ pernah berlaku revolusi pada 21 Januari
2011. Ketika perhimpunan mega dataran ini dikuasai oleh pro kerajaan yang mahu
menunjukkan mereka mempunyai ramai pengikut. Pro Mursi pula tidak mahu membuat
kekecohan dan tidak mahu membuat sebarang konflik. Bagi mengelakkan perkara
itu, mereka memilih dataran Rabaa Adawiyah di Kaherah dan Dataran Nadha di
Giza. Mereka mahu menunjukkan perhimpunan ini adalah aman. Mereka juga mahu
menunjukkan jutaan rakyat menyokong Mursi, sekali gus membuktikan ini adalah
kuasa dan suara rakyat.
Apa
yang berlaku di situ?
Kejadian
itu berlaku pada jam 11 pagi. Ramai rakyat tidak sedar tentang gempur dan
pembersihan di kawasan itu kerana Menteri Dalam Negeri (Mohamed Ibrahim),
memberi jaminan tidak akan menyerang Rabaa Adawiyah. Beliau berjanji
menyuraikan kumpulan pro Mursi yang berhimpun secara aman. Ketika itu ada
sebilangan mereka pulang ke rumah. Namun penyokong Mursi berasa tertipu dan
ragu-ragu dengan kehadiran puluhan trak tentera dan kereta perisai. Tiba-tiba
serangan berlaku.
Adakah
benar tentera melakukan keganasan?
Serangan
itu berlanjutan selama 11 jam. Selama itulah pro Mursi cuba mempertahankan
diri. Bayangkan bagaimana rakyat dengan tangan kosong boleh mempertahankan
diri? Tentera datang membawa kereta perisai dan bulldozer yang biasanya
digunakan dalam peperangan. Untuk apa tentera datang membawa bulldozer? Ini
bermakna tentera berniat ‘membersihkan’ rakyat yang berhimpun dan membawa
mereka ke kawasan tertentu. Tentera mempunyai niat untuk membunuh rakyat
sendiri.
Seorang
pegawai perubatan mengesahkan tentera membunuh rakyat dengan peluru terlarang
oleh negara antarabangsa. Tentera menggunakan senjata berat. Selepas itu,
tentera juga pergi ke klinik yang dipenuhi mangsa cedera lalu membunuh mereka.
Sedangkan, Nabi SAW sendiri pernah bersabda, jika musuh cedera, jangan
diapa-apakan lagi.
Apakah
tindakan paling kejam dilakukan dan mengapa jumlah kematian dipalsukan?
Tentera
pergi ke klinik yang sarat dengan mangsa cedera. Mereka menggunakan bulldozer
meroboh dan membakar klinik. Tindakan itu dilakukan supaya jumlah mangsa maut
tidak boleh dikira. Oleh itu, mereka hanya mengatakan jumlah kematian 900
orang, sedangkan angka sebenar ialah 5,000 orang maut dan 10,000 lagi cedera.
Adakah
mereka mengugut waris ketika ingin mengambil jenazah?
Apabila
anggota keluarga mahu mendapatkan kebenaran pengebumian, mereka ditawarkan dua
pilihan. Pertama melaporkan, IM membunuh mereka dan kedua mereka meninggal
dunia dengan cara membunuh diri. Ramai terpaksa menggunakan alasan membunuh
diri untuk mendapatkan kembali mayat anak atau saudara mereka. Pengakuan ini
banyak disebarkan ke media.
Adakah
benar mereka menculik dan membakar jenazah?
Mereka
menculik jenazah dan menipu kononnya jenazah itu adalah tentera dan polis. Jika
ada mengatakan kematian ke atas polis menjangkau 25 peratus sila kemukakan
bukti.
Adakah
IM punca segala kekecohan ini?
Tuduhan
itu adalah pembohongan terbesar kerana untuk 80 tahun IM tidak pernah melakukan
serangan ganas. Tetapi ketika rampasan kuasa itu, terdapat kumpulan jihad dari
pro keganasan, Jamaah Islamiyah, Al Qaeda. Jadi ketika rampasan kuasa itu,
mereka semua berada di situ. Tuduhan mengatakan IM melalukan demonstrasi ini
adalah permulaan segala kekufuran untuk melabelkan IM mengetuai keganasan. Di
Mesir, terdapat lima kumpulan Islamis. Ada kumpulan bukan pengganas seperti IM
Muslimin. Tetapi ada juga kumpulan pengganas seperti Al Qaeda. IM hanya satu
bahagian daripada kumpulan bersekutu yang menentang rampasan kuasa bagi
memulihkan kesahihan. Kumpulan ini diwujudkan oleh 30 kumpulan anggota. Tidak
adil untuk menuduh IM melakukan keganasan kerana IM telah wujud sekian lama dan
tidak pernah menyokong atau melakukan keganasan.
Sumber
: Sinar Harian
29
Ogos 2013