NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Saturday 24 July 2010

Haram Dan Beberapa Ketentuannya II


Adalah termasuk di antara rahmat Allah bahawa Ia menjadikan dasar segala sesuatu adalah halal sehingga terdapat dalil yang mengharamkannya. Perkara ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t. Maha Pengasih dan Maha Luas RahmatNya atas segenap hambaNya. Oleh sebab itu, kita wajib taat, memuji dan bersyukur kepadaNya.

Sebahagian manusia, jika mereka menyaksikan perkara-perkara yang haram dihitung dan diperjelaskan kepada mereka, jiwanya tiba-tiba terasa sesak kerana keberatan terhadap hukum-hukum syariat. Ini menunjukkan betapa lemah iman dan betapa sedikit pemahaman mereka terhadap syariat.

Apakah mereka menginginkan agar diperincikan bahawa daging sembelihan dari unta, lembu, kambing, kijang, kambing hutan, ayam, burung dara, angsa, itik, burung unta, semua itu halal? Bangkai belalang serta ikan juga halal? Dan sayur-sayuran, rempah ratus, buah-buahan dan semua biji-bijian serta hasil tanaman yang bermanfaat halal? Dan bahawa air, susu, madu, minyak dan cuka halal? Garam rempah ratus dan bumbu-bumbu halal? Lalu menggunakan kayu besi, pasir, batu kerikal, plastik, kaca serta getah halal?

Mengenderai haiwan, kereta, kereta api, kapal laut dan kapal terbang halal?

Lalu menggunakan tandas, mesin basuh, alat pengering, mesin pengiling tepung, mesin pencincang daging, pengisar serta pelbagai jenis peralatan perubatan, teknik, alat mengira, astronomi, kejuruteraan, alat mengepam air, penggalian minyak, alat penyaringan, pertambangan, penyulingan air, percetakan dan computer perlu diperincikan bahawa semua itu halal?

Kemudian memakai pakaian dari bahan kapas, bulu, kain lena kulit yang diperolehkan, nilon dan polister perlu dijelaskan sebagai sesuatu yang halal?

Dasar hukum pernikahan, jual beli, kafalah (penanggungan), hawalah (Pengiriman), sewa menyewa, semua jenis kemahiran dan keahlian seperti tukang kayu, tukang besi, mekanik, menggembala kambing, semua perlu diterangkan sebagi pekerjaan yang halal?

Mungkinkah kita boleh menyelesaikan dalam menghitung dan memperincikan perkara-perkara yang dihalalkan? Sungguh mereka itu adalah orang-orang yang hampir tidak memahami perkataan.

Adapun dalih mereka bahawa agama itu mudah, ucapan tersebut adalah benar tetapi diselewengkan dan disalahgunakan.

Makna mudah dalam agama, tidaklah bererti disesuaikan menurut hawa nafsu dan pendapat manusia tetapi kemudahan itu disesuaikan menurut tuntutan syariat.

Sesungguhnya sangat besar perbezaan antara melanggar perkara-perkara yang diharamkan lalu berdalih secara batil bahawa agama adalah mudah dengan menerapkan keringanan-keringanan yang diberikan oleh syariat seperti dengan melakukan jama’ dan qasar dalam salat dan berbuka puasa ketika musafir, mengusap (khauf) kasut dan stoking bagi bagi orang mukmin sehari semalam dan bagi yang musafir tiga hari tiga malam, tayamum ketika takut bahaya kalau menggunakan air, jama’ antara dua salat bagi orang sakit dan ketika sedang turun hujang lebat, boleh memandang kepada wanita bukan mahram untuk tujuan meminang, memilih dalam kaffarah (denda) sumpah antara memerdekakan budak, mencari makan orang miskin atau memberinya pakaian, memakan bangkai ketika dalam keadaan dharurat atau rukhsah-rukhsah (keringanan syariat lainnya.

Di samping perkara-perkara yang telah disebutkan, setiap muslim hendaklah mengetahui bahawa diharamkannya beberapa perkara tersebut terdapat hikmah yang besar di dalamnya di antaranya:

1. Allah s.w.t. menguji segenap hambaNya dengan perkara-perkara yang diharamkan tersebut, lalu Dia melihat bagaimana sikap mereka terhadapnya.

2. Di antara sebab perbezaan penduduk syurga dengan penduduk neraka adalah para penduduk neraka telah tenggelam dengan syahwat yang dengannya neraka dikelilingi.

3.  Para penduduk syurga bersabar atas berbagai perkara yang dibencinya yang dengannya syurga dikelilingi.

Jika tidak kerana ujian ini tentu tidak akan dapat dibezakan antara pelaku maksiat dengan orang taat.

Orang-orang beriman melihat beratnya kewajiban dengan semata-mata mengharap pahala dan ketaatan terhadap perintah Allah sehingga berharap mendapat redhaNya. Dengan demikian kewajiban itu terasa ringan. Berbeza halnya dengan orang-orang munafik, mereka melihat beratnya kewajiban dari sudut kepedihan, kesal dan pembatasan sehingga kewajipan itu terasa berat untuk mereka lakukan dan ketaatan menjadi sesuatu yang sangat sukar.

Dengan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan, orang yang taat akan merasakan buah manisnya; kerana sesiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya, lalu mendapatkan kelazatan iman di dalam hatinya.

Dalam risalah ini, pembaca akan mendapati beberapa perkara (perbuatan) yang diharamkan yang pengharamannya jelas di dalam syariat disertai keterangan dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah di mana sebahagian ulama telah menulis kita yang membicarakan  tentang masalah ini, dan salah sebuah yang terbaik adalah kitab Tanbihul Ghafilin karangan Ibnu Al-Nuhas Al-Dimasqi, semoga Allah merahmatinya.

Perkara-perkara yang diharamkan ini merupakan sesuatu yang sering berlaku dan umum dilakukan oleh sebahagian besar kaum muslimin. Ingin dinyatakan perkara-perkara tersebut dengan tujuan memberi keterangan dan nasihat.

Hanya kepada Allah kita memohon petunjuk taufik serta kekuatan untuk selalu menjauhi laranganNya, untuk diri saya sendiri dan untuk segenap umat Islam. Dan mudah-mudahan Dia menjauhkan kita dari perkara-perkara yang diharamkan serta menjaga kita dari perkara-perkara yang buruk. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang.  


 Bersambung…
           

Haram Dan Beberapa Ketentuannya


Sesungguhnya segala pujian hanyalah bagi Allah s.w.t.. Kita memujiNya dan memohon pertolongan dan keampunanNya serta berlindung kepadaNya dari kejahatan hawa nafsu dan keburukan amalan kita. Siapa yang diberi hidayah oleh Allah, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya dan sebaliknya, siapa yang disesatkan maka tidak ada yang dapat memberi  petunjuk kepadanya.

Sesungguhnya Allah s.w.t. mewajibkan beberapa kewajiban yang tidak boleh diabaikan, memberi beberapa ketentuan yang tidak boleh dilampaui dan mengharamkan beberapa perkara yang tidak boleh dilanggar.

Nabi s.a.w. bersabda:


“Apa yang dihalalkan oleh Allah dalam kitabNya maka itulah yang halal, dan apa yang diharamkan maka itulah yang haram, sedangkan apa yang didiamkan tentangnya maka ia adalah yang dimaafkan, maka terimalah apa yang dimaafkan oleh Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah lupa, kemudian baginda membaca ayat:


“Dan tidaklah Tuhanmu lupa.” (Q.S.Maryam: 64) (Hadith riwayat al-Hakim)

Perkara-perkara yang diharamkan adalah ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. melaui firmanNya:


 “Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya.” ( Q.S.Al-Baqarah: 187 )

Allah mengancam orang yang melampaui ketentuan-ketentuanNya dan melanggar apa yang diharamkanNya seperti ditegaskan dalam Al-Quran.

Firman Allah s.w.t.:

A014


“Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya dan melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah memasukkannya ke adalam api nereka sedang ia kekal di dalamnya dan baginya seksa yang hina.” (Q.S.Al-Nisa: 14 )

Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan hukumnya adalah wajib, perkara itu berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:


 “Apa yang aku larang kamu dari mengerjakannya, maka jauhilah ia, dan apa yang aku perintahkan kepada kamu maka lakukanlah semampunya.” (Hadith riwayat Muslim)

Sering kita saksikan sebahagian para penurut hawa nafsu, orang-orang yang lemah jiwa dan sedikit ilmunya, manakala mendengar perkara-perkara yang diharamkan secara berturut-turut ia berkeluh kesah kesal seraya berkata:


“Semuanya haram, tidak ada sesuatu apapun kecuali kamu mengharamkannya, kamu telah menyuramkan kehidupan kami, kamu menyebabkan hidup kami gelisah, menyempitkan dada kami, kamu tidak memiliki selain haram, agama ini mudah, persoalannya tidak sesempit itu dan Allah s.w.t. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Untuk menjawab ucapan mereka, kita katakan sebagai berikut:


“Sesungguhnya Allah s.w.t. menetapkan hukum menurut kehendaknya, tidak ada yang dapat menolak ketetapnNya. Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui, maka Dia menghalalkan apa yang dikehendakiNya dan di antara dasar kehambaan kita kepada Allah s.w.t. adalah hendaklah kita redha dengan apa yang ditetapkan olehNya, pasrah dan berserah diri kepadaNya secara mutlak.”
           
Hukum-hukum Allah s.w.t. berdasarkan atas ilmu, hikmah dan keadilanya, tidak sia-sia dan main-main. Allah s.w.t. berfirman:


A115


“Telah  sempurnalah kalimah Tuhanmu (Al-Quran meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya), sebagai kalimah yang benar dan adil, tidak ada yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya dan Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Q.S.Al-An’am: 115)

Allah menjelaskan kepada kita tentang kaedah halal haram dalam firman firmanNya:

A157


"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Q.S.Al-A’arf: 157)

Maka yang baik-baik adalah yang halal, dan yang buruk-buruk adalah haram. Perkara menghalalkan dan mengharamkan sesuatu hanyalah  hak Allah menetapkan dirinya berhak menentukannya maka dia telah kafir dan keluar dari agama Islam.

Allah s.w.t. berfirman:

A021


"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Q.S.Al-Syura: 21)

Tidak seorangpun berhak berbicara tentang halal haram kecuali para ahli yang mengetahuinya berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Allah memberi peringatan keras kepada orang yang menghalalkan dan mengharamkan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan, sebagaimana yang ditegaskan dalam firman Allah s.w.t.:


A116


“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.(Q.S.Al-Nahl: 116)

Perkara-perkara yang diharamkan secar qath’i (tegas) terdapat dalam Al-Quran dan Al-Sunnah seperti dalam firman Allah s.w.t.:

A151

“Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.” (Q.S.Al-An’am: 151)

Dalam al-Sunnah disebutkan beberapa perkara yang di haramkan sebagaimana dalam sabda Nabi s.a.w.:


“Sesungguhnya Allah mengharamkan penjualan khamar (arak) bangkai, babi, dan patung-patung.” (Hadith riwayat Abu Daud)

Sabda Rasulullah s.a.w.:


“Sesungguhnya jika Allah mengharamkan sesuatu, ia mengharamkan (pula) harga (penjualannya).” (Hadith riwayat Daruquthni)

Dalam sebahagian nas terkadang disebutkan pula beberapa jenis yang diharamkan, seperti makanan yang dirincikan Allah dalam firmanNya:

A003


“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Q.S.Al-Maidah: 3)


A023


“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Q.S.Al-Nisa’: 23)

Dalam perkara usaha, Allah juga menyebutkan perkara-perkara yang diharamkan.

Allah s.w.t. berfirman:


“Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…” (Q.S.Al-Baqarah: 275)

Kemudian Allah Yang Maha Pengasih terhadap hambaNya menghalalkan untuk kita perkara-perkara yang baik yang tidak terhitung banyak dan jenisnya.

Oleh sebab itu Allah tidak memberikan secara terperinci perkara-perkara yang halal dan diharuskan, kerana semua itu tidak terhitung banyaknya. Allah menerangkan secara terperinci perkara-perkara yang diharamkan kerana itu boleh dihitung, sehingga kita mengetahui dan menjauhinya.

Allah s.w.t. berfirman:


“Sesunnguhnya Allah telah menjelaskan kepada  kamu apa yang diharamkanNya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya…” (Q.S.Al-An’am: 119)

Adapun perkara-perkara yang dihalalkan maka Allah menerangkannya secara umum, yakni selama perkara itu sesuatu yang baik.

Firman Allah s.w.t.:


“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi…” (Q.S.AlBaqarah: 168)



Bersambung...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”