Astro Awani | Kemas kini: Jun 01,
2015
(Diterbitkan pada: Jun 01, 2015
18:16 MYT)
SEPANG: Malaysia Airlines ‘secara
teknikalnya sudah muflis’, kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS NewCo Christoph
Mueller pada Isnin ketika membentangkan pelan strategik pemulihan syarikat
penerbangan tersebut.
“Kita secara teknikalnya muflis
dan prestasi yang merudum telah berlaku sebelum peristiwa tragik sepanjang
tahun 2014,” ujar Mueller kepada media, merujuk kepada dua tragedi melibatkan
pesawat MAS pada tahun lalu.
Malaysia Airlines mengambil
tindakan awal berimpak besar di bawah pengurusan Mueller, apabila daripada
20,000 kakitangan yang diberhentikan hanya 14,000 daripadanya yang diberikan
surat tawaran kerja di syarikat baharu.
Dalam sidang media pertamanya
itu, beliau secara tidak langsung mengesahkan tentang 6,000 kakitangan MAS yang
tidak akan menerima surat
tawaran kerja bagi menyertai syarikat MAS NewCo.
Sebelum ini Mueller pernah
membuat perubahan drastik bagi mengubah operasi syarikat penerbangan Ireland iaitu Aer Lingus dan syarikat Sabena
dari Belgium .
Tindakan memberhentikan pekerja telah membuatkan Mueller mendapat jolokan nama
‘The Terminator’.
Untuk masa depan MAS, Mueller
membentangkan fasa pemulihan yang bermula pada 1 September nanti dengan imej
jenama baharu yang belum didedahkan. Dijangkakan beliau akan mengumumkan suatu
perubahan bagi menghapuskan stigma tahun bencana 2014.
Pada Mac tahun lalu, pesawat
MH370 telah hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal. Empat bulan selepas
itu, pesawat MH17 pula ditembak jatuh di ruang udara Ukraine lantas mengorbankan nyawa
298 orang.
Dua tragedi itu merupakan
tamparan hebat buat syarikat penerbangan yang menurut analisis memiliki
pengurusan yang lemah hingga menjatuhkan prestasinya.
Suntikan dana kerajaan telah
dibuat dalam usaha menyelamatkan MAS pada tahun lalu selain melantik Mueller
untuk menerajui tugas tersebut.
Mueller berkata, beliau merancang
untuk ‘merawat luka’ MAS pada tahun 2015, menstabilkan bisnes pada tahun
berikutnya, dan kembali mengalami pertumbuhan pada tahun 2017.
Dalam e-mel yang dihantarkan
kepada para pekerjanya bulan lalu, Mueller telah memberi peringatan bahawa
perubahan besar perlu dibuat memandangkan syarikat tersebut dibebani paras kos
tidak kompetitif yang lebih 20 peratus berbanding pesaingnya.
Selain mengurangkan tenaga kerja,
MAS dijangka menghentikan perkhidmatan penerbangan jarak jauh yang tidak
mendatangkan keuntungan namun rancangan itu belum dapat diperincikan atas sebab
persaingan.
No comments:
Post a Comment