SUBKY LATIF | 16 Jun 2015.
KEPUTUSAN
pemilihan pimpinan tertinggi PAS 2015-2017 memang sudah diduga tetapi Muktamar
itu umumnya mengeliru dan mencelarukan ramai, baik dalam parti itu mahupun
orang luar. Hingga pengulas termasuk TV Awani dan tetamunya Dr. Mazlee dari
UIAM pun tak tahu terjadi dan apa akan jadi pada parti itu.
Pertama, ramai
sangat yang mengharapkan Ustaz Ahmad Awang dapat mengalahkan TG Abdul Hadi
Awang sebagai Presiden tetapi tidak menang. Jika ia mengelirukan ia adalah
kekeliruan sendiri, bukan dikelirukan oleh Muktamar kerana sekalipun parti itu
dilihat bergolak, tetapi mengubah pimpinan itu masa ini adalah tidak mungkin.
Kemudian
perwakilan menggugurkan hampir kesemua Anggota Parlimennya yang ada dalam
Jawatankuasa Pusat dulu. Yang tinggal Presidennya Ustaz Hadi, Ustaz Idris
Ahmad, Dr. Khairudin Aman Razali, Nasarudin Hasan Tantawi dan Nik Abduh, Ketua
Dewan Pemuda baru.
Yang terlucut itu
adalah MP yang lantang dan terkedepan atau MP yang ada kelas. Mahfuz Omar,
Khalid Samad dan Hanipa Maidin terlucut. Demikian juga Siti Zailah Yusuf, Dr.
Mariah, Dr. Hatta Ramli dan Datuk Kamaruddin Jaafar pun tak nampak.
Nampak macam
mereka tidak dinilai. Tetapi itulah PAS boleh membuat keputusan yang orang
tertanya-tanya. Hujung tahun 70-an Adun Kelantan mengundi tidak percaya kepada
Menteri Besarnya Datuk Mohd Nasir. Dalam tahun 1982 pimpinan baru PAS yang
diketuai oleh Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor memecat 13 ahli
Jawatankuasa Pusatnya termasuk Datuk Asri.
Datuk Asri orang
yang membangunkan PAS Kelantan dan Terengganu, 11 tahun jadi Presiden dan
sekian lama jadi Menteri Besar Kelantan, berani dipecat dengan nekad. 13
pemimpin itu dipecat oleh pemimpin baru, manakala MP yang tidak terpilih
sebagai Jawatankuasa Pusat yang terbaru itu adalah oleh perwakilan.
Ia mengeliru an
mencelarukan orang yang melihat. Apa punya celaru parti itu?
Apabila PAS dalam
BN dihina oleh Umno hujung tahun 70-an dan PAS dikalahkan di Kelantan, orang
sangka PAS habis. Bercelaru dan keliru semua orang dalam dan di luar PAS. Dr.
Mahathir yang bertanggungjawab menyingkir PAS dari BN dan perancang merampas
kerajaan Kelantan untuk ditadbir di bawah kerajaan pusat apabila ditanya
jawabnya:
PAS tak akan
terkubur. Mereka akan bangun semula.
Benar, 11 tahun
kemudian PAS ambil semula Kelantan ketika Mahathir masih Perdana Menteri dan Presiden
Umno. Sehingga lebih 12 tahun Dr. Mahathir pun bersara, PAS masih menguasai
Kelantan dan hampir menggugat Putrajaya bersama Pakatan Rakyat.
Hanya Dr. Mahathir
saja tidak keliru dengan segala yang melanda PAS.
Ketika orang
menyangka PAS akan tinggalkan Pakatan Rakyat termasuk sangkaan DAP, ucapan
dasar Presidennya Beristiqamah Hingga Kemenangan menyarankan PAS kekal bersama
Pakatan Rakyat. Cuma dilepaskannya Dewan Ulama membuat usul tergempar bagi
memutuskan hubungan dengan DAP, pengerusi usul menerimanya tanpa bahas.
Kesannya orang PAS
kena tinggalkan kedudukannya dalam kerajaan yang dikuasai DAP. Ada protes dalam kalangan perwakilan.
Maka pimpinan PAS
mentafsirkan keputusan Muktamar itu belum muktamad kerana ia memerlukan
pengesahan Majlis Syura Ulama. Di bawah konsep kepimpinan ulama keputusan
tahaluf siyasi diputuskan oleh Majlis Syura dan membatalkannya juga ditentukan
oleh Majlis Syura.
Politik PAS ada
seni fekahnya, jika tidak dapat semua, jangan tinggal semua. Nabi pesan, jangan
tinggal Bukit Uhud! Orang keliru tetapi Dr. Mahathir tahu payah orang PAS
tinggalkan jemaah. Jika ada mufarakah solat zuhur, apabila asar bermakmum
semula. – HARAKAHDAILY 16/5/2015
No comments:
Post a Comment